Sunday, August 30, 2009

Begini Patriotisme Golongan Muda

Bukan sahaja saya ini anak pasca merdeka, saya juga malahan adalah anak pasca Tun Hussein Onn. Saya dilahirkan pada era Mahathir, ketika negara sedang menggebu-gebu membangun pada kadar pecutan yang pantas panas membahang meletup-letup. Sesetengah orang-orang tua akan kata saya tidak tahu erti susah -- seperti yang selalu digambarkan dalam drama-drama klise menjelang kemerdekaan -- kerana saya tidak berkesempatan merasai peritnya hidup ketika zaman Jepun, atau ketika era komunis mengganas, atau ketika waktu British memeras. Saya lahir ketika segala-galanya sudah ada terbentang di hadapan mata ketika segalanya-galanya senang dan lenang.

Dan saya tidak nafikan.

Tetapi semata-mata saya tidak sempat mengalami susah tidaklah pula bermaksud saya tidak boleh punya semangat patriotisme yang tinggi. Tidaklah juga bermaksud orang yang pernah mengalami ertinya susah itu akan memiliki semangat kenegaraan yang lebih unggul.

Bagi saya apa yang dikatakan tidak patriotik adalah apabila orang itu sempat mengalami perit getirnya hidup era Jepun, era komunis, atau era British, tetapi setelah mengecap senang dan merdeka, tidak pula mahu melakukan sebarang perubahan. Mereka pernah merasa seksanya dipukul dan dibalun Jepun dan komunis, tetapi setelah merdeka, mereka pula yang mempertahankan undang-undang zalim yang membenarkan penahanan (dan penyeksaan) tanpa perbicaraan. Mereka pernah merasa hinanya Islam diperlekehkan oleh undang-undang British ketika tragedi Natra, tetapi setelah merdeka mereka tidak mahu menggantikan kerangka perundangan British itu dengan perundangan Islam (sampaikan hendak melaksanakan hukuman sebat pun teragak-agak penakut bacul). Mereka pernah merasa rendah dirinya Melayu diperlecehkan oleh orang putih, tetapi setelah merdeka, mereka pula yang meludah bahasa sendiri dan mengagung-agungkan bahasa penjajah. Mereka inilah sebenarnya yang tidak patriotik. Dan mereka inilah yang sepatutnya kita basuh habis-habis supaya kembali ke pangkal jalan.

Anak-anak muda, marilah sama-sama kita melaungkan patriotisme dalam kerangka minda generasi baharu yang bebas daripada faham tua yang kolot dan lama.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara yang ke 52!

4 comments:

Torpedo said...

Setuju sangat!!

Aidil Khalid said...

=)

mkeceq said...

setuju jugak.....
ketiga-tiga isu yg di ketengah kan mmg tepat
bahasa sendiri semakin di ketepikan, di anak tiri kan dan lama-lama mungkin blh di paktiskan di dalam rumah sahaja=(
huhuhuhu....

Aidil Khalid said...

mkeceq,

Ya, betul. Mari kita sama-sama martabatkan bahasa sendiri dengan meluaskan penggunaannya yang betul.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP