Thursday, April 16, 2009

Menolak Gagasan Seni Untuk Seni

Petikan laporan Berita Harian:

Pada Sesi Forum Dengan Editor Sastera Media Massa, Editor Sastera Berita Harian, Salbiah Ani, ketika ‘diserang’ oleh peserta seminar, sasterawan berjenama lari ke akhbar milik pembangkang dan karya ‘bukan’ penyair mendapat tempat, mempertahankan pemilihan karya akhbar terbabit....

“Antara cerpen yang boleh dijadikan contoh untuk menembusi Kreatif ialah 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan dan 10 Budak Hitam karya Dr Fatimah Busu dan ini tidak bermakna semua karya pengarang ini diterima kerana sememangnya ada karyanya yang ditolak Editor Sastera Berita Harian,” jelasnya.

Beliau turut mengemukakan cerpen Zaharah Nawawi, Hujan Itu Merah berasaskan peristiwa politik di Pakistan; The Dodger Dipper, Perempuan Penyanggah Fatwa dan Perempuan Muslimah dan Romansia (Aidil Khalid) sebagai contoh.

(Baca laporan penuh Berita Harian, 16 April 2009, klik sini)

1. Saya akui tidak ikut hadir dalam Seminar Kepengarangan Muslimah Nusantara, jadi saya hanya dapat menilai berdasarkan laporan yang ditulis di akhbar sahaja.

2. Berdasarkan laporan yang disiarkan oleh Berita Harian hari ini, salah satu sesi dalam seminar tersebut – yakni sesi forum dengan editor sastera media massa – kononnya panas dengan serangan daripada para penyair yang mengajukan soalan bertubi-tubi kepada para editor yang menjadi ahli panel.

3. Saya tidak mahu mengulas berkaitan program tersebut. Seperti yang telah saya nyatakan, saya tidak hadir. Sebaliknya saya hanya mahu mengulas tentang intipati serangan ketidak-puasan hati yang dilaporkan dalam artikel tersebut.

4. Serangan-serangan yang dilaporkan adalah berikutan para penyair tidak berpuas hati kerana karya-karya yang diberi ruang dalam halaman Kreatif, Berita Harian kononnya adalah bukan karya-karya yang datangnya daripada golongan penyair totok.

5. Walaupun tidak dinyatakan dalam laporan tersebut; saya membayangkan apa yang dimaksudkan oleh kenyataan di atas adalah bahawa karya-karya yang disiarkan oleh Berita Harian kebanyakannya ditulis oleh orang-orang awam sahaja. Dan hal ini tidak wajar(kah?).

6. Saya jadi tertanya: Karya orang-orang awam, orang-orang biasa, orang-orang kebanyakan, tidak layakkah disiarkan di akhbar arus perdana? Hanya karya-karya elitis sasterakah, karya-karya penyair terkemukakah, karya-karya pengarang yang menang sayembara sahajakah yang layak disiarkan di akhbar arus perdana?

7. Turut dilaporkan bahawa disebabkan oleh polisi terbuka halaman sastera akhbar Berita Harian tersebut, makanya ramai pengarang-pengarang berjenama melarikan diri ke akhbar pembangkang.

8. Saya tidak pasti sejauh manakah kebenaran tuduhan di atas. Cuma saya sungguh kurang senang dengan nada tuduhan tersebut. Bahawa kononnya hanya karya ‘penyair’ (baca: pengarang yang sudah ada nama) sahaja yang layak disiarkan. Yang bukan ‘penyair’, yang baru-baru mahu mencuba, yang baru-baru mahu mengasah bakat, tidak wajar diberi tempat.

9. Hal ini menjurus kepada hal yang lebih serius lagi. Tentang persoalan seni untuk senikah atau seni untuk masyarakatkah.

10. Mungkin karya-karya yang dutulis oleh yang bukan penyair adalah kurang mutu seninya. Barangkali. Diulang: barangkali. Tetapi ini tidak bermaksud karya itu kurang nilai isinya.

11. Dalam laporan Berita Harian itu, turut dinyatakan bahawa Salbiah Ani, editor Sastera Berita Harian, mempertahankan pendirian pemilihan karya dalam ruangan Kreatif akhbar tersebut. Dinyatakan kriteria yang menjadi pilihan adalah karya yang “mampu diselami dan difahami pembaca” serta mempunyai “ketrampilan dari segi mesej dan isu yang diketengahkan disertai dengan teknik penulisan yang mampu difahami pembaca pelbagai bidang.”

12. Saya bersetuju dengan Salbiah Ani. Tidak ada guna kita menulis karya yang indah-indah, yang terlalu tinggi mutu seninya (kononnya) tetapi hanya mampu difahami dan dinikmati oleh segelintir khalayak sahaja. Karya sastera bukan hanya untuk dibaca oleh para sasterawan. Karya sastera seharusnya boleh dibaca oleh segenap lapisan masyarakat. Justeru sasterawan, penyair, penulis, pengarang, harus belajar untuk kembali kepada konsep asas, bahawa sesebuah karya itu (baca: seni) adalah untuk kepentingan dan faedah masyarakat seluruhnya, dan bukan hanya untuk kepentingan dan faedah mutu seni semata-mata. Jangan kita lupa bahawa konsep seni untuk seni sudah lama terkubur – dikubur oleh kepincangan gagasan itu sendiri.

13. Dan ini sekaligus menguatkan pendapat bahawa garis pemisah antara karya pop (karya yang kononnya tidak berseni) dengan karya serius (karya yang dikatakan penuh seni) harus – dan tidak boleh tidak – segera dihapuskan.

14. Cukuplah kita menilai sesebuah karya itu berdasarkan aspek kualitinya semata-mata – bukan berdasarkan penilaian-penilaian lain seperti siapakah pengarangnya (penyair berjenamakah atau tidak), atau aliran manakah karya itu (pop atau serius). Saranan ini kedengaran utopia memang, tetapi tidak ada salahnya kita berusaha ke arah itu.


*Nota: Terdapat keralatan dalam laporan tersebut. Cerpen Perempuan Muslimah bukan karya saya.

2 comments:

Hafizul said...

Maaf kerana mungkin agak lambat saya membalas entri ini. Saya ada membaca laporan akhbar 'tu cuma kurang faham dengan jelas kurang memahami beberapa perkara dan konsep yang digunakan. Namun, apa yang saya nampak ada segelintir manusia tidak senang dengan konsep keterbukaan yang diamalkan oleh bahagian Kreatf dalam Berita Harian untuk memasyarakatkan sastera kepada pembaca. Kita sedar masyarakat Malaysia kurang meminati dunia kesusasteraan. Jadi, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh golongan aktivis sastera ini untuk menarik minat kembali masyarakat Malaysia ini. Justeru, usaha yang dilakukan oleh pihak akhbar ini tersangatlah bagus untuk memberi peluang kepada peminat-peminat hijau sastera meneganli sastera dengan lebih dekat lagi.

Aidil Khalid said...

Hafizul,

Ya, sastera seharusnya dimasyarakatkan, bukannya semakin dielitkan.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP