Tuesday, January 27, 2009

Bahasa vs Sastera

Kalau bahasa lawan sastera, yang manakah harus menang – bahasakah atau sasterakah?

Mungkin soalan ini kedengaran aneh, malah mungkin juga soalan ini kedengaran merapek, dan tidak mustahil soalan ini kedengaran sewel. Kerana bahasa dan sastera itu sukar dipisahkan. Sering kali kita dengar ungkapan bahawa “bahasa itu alat untuk menghasilkan sastera.” Justeru andai siapa-siapa yang pernah atau selalu ke bengkel-bengkel penulisan, tentu sudah lazim benar mendengar nasihat-nasihat seperti ini:

“Kuasailah bahasa, jangan miskin perbendaharaan, perelokkan susunan ayat, perindahkan lenggok bahasa… ciptakan diksi-diksi segar…” dan sebagainya, dan sebagainya.

Jadi bagaimana mungkin diajukan pertanyaan: yang mana satu akan menang andai bahasa dan sastera dilawankan?

Perkara inilah yang menarik perhatian saya ketika menghadiri Majlis Diskusi Karya Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR), 2009, yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Bahasa dan Pustaka. (Ulasan penuh mengenai majlis ini, boleh ke sini, dan ke sini).

Hal ini dibangkitkan oleh Profesor Rahman Shaari ketika membincangkan karya-karya puisi eceran mantan MPR. Katanya, selain tatabahasa, wujud juga tatasastera. Kira-kira begini kata-katanya yang sempat saya catatkan:

“Untuk menguruskan hal-hal sastera, jangan tatabahasa, tapi pakai tatasastera.”

Profesor Rahman Shaari juga ada memberikan contoh bagaimana editor yang tidak mengerti akan hal ini selalu mengedit (baca: merosakkan) diksi-diksi tertentu yang dipilih oleh seeorang pengarang, yang, barangkali kalau dinilai dari sudut tatabahasa memang tidak tepat, tetapi dari sudut sastera, sebenarnya adalah merupakan suatu keindahan.

Kerana itulah sangat penting, antara editor dan pengarang, harus wujud hubungan dua hala -- yakni editor mencadangkan perubahan, sedangkan pengarang diberi hak untuk menyatakan pandangan. Tetapi malang sekali hal ini jarang-jarang berlaku, terutamanya dalam konteks hubungan antara editor media berkala dengan pengarang bebas eceran. Biasanya sesebuah karya itu akan diedit tanpa sedikit pun memaklumkan kepada pengarangnya, dan pengarang akan hanya tahu apabila karya itu sudah terbit. Kerana itu saya masih ingat kata-kata Puan Zaharah Nawawi berkaitan cerpen saya, Burung Hitam dan Abu Nuwas, sebelum ianya disiarkan di Dewan Budaya keluaran Februari 2008: "Lebih baik kita sendiri menyuntingnya daripada membiarkan editor menyunting. Ia lebih menyakitkan."

Dalam sastera, seseorang pengarang itu diberikan lesen bagi melanggar tatabahasa. Mungkin kita biasa dengar dengan ungkapan poetic license. Lesen kepenyairan. Tetapi saya percaya, lesen ini juga harus menjangkau tidak hanya kepada para penyair, tetapi juga kepada pengarang prosa (cerpen dan novel).

Pun begitu, harus difahami bahawa lesen ini bukanlah boleh digunakan oleh pengarang sesuka hati sewenang-wenangnya, sebaliknya ada aturan-aturan yang perlu dipatuhi. Secara umumnya, lesen untuk melanggar tatabahasa hanya dibenarkan andai ia mempunyai tujuan-tujuan khusus yang signifikan – misalnya dalam puisi bagi mencipta diksi baharu yang lebih segar, atau bagi mempersedap bunyi, atau bagi menggambarkan sesuatu ironi.

Oleh hal yang demikian, saya berpegang kepada hakikat, bahawa andai bahasa dilawankan dengan sastera, makanya sasteralah yang harus menang. Kerana bahasa itu, hanya alatnya – tidak lebih dari itu – sedangkan sastera itu produknya. Justeru andai untuk menghasilkan sesuatu produk yang sempurna alatnya harus dikorbankan, tentu sekali tidak menjadi kesalahan mengorbankannya, bukan?

3 comments:

Wan Nor Azriq said...

Style itu sastera.Maka,bahasa itu sastera.Tanpa bahasa tak adalah sastera.Bahasa boleh hidup tanpa sastera.Tapi tanpa bahasa,sastera bukan sastera lagi.

Bahasa memang alat.Tapi ia alat yang telah diberikan sentuhan style bagi melahirkan ekspresi seni seorang penulis.

Aidil Khalid said...

Azriq,

Saya setuju bahawa tanpa bahasa tak adalah sastera. Tetapi bahasa bukanlah sastera. Bahasa adalah alat untuk menjadikan sastera. Seperti kata J.S Badudu, "Sastera harus ditinjau dari dua segi iaitu bahasa dan isi. Manakala Hashim Awang pula menyatakan bahawa sastera adalah "ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa."

Justeru, sesuatu perkara, sekalipun disampaikan menggunakan bahasa, tetapi andai tidak mempunyai isi, atau andai tidak mempunyai sentuhan seni, maka tidak akan menjadi sastera.

Manakala andai untuk menghasilkan ciptaan seni sastera, bahasa tersebut perlu dikorbankan dari sudut tatabahasa, maka tentunya tidak menjadi kesalahan. Sastera itu masih menggunakan bahasa tentunya -- hanyasanya bahasanya telah diselewengkan untuk menyampaikan maksud-maksud tertentu.

Wan Nor Azriq said...

Jadi betullah apabila saya mengatakan bahawa style itu sastera kerana style yang menjadikan bahasa itu sastera :)

Apabila saya mengatakan bahasa itu sastera,saya sedang menyatakan bahawa bahasa yang menentukan kualiti karya sastera.Bukan ideologi atau pemikiran yang menjadi kayu ukur.Dan betullah apa yang dikatakan oleh Hashim Awang.Kerana bahasa yang telah diberikan "sentuhan style" itu yang menjadikan bahasa itu sastera. Bukan isi.

Bahasa memang bukan sastera kerana bahasa memerlukan sentuhan seni seperti yang awak sebutkan di atas.Tapi memang bahasalah yang menjadi kayu ukur utama karya sastera.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP