Monday, May 25, 2009

Bandung

Saya baru pulang dari Bandung, Jawa Barat, semalam. Oleh kerana merasa sedikit malas untuk menuliskan travelog secara panjang lebar, cukuplah kiranya sekadar menurunkan beberapa gambar ketika di sana (dengan sedikit komentar, barangkali). Biarkan foto-foto ini sahaja yang berbicara dengan selebar-lebarnya. Selebihnya insyaAllah akan saya gaulkan dalam bentuk karya nanti-nanti -- tak kira sama ada sajak, cerpen atau novel. (Boleh klik pada gambar bagi membesarkan saiz imej).

Sebaik sahaja keluar dari Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Jakarta, kami disapa oleh macet teruk yang sangat-sangat menghambat perjalanan. Dan di sepanjang kesesakan itu, tak putus-putus adanya penjaja-penjaja jalanan yang menawarkan bermacam-macam benda - daripada botol air mineral kepada peta dan atlas - kepada setiap kereta yang melewati.


Dari Jakarta langsung ke Bandung. Berhenti rehat di tengahnya, untuk mengisi perut.

Dalam Angkutan Kota, kami menaikinya menelusuri Jalan Dago, Bandung.

Hari kedua, kami berjalan agak jauh, kira-kira satu jam dengan mobil, menaiki Lembang. Dari puncaknya, dapat melihat Gunung Tangkuban Prahu, yakni gunung yang kononnya, menurut legenda Sangkuriang, tercipta daripada sebuah perahu yang jatuh terlungkup setelah disepak oleh Sangkuriang kerana berang apabila cinta berahinya terhadap ibunya sendiri, Dayang Sumbi, ditolak. Saya secara peribadi kagum sekali dengan legenda ini -- bukan kerana aspek teknik penceritaan atau apa -- tetapi kerana ketepatannya dalam merakamkan kejadian serta fenomena alam. Bayangkah sahaja, melalui dongeng ini para ahli kaji geologi telah dapat membuat titik pertemuan antara usia Gunung Tangkuban Prahu (yang lahir dari letusan Gunung Sunda), dengan penempatan terawal manusia di Jawa. Oleh kerana kisah dalam dongeng Sangkuriang menepati ciri-ciri bagaimana terciptanya Gunung Tangkuban Prahu serta danau-danau di sekitarnya, maka dipercayai sudah ada manusia yang menempati dataran Tinggi Bandung serta menyaksikan kejadian letusan yang melahirkan gunung serta danau-danau baru itu. Ini sekaligus, saya kira, menunjukkan betapa peranan sastera itu penting dalam merakamkan dengan setepat-tepatnya juga sedekat-dekatnya, kerana akan menjadi bahan rujukan nantinya. (Konsep karya sastera sebagai cermin masyarakat).

Di bawah itu adalah kawahnya.

Gerai-gerai menjual barangan kenang-kenangan ketika di puncak.

Kelompok yang di tengah, dari kiri: Mufasa, Ezanie, Abi (yang mengangkat tangan), Ezaida.

Siluet.

Batang yang bercorak-corak pelbagai ini adalah batang pohon batikukun. Corak-corak itu bukan lukisan, sebaliknya memang asli begitu. Setiap pokok mempunyai motif yang berlainan (saya membayangkan seperti cap jari manusia yang berlainan antara sesama). Menurut jurupandu wisata kami, pokok batikukun ini cuma terdapat di kawasan Pergunungan Sunda, yakni, "kawasan pergunungan yang keramat," katanya. Entah apa keramatnya, saya tidak pula tahu.



Kawasan kawah gunung berapi


Hari ketiga, kami berjalan lebih jauh lagi, kira-kira tiga jam dari Bandung, menuju ke Bogor, untuk ke Taman Safari Indonesia.

Dalam perjalanan, berhenti di Puncak, Bogor, untuk melihat-lihat pemandangan. Foto di atas, Ezanie sedang meneropong ke kejauhan.

Dari kiri: Ezaida, Ezanie, Abi Mursyidin, Aidil Khalid, Mufasa.

Penjaja jalanan menjual resbarry



Masih dalam perjalanan ke Taman Safari Indonesia, Bogor, Ezaida sedang membaca Dua Dunia (memoir penyair veteran Anis Sabirin).

Di Taman Safari Indonesia, haiwan-haiwan bebas berkeliaran. Para pelawat pula memberi makan menerusi tingkap kereta.






Dua ekor harimau sedang pulas tiduran berpeluk-pelukan sesama, tanpa menghiraukan kereta-kereta yang melewati.


Dalam perjalanan pulang ke Bandung, banyak penjual-penjual jagung bakar dan jagung rebus di tepi-tepi jalan.


Setiap malam, aktiviti wajib kami bersama adalah duduk di meja bundar di laman rumah homestay, menghitung kira-kira wang -- berapa banyak yang sudah dihabiskan, ke mana setiap satu sen yang dibelanjakan itu, serta berapa banyak lagi baki yang ada. Kemudian bersama-sama merancang aktiviti esoknya.

Kalau ke Indonesia, tentu sekali tidak sah bagi pencinta sastera, kalau tidak ke toko-toko bukunya. Di sini bagai syurga sastera berbahasa Melayu. Banyak sekali pilihan. Tidak seperti di Malaysia yang mana buku-buku sastera hanya tercongok di sudut-sudut. Justeru hari keempat di Bandung, ketika teman-teman yang lain ke Factory Outlet bagi membeli-belah pakaian-pakaian berjenama yang dijual dengan sangat murah, saya memilih berjalan berseorangan untuk ke Pasar Balubur, dan kemudiannya ke Toko Buku Gramedia di Jalan Dago bagi mecari-cari buku.




Buku dijual secara lambak.

Semua sekali, saya berhabis kira-kira tujuh juta lima ratus ribu rupiah (kira-kira dua ratus lima puluh ringgit), dan mendapat sebanyak 15 buah buku.


Taman di sebelah Institut Teknologi Bandung (ITB). Menurut supir kami, ITB adalah universitas terbaik di Indonesia. "Para graduan tidak perlu mencari kerja, sebaliknya kerja yang mencari graduan," begitu katanya. Saya berkesempatan solat Jumaat di Masjid Salman, ITB. Senang sekali melihat-lihat suasana di sekitar universitas ini. Di taman ini, saya melihat gadis-gadis bertudung labuh duduk berkumpulan dengan santai di atas rumput dalam bulatan sambil berdiskusi (usrah barangkali) dengan diiringi kicau burung yang merdu serta sesekali sayup-sayup alunan pemuzik jalanan di seberang jalan. Cuaca di kawasan pergunungan yang dingin, nyaman sekali.
Pohon-pohon bonsai di salah sebuah rumah para murbawan. (Pemandangan sebegini mengingatkan saya pada Vietnam).


Makan di Pasar Baru, hari terakhir di Bandung.


Bandung dari tingkat teratas Pasar Baru.


Pada hari terakhir di Bandung juga, saya sempat ke galeri seni Ikatan Wanita Pelukis Indonesia Cawangan Jawa Barat di Jalan Tengku Umar, Bandung. Menghabiskan waktu di sana ketika teman-teman yang lain masih ghairah membeli-belah pakaian-pakaian di factory-factory outlet. Tapi sayang sekali kerana ketika itu kamera saya sudah kehabisan bateri, jadi tak dapat mengambil gambar. Sebagai kenangan, saya membeli sebuah buku dari galeri tersebut. Dongeng Di Ambang Malam, oleh Yosi Yonata. Buku ini menghimpunkan kisah-kisah dongeng dan cerita-cerita rakyat yang berlatarkan zaman Jawa silam.

Saya juga sedikit terkilan sebetulnya, kerana tidak berkesempatan untuk melawat Monumen Bandung Lautan Api. Monumen ini adalah bangunan yang sangat penting, yang menunjukkan perit payah para pejuang kemerdekaan Indonesia. Sejarahnya begini: setelah tentera Jepun menyerah kalah dan Belanda ingin kembali memerintah, rakyat Indonesia tidak merestui. Tetapi Belanda dengan tentera sekutunya memberi kata dua -- sama ada menyerahkan Bandung, atau akan diserang habis-habisan. Beberapa pemimpin tempatan kemudiannya bermesyuarat, dan kata putus akhirnya didapat: bahawa mereka tidak punya kekuatan untuk menentang Belanda, justeru tidak dapat tidak, mereka terpaksa mengosongkan Bandung. Tetapi mereka juga tidak mahu merelakannya begitu sahaja. Jadi para rakyat tempatan pun membakar Bandung seluruhnya -- rumah-rumah, kedai-kedai, harta benda seluruhnya -- sebelum kemudiannya baru lari berundur ke kawasan pergunungan Selatan Bandung. Jadi Belanda, walaupun dapat kembali menguasai Bandung, tetapi mendapatnya dalam keadaan yang sudah hangus rentung. Taktik perperangan begini, saya kira, adalah menunjukkan pilihan genting pejuang-pejuang yang terpaksa memilih dalam keadaan tersepit. Bayangkan kalau hal yang sama dilakukan di Perak dalam rampasan kuasa oleh BN misalnya (hahaha, cuma imaginasi nakal yang tak berjejak -- jangan diambil serius!). Sebagai mengganti terkilan kerana tidak dapat melawat Monuman Bandung Lautan Api, saya justeru membeli buku Bumi Hangus karya Sunaryono Basuki KS yang menceritakan peristiwa genting tersebut.

17 comments:

Sayap Janna'im said...

waah..membuka mata betul disana. hehe cemburu pun ada ;)

Aidil Khalid said...

Cik Rashidah,

Saya lebih-lebih lagi cemburu, sebab tak berkesempatan ke Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Melaka. ;)

Tak apa, nanti-nanti, kita buat rombongan MPR pulak melancong ke mana-mana.

Abdullah Ghani said...

hari tuh kata ramai yang nak pegi..

Aidil Khalid said...

Abdullah Ghani,

Ada dua grup yang ke Bandung. Satu grup Nabil, Zex and the geng. Satu lagi grup aku, Abi, dan lain-lain. Pergi waktu berbeza. Grup Nabil balik dari Bandung, baru grup aku pergi.

hani salwah yaakup said...

Cemburu dengan buku-buku itu. Mahu secepatnya terbang ke Bandung!

Aidil Khalid said...

Kak Hani,

Terbanglah sebabasnya. =)

hani salwah yaakup said...

"babas"

takut jadi serbuk kari la pula kalau sebabasnya...hehe

Aidil Khalid said...

Alamak, tersalah eja pulak! hehe.

Hafizul said...

Owh, syng ak xde duit nk ikut ko g Bandung. Xpe, pasni target kita g Medan ngan Padang. Taruh duit utk ujung thn nie. Kita buat MPR07 trip

D'Rimba said...

Indahnya, ada bawa balik cerita laskar Pelangi tidak? Huhuhu.....

Aidil Khalid said...

Hafizul,

Wah, menarik rancangan tu, trip MPR 07. Kau jadi pengarah projeknya. Aku jadi setiausaha agung. Huhu. Erm, tapi kalau serius nak buat, tak boleh lengah-lengah bincang. Sebab kalau nak murah, tiket kena tempah kurang-kurang tiga empat bulan awal.


D'Rimba,

Saya tak beli Laskar Pelangi, sebab sudah ada bukunya yang versi bahasa Melayu. Filemnya pun dah tonton. Tapi saya beli tetraloginya yang keempat, Maryamah Karpov. =)

Syukri Sapuan said...

salam.


mohon off topic sebentar.


terima kasih atas keprihatinan saudara meninggalkan mesej di shoubox saya.


saya masih belum memiliki dewan siswa yang terbaru, maka sebenarnya saya belum menatap sajak saya itu. maklumlah, sekarang musim peperiksaan. berdebar mengitung hari yang mendatang.


saya ini hanya penulis muda yang lemah segala-galanya. terasa kerdil benar andai dibandingkan dengan kalian semua. maka, saya mohon tunjuk ajar daripada kalian.



sekian, sekali lagi ribuan terima kasih saya ucapkan. moga saudara akan terus maju ke hadapan. =)

Aidil Khalid said...

Syukri,

Selamat menjalani peperiksaan, ya. =)

ainunl.muaiyanah said...

Ok, saya katakan saya cemburu. cemburu amat. Kenapalah say aterlupa mahu pesan pada kamu sabda zarathustha atau atheis?

aduhai. benar2 lupa

Aidil Khalid said...

Ainunl,

Cakap pasal Atheis, saya cari juga sebenarnya (walaupun dah baca, tapi nak jadikan koleksi). Tapi tak jumpa buku-buku lama di sana. Sebab tu yang saya beli semuanya buku-buku baru saja (kecuali buku Pram).

Mas said...

eh.. boleh tgk harimau mcm tu je? bestnyerrr.... (cita-cita: nak gomol harimau)

Anonymous said...

salam,dik, 7 juta 500 ribu rupiah tu anggaran nilainya RM2,775.00. Bukannya RM250.00. Jauh tu bezanya..

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP