Sunday, August 23, 2009

Calon Arang

Jujur saja, sebelum ini saya memang tak begitu ambil berat tentang hal selsema babi. (Tipikal kepercayaan bahawa yang akan dijangkiti bukan saya, sebaliknya orang lain). Sehinggalah seorang pensyarah saya meletakkan perkaranya begini: bahawa wabak ini sudah pada tahapnya yang sangat serius – diramalkan 1/5 daripada keseluruhan rakyat Malaysia akan dijangkiti, dan sejumlah 50000 orang akan mati daripadanya. Kemudian tambah pensyarah saya lagi, “Ada yang percaya lebih baik dijangkiti sekarang, ketika masih belum begitu ramai, daripada dijangkiti kemudian, ketika hospital sudah tidak lagi muat menampung jumlahnya dan tidak mampu lagi merawat para pesakit.”

Baru saya tersentak. Begitu ramai akan terjangkiti. Dan begitu ramai akan mati. Tak ada sebab mengapa saya tidak akan menjadi salah seorang daripadanya.

Ada yang menuduh hal ini sebuah konspirasi ciptaan Amerika - Yahudi. Kerana penawarnya, Tamiflu, adalah ciptaan sebuah syarikat Gilead Corporation yang bersekongkol dengan bekas setiausaha keselamatan AS. Sejauh mana benarnya teori konspirasi ini, saya tidak tahu. Tetapi ia mengingatkan saya akan sebuah dongeng cerita rakyat Jawa, Calon Arang.

Kisahnya bermula apabila seorang perempuan bernama Calon Arang yang kematian suami, telah disisih masyarakat akibat tidak mahu ikut mati bersama-sama suami dalam upacara Sati. Oleh penyisihan itu, Calon Arang menyimpan dendam. Dia lantas masuk ke hutan, duduk bertapa, bagi mempelajari jampi serapah yang kemudiannya dipergunakan bagi menyumpahkan teluh wabak penyakit ke atas seluruh negeri. Maka wabak pun merebak, kematian pun melata. Pemerintah negeri, Sang Prabu Airlangga yang merasa gundah, menyuruh Bahula mencari penyelesaian. Bahula lantas pergi ke kampung Calon Arang, kemudian mengahwini anak perempuan Calon Arang. Setelah berkahwin, secara sembunyi-sembunyi Bahula mencuri daun yang tertulis mantera rahsia ibu mertuanya. Dari situlah, akhirnya, sumpah wabak terhadap seluruh negeri berjaya dihentikan, dan Calon Arang dibunuh mati.

Mungkin kita perlu menghantar pengintip ke AS bagi mencuri formula atau apa sahaja rahsia berkaitan wabak selsema ini. Argh, alangkah mudahnya kalau segala-gala yang sedang berlaku pada seluruh dunia hari ini adalah sebuah dongeng yang bila-bila masa boleh ditamatkan secara happy ending oleh sang pengarang!

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP