Monday, June 29, 2009

Awan-Awan yang Terapung

Kalau mengikut rekod pengkaryaan, tulisan pertama saya yang disiarkan di media cetak adalah pada penghujung tahun 2005 – sebuah sajak pendek dalam ruangan puisi majalah Tunas Cipta. Tetapi ketika itu saya sebetulnya masih belum tahu apakah itu sebenarnya yang dikatakan sebagai ‘menulis’, dan lagi pula saya ketika itu hanya main-main dan suka-suka hantar ke majalah (dan dihantar pula dengan penuh tidak beretika), tapi entah bagaimana, boleh terlekat pula sajak tersebut. Setelah terbit, bulan kemudiannya dalam ruangan ulasan sajak, karya tersebut telah dihentam teruk oleh pengulas – metafora yang klise, pilihan diksi yang tidak segar – dan ditambah dengan nasihat pendek agar saya memperbanyak membaca sajak-sajak berkualiti. Alhamdulillah, nasihat tersebut saya cuba ikuti dengan penuh takzim sehinggakan tahun berikutnya saya mulakan proses ‘mengurung diri’ bagi menghabiskan baca 47 buah buku – 27 fiksyen dan 20 non fiksyen.

Justeru kerana itulah saya lebih suka mengaku bahawa perjalanan penulisan saya sebenarnya bermula pada tahun 2006 – tahun ketika mana dua buah cerpen saya disiarkan buat pertama kalinya dalam media cetak arus perdana (Dewan Agama dan Falsafah) – juga tahun di mana saya selesai membaca buku Memupuk Bakat dan Minat Penulisan Kreatif: Teori dan dan Proses oleh Dr Fatimah Busu dan Tips dan Motivasi Penulisan Genre Cerpen oleh Dr Othman Puteh. Waktu itu sekurang-kurangnya saya sudah lebih tahu bagaimana etika yang sepatutnya saat mengirimkan karya. Tahun berikutnya, 2007, juga dua buah cerpen saya disiarkan lagi, kali ini masing-masing dalam Majalah I, dan sisipan Tunas Cipta, Dewan Sastera. Tahun 2008 pula, peningkatannya sangat mendadak dengan sebelas buah karya mendapat tempat dalam pelbagai media – kesan positif menyertai Minggu Penulis Remaja 2007.

Saya masih ingat, ketika awal-awal proses hendak bergelar penulis, sangat sukar sekali hendak saya perolehi ilham untuk berkarya. Ilham datang melalui pelbagai cara – kadang-kadang ketika sedang membaca, kadang-kadang ketika sedang menonton, kadang-kadang ketika sedang dalam bilik termenung, atau kadang-kadang ketika sedang mimpi dalam tidur – tapi sayang sekali walaupun banyak caranya datang, ternyata jarang-jarang sekali ia bertandang. Pernah sekali, misalnya, idea hadir mendadak sebaik saya terbangun daripada tidur petang – idea yang sangat kuat, sehinggakan saya berjaya menyelesaikan draf pertama cerpen dengan sekali duduk sahaja – tetapi kemudiannya berminggu dan berbulan setelah itu, tidak ada lagi idea baharu muncul untuk karya baharu. Justeru kerana sukarnya hendak mendapatkan idea, ketika itu, saya akan merasa tersangat sayang – attached – pada sesebuah karya yang baru saya selesaikan kerana saya tahu, setelah tamat menulis karya yang ini, saya akan perlu menunggu entah berapa zaman lagi sebelum akan ada sebuah lagi karya yang dapat saya hasilkan.

Tapi itu dulu, ketika saya masih di awal-awal peringkat pengkaryaan. Sekarang tidak lagi. Sekarang saya rasakan idea atau ilham datang dengan sangat mudah. Alhamdulillah, ini rahmat Tuhan, saya kira, atau boleh jadi juga sebuah ujian. Segala-gala yang saya lihat boleh membentuk menjadi karya. Segala-gala yang saya baca adalah sumber inspirasi untuk karya. Segala-gala yang terpendam dalam hati – perasaan membuak marah atau gembira metah – boleh diadun dan kemudian dibentuk menjadi sebuah karya. Malah melihat aksi telatah kucing-kucing saya di dapur yang bergurau sesama sendiri pun boleh menjelmakan pencetus awal untuk berkarya. Pada asasnya memanglah ini merupakan sesuatu yang positif, idea ada di mana-mana, mudah menulis.

Tetapi saya menghadapi masalah yang lain pula. Apabila idea atau ilham datang dengan terlalu mudah, proses menulis pula yang menjadi sukar, teramat sukar malahan. Kesukaran pertama tentulah untuk mendapatkan kekuatan untuk merajinkan diri duduk di hadapan komputer selama empat lima jam menyiapkan sesebuah karya. Kesukaran kedua pula adalah – kalau kerajinan itu sudah berjaya dikumpulkan – bagaimana hendak menyusun ayat memberikan struktur yang kemudiannya membentuk menjadi sebuah karya yang sempurna. Ya, saya mengalami kesukaran itu: Saya boleh sahaja sudah ada idea dan ilham yang sangat meruntun untuk diturunkan dalam bentuk tulisan, saya boleh sudah ada rangka yang merincikan setiap detail apa yang harus ditulis, tetapi apabila duduk di hadapan komputer dan mulai hendak mengetikkan ayat demi ayat dan paragraf demi paragraf, saya menghadapi kesukaran dan kebuntuan. Setiap ayat yang saya ketik terasa tidak kena. Setiap paragraf yang terhasil terasa bagaikan mengarut. Sedangkan ilham sudah ada perincian sudah sempurna.

Sasterawan Negara Pak Samad Said dalam bukunya yang menceritakan proses kreatif pengkaryaannya, Dari Salina ke Langit Petang, melabelkan situasi yang seperti saya alami itu sebagai “awan-awan yang terapung.” Beliau menulis:
Setiap bakal penulis – atau kemudiannya penulis – mengalami suasana “awan-awan yang terapung” ini. Terlalu banyak cerita atau tema yang ada, tetapi tidak satu pun dapat berakar untuk berkembang.... “Awan-awan yang terapung” menjadi masalah setiap penulis. Ia satu cabaran yang kreatif, perlu dihadapi dengan kesungguhan juga. Apalagi penciptan itu sendiri – pada banyak peringkatnya adalah penderitaan dalam bentuknya tersendiri.... Tidak semua “awan-awan yang terapung” yang saya alami itu gugur sebagai hujan. Ada yang terus-menerus terapung-apung jauh dan hilang. Tapi ada juga awan yang mengembang, memberat, kemudian jatuh sebagai hujan seni yang menyuburkan bakat kreatif saya. Awan-awan seperti inilah yang selalu saya tunggu, selalu saya perhatikan, dan selalu pula saya sertai sehingga ia jatuh sebagai karya seni.

(Dari Salina ke Langit Petang; ms 44-45)


Ya, seperti Pak Samad, saya juga menunggui awan-awan terapung ini dengan penuh rindu seperti pungguk yang menantikan bulan. Mungkin saya perlu kembali mengurung diri bagi menghabiskan bahan-bahan bacaan dengan penuh khusyuk dan tekun seperti yang pernah saya lakukan pada tahun 2006 dahulu bagi mendapatkan awan-awan ini gugur sebagai hujan yang menyuburkan dan tidak terlalu memikirkan tentang soal menulis. Dan kalau boleh saya petik sajak Marsli N.O bagi menggambarkannya:

aku akan tetap sendiri
menatap bulan
menatap matahari

6 comments:

sha filan said...

work station yg sgt kondusif!

hehehe...

sha filan said...
This comment has been removed by the author.
sha filan said...
This comment has been removed by the author.
Aidil Khaid said...

Sha Filan,

Yang dalam gambar tu 'work station' dulu, tempat novel pertama disiapkan. Sekrang ni dah pindah 'work station' baru pulak.

NorziatiMR said...

Selamat berkarya! Usah lelah usaha

Aidil Khalid said...

Wah, novelis HSKU pun ada yang singgah ke sini! Terima kasih, terima kasih! Harap-harap dapat turunkan ilmu. =)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP