Thursday, January 22, 2009

Nopen

Sesekali apabila membaca sebuah karya yang sifatnya tidak konvensional, yang lari daripada kebiasaan, serta menyimpang jauh daripada gaya pernovelan arus perdana, memang benar-benar memberikan kesegaran kepada minda dan rasa. Kalau hendak diberikan tamsilan, barangkali, seperti seseorang yang sudah terlalu lama terperuk dalam sebuah kamar yang udaranya kering dan sejuk oleh penghawa dingin, lalu mendapat peluang keluar barang sebentar dua bagi menghirup udara segar di luar sana.

Begitulah perasaan saya ketika menikmati novel Cinta Berbalas di Meja 17 karya Irwan Abu Bakar (Dr Ir Wan).

Lebih-lebih lagi apabila saban hari saban bulan saban tahun tak habis-habisnya siang dan malam asyik menatap novel-novel sastera tempatan yang kebanyakannya bersifat ‘sepesen’ sahaja (perhatikan, saya katakan kebanyakan, bukan semua) memanglah benar-benar mengasyikkan apabila tiba-tiba mendapat peluang menatap sebuah novel yang gaya penceritaannya lain sama sekali.

Oh, jangan tertipu dengan tajuknya yang menggunakan perkataan ‘cinta’, kerana novel ini bukanlah sebuah novel cinta per se. Malah peratusan persoalan cinta dalam novel ini sangat kecil, barangkali, tidak sampai sepuluh peratus pun, dan jumlah halamannya pun, boleh dibilang dengan satu tangan.

Ia sebuah novel antiplot. Bukan antiplot gaya persuratan baharu, sebaliknya antiplot dalam erti kata sebuah novel cerpen, atau singkatannya, nopen – yang mana setiap babnya boleh berdiri sendiri sebagai sebuah cerpen, serta tidak berkaitan antara satu sama lain. Dan satu-satunya pengikatnya antara setiap bab yang mewajarkannya dipanggil novel, ialah latar tempatnya yang sama – meja makan bernombor 17 di sebuah restoran bernama Restoran eSastera.

Temanya menjangkau daripada persoalan cinta, kepada persoalan persahabatan, kepada keanehan manusia, malah menjangkau kepada persoalan yang lebih berat lagi, dalam mengangkat persoalan politik yang ditulis dengan gaya satira. Tetapi antara keseluruhan babnya, saya paling tertarik dengan bab 8 yang diberi tajuk Darah Melayu. Bab ini tersirat sekali maknanya, dan begitu menarik untuk direnungkan kerana mengangkat persoalan bangsa Melayu melalui bentuk yang sangat kreatif – bila mana digambarkan manusia seluruh dunia diserang dengan wabak berbahaya, wabak ABCD (Accute Blood Cells Decay, atau Pereputan Sell Darah Parah), tetapi satu-satunya bangsa yang tidak diserang ialah bangsa Melayu – tidak kira sama ada Melayu di Malaysia, Melayu di Indonesia, Melayu di Madagaskar, Melayu di Kampuchea atau Melayu di mana-mana sahaja – dan hal ini berlaku kerana darah Melayu yang mengalir dalam tubuh. Pelbagai cara dilakukan oleh masyarakat dan pakar-pakar perubatan seluruh dunia bagi mencari penawar kepada ABCD – termasuk dengan menyuntikkan darah Melayu kepada bangsa-bangsa lain sehinggakan nilai harga darah Melayu melonjak naik menjadi begitu mahal. Lalu orang-orang Melayu yang menjualnya menjadi kaya serta merta. Tetapi setelah kajian yang lebih rinci dilakukan, ternyata suntikan itu tidak berjaya mengekang ABCD daripada menyerang bangsa-bangsa lain – lalu harga darah Melayu pun menjunam jatuh. Kajian terus lagi dilakukan, sehingga akhirnya, bab ini diakhiri dengan pengakhiran terbuka – yakni persoalan mengapa darah orang Melayu kebal terhadap ABCD tidak berjawab – tetapi begitu menginsafkan apabila ditimbulkan sama ada orang-orang Melayu benar-benar memanfaatkan darahnya sepenuhnya atau menjual bangsanya.

Biarpun kebanyakan bab dalam novel ini ditulis dalam bentuk yang tidak ortodoks, tetapi terdapat juga satu bab yang saya kira agak konvensional sifatnya, sehingga menjadi agak membosankan, iaitu bab Dering Merdeka. Ketika membaca bab ini, terasa seperti membaca cerpen-cerpen ‘sepesen’ dalam sebuah akhbar arus perdana yang dikatakan begitu tersohor itu. Tetapi selain daripada satu bab ini, bab-bab lain benar-benar memberikan pengalaman estetika dan intelektual yang metah memuaskan.

Bacalah novel ini bagi siapa-siapa yang mahukan sesuatu yang segar serta pengalaman baharu dalam pembacaan novel.

5 comments:

Wanabubakar said...

tk atas sorotan yang memberangsangkan ini. Izinkan saya COPY & PASTE tulisan ini ke blog saya irwan.esasterawan.net. BTW untuk bab "Dering Merdeka", cuba dapatkan maknanya yang kedua. Klu: kenapakah lelaki yang makan semeja dengan Alim, remaja di surau hotel, dan ibu Alim menggunakan ungkapan yang sama?

Aidil Khalid said...

Dr Irwan,

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini dan meninggalkan jejak pula. Saya sangat menghargainya. Ya, silakan 'copy + paste'. =)

Mengenai bab Dering Merdeka itu pula, yang saya maksudkan bukanlah makna keduanya. Bab ini tentunya boleh ditafsir pelbagai oleh pembaca, kerana menggunakan teknik realisme magis. Tetapi yang saya maksudkan adalah kesan perasaannya kepada pembaca seperti saya -- kerana kesan yang dirasai adalah sama sahaja seperti kesan perasaan ketika membaca kebanyakan cerpen-cerpen yang disiarkan di sebuah media arus perdana mingguan.

dr.irwan said...

ok, tk atas respons sdr. BTW kenapa tak hantar tulisan ini untuk Sayembara Menulis Resensi CBDM17? (http://www.rumah.ws/ese)

dr.irwan said...
This comment has been removed by the author.
maicher said...

luosha32
miaozhen47
zhonggu64
xingchang68
kuman37

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP