Friday, July 31, 2009

Internal Security Act (ISA)

1. Henry Ford – tuan pengasas Ford Motor Company – pernah berkata: “Any customer can have a car painted any colour that he wants so long as it is black,” – setiap pembeli bebas memilih apa pun warna yang mereka inginkan selagi mana ia adalah hitam. Dengan kata lain, Ford sebenarnya tidak memberikan sebarang pilihan kepada pembelinya. Tentu sekali hal ini lebih mudah buat Ford, kerana cat hitam lebih cepat kering berbanding warna-wana lain. Tetapi dalam masa yang sama ia sebenarnya ‘memangsai’ pilihan warna para pembeli.

2. Dalam hal yang lain pula, adalah tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun bahawa hak kebebasan individu ada dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkara 5 misalnya memperuntukkan bahawa setiap orang adalah bebas dan tidak boleh dinafikan hak kebebasan itu – seperti ditahan atau ditangkap – kecuali melalui proses perundangan. Pun begitu, dalam masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa perlindungan dalam Perkara 5 tidak akan terpakai dalam beberapa keadaan. Keadaan yang dimaksudkan itu termasuklah, antara lain, hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan dalam negeri (Sila rujuk Perkara 149 dan 151 Perlembagaan Persekutuan).

3. Justeru, seperti juga kenyataan Henry Ford yang memberikan kebebasan pilihan tetapi dalam masa yang sama menskopkannya hanya kepada warna hitam, begitu jugalah perlindungan hak kebebasan dalam Perlembagaan Persekutuan – anda memiliki hak tersebut tetapi dalam masa yang sama anda juga boleh ditahan bila-bila masa tanpa perlu melalui proses pengadilan. Satu peruntukan memberikan kebebasan tetapi kemudian peruntukan yang lain pula menegatifkan peruntukan kebebasan tersebut.

4. Contoh undang-undang yang menegatifkan hak kebebasan dalam Perkara 5 adalah Akta Keselamatan Dalam Negeri – atau ISA – yang memberi kuasa kepada menteri untuk memberi arahan menahan sesiapa sahaja buat tempoh masa yang boleh mencapai sehingga dua tahun tanpa memberi peluang kepada tahanan membela diri. Dengan kata lain, menurut akta ini, seseorang itu sudah boleh ‘dihukum’ tanpa perlu terlebih dahulu dibuktikan bersalah. Akta ini pernah terbukti berkesan suatu ketika dahulu bagi memerangi keganasan komunis. Tetapi sesuatu yang terbukti berkesan tak semestinya benar. Dan sesuatu yang terbukti berkesan juga tidak semestinya adalah satu-satunya cara yang berkesan. Mungkin sahaja ada cara-cara lain yang lebih berkesan dan dalam masa yang sama tidak menafikan hak keadilan.

5. Sebenarnya kita mempunyai perundangan yang cukup untuk menangani isu-isu keselamatan dalam negeri – dalam konteks Malaysia yang sekarang – tanpa perlu menggunakan ISA. Ancaman-ancaman yang bersifat rasis misalnya, boleh ditangani dengan menggunakan Akta Hasutan atau Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. Mereka yang dituduh bersalah di bawah dua akta ini bolehlah dibawa ke mahkamah, dibicarakan secara adil, dan setelah dibuktikan kebersalahannya, barulah dihukum. Tak perlu bertindak mengikut undang-undang tak bertamadun dengan membuat penahanan tanpa perbicaraan.

6. Tentu sekali, bagi pihak kerajaan, adalah lebih mudah mengawal kestabilan dan keselamatan negara dengan menggunakan ISA, kerana tak perlu susah-susah membuktikan apa-apa sebelum boleh menahan seseorang suspek. Tetapi kemudahan di pihak kerajaan tersebut akan memangsai peruntukan kebebasan individu, seperti juga pilihan warna hitam Henry Ford bagi memudahkan proses pengecatan memangsai pilihan para pembeli.

7. Keadilan dalam sistem perundangan Islam boleh ditemui dalam sebuah hadis riwayat Tarmizi yang menyebutkan bahawa: “…kesilapan pemerintah dalam memberi kemaafan adalah lebih baik daripada kesilapannya dalam memberikan hukuman.” Maksudnya seseorang itu hanya boleh dihukum setelah dibuktikan benar-benar bersalah tanpa sekutil pun keraguan di muka pengadilan. Nah, kalau begitu, nilailah sendiri di manakah adilnya serta di manakah relevannya ISA menurut sudut pandang keadilan dalam Islam?

8. Ataukah sebenarnya masih lagi wujud golongan yang mengaku Islam tetapi dalam masa yang sama menganggap Islam sudah tidak lagi relevan lantas mahu terus berdegil berkeras kepala mengatakan ISA perlu dikekalkan?

(Untuk menonton realiti sebenar akan layanan keras terhadap seseorang tahanan ISA, sila klik sini)

3 comments:

Mr. Bandung said...

Ingin bercuti ke bandung? lawati http://www.jalanjalanbandung.blogspot.com

kami menyediakan perkhidmatandriver dan hotel.

farizal farhan said...

Better be mistaken in letting the true criminals go, than be mistaken punishing someone for a crime they never did!! thats one principle i've always believed in.

lama tak usha blog ko ni aidil. Nice post..

Aidil Khalid said...

Farizal,

Yup, memang gitulah prinsip asasnya. Malah aku pernah dengar maxim yang mengatakan, "Adalah lebih baik melepaslakan sepuluh orang yang bersalah daripada menghukum satu orang yang tidak bersalah." Tapi tu lah... masalahnya penyokong akta ISA ni pulak ada hujah mereka tersendiri -- kononnya akta pencegahan perlu supaya boleh mengelak ancaman pengganas. Konsep yang mereka pakai, 'lebih baik mencegah daripada merawat.'

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP