Monday, July 20, 2009

Berbalas Emel dengan Wan Nor Azriq

Pembaca blog ini tentu tahu bahawa kebanyakan cerpen saya, kalaupun tidak semuanya sekali, akan terlebih dahulu melalui ‘saringan’ rakan kritikus – Wan Nor Azriq – sebelum dikirimkan ke penerbitan. Justeru cerpen Romansia II yang disiarkan di Berita Harian 18 Julai 2009 pun tidak terkecuali. (Klik sini untuk membaca cerpen tersebut). Ketika menulis cerpen ini saya menghadapi dua dilema, iaitu dilema antara hendak mengutamakan bentuk (estetika bentuk) atau hendak mengutamakan isi (estetika makna), juga dilema sama ada hendak mendidik atau hendak mencetus. Dilema itu terpapar jelas dalam emel antara saya dengan Wan Nor Azriq.

Sebaik selesai membaca draf awal cerpen, Wan Nor Azriq telah mengemelkan komennya begini:

Salam Aidil,

Sekali lagi Aidil,awak berjaya mencipta sebuah cerpen yang seimbang bentuk dan isinya. Persoalan cerita tentang kewujudan manusia serta kewujudan roh dan badan disokong oleh cerita yang menarik. Saya memilih untuk tidak membaca Romasia pertama kerana ingin menilai cerpen ini secara objektif tentang kemampuannya untuk berdiri sendiri. Ternyata sekali, cerpen ini mampu melakukannya dan saya amat yakin sekiranya ia dikembang menjadi sebuah novel, ia akan menjadi sebuah novel yang hebat.

Dalam penulisan fiksyen, suara narator memang sangat penting kerana ia akan menentukan rentak pembacaan serta perspektif pembaca. Semua penulis fiksyen inginkan kuasa penceritaan, tetapi kuasa ini tidak boleh datang terus daripada kita. Kita harus terlebih dahulu memikat keyakinan pembaca. Dalam kebanyakkan cerpen awak Aidil, kuasa itu awak tunjukkan daripada awal dengan nyata. Cerpen ini, misalnya, narator awak telah awal-awal lagi menjatuhkan hukuman terhadap perbuatan asmara Robert Aduka dan Ellize izlina. "Memang gila! Lebih gila lagi memualkan! Bercinta berasamara dengan robot!" Saya pernah kata sebelum ini bahawa awak perlu lebih yakin dengan pembaca. Gambarkan dahulu proses perbicaraan dengan jelas berserta isi-isi perdebatan. Kemudian, kalau boleh, biarlah pembaca yang menilai sendiri. Memandangkan ini sebuah cerpen, saya tidak nampak ruang yang cukup bagi membolehkan narator awak menurunkan kuasa didaktiknya. Lebih cantik jika naratif dibiarkan berjalan tanpa suara narator seperti yang berlaku di pertengahan plot.

Sebagai seorang cerpenis, saya lihat awak bukanlah jenis Shahnon Ahmad atau Anton Chekhov. Awak lebih kepada jenis Arena Wati atau Khadijah Hashim yang pandai merangka plot. Oleh itu, plot yang kemas sangat penting bagi memastikan cerpen awak berjaya. Jadi, cubalah rangka semula bahagian pengenalan plot… kerana ia tidak ada apa-apa sumbangan melainkan memberi gambaran awal kepada pembaca tentang keegoan sang narator.

Secara peribadi, saya merasakan dunia Romansia yang awak cipta ini perlu hidup dalam sebuah novel. Ia sangat menarik dan masih banyak isu yang belum dibincangkan. Saya cadang awak baca novel-novel Isac Asimov. Kalau saya diminta untuk memperkenalkan siapakah Aidil Khalid, saya akan suruh orang itu membaca dua cerpen Romansia awak kerana di mata saya, di situ terletaknya keunikkan awak.

Setelah menerima emelnya itu saya telah memperbaiki bahagian awal – didaktik narator – seperti yang disarankan diubah oleh Wan Nor Azriq itu. Tetapi masih tetap ada satu masalah yang saya hadapi, iaitu di bahagian pengakhiran cerpen, sama ada hendak memasukkan khutbah narator atau hendak dibiarkan terbuka sahaja. Justeru saya pun membalas emelnya begini:

Sebenarnya ketika menulis ini (cerpen Romansia II) ada satu perkara yang saya sangat-sangat sedar. Bahawa cerpen ini sebenarnya sangat-sangat terbuka kepada serangan, terutama oleh penganut aliran tertentu sastera Islam di Malaysia (yang adakalanya mungkin sedikit sempit). Kebanyakan penggiat sastera di Malaysia, terutama yang berada dalam arus perdana, berpegang kepada konsep bahawa tugas pengarang tidak boleh berhenti sekadar dengan mengemukakan persoalan-persoalan. Sebaliknya, haruslah juga mengemukakan jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan itu. Menurut pandangan ini, pengarang yang mengemukakan persoalan tanpa memberikan jawapan adalah pengarang yang tidak bertanggung-jawab. Justeru, Romansia II ini terbuka kepada serangan yang sedemikian, kerana cerpen ini hanya mengetengahkan persoalan tentang kewujudan manusia, tanpa mengemukakan jawapan. Memang saya dalam dilema sebenarnya ketika menulis, sama ada hendak mengemukakan didaktik narator atau tidak di akhir cerpen, iaitu dengan mengemukakan jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan itu. Jawapannya tentu sekali mudah: bahawa apa yang menjadikan manusia itu manusia adalah apabila dia punya rasa 'rabbani', yakni rasa bertuhan, seperti firman Allah bahawa "tidak dijadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaNya". Tetapi andai saya mengemukakan didaktik seperti ini di akhir cerita, maka tentu sekali ianya akan merosakkan bentuk cerpen ini. Inilah barangkali yang dikatakan dilema bentuk vs isi, dan seperti yang pernah Abg Faisal katakan dahulu, bahawa terlalu sukar sebenarnya, kalaupun tidak mustahil, untuk menghasilkan karya yang benar-benar seimbang bentuk dan isi.

Hari ini, setelah beberapa bulan berlalu daripada tarikh emel antara kami, saya mungkin boleh membuat kesimpulan bahawa tidak dalam semua keadaan pengarang harus menyelesaikan. Dan tugas pengarang tidak semestinya untuk mendidik – seperti yang selalu digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. Siapalah saya untuk mendidik pembaca, sedangkan khalayak pembaca itu terlalu luas, melangkau daripada sebodoh-bodoh manusia hinggalah ke segenius-genius pemikir. Mungkin ada kalangan pembaca adalah seorang profesor, mungkin juga ada doktor, atau mungkin ada sasterawan, siapa tahu ada juga angkasawan, atau barangkali ada saintis – alangkah kerdilnya saya untuk mendidik mereka semuanya ketika berkarya.

Justeru, tanpa menafikan kemurnian dan ketulusan gagasan yang menetapkan bahawa pengarang harus mendidik, adakalanya saya memilih untuk tidak menjadi pengarang yang mendidik. Saya hanya mahu menjadi seorang pengarang yang mencetus. Dan saya mahu percaya kepada kebijaksanaan pembaca yang mampu berfikir sendiri.

2 comments:

inamarjanaulfah said...

Tahniah atas penyiaran cerpen ini. Isu yang menarik. Persoalan dan pertanyaan sinis untuk manusia. Emm.. kalaulah benar-benar terjadi...Artikel 5 Perlembagaan M'sia terpaksa dipinda untuk memasukkan 'robot'.

Aidil Khalid said...

Kak Ina,

Terima kasih atas ucapan. Alangkah kompleksnya jadi perundangan kita kalau benar-benar terjadi. =)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP