Wednesday, April 29, 2009

Agama Anak Mereka

1. Dari satu sisi memang bengong, tetapi dari sisi yang lain pula, ternyata bijak malahan patut mendapat pujian. Rasanya begitulah kesimpulan yang boleh dibuat daripada keputusan kabinet yang dengan ‘macho’ dan ‘beraninya’ membuat ‘keputusan’ bahawa agama anak bagi pasangan yang menukar agama hendaklah kekal mengikut agama asal pasangan ketika berkahwin.

2. Sisi yang bengong ialah kerana pihak kabinet yang ‘macho’ dan ‘berani’ itu, ternyata sebenarnya hanya memperlihatkan kedangkalan fikiran kerana tidak memahami konsep pemisahan kuasa yang menjadi asas sistem demokrasi. Seingat saya, seawal tingkatan lima lagi setiap pelajar sekolah menengah sudah didedahkan akan hal ini dalam subjek sejarah. Justeru seseorang itu tidak perlu menjadi pakar perundangan untuk memahami bahawa negara kita mempunyai tiga badan yang berkuasa secara paralel, yakni: eksekutif, legislatif, dan kehakiman. Dan setiap satu badan ini adalah sama tarafnya serta tidak ada yang lebih berkuasa daripada yang lain. Setiap satunya juga adalah mempunyai bidang kuasa masing-masing, serta tidak boleh saling mencampuri.

3. Kabinet adalah termasuk dalam badan eksekutif. Ini bermaksud tugasnya hanyalah untuk menjalankan dan menentukan polisi-polisi sahaja. Kabinet tidak berhak untuk memutuskan undang-undang, apatah lagi memperkenalkan undang-undang baharu, kerana kuasa tersebut adalah kuasa badan legislatif, yakni parlimen. Kerana itulah saya katakan adalah kelihatan bengong apabila kabinet dengan begitu ‘macho’ dan ‘berani’ serta tanpa sedikit pun silu mengisytiharkan, “kami telah memutuskan begini dan begini,” walhal mereka tidak ada kuasa pun untuk berbuat begitu.

4. Sisi yang bijak dan patut mendapat pujian pula ialah penyelesaian yang cuba ditawarkan oleh kabinet. Yakni penyelesaian dalam masalah yang dihadapi apabila sesuatu pasangan itu menukar agama – mengenai status bidang kuasa mahkamah syariah vs mahkamah sivil; mengenai status perkahwinan, hak jagaan anak, agama anak dan lain-lain.

5. Okey, apabila menyentuh masalah ini, memang ia agak sensitif jadinya, terutamanya kepada orang-orang Islam. Malah khabarnya satu perhimpunan membantah 'keputusan' kabinet hendak diadakan pada 1 May ini di Masjid Kampung Baru. Tapi saya minta, harapnya janganlah melatah. Atau kalau hendak melatah juga, sekurang-kurangnya bacalah dahulu entri saya yang ini yang saya tulis beberapa waktu dahulu mengenai isu yang kurang lebih sama. Kita harus memahami isu sebenar, yakni konflik percanggahan bidang kuasa mahkamah yang telah memangsakan pihak-pihak yang terlibat, selamilah jiwa-jiwa mereka ini (klik sini untuk baca).

6. Walaupun kabinet tidak mempunyai kuasa sebenarnya, malah apabila mereka mengisytiharkan, “kami telah memutuskan begini dan begini” -- kabinet sebenarnya telah melanggar kuasa yang diperuntukkan kepada mereka oleh Perlembagaan Persekutuan, tetapi sekurang-kurangnya 'keputusan' mereka itu telah membuka mata pihak-pihak yang terlibat. Bahawa kita sangat-sangat memerlukan pemindaan dan penggubalan undang-undang baharu bagi menyelesaikan masalah yang sudah berulang-ulang kali berlaku, tetapi seolah-olah sengaja hendak disembunyikan oleh pihak-pihak berkuasa kononnya tidak ada apa-apa yang berlaku.

7. Dan setiap kali masalah ini berulang, setiap kali itu jugalah akan ada pihak-pihak yang menjadi mangsa.

8. Shubashini, Shamala, dan yang terbaharu, Indara Ghandi – semua mereka (serta anak-anak mereka) adalah mangsa-mangsa keadaan yang terpaksa merana dan terseksa kerana kecakduhan pihak-pihak legislatif. Harap-harapnya ‘keputusan’ pihak kabinet ini dapat membuka mata pihak legislatif untuk melakukan apa-apa pindaan yang patut terhadap akta-akta yang berkenaan.

9. Memang, saya akui, Shubashini, Shamala, dan Indara Ghandi bukan beragama Islam, tetapi itu tidak bermaksud mereka boleh kita tindas dan zalimi sesuka hati. Mereka tetap harus dilindungi, kerana Islam itu agama yang adil, bukan agama penindas. Bukankah Nga Kor Ming ada membacakan ayat Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan...." (16:90)

4 comments:

Syukri Sapuan said...

salam ziarah.

saya tidak mahu komen ttg entri ini.

sbnrnya, siang tadi saya ternmpk puisi saudara yg disiarkan dalam utusan malaysia.


politikus-keliru- rakyat.


sinis. hadir tepat pada masanya.

=)

rahim ali said...

kabinet buat polisi bukan undang-undang. keputusan yg dibuat akan dirujuk kpd peguam negara. keputusan yg dibuat oleh kabinet hanyalah akademik bukan undang-undang. keputusan yg dibuat hanyalah sebagai pencetus supaya dapat dibentangkan di parlimen. jika parlimen menolaknya, keputusan kabinet tidak lebih drpda akademik semata-mata.

rahim ali said...

kabinet buat polisi bukan undang-undang. keputusan yg dibuat akan dirujuk kpd peguam negara. keputusan yg dibuat oleh kabinet hanyalah akademik bukan undang-undang. keputusan yg dibuat hanyalah sebagai pencetus supaya dapat dibentangkan di parlimen. jika parlimen menolaknya, keputusan kabinet tidak lebih drpda akademik semata-mata.

Aidil Khalid said...

Rahim,

Ya, tepat sekali seperti apa yang dikatakan itu!

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP