Tuesday, March 24, 2009

Halatuju UMNO

Barusan tadi saya dihubungi oleh Astro Awani. Katanya hendak menemuramah mengenai halatuju UMNO. Saya dalam kelas ketika itu, jadi saya katakan bahawa saya tak dapat bercakap dan memintanya menghubungi kembali selepas kelas.

Agak pelik juga, kenapa saya yang hendak ditanya. Tapi apabila dijelaskan, rupa-rupanya mereka mahukan pandangan golongan muda dalam isu ini. Okeylah, kerana saya masih muda dan belia lagi, makanya saya pun bersetuju.

Sehabis kelas, seperti yang dijanjikan, saya dihubungi sekali lagi. Rupa-rupanya temuramah menerusi telefon sahaja. Pihak Astro Awani menyampaikan soalan, dan saya menjawab. Soalannya mengenai mengapa suara golongan muda tidak begitu diberi ruang, kenapa pemimpin-pemimpin muda yang berkaliber dalam UMNO tidak menyerlah, bagaimanakah agenda perubahan yang sepatutnya UMNO lakukan, dan sebagainya dan sebagainya.

Antara jawapan yang saya berikan pula adalah seperti berikut:

1) Adalah tidak benar untuk menyatakan bahawa suara golongan muda tidak diberi ruang. Suara mereka diberi ruang yang seluas-luasnya -- asalkan sahaja, suara mereka itu memenuhi kepentingan parti pemerintah. Kalau tidak memenuhi kepentingan, barulah akan disekat. Hal ini jelas dapat dilihat dari apa yang berlaku tahun lalu, apabila para pelajar UiTM berarak berdemonstrasi membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Selangor dalam isu pembukaan UiTM kepada golongan bukan Melayu. (Bayangkan apa yang akan dilakukan kalau demonstrasi itu adalah menentang kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin parti UMNO, misalnya, adakah mereka akan diberi ruang yang sedemikian juga? Jawapannya kita semua pun tahu.)

2) Untuk golongan-golongan muda yang berkaliber menyerlah dalam UMNO, mereka terlebih dahulu perlu diberi ruang untuk menjadi pemimpin. Kita lihat, pemilihan Majlis Tertinggi UMNO kali ini, penuh dengan unsur-unsur korupsi. Mungkin, kerana itulah golongan yang berwibawa (dan berakhlak) tidak dapat menyerlah.

3) Untuk agenda perubahan yang sepatutnya, UMNO perlu kembali kepada dasar perjuangannya yang memperjuangkan Islam dan Melayu -- dan mereka harus dilihat melakukannya. Harus dibezakan antara UMNO sebagai parti komponen dalam parti pemerintah, dengan UMNO sebagai wadah kepada menyuarakan suara orang Melayu. Yang harus ditekankan adalah UMNO sebagai wadah kepada suara orang-orang Melayu itu. Kita lihat, misalnya dalam isu PPSMI, UMNO tidak bersuara dalam menyuarakan suara rakyat. (Yang kita lihat turun padang dalam perhimpunan membantah PPSMI adalah NGO, dan parti-parti pembangkang, serta individu-individu yang prihatin, sedangkan UMNO tidak kelihatan.)

Yang dalam kurungan itu adalah tambahan saya kemudiannya, kerana saya tidak terfikir untuk menyatakannya ketika dalam temubual tadi.

Ada beberapa soalan lain lagi yang diajukan kepada saya, tetapi saya kira yang tiga di atas itulah antara isi pokoknya.

Di akhir perbualan telefon, pihak Astro Awani memberitahu bahawa perbualan itu tadi direkodkan, dan mereka akan mengeditnya sebelum disiarkan pada besok malam, jam 10 pm. Saya tak ingat program apa, tapi katanya program baharu dalam Astro Awani. Jom, sama-sama kita menonton!


TERKINI: Pihak Astro Awani telah menghubungi memberitahu bahawa program tersebut ditunda kepada satu tarikh yang belum ditentukan bagi memberi laluan kepada pengumuman keputusan pemilihan UMNO.

2 comments:

biruNiLA said...

Aidil,

wahhh... kaksu tak sabar nak dengar suara aidil dalam rancangan tu, dan berharap apa yang dijawab Aidil tidak diedit :) dan ingin sekali dengar komentar pengacara & tetamunya...

akhir-akhir ni sudut padangan awani tidak menyengat sebagaimana ulasan PRU yang lalu dan pilihan raya kecil yang terbaharu. Harap-harap lintas lansung 3 pilihan raya kecil akan datang dilaporkan dengan telus :)

- kaksu -

Aidil Khalid said...

Kaksu,

Harap-harapnya begitulah. =)
Lebih-lebih lagi Pak Lah dah bagi ingatan, bahawa rakyat sekarang sudah tak boleh terima cara lama yang mengekang dan menyekat meklumat daripada sampai kepada mereka.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP