Tuesday, August 25, 2009

Novel Akan Mula Disirikan di Berita Minggu

Maklumat Terkini: Tarikh mula penyiaran ditunda seminggu lewat, iaitu pada Ahad, 6 September 2009.

Ketika mula-mula menerima panggilan telefon menawarkan mengisi ruangan novel bersiri dalam Berita Minggu, perasaan saya penuh ragu-ragu. Saya banyak mendengar – dan membaca – tentang pengalaman penulis-penulis senior yang ‘terseksa’ menulis novel bersiri dalam akhbar mahupun majalah. Menderita memerah idea; menulis dalam keadaan tergesa mengejar dead line; serta diserang buntu setelah sampai ke bab tertentu – sedangkan sastera sebagai satu cabang seni bukanlah sesuatu yang boleh dihasilkan dalam keadaan yang dipaksa-paksa.

Tetapi dalam masa yang sama, saya juga merasakan betapakah rugi andai tawaran tersebut ditolak, kerana peluang begini tidak datang selalu. Andai ditolak sekali ini, maka meloponglah saya lain kali. Hal ini menyebabkan saya mahu menerimanya.

Tetapi ada satu kerisauan yang menjalar: yakni tentang masa dan waktu – tentang kesibukan yang selalu mengekang. Semenjak menyambung pengajian untuk kelayakan profesional LLB ini, jadual pengajian seolah-olah sengaja dibuat oleh pihak universiti dengan niat untuk menyeksa – torture – para pelajarnya, dengan alasan supaya apabila keluar bekerja nanti akan mudah menyesuaikan diri. Bayangkan saja, jadual bermula seawal lapan pagi dan berakhir hanya pada jam sebelas malam dengan waktu rehat cuma satu jam setengah pada waktu tengah hari! Itu belum dikira dengan tugasan yang berkati-kati (kalau sehari dua sebelum tarikh menghantar fail, makanya bukan lagi satu kejanggalan untuk bermalam di ofis semalaman bertungkus-lumus menyiapkan). Justeru bilakah waktunya untuk saya menulis?

Saya mengadukan keresahan ini kepada salah seorang rakan sekuliah, Abi Mursyidin, yang mengerti betul keadaan sendat sehari-harian kerana dia sendiri mengalaminya. Tetapi dia dengan begitu optimis memberikan kata-kata begini kepada saya: “Percayalah, untuk menulis, kau hanya perlu luangkan satu jam sahaja daripada dua puluh empat jam satu hari.” Kata-katanya kedengaran mudah, memang, tetapi tidak semudah itu sebenarnya untuk mengamalkan. Pun, tentu sekali tidak ada ruginya berusaha. Kalau sebelum menulis novel bersiri saya tidur jam dua belas malam, maka mungkin setelah mulai menulis, saya boleh tidur jam satu pagi. Atau kalau sebelum menulis saya biasa bangun jam lima pagi (untuk bersahur), makanya mungkin selepas ini saya boleh cuba bangun seawal jam empat.

Pendek kisah, saya menerima tawaran daripada pihak editor tersebut. Saya kirimkan beberapa bab awal untuk dinilai kesesuaiannya, dan alhamdulillah, responnya positif. Semalam saya mendapat khabar bahawa novel bersiri ini (tajuknya dan sedikit blurb akan saya perturunkan dalam entri akan datang) akan mula disiarkan siri pertamanya pada hari Ahad ini, 30 Ogos 2009.

Dalam keadaan seperti ini, saya kembali mengingat pesan-pesan para pembimbing, mentor, juga guru-guru saya dalam bidang penulisan. Kira-kira lima tahun lalu, ketika saya masih selalu merungut mengadu kenapa karya asyik ditolak editor dan tak pernah mahu disiarkan, Kaksu pernah berpesan kepada saya dengan pesanan yang amat pendek tetapi begitu bermakna: “Aidil, jangan pernah berhenti menulis.” Juga pesan daripada penulis yang sungguh saya kagumi, Abang Faisal Tehrani, ketika saya berguru dengannya dalam Minggu Penulis Remaja (MPR) 2007. Begini katanya: Mulakan dari sekarang, biasakan menulis dalam waktu-waktu penat dan sibuk.

Alangkah pesan nasihat meraka begitu berguna.

Saya harus mengucapkan terima kasih kepada senior MPR, Kak Hafizah Iszahanid, yang mencadangkan nama saya kepada editor. Juga kepada Puan Salbiah Ani, editor sastera Berita Minggu, yang memberikan kepercayaan ini. Tak dilupakan kepada Kaksu dan Kakyah, dua orang kuat Jemari Seni Publishing, yang memberi restu, walau ini bermakna projek novel kedua saya bersama mereka akan menjadi sedikit terlambat.

Saya tahu, saya akan menempuh perjalanan jauh penuh pancaroba sebelum boleh tiba ke titik terakhir novel bersiri ini. Doakan saya selamat sampai ke destinasi. Doakan saya tidak tersesat menyasau ke mana-mana. Doakan saya mengisi novel ini dengan perkara-perkara bermanfaat. Bak kata Pak Samad, menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah. Dan kata Kak Nisah Haron pula, menulis novel bersiri itu satu derita yang nikmat.

Moga-moga saya mendapat nikmatnya. Dan khalayak mendapat faedahnya.


*Foto dicuplik dari http://norryabby.fotopages.com.

13 comments:

hani salwah yaakup said...

Tahniah Aidil. Semoga tekal menulis!

mohamadkholid said...

saya menanti tulisan sdr!

Aidil Khalid said...

Kak Hani,

Terima kasih, tapi janganlah terlalu cepat mengucap tahniah, sebab cabaran sebenarnya adalah untuk sampai ke penghujungnya nanti. Doakan ya. =)


Sdr Kholid,

Tegur-tegurlah kalau saya menyasar atau tersalah apa-apa dalam tulisan nanti.

Aidil Khalid said...

Kak Hani,

Terima kasih, tapi janganlah terlalu cepat mengucap tahniah, sebab cabaran sebenarnya adalah untuk sampai ke penghujungnya nanti. Doakan ya. =)


Sdr Kholid,

Tegur-tegurlah kalau saya menyasar atau tersalah apa-apa dalam tulisan nanti.

BiLA PenA bERbicAra said...

tak sabar utk membaca karya aidil itu. =)

Abdullah Ghani said...

wehh..
aku tak beli suratkabar laa..

nanti kau emailkan jer laa citer kau..

Aidil Khalid said...

Mu'izzah,

Dalam membaca, jangan lupa beri kritik-tegur-komen ya.


Abdullah Ghani,

Mulai 6 September ini jangan lupa beri surat khbar! Amacam kerja? Ok?

Aidil Khalid said...

Pembetulan ejaan: beli

Mas said...

wah aidil!
maka saya pon akan mulai membeli akhbar tersebut semula mulai 6 september nanti..
tahniah ye...

Abdullah Ghani said...

keje alhamdulilah,
sesuai laa utk aku bangkit balek meneruskan hidup..

biruNiLA said...

Selamat untukmu Aidil :)
menulis novel bersiri, seksa yang mengasyikkan... perit yang membahagiakan...
itu yang kaksu rasa selesai habiskan novel Nyanyian Tanjung Sepi (walaupun medium maya dan cetak tidak sama 'mood'-nya namun disiplin waktu tidak banyak berbeza, kaksu rasa)
TAHNIAH sekali lagi

Hafizul said...

Aisey! Kena beli 2 paper la ari ahad. Satu Berita Minggu, satu Utusan. Takpun, tunggu novel bersiri ko dibukukan. haha... Pepun, tahniah!

Aidil Khalid said...

Mas,

Terima kasih atas sokongan. Kalau sudah baca nanti, dan kalau ada apa-apa pandangan, jangan lupa beri tahu.


Kaksu,

Nampak gayanya kena menuntut ilmu disiplin daripada Kaksu ni.


Hafizul,

Beli dua akhbar hanya hari Ahad sahaja. Tak beban kan? Hehe. Kalau nak tunggu dibukukan, lambat lagi. Lagipun akhbar Berita Harian sekarang ni ada halaman sastera setiap hari. Memang kena beli hari-harilah nampaknya.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP