Thursday, May 14, 2009

Sebuah Cerpen Dan Sebuah Kekaguman Lama

Laaa, saya baru tahu, rupa-rupanya cerpen saya disiarkan dalam URTV bulan lepas (edisi 1 April 2009). Maklumlah, saya bukan biasa sangat beli atau belek-belek majalah hiburan. Jadi memang tak perasan langsung. Saya baru perasan apabila memeriksa katalog DBP yang menghimpunkan senarai karya-karya setiap pengarang secara online di laman ini.

Cerpen tersebut bertajuk Azan Asar Berkumandang. Saya tulis sudah sangat lama, dihantar kepada editor URTV pun sudah lama juga. Tak sangka pula setelah sekian lama mereka masih menyiarkan. Justeru siapa-siapa yang ada terbaca cerpen tersebut, barangkali harus saya tekankan, bahawa pendirian yang saya bawa dalam cerpen tersebut adalah pendirian lama saya. Ketika itu saya masih mengagumi gerakan Al-Arqam / Rufaqa' pimpinan Asyaari Muhammad. Kekaguman saya didasari kepada kemampuan gerakan tersebut dalam menyediakan alternatif kepada masyarakat, terutamanya dalam bidang ekonomi dan paling penting, dalam bidang kesenian yang berteraskan Islam sebagai dasarnya. Kita semua tahu, kumpulan nasyid popular, Raihan, dahulunya adalah daripada kumpulan The Zikr, yakni salah satu kumpulan nasyid Al Arqam. Begitu juga dengan Rabbani dan Hijjaz, dua-duanya adalah pecahan daripada kumpulan Nada Murni, Al Arqam. Justeru tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa Al Arqam / Rufaqa' adalah antara pelopor awal kesenian Islam popular khususnya dalam bidang seni muzik di Malaysia.

Tetapi harus saya tekankan bahawa kekaguman saya kepada gerakan pimpinan Asyaari Muhammad itu sudah saya humbankan jauh-jauh semenjak berita mengenai pertolongan Abuya kepada pengikut-pengikutnya yang boleh menjangkau masuk sampai ke alam kubur -- Abuya boleh bantu jawabkan soalan Mungkar dan Nakir, dakwanya. Hal ini jelas sekali bertentangan dengan hadis nabi yang mengatakan bahawa apabila matinya seseorang anak Adam itu, maka segala-galanya terputus kecuali tiga perkara: amal jariah, ilmu yang bermanfaat, serta anak yang soleh. Tidak ada pun disebut bantuan Abuya.

Tapi apa-apa pun, apa yang sudah ditulis, kekallah begitu. Apa yang sudah tersiar dalam media, juga kekallah ia. Saya kira cerpen ini dapat menjadi sebahagian daripada sejarah diri. Bahawa saya pernah terpesona.


* Biar begitu, terkilan juga sebab tak dapat simpan satu naskhah majalah tersebut sebagai koleksi. Di kedai-kedia tentunya sudah tidak dijual lagi, sebab sudah luput tarikh.

4 comments:

saat omar said...

Asyaari antara usahawan Melayu yangf berjaya...

Aidil Khalid said...

Abg Saat,

Ya, hal itu memang tidak boleh dinafikan. Letaklah orang-orang Rufaqa di ceruk mana pun, pasti nanti akan lahir sebuah komuniti di ceruk itu dengan perniagaan sebagai asasnya.

Ahmad Soffian said...

asyaari muhammad berpontensi menjadi tokoh besar dalam dunia Islam...tidak tahu mengapa boleh jadi begitu "berbeza" fahamannya sehingga jika dibaca akan buku-buku, tulisan dan coretan fahaman pengikutnya ia menjadi begitu songsang (pada pendapat sesetengah orang) ajrannya...
sebagai seorang manusia, kita diberi pilihan jalan mana yang kita ingin ikuti...kalau ikut lojik akal tiada jalan yang pasti benar ke syurga..tapi jika ada hidayah dan Iman, jalan yang benar akan terpampang selurus-lurusnya di depan mata...rahsia Allah terlalu besar untuk kita menafsirkan sehabis-habisnya...
disclaimer:ini pendapat saya seorang sahaja...hehe...

Aidil Khalid said...

Ahmad Soffian,

Ya, terima kasih atas pandangan. Yang penting, kita berusaha mengikut dua petunjuk utama yang telah diwariskan oleh nabi -- hadis dan al quran -- moga-moga kita tak tergelincir dari jalan yang lurus.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP