Sunday, December 14, 2008

Kucing Yang Luar Biasa

Satu perkara yang merimaskan apabila duduk di rumah mak dan ayah (kerana masih belum memiliki rumah sendiri) adalah apabila kita terpaksa mengikut sahaja segala rentak mereka tanpa berhak mencorak kehidupan sendiri.

Wah, bunyinya semacam rungutan seorang anak remaja muda belia berjiwa berontak! Ha! Ha! Tapi sesungguhnya bukan begitu maksud saya.

Begini.

Sedari kecil, saya memang sangat sukakan kucing. Bukan saya seorang, malah seluruh adik-beradik saya – Along, Uda, dan Alia juga – semuanya memang ‘gila kucing’. Tapi sayang sekali, mak dan ayah tidak membenarkan kami memelihara haiwan kesayangan nabi tersebut. Jadi, kami hanya dapat ‘melepas geram’ apabila bertandang ke rumah-rumah saudara mara atau rakan taulan yang ada memelihara kucing. Lalu ketika itu nanti tentunya kami akan bergomol dengan kucing-kucing di rumah tersebut sehabis ria. Tetapi sebelum sempat puas, tentu mak dan ayah akan segera memberhentikan dengan arahannya yang autoritatif, serta mimik wajah berkurut-kurut dengan alisnya bertaut: “Angah, Alia, Along, Uda, sudah tu main dengan kucing! Nanti kena selsema pula!”

Kempunan kami adik-beradik untuk memelihara kucing hanya berjaya dipenuhi ketika kami semuanya sudah dewasa. Tetapi itu pun setelah puas memujuk, dengan pelbagai cara, puas merayu dengan pelbagai nada, puas merintih dengan segala keperitan (cewah!), dan puas mengulang-ulang permintaan yang sama, barulah akhirnya mak dan ayah bersetuju. Ketika itu, seingat saya, saya sudah bergelar pelajar kolej, Along pula sudah masuk universiti, manakala Uda sudah di matrikulasi, sedang Alia pula di menengah atas.

Tetapi kebebasan memelihara kucing masih tetap terbatas. Iaitu hanya seekor sahaja yang dibenarkan! Tidak boleh lebih. Dan kucing yang seekor itu bernama Buni (sebutannya Bouni, bukan Bunny!)

Tapi, kalau sudah namanya gila kucing, seekor kucing mana cukup kan!

Di kawasan rumah kami, banyak kucing-kucing jalanan yang berkeliaran, ada yang liar, ada yang manja. Sesekali apabila ada anak kucing yang ditinggalkan ibunya meraung-raung di luar sana, atau andai ada yang terlebih manja, atau mungkin ada yang terlalu amat sangat comel, selalu juga saya cuba-cuba meminta kebenaran untuk memelihara lagi. Tetapi jawapan daripada mak dan ayah sentiasa menghampakan, iaitu di rumah kami tidak boleh ada lebih daripada seekor kucing sahaja – makanya hasrat tersebut terpaksa dikuburkan kerana sudah ada Buni yang mengisi korum seekor itu.

Selalu juga terdetik dalam hati, alangkah, alangkah baiknya kalau sudah berumah sendiri, tentu nanti saya dapat memelihara seberapa banyak kucing yang saya mahu, berpuluh-puluh ekor pun boleh, kerana ketika itu nanti, tidak ada lagi siapa-siapa yang hendak melarang. (Saya masih ada setahun lagi sebelum pengajian tamat, dan sebelum dapat bekerja dan mampu untuk memiliki rumah sendiri! Huih, lamanya....)

Tetapi kemudiannya datang seekor kucing ini. Putih bersih warnanya, dengan sedikit kuning-kuning cair antara ketara dengan tidak di kepalanya. Bulunya panjang, ekornya juga panjang dengan bulu yang melebat. Sekali pandang sahaja, tentu siapa-siapa sahaja akan mengatakan bahawa kucing ini bukan sepatutnya seekor kucing jalanan. Entah dari mana datangnya saya tidak tahu, tetapi saban hari, dia akan berada di belakang rumah kami, mengiau-ngiau minta makan, mengiau-ngiau minta minum, mengiau-ngiau minta belas. Kulit-kulit di kepalanya, barangkali dek kerana sudah terlalu lama duduk di jalanan, sudah penuh berkurap, tetapi sisa kecantikannya sebagai seekor kucing berbulu panjang masih jelas kelihatan.

Sekali lagi saya merayu kepada mak dan ayah minta kebenaran memelihara, tetapi jawapannya masih tetap menghampakan.

Tetapi kucing ini ternyata bukan kucing biasa-biasa. Bukan seperti kucing-kucing lain yang kalau setelah mengiau, tetapi diusir “syuh”, akan segera beredar, sebaliknya kucing ini, andai diusir, akan beredar untuk beberapa jeda sahaja sebelum datang kembali lantas mengiau lagi meminta belas. Kemudian akan menggesel-geselkan pula tubuhnya pada kaki manusia yang sedang dirayunya itu, mengiau lagi sambil mendongak memandang tepat ke mata manusia, sambil mengkebil-kebilkan matanya.

Miau, miau, bunyinya dengan nada sayu. Miau, miau. Dengan sinar mata pilu.

Saban hari kucing ini akan mengulang perkara yang sama, bukan sahaja terhadap saya, tetapi juga terhadap mak dan ayah. Lantas, semakin hari hati mereka semakin lembut terhadap kucing yang seekor ini. Nah, kerana itu, saya tidak lagi perlu merayu (kepada mak dan ayah untuk dibenarkan memeliharanya), sebaliknya kucing ini yang melakukannya sendiri! Melalui miaunya itu kucing ini berbicara kepada mak dan ayah. Dan akhirnya, hati mak dan ayah mencair juga lalu kucing ini pun dibenarkan tinggal di dalam rumah, menjadi kucing peliharaan. Maka dalam rumah kami pun sudah ada dua ekor kucing. (Setelah dihantar ke veterinar, kurapnya di kepala beransur berkurang, sehingga akhirnya hilang semuanya).

Biasanya waktu malam, kucing yang dipanggil Geryah ini akan tidur di dalam bilik saya. Kadang-kadang tidur di atas lantai, kadang-kadang di atas katil – sama ada di hujung kaki saya, atau di sebelah bantal. Hari Ahad yang lalu (7 Disember 2008), malam sebelumnya, waktu hendak tidur, Geryah naik ke atas katil. Dia menggesel-geselkan tubuhnya pada saya. Entah kenapa, jinaknya luar biasa sekali malam itu. Tetapi saya biarkan sahaja, lalu menutup lampu untuk tidur. Geryah tidur di sebelah kepala saya.

Jam enam setengah saya bangun untuk solat subuh. Geryah juga bangun minta makan. Saya beri dia makan. Kemudian saya menyambung lagi tidur, dan Geryah juga ikut naik ke katil, tidur di sebelah kepala saya lagi. Tetapi kemudian kira-kira pukul lapan lebih, Geryah terjaga, dan saya sedar oleh gerakannya. Geryah menjilat-jilat tubuhnya. Juga saya sedar oleh bunyinya yang sedang ‘memandikan’ diri sendiri itu, berdecap-decup. Mata saya masih lelap waktu itu, antara sedar degan tidak. Tetapi kemudiannya saya terjaga penuh apabila tiba-tiba terdengar bunyi seperti decitan kecil.

Rupa-rupanya, Geryah sudah beranak! Beranak di atas katil saya. Betul-betul di sebelah kepala saya – saya yang sedang tidur itu. Rupanya bunyi decitan kecil yang saya dengar itu adalah bunyi dua ekor anaknya yang sudah diteran keluar, yang mengiau perlahan. Beberapa minit kemudian (lebih kurang dua puluh minit) seekor lagi anak kucing diteran keluar. Maka bertambahlah tiga ekor kucing baharu di dalam rumah yang pada asalnya dilarang sama sekali daripada memelihara walau seekor pun kucing!

Hai, nama saya Kabu. Mata saya masih belum dapat dibuka lagi.


Nama saya Dubuk. Saya belum pandai nak berjalan lagi. Masih terkengkang-kengkang dan tergigil-gigil, mungkin sebab kaki saya belum cukup kuat.


Dan nama saya pula, Simbah. Mata saya sudah boleh dibuka sedikit. =)

Gambar-gambar Geryah (ibu kepada ketiga-tiga ekor anak kucing ini) selepas baru sahaja bersalin dan dalam keadaan masih berdarah-darah, boleh dicapai di sini.

12 comments:

Ahada Aihara said...

kucing binatang unik...
so kira aidil tak sempat jadi midwife utk si Geryah la ya...
selamat membela anak-anak kucing baru ya...

Anonymous said...

salam..
di rumah aku sekarang pun ada anak2 kucing 6 ekor kesemuanya! di rumah aku, terlalu banyak kucing2 di luar oleh sebab sifat belas ibuku terhadap mereka.3 ekor lagi di dalam rumah. namun, kesukaan kami ini telah beberapa kali ditentang keras2 ayahku yang ternyata tidak suka akan kucing2 atas alasan kekotoran yang mereka bawa. kadang2 minyu aku yang pembersih itupun kena tempias amarah ayah aku. tentu2 saja panas telinga aku mendengar bebelan yang sebenarnya ditujukan utk kucing2 lain sana! minyu itu sesungguhnya kucing yang bijak walaupun berkepala kecil. dia tak pernah 'membuang' merata-rata. hanya di pasirnya. itupun kena marah dengan ayah aku.

betul kata kau. aku perlu ada rumah sendiri. supaya boleh jadi raja. raja kucing! =D

-nad-

ina marjana said...

salam, Geryah bijak. Tahniah menerima anak2 comel. Rumah ibu bapa akak bermula dgn 2 ekor kucing & sekarang telah menjadi 12 ekor. Ibu bapa akak terpaksa "kasi" mereka supaya tidak jadi kilang kucing.

Nore said...

huwahhhhh..memang luar biasa!!!!

Ahmad Soffian said...

dulu ana ada seekor kucing...namanya aki...suatu hari aki dilanggar lori...sedih...ni blog baru ana..jangan lupa singgah yek..camner prktis di court??? aritu ada demo di UiTM ana ada sms ante, tapi tak berbalas...

BiLA PenA bERbicAra said...

eja suka kucing...tapi alah dengan bulunya pula...huhu

Bulya Iswandi said...

saya suke dera kucing...

Bulya Iswandi said...

saya suke dera kucing...

Aidil Khalid said...

Ahada Ahaira,

Yup, memang sayang sebab tak sempat nak jadi midwife untuk si Geryah tu. Bangun-bangun je, dah keluar dua ekor anak. Lepas tu waktu nak tunggu yang ketiga keluar, lama sangat, jadi pergi mandi dulu, bila keluar-keluar pulak, dah keluar yang ketiga tu. Haih....


Nad,

Jadi raja kucing tak apa. Jangan jadi rrrrraja kapooor, sudahlah. hehe.


Kak Ina,

Wah, banyaknya sampai 12 ekor. Hmmh, saya pun nanti kena kasi jugak kucing saya ni. Susah jugak kalau dah terlalu banyak nanti.


Nore,

;-)


Ahmad Soffian,

Praktikal di court, macam biasalah... pagi masuk ofis buat kerja-kerja filing, petang pulak pergi masuk open court tengok kes. BTW, hari tu aku jumpa Raja Petra. Dia ada kes kat Mahkamat Tinggi. Hehe. Waktu tu dah petang, jadi tak ramai orang, jadi sempat salam dia lagi.


Eja,

Dulu saya pun sebenarnya alah jugak dengan kucing. Tapi semenjak bela kucing yang pertama tu, sikit demi sikit alah tu hilang. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.


Bulya Iswandi,

Uiks... tak baik dera kucing...

sticker said...

goujian43
match731
deaf330
adjure03
ague603

arein said...

wow...
teringin gak nk tgk kucing beranak ni...
smela kat umah sye pon mak n ayah xbagi bela kucing...
umah sedara la jd tmpt kami adik beradik bermanja ngn kucing....
hehehe

Siti Salha Rosman said...

Saya juga suka kucing. Hehe, apa la aidil ni...kucing beranak kat sebelah pun boleh tak perasa, huhu.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP