Sunday, March 08, 2009

Mimpi 7 Mac

Sedari awal, memang sebaik mendengar bahawa Gerakan Mansuhkan PPSMI – atau singkatannya dipanggil GMP – mengumumkan bahawa mereka sedang memohon permit untuk mengadakan perhimpunan raksasa 100000 rakyat berarak dari Masjid Negara menyampaikan memorandum ke Istana Negara, kamu sudah pasang niat awal-awal untuk ikut hadir. Ini bukan sekadar soal bahasa semata-mata, kata kamu, sebaliknya lebih dari itu lagi, malah menjangkau ke soal survival bangsa Melayu seluruhnya di masa hadapan. Kerana dalam bahasa terkandung pemikiran bangsa, kerana dalam bahasa terkandung budaya bangsa, kerana dalam bahasa terkandung tamadun bangsa, kerana dalam bahasa malah terkandung juga roh bangsa. Justeru mematikan bahasa Melayu daripada menjadi pengantar dalam kedua-dua subjek Matematik dan Sains adalah sama seperti membunuh hayat kedua-dua bidang keilmuan itu dalam tubuh badan anak-anak Melayu supaya menjadi bengap bodoh selama-lamanya.

Kamu mengatakan kepada seorang rakan, M namanya, kalau permit diluluskan, maka jom, kita pergi bersama! Bersemangat sekali kamu mengajak. Dia bersetuju. Dia juga turut bersemangat. (Oh, ajakan kamu kepada beberapa rakan penulis muda seangkatan yang lain agak menghampakan: Ada yang menolak secara terus mengatakan memang tidak berminat hadir, ada juga yang menolak secara lembut dengan mengatakan, “Aku tak pasti pergi atau tidak.”)

Hari datang dan pergi, tarikh 7 Mac semakin hampir, tetapi nampaknya permit masih juga belum diluluskan. Malah pihak polis mengeluarkan kenyataan amaran pula agar tidak menyertai himpunan tersebut. Justeru, kamu pun mematikan langsung niat awal untuk ikut serta itu. Okey, kamu tak jadi hendak ikut, sebab tak ada permit. Kamu kan budak baik.

Kalau ada yang menuduh kamu takut, maka akan kamu katakan begini: Mungkin, ya, mungkin benar juga ada rasa takut. Tapi itu hanyalah kerana kamu memikir – agak sedikit – ke hadapan. Sebagai mahasiswa, menghadiri perhimpunan tanpa permit (perhimpunan haram, katakan) akan menjadikan kamu terbuka kepada tindakan disiplin daripada pihak universiti, dan perkara terburuk yang boleh berlaku pula ialah, mungkin sahaja diberhentikan pengajian. Alangkah, alangkah rugi, sedangkan kamu sudah di semester akhir. Lebih-lebih lagi memikirkan bahawa seseorang yang ingin berjuang memertabatkan bangsanya tentu sekali akan lebih bermakna suaranya andai berbicara dengan ditunjangi kelayakan akademik.

Makanya, 7 Mac pun tibalah. Paginya, sebaik jaga dari tidur, memang pun tidak ada langsung niat kamu untuk ikut serta dalam perhimpunan itu yang bakal diadakan petang nanti. Usai solat subuh, seperti biasa, kamu beri kucing makan, kemudian duduk di meja kerja sambung menulis novel (yang ternyata masih juga tidak siap-siap setelah sekian lama kamu kerjakan!). Bila penat, kamu buat kopi, kemudian sambung lagi menulis, penat lagi, kamu mandi, kemudian sambung lagi menulis dan begitu seterusnya. Kamu cuma tersedar bahawa ternyata pihak polis telah mengeluarkan kenyataan meluluskan permit apabila terbaca sebuah blog yang menempelkan video youtube rakaman berita berkenaan lampu hijau yang diberikan oleh pihak polis tersebut.

Permit hanya diberikan untuk berhimpun di dalam Masjid Negara sahaja. Tidak dibenarkan sama sekali berarak keluar. Dan hanya tujuh pemimpin GMP yang dibenarkan menyampaikan memorandum tersebut ke Istana Negara, dan ini termasuk, tentunya, Sasterawan Negara Pak Samad Said. Justeru permitnya jelas sekali terhad. Kamu sudah faham segala syarat-syaratnya.

Okey, kamu kata dalam hati, bercongak campur tolak, waktu itu sudah jam 12 lebih tengah hari. Kerja-kerja penulisan novel kamu sedang rancak. Sedangkan perhimpunan bermula jam 2 petang nanti. Sempatkah dari rumah hendak ke Masjid Negara? Kalau naik kereta, kamu membayangkan macet teruk yang tentu sekali menghambat. Tapi kamu juga tahu bahawa itu tidak harus dijadikan alasan, kerana kalau ada seratus orang yang sama keadaannya seperti itu juga, maka kalau kamu mengalah, bererti perhimpunan akan kekurangan 100 orang daripada mencapai sasaran 100000nya. Setiap satu orang adalah penting dalam mencukupkan jumlah sokongan – lebih-lebih lagi dalam menghadapi media yang sering kali memperkecil-kecilkan usaha sebegini – 100000 akan dilaporkan 10000 sahaja, 10000 akan dilaporkan 1000 sahaja, dan 1000 akan dilaporkan 100 sahaja.

Tapi kalau naik komuter, fikir kamu lagi, mungkin akan sempat dengan sedikit terlewat. Lantas kamu pun, meninggalkan tulisan novel yang belum selesai, segera menyarung baju putih (warna rasmi perhimpunan), capai kunci, kemudian beredar pergi. Tanpa sempat untuk menelefon rakan kamu Si M bagi memberitahu bahawa permit sudah diluluskan, lantas kamu pergi berseorangan sahaja. Perlu segera, takut tak sempat, kata kamu dalam hati.

Pukul 2 kamu masih dalam komuter. Pukul 2.15 baru tiba di Stesen Kereta Api KL. Sebaik pintu komuter dibuka, terdengar suara bergemuruh orang ramai yang berhimpun di Masjid Negara di seberang jalan sana, yang sudah mulai perlahan-lahan berarak mega, jalan ke arah Istana Negara – secara aman tentunya. Gelombang putih jelas kelihatan. Aman, damai, putih, bersih, oh, alangkah, alangkah, membersihkan dasar pendidikan negara yang tercemar oleh PPSMI. Tapi memang kamu sudah pasang niat, tidak mahu ikut berarak. Kamu akan duduk tetap diam-diam di Masjid Negara, menunjuk sokongan dari situ sahaja, kerana tidak mahu melanggar permit polis. Dengan cara itu kamu tidak akan boleh diambil tindakan disiplin kalau wajah kamu terpampang di mana-mana media nantinya (manalah tahu, kalau-kalau ada kamera tersasar mengambil gambar kamu). Sekurang-kurangnya kamu ada hujah kukuh konkrit. Ada bukti teguh kuat.

Sampai di Masjid, kamu ketemu Sasterawan Ustaz Azizi Hj Abdullah. Kamu menegurnya, memperkenalkan diri, berbasa-basi bertanya tidak ikut berarakkah? Jawabnya sambil memegang dada, sudah tidak larat, dengan suara sedikit serak. Oh ya, sempat bergambar lagi kamu dengan dia! Tapi seperti biasa, setiap kali bertemu pengarang-pengarang besar, diri kamu akan terasa alangkah kerdil, lalu mulut terasa berat membuka bicara. Malu-malu kucing, gitu. Ah! Ustaz Azizi mentertawakan apabila kamu menceritakan perihal ketakutan kamu.

“Kalau takut,” kata Ustaz Azizi kurang lebih, “memang tak jadilah. Perhimpunan macam gini mana boleh harapkan permit….”

Perkara yang mengejutkan terjadi, apabila pihak polis, ternyata walaupun telah memberikan permit untuk berhimpun dalam Masjid Negara, masih tetap menyemburkan meriam air dan menembak gas pemedih mata ke dalam kawasan masjid. Diulang sekali lagi: ke dalam kawasan masjid. Kamu terkejut, tetapi bernasib baik, sempat lari naik ke atas berlindung ke dalam ruang solat yang ditutup pintunya kemudiannya. Alangkah tidak bertanggung-jawab tindakan polis yang ini! Sungguh! Kamu menyeranah menyumpah dalam hati. Dan lebih biadab lagi apabila kamu mendapat tahu, bahawa Sasterawan Negara Pak Samad Said yang sudah 76 tahun usianya itu adalah salah seorang daripada mangsa serangan gas pemedih ini – bukan sekali, bukan dua kali, tetapi tiga kali!

Selain itu, kamu juga sebetulnya ada agak sedikit terganggu dengan perjalanan perhimpunan secara keseluruhan. Perhimpunan ini, fikir kamu, bukan perhimpunan politik, justeru tidak seharusnya dilaungkan slogan-slogan berbaur politik. Perhimpunan ini perhimpunan bahasa, perhimpunan bangsa, perhimpunan sayang dan kasih akan jiwa bangsa. Kerana itu kamu sedikit terkilan apabila mendengar para demonstrator ada yang melaungkan, “Tumbang BN, mati BN,” juga slogan-slogan yang sama waktu dengannya. Alangkah jelek! Nampak benar niat menyertai perhimpunan tidak jelas, tidak ikhlas, serta herot-berot. Sedangkan pihak penganjur sudah sedari awal memaklumkan, jangan ada sebarang lambang kepartian. Jelas sekali, laungan yang ada unsur-unsur kepartian juga tidak harus ada.

Harus diingat, PPSMI bukan sahaja ditentang oleh para penyokong pakatan rakyat, tetapi juga oleh sebahagian penyokong parti pemerintah. Khairy Jamaludin misalnya, konsisten menentang dasar ini. Begitu juga dengan Dr Khir Toyo. Malah Rais Yatim pun sama. Apabila disempitkan perhimpunan itu semata-mata untuk menentang BN, makanya kesatuan vokal dalam menentang apa yang sepatutnya ditentang (yakni dasar PPSMI itu sendiri, dan bukannya BN) akan menjadi lemah – kerana memberikan gambaran seolah-olah hanya pembangkang sahajalah yang boleh menyokong perhimpunan ini, penyokong kerajaan tidak boleh, sekalipun sebenarnya mereka pun tidak bersetuju juga dengan PPSMI.

Kamu sungguh-sungguh marah dengan mereka yang tidak ikut kata penganjur itu.

Tetapi kemudian kamu terjaga daripada tidur. Oh, rupa-rupanya kamu hanya bermimpi!

Entah bila kamu tertidur di atas sofa itu pun, kamu tidak sedar. Dan menghala ke televisyen pula. Siarannya menyala menayangkan Buletin Utama TV3. Dan Pak Lah sedang bercakap: “Saya harap keputusan ini akan dibuat segera. Kalau tidak nanti tekanan-tekanan dan tindakan-tindakan NGO akan berterusan dan akan menjadi isu yang lebih besar….”

Kamu kedip-kedip mata, masih dalam mamai, mimpi jenis apakah ini? Kamu tutup televisyen. Kemudian segera buka komputer riba, lalu mulai mencari-cari gambar-gambar PPSMI. Dan, ya, ketemu, banyak sekali dari blog-blog! Persis dalam mimpi kamu itu gambar-gambarnya. Persis sekali. Terlalu persis. Terlalu hidup.


*Gambar hiasan dipetik dari pahangdaily.blogspot.com.

1 comment:

Aldric said...

You were there? :-? It's sad when platforms to fight for an issue is hijacked and manipulated to fit the agenda of each half of the landscape.

Could this be Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah? Mentang-mentang Kamus Peribahasa Melayu-Inggeris baru dibeli. ;-)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP