Wednesday, July 08, 2009

Anjing Menyalak Bukit

Saya masih ingat, suatu ketika, sedang dalam kereta bersama seorang teman, saya memandu dan dia duduk di sebelah, baru usai kuliah dan kami sedang menuju ke kedai mamak untuk singgah minum-minum, radio berbunyi perlahan dan antara kami tidak ada yang bersuara. Tetapi kemudian tiba-tiba sahaja teman saya itu memecahkan kebisuan dengan mengajukan satu soalan, dan entah kenapa, topik yang dipilihnya adalah mengenai suara-suara demonstrasi. Saya mengagak mungkin kerana isu tersebut sedang lagi hangat ketika itu.

“Aidil,” katanya kepada saya, “kau tak rasa ke yang orang-orang berdemonstrasi ni sebenarnya adalah orang-orang yang bodoh? Kerja buang masa dan tak akan ada kesannya untuk apa-apa. I mean, c’monlah, kan banyak lagi cara lain untuk salurkan pendapat, kenapa mesti turun ke jalanan dan merendahkan status diri menjadi semacam anjing menyalak bukit?”

Radio terus beralun perlahan. Sesekali berbunyi ssss… sss… kerana salurannya kurang terang. Saya terus memegang kendali, kereta meluncur dalam keadaan terkawal mencelah-celah di balik kenderaan-kenderaan yang memilih untuk meluncur lebih perlahan.

Mungkin setelah itu saya ada mengutarakan sesuatu pandangan sebagai membalas persoalan yang diungkapkan oleh teman itu, tetapi saya lupa. Atau mungkin juga saya tidak bersuara menjawab apa-apa, sebaliknya sekadar mendiamkan diri dan membiarkan dia terus mengutarakan pendapat, membiarkannya bercakap seorang diri kompelin itu ini tentang demonstrasi dan saya menjadi pendengar yang membatu, tidak mengiakan tidak juga menidakkan. (Sebetulnya saya sudah tidak berapa ingat memandangkan perbualan tersebut sudah agak lama berlalu)

Hari ini, sebaik keputusan mengenai pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, saya langsung mengenang peristiwa 7 Mac 2009 yang menyaksikan perhimpunan raksasa berdemonstrasi membantah PPSMI anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). Dan kenangan tersebut pula langsung membuatkan perbualan bersama teman di dalam kereta yang saya ceritakan di atas itu menerpa kembali dalam ingatan.

Saya jadi terfikir akan satu cerpen yang sangat menarik karya salah seorang pembimbing Minggu Penulis Remaja 2007 – Abang Saifulizzah Yahaya – yang disiarkan dalam Dewan Sastera bulan ini. Cerpen bertajuk Aku Seekor Anjing itu diakhiri dengan nada yang meruntun melankolik, tetapi dua paragraf akhirnya saya rasakan amat kuat kesan sinisnya menusuk urat-urat saraf:

“Anjing Menyalak bukit, bukit tidak akan runtuh.”

“Tetapi, salakan itu mungkin akan membangunkan manusia yang terlena,” balasku sambil terus menyalak-nyalak di luar banglo biru laut tersebut.

Tahniah semua, tahniah setinggi-tingginya kepada yang telah berjuang – melalui apa sekalipun saluran atau cara yang dipilih – dalam memansuhkan PPSMI! Pun harus tetap diingat bahawa perjuangan tak boleh berhenti sekadar di sini. Di matrikulasi masih menggunakan bahasa Inggeris, dan paling penting, di UiTM, sebuah universiti yang diuar-uarkan kononnya sebagai benteng terakhir orang Melayu itu, masih lagi belum ada keyakinan terhadap keupyaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu pengetahuan -- bukan untuk matematik dan sains sahaja malahan untuk semua mata pelajarannya!

Marilah, ayuh marilah kita terus menyalak -- melalui apa sekalipun cara dan saluran yang sesuai -- kita menyalak bukit, bukit tidak runtuh, tetapi orang di sekeliling akan tersedar dan bangun dari tidur.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP