Sunday, July 05, 2009

Kerana Saya Terhutang Budi Kepada Kerajaan...

Kebenaran tak mesti selalu berpihak pada pembangkang. Dan pemerintah pula belum tentu sentiasa salah. Tetapi pembangkang sebagai si tukang bangkang, memang kerjanya akan selalu mencari-cari kesalahan untuk dibangkang – kalau tidak ada kesalahan, maka akan diada-adakannya. Manakala pemerintah pula yang tugasnya memerintah, memang akan selalu terdedah kepada silap dan salah – biar bagaimana sekalipun dicuba hindar. Sudah resminya begitu. Dengan kuasa yang dipegang, akan ada tanggung jawab yang tergalas di pundak, dan tentu sekali, berjalan dengan beban memberat di pundak akan lebih mudah tersadung berbanding berjalan tanpa sebarang galasan.

Tak dinafikan, pembangkang juga selalu buat salah. Tetapi salah yang dibuat pembangkang belum tentu akan memberi kesan kepada rakyat, kerana pembangkang tidak ada kuasa politik – justeru mereka tidak dapat menentukan polisi-polisi atau membuat keputusan-keputusan yang mungkin meranapkan corak kehidupan rakyat secara langsung. Sedangkan pemerintah pula, kalau buat salah, bukan sahaja boleh meranapkan, bahkan boleh meluluh lantakkan segala-galanya. Lihat sahaja bagaimana Khir Johari meluluh-lantakkan warisan bangsa tulisan jawi ketika menjawat jawatan menteri pelajaran melalui polisinya – dan kesannya dirasai sampai sekarang, berpuluh tahun setelah beliau turun jawatan. Juga tak mungkin dilupakan Tun Mahathir yang telah memperkosa kesucian sistem kehakiman -- dan sampai hari ini institusi tersebut hilang wibawa. Justeru kerana itulah adalah lebih penting membangkang kesilapan yang dilakukan oleh pemerintah berbanding membangkang kesilapan yang dilakukan oleh pembangkang.

Belakangan ini satu kenyataan sering digaung-gaungkan. Kenyataan tersebut berbunyi kurang lebih begini: Bahawa kita harus berterima kasih kepada kerajaan. Bahawa kita harus fikirkan apa yang telah dikecapi selama ini – biasiswa kerajaan, pinjaman kerajaan, pusat pengajian kerajaan, segala-galanya kerajaan, aduh, alangkah terhutang budinya kita kepada kerajaan.

Ini adalah satu kenyataan yang bengap bodoh bagi saya. Bukan sahaja bengap bodoh, malahan keji lagi mengejikan kotor lagi menjijikkan hanyir lagi membusukkan. Kenyataan tersebut adalah satu jenayah, jenayah intelektual, jenayah terhadap kebenaran, jenayah terhadap kebebasan bersuara, dan jenayah terhadap keadilan.

Kita tidak perlu berterima kasih kepada kerajaan (seperti mana juga kita tidak perlu berterima kasih kepada pembangkang), kita hanya perlu bersyukur kepada Tuhan. Hakikatnya biasiswa yang digaung-gaungkan sebagai kemurahan hati pihak kerajaan sebenarnya datang daripada duit rakyat sendiri. Pembangunan yang dikecoh-kecohkan sebagai kebijaksanaan kerajaan juga datang daripada duit rakyat sendiri. Rakyat yang mengerah keringat menghasilkan duit lalu dicukai oleh kerjaan. Dan dari hasil cukai inilah yang kemudiannya dijadikan duit biasiswa, duit pinjaman, duit menampung pusat-pusat pengajian tinggi awam, duit menampung pembangunan dan sebagainya. Dan kerajaan memang bertanggung jawab untuk melakukan segala-gala yang disebut itu. Kerana cukai adalah amanah rakyat. Kalau kerajaan tidak mahu melakukannya, makanya berhentilah daripada menjadi pemerintah, dan beri laluan kepada pihak lain untuk memegang tampuk.

Dan paling penting harus diingat, apabila seseorang itu memilih untuk bersifat kritis dengan mengkritik atau menghentam sesuatu yang dirasakan salah – tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang – tidaklah membawa maksud bahawa yang mengkritik itu tidak menghargai budi baik yang dilakukan oleh pihak yang dikritik itu. Kita mengkritik kerana kita sayangkan negara. Kita mengkritik kerana kita peduli. Kita mengkritik kerana kita mahukan yang terbaik buat negara. Kita mengkritik kerana kita patriotik.

Justeru berhentilah dari menggaung-gaungkan kenyataan jijik kotor tersebut: bahawa rakyat harus menutup mulut dan berduduk diam kerana telah banyak terhutang budi kepada kerajaan.

12 comments:

sha filan said...

hohohoho
akhirnye!
stuju 110% dgn pandangan anda!
pernah berjumpe dgn org kolot yg membuat statement g2 pasal gov..
mcm sgt cetek ilmu..pdhl bljrnye smpai ke oversea

sha filan said...
This comment has been removed by the author.
Aidil Khalid said...

Sha Filan,

Saya baru saja jumpa orang yang buat kenyataan macam itu dalam facebook saya. Sebab tu saya tulis entri ini. Hehe.

Oh Me said...

bagus..anda muda tetapi berfikiran matang..tak perlu berterima kasih pada gomen.
UMNO sejak dahulu dah menggunakan statement itu untuk menakutkan rakyat Malaysia...Buat apa perlu berterima kasih? sedangkan politik mereka itu hanya untuk kepentingan satu bangsa sahaja. Ini abad ke 21, anak Melayu perlu buktikan yang mereka boleh hidup tanpa DEB.
Hanya Anwar Ibrahim sajalah pemimpin agung yang mampu mengubah negara ini menjadi sebuah negara yang lebih baik....

Aidil Khalid said...

Oh Me,

Tentang Anwar Ibrahim itu, saya tidak bersetuju, kerana saudara meletakkan perkataan 'hanya' dan 'agung'.

Saya ingin mengajak saudara membaca sebuah puisi bertajuk Politikus-Keliru-Rakyat di pautan ini:

http://aidilkhalid.blogspot.com/2009/05/puisi-politikuskelirurakyat.html

nurinmz said...

Lucu, saya juga baru bersembang dengan seorang teman yang ada fahaman 'terhutang budi' ini. Lebih lucu apabila beliau menyifatkan seorang manusia yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan tapi mempunyai fahaman politik yang berbeza dengan parti pemerintah mengalami masalah kerana rezekinya 'tidak berkat' akibat mengkritik 'orang yang memberinya makan'. Lucu, lucu, lucu! Bahkan malang kerana kerajaan Malaysia sangat berjaya menghasilkan rakyat yang buta, dungu dan bisu 'diugut' dengan segala macam kemudahan yang sememangnya harus, patut dan perlu dinikmati oleh rakyat tanpa mengemis belas ihsan tuan-tuan pemimpin.

Anonymous said...

kalau taknak rasa terhutang budi tak apa...kerajaan pun tak suruh kita terhutang budi.

Memang itu duit kita...tapi orang yang mengusahakannya, yang melaburkannya patut kita berterima kasih.
kadang2 kawan kita yang tolong belikan kita nasi pun kita ucap terima kasih walaupun itu mmg duit kita.
Cikgu kita yang mengajar kita pun kita terhutang budi walaupun dia memang telah dibayar dengan gaji pun.

tak payahlah nak gunakan perkataan jijik, kotor, hina dalam perkara kerana seolah2 orang yang rasa dirinya terhutang budi dengan kerajaan pula dianggap jijik dan kotor.

kau tak rasa terhutang budi kerana kau tak sokong dan benci kerajaan itu sahaja. kalau kerajaan itu adalah pihak pembangkang, sudah tentu pandangan ini akan berubah kan? Sudah tentu kau akan rasa terhutang budi pula kan?

Aidil Khalid said...

Anonymous,

Terima kasih atas komen. Saya bukan penyokong pembangkang.

Sekian, terima kasih. =)

Aidil Khalid said...

Nurinmz,

Mari kita tertawakan orang-orang lucu yang berfikiran dungu itu. hehe.

dahlia1H8M said...

terima kasih untuk entri ini. saya paling bersetuju dengan perenggan ke-4. dah selalu sangat jumpa orang yang berkata "kita kena berterima kasih pada kerajaan. kerajaan yang buat pembangunan. bagi dana untuk pendidikan. bla bla bla..." tolonglah... narrow minded betul. rakyat tak perlu rasa 'terhutang budi' pada kerajaan, sebab memang itu tanggung jawab pemerintah.
sejujurnya, saya sedikit 'bersyukur' kerana ayah saya dahulunya penyokong kerajaan, tetapi mula 'belot' lewat tun mahathir menjadi pm. jika ayah saya masih bergelar penyokong totok kerajaan, rasanya sekarang ini pun saya akan jadi salah seorang yang bengap "kita perlu undi kerajaan" itu.

farizal farhan said...

Aku amat bersetuju dgn kata kata mu wahai aidil sahabatku. nk memerintah ni satu amanah, its your job. you dont want, you step down.. there's always somebody out there to take your place! stop the nonesense and get to work! I only VOTE for a leader not a whiner.. shame on those who uses such excuses!

Aidil Khalid said...

Yep, marilah kita menjadi pengkritik yang bijaksana demi kebaikan bersama. =)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP