Wednesday, June 03, 2009

Malar Hijau

Mari teliti petikan di bawah ini:

“Kau tengoklah berita di surat khabar hari ini. Dunia bersengketa tak habis-habis. Berbunuh-bunuhan sesama manusia. Kekejaman di seluruh ceruk dunia. Kelaparan di sana sini. Apa nak jadi dunia sekarang, aku pun tak tahu. Suasana di tanah air kita pun tegang selalu. Segala-galanya serba tak kena. Terutama sekali bangsa kita, Melayu. Selalu tersepit, terdesak dalam menghadapi cabaran dunia sekarang. Manalah tak terseksa. Bangsa kita mundur dalam segala hal. Pelajaran mundur, ekonomi mundur, akhlak pun mundur.” Zaki melahirkan perasaan dengan nada yang serius. Wajahnya berubah riak. Berkerut-kerut dahinya bila bercakap.

Petikan tersebut adalah diambil dari novel Badai Semalam. Khadijah Hashim menulis novel itu pada tahun 60-an. Ia diterbitkan pertama kali pada tahun 1968. Bererti sehingga sekarang, tahun 2009, sudah 41 tahun berlalu. Tetapi lihatlah bagaimana setiap patah kata daripada petikan dialog di atas masih lagi relevan dengan dunia hari ini. Seolah-olahnya ungkapan ‘sekarang’ yang diucapkan oleh watak Zaki dalam novel itu adalah juga ‘sekarangnya’ masa kini.

Barangkali bolehlah dirumuskan bahawa menulis sesuatu yang berkaitan dengan survival dan perjuangan sesuatu bangsa, tak kira dalam apa pun aspek – bahasa, budaya, pendidikan, ekonomi, kemerdekaan, dan sebagainya – akan menjadikan tulisan itu senantiasa evergreen. Selain itu, menulis tentang kepincangan dunia – peperangannya, kelaparannya, kebobrokannya – juga akan menjadikan ia sebuah karya yang malar hijaunya.

Kenyataan ini tidak bersifat muktamad. Sesebuah karya, selain berinti-patikan hal-hal yang dinyatakan di atas, harus juga disokong oleh bentuk yang indah – yakni cara penyampaian yang memukau. Apa pun juga, kayu ukur sebenar sama ada sesebuah karya itu kekal malar atau tidak adalah dengan melihat sejauh manakah seseorang pembaca masa hadapan akan dapat mengaitkan dan memasukkan dirinya ke dalam karya tersebut saat membacanya nanti.


*Gambar dicuplik dari http://teaterartistik.fotopages.com.

3 comments:

Syarifah Zulikha said...

salam saudara aidil
sorry sy kurang tau
sy hanya tulis apa yg pihak JAKIM setujui
anyway, thanks for the attractive comment
salam kenal & do keep in touch

khairyn said...

salam

salah satu karya dari penulis prolifik ini yg sangat saya cintai.

Aidil Khalid said...

Syarifah Zulikha,

Maaf, tapi saya tak rasa JAKIM persetujui seperti yang saudari tulis itu -- soalnya tuduhan zina adalah tuduhan yang berat. Salam kenal juga. =)


Kak Khairyn,

Saya sebenarnya sedang tercari-cari akan rahsia novel ini boleh kekal evergreen.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP