Wednesday, June 24, 2009

Nota Singkat Tentang Hidup Setakat Ini

Menunggu keputusan, terutamanya apabila keputusan itu adalah tentang sesuatu yang besar – tentang penentuan masa hadapan, misalnya – memang bukan sesuatu yang menyenangkan. Tetapi apabila setelah sekian lama menanti dengan penuh sabar dengan penuh debar hanya untuk mendapatkan bahawa diri telah gagal – yang juga membawa maksud masa hadapan menjadi gelap – adalah lebih-lebih lagi tidak menyenangkan.

Alhamdulillah, saya tidak terjerumus ke dalam situasi tersebut. Keputusan peperiksaan semester terakhir sudah keluar, dan saya lulus semuanya, dan ini bererti, secara tidak rasmi, sudah tamat belajar pengajian undang-undang di UiTM. Cuma menunggu majlis graduasi untuk menjadikannya rasmi.

Dan alhamdulillah berganda juga, kerana keputusan tersebut telah melayakkan saya melanjutkan lagi pelajaran – tambah lagi setahun untuk mendapatkan kelayakan profesional LLB. Awal bulan hadapan kembali bertungkus lumus dengan buku teks dan kuliah!

Bermacam-macam perkara saya dengar tentang pangajian LLB – sibuk tak ingat dunia, susah macam nak mati, korbankan tidur malam untuk siapkan tugasan sampai ke besok pagi, dan entah apa-apa lagi – semuanya tentang yang tak enak. Tapi sebenarnya saya tak begitu risaukan semuanya itu. Saya cuma risaukan tentang masa. Dan, oh, juga tentang kod pakaian yang membosankan -- hari-hari perlu mengenakan sut hitam dan putih, alangkah membosankan (dan melecehkan, perlu menggosok setiap minggu)!

Masa, masa, masa. Harap-harap saya akan masih punya masa untuk membaca dan untuk menulis. Memandangkan saya ini seorang pembaca yang lambat, memang saya akan ketinggalan membaca kalau jadual terlalu padat. Dan menulis, ah, moga-moga nikmat mengembara ke alam penuh bebas berimaginasi tidak ditarik oleh Tuhan apabila keripuhan menguasai hari-hari mendatang.

Dan sebelum hari itu datang, saya harus menikmati sepenuh-penuhnya cuti yang hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi ini. =)

8 comments:

sha filan said...

eh...
tahniah2..
heheh bukan senang nak hbskan law...tp at least mende dh settle..hehehe...
slmt smbg LLB..hehehe...
(ape LLB?)

sonditx said...

tahniah kerana tamat.
tahniah kerana lulus.
tahniah kerana berjaya.

semoga berjaya untuk LLB.
semoga berjaya untuk membaca lebih banyak buku.
semoga berjaya menggosok lebih banyak baju.
selamat berjaya mengharungi hari terik yang berpeluh.

cuma satu pesanan, jangan pakai baju semalam. nanti gatal penyebab ruam!

saat omar said...

Tahniah! teruskan berkarya...

Rebecca Ilham said...

Tahniah atas kejayaan menamatkan pengajian dan selamat untuk LLB!

Abdullah Ghani said...

tahniah....

Nore said...

tahniah Aidil.selamat ya untuk LLB.

Aidil Khalid said...

Sha Filan,

LLB tu kependekan untuk bahasa Latin: Lex Legum Baccalaureus. Kiranya kalau nak jadi peguam masuk mahkamah, mesti ada LLB, baru layak. =)


Nahar,

Ahaha, baju semalam, kalau tak berpeluh, boleh pakai lagi lah. =)


Abang Saat, Rebecca Ilham, Abdullah Ghani,

Terima kasih atas ucapan.


Nore,

Terima kasih. Ko buat apa ek sekarang ni? Lama tak dengar berita. Pa'an katanya nak ambik CLP dah Ogos ni.

Nore said...

aku sekarang tengah training banking kat F-STEP.hehe

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP