Friday, August 14, 2009

Universiti di Meja Makan

Statistik terakhir, sejauh pengetahuan saya, menunjukkan bahawa purata pembacaan rakyat Malaysia berjumlah dua buah buku setahun. Satu angka yang rendah memang, tetapi ada pula yang mempertikaikan ketepatan statistik tersebut, kerana turut mengambil kira kanak-kanak yang terlalu kecil dan belum boleh membaca ke dalam kiraan. Tapi apa yang tak boleh dinafikan oleh siapa-siapa adalah bahawa budaya membaca belum benar-benar menyerlah dalam kalangan masyarakat. Justeru saya ingin kongsikan bagaimana mak dan ayah saya menyerapkan budaya tersebut ke dalam diri dan adik-beradik.

Seperti ibu bapa yang lain, mak dan ayah saya juga sudah mulai membacakan pelbagai cerita kanak-kanak ketika kami masih kecil. Goldilocks, Snow White, Hansel and Gratel, Three Little Pigs, Ugly Duckling, sudah menjadi basahan telinga ketika sebelum pandai bercakap. Secara peribadi saya sebenarnya tak begitu merasakan – atau setepatnya tak begitu ‘nampak’ – akan kesan positif tindakan tersebut. Mungkin ya, mungkin juga tidak, uh, apa yang saya tahu, waktu itu saya masih terlalu kecil untuk ingat, masih bocah yang entahkan dua tahun entahkan tiga tahun barusan.

Saya cuma ingat ketika sudah sedikit besar – darjah lima kalau tak salah – suatu hari ayah pulang dari kerja sambil mengumumkan: Mulai hari ini ada peraturan baharu dalam keluarga. “Nanti waktu makan malam ayah ceritakan,” begitu katanya.

Saya mulai teruja, walaupun belum tahu apakah peraturan baharu yang dimaksudkan itu. Barangkali sekadar mendengarkan ‘bakal ada sesuatu yang baharu’ sudah cukup untuk menjadikan jiwa anak-anak saya sedikit melonjak mengharap akan sesuatu yang menggembirakan.

Waktu makam malam pun tiba. Ayah pun mulai menerangkan. Bahawa mulai besok, ketika makan malam, setiap seorang ahli keluarga harus bercerita tentang apa-apa sahaja yang dibaca sepanjang seharian. Setiap seorang akan mendapat giliran. Mulai dari adik yang paling bongsu, kemudian uda, kemudian angah, kemudian along, diikuti dengan emak, dan paling akhir, ayah. Setelah semua selesai bercerita, barulah masing-masing boleh meninggalkan meja makan.

“Ayah baca tentang hal ini,” terang ayah lagi, “dari majalah Readers Digest. Pengalaman sebuah keluarga yang mengamalkan perkara ini. Mereka namakannya sebagai university at dining table. Sebab setiap seorang harus mencari bahan untuk diceritakan ketika makan malam nanti, jadi setiap seorang akan ‘terpaksa’ membaca sesuatu untuk dijadikan bahan bercerita. Dan lebih bermanfaat lagi, setiap seorang tidak cuma dapat apa yang dibaca sahaja, tetapi juga mendapat dari apa yang orang lain baca. Akhirnya, menurut artikel tersebut, setiap seorang anak-anak dari keluarga yang mengamalkan universiti at dining table itu berjaya ke menara gading, dan bukan lagi sekadar beruniversiti di meja makan sahaja.”

Makanya besoknya saya dan adik beradik pun mulai kalut mencari-cari bahan. Ada yang baca fiksyen, makanya yang diceritakan adalah cerita fiksyen yang dibaca itu. Ada yang baca maklumat dari ensikopedia, makanya maklumat tersebutlah yang dikongsikan. Ada yang baca anekdot dari coffee book, makanya anekdot itulah yang dikisahkan kembali. Tapi apa-apa pun, pokok pangkalnya adalah bahawa semua kami mulai membaca, dan membaca pula tidak hanya dengan ringan-ringan, sebaliknya dengan penuh tekun, kerana malam nanti harus membentangkan kembali apa-apa yang dibaca itu – justeru tentu sekali memerlukan pemahaman yang lebih mendalam dari sekadar membaca untuk diri sendiri sahaja. Dan perasaan untuk mempesona para ahli keluarga yang lain membuatkan setiap daripada kami berusaha mencari bahan-bahan yang benar-benar menarik atau sekurang-kurangnya lain dari yang lain.

Amalan ini berterusan dalam keluarga kami sehingga – sejauh ingatan saya – ketika saya sudah dalam tingkatan empat atau lima (saya kurang pasti). Hari ini, kesemua adik beradik saya sudah masuk universiti. Tapi tentu sekali hakikat kesemua ahli keluarga masuk universiti bukanlah sesuatu yang luar biasa. Siapa-siapa sahaja boleh masuk universiti hari ini. Apa yang lebih penting adalah kami menjadi manusia yang membaca. Abang sulung saya adalah seorang pembaca tegar (yang sangat tegar dan luas pembacaannya), saya sendiri adalah pencinta buku (selain juga seorang pencipta buku), dan adik perempuan saya juga adalah seorang pencandu buku. Cuma adik lelaki saya sahaja yang ternyata tidak begitu mendapat kesan dari amalan university at dining table ini dan dia mengakuinya bahawa sehingga hari ini masih mengalami masalah untuk menikmati membaca.

Apa-apa pun, sesuatu program itu tidak semestinya akan berjaya seratus peratus. Kalaupun tidak berjaya menjadikan seseorang itu pembaca tegar, sekurang-kurangnya perkongsian di meja makan akan dapat menjadikan seseorang itu sedikit lebih berilmu.

Sekarang, amalan university at dining table sudah tidak diamalkan lagi dalam keluarga kami, saya tak tahu kenapa, walaupun ketika-ketika semua ahli keluarga berkumpul untuk makan malam bersama. Mungkin kerana semuanya sudah besar panjang, atau mungkin kerana waktu sudah berubah dan masing-masing lebih selesa membaca sendiri-sendiri. Atau mungkin juga kerana semua sudah graduate dari university at dining table, dan tak berhasrat lagi untuk menyambung membuat masters dari universiti di meja makan!


*Gambar dicuplik dari www.superstock.com.

8 comments:

Saiful Ambar Abdullah Ambar said...

Salam...baru saja terjumpa dengan blog saudara semalam.. dan terus tertarik dengan gaya dan isi penulisan saudara. Keep up the good work!.

Catatan Universiti di meja makan ini mengingatkan saya kepada amalan seakan sama oleh keluarga kami dahulu. Cumanya lebih kepada setiap ahli keluarga akan meluahkan pendapat/pandangan atau pun perasaan/masalah semasa makan. Dan ternyata ia merapatkan perhubungan kami. Namun, serupa seperti saudara, setelah masing-masing membesar, tiada lagi sesi berbicara/berkongsi pendapat semasa makan bahkan sudah agak lama kami tidak berkumpul makan bersama - masing-masing tinggal berjauhan dan hanya dapat berkumpul sekali-sekala.

Apa pun, catatan saudara kali ini amat terkesan dari sudut membina keluarga dan seerusnya masyarakat yang suka membaca. Mungkin boleh diambiil contoh ini untuk diamalkan dalam keluarga sendiri nanti.

Aidil Khalid said...

Saudara Saiful Ambar,

Saya ke blog saudara. Wah, seorang peguam yang beramal dan memiliki firma sendiri! Saya masih seorang peguam 'in the making'. Ehehe.

Saiful Ambar Abdullah Ambar said...

Terima kasih kerana singgah ke blog saya..dah lama tak kemaskini..

InsyaAllah..tak lama lagi jadi le peguam tu.. nak tunggu tu lama, tapi pejam celik pejam celik tak sedar dah sampai pun ke destinasi... baru 5 tahun practice tapi masih boleh rasa macam semalam masih di kampus..hehehe..

Enjoy yourself during the LLB Hons period...you'll gonna missed it one day. Tuan Lee masih mengajar Criminal Procedure??

BiLA PenA bERbicAra said...

Salam Aidil,
Eja baru berkesempatan menjengah ke ruang baru ni. Menarik gambar kopi di atas tu. Sekali tengok Eja dah boleh rasa tengah minum kopi dan imej kopi tu membawa imej yang santai.Ala-ala sembang-sembang sambil menikmati kopi itu sendiri. =)

Torpedo said...

Perkongsian yang menarik dan tidak pernah aku fikirkan. Sangat MENARIK PERHATIAN AKU!

Aidil Khalid said...

Saudara Saiful Ambar,

Oh, alumni LLB UiTM rupanya.
Ya, harap-harapnya mampu survive sampai habis LLB. Semester ni Tuan Lee tak ajar Criminal Procedure. Yang mengajar Puan Habibah Kiprawi dan Puan Che Audah.


Muizzah,

Kalau nak santai-santai, datanglah ke sini. =)


Torpedo,

Kalau ada anak, boleh cuba praktik.

Torpedo said...

Ha..ha..ha.. Aku tak kahwin lagi la.

Mawar said...

Sdr Aidil
ya ini juga antara ruang kecil yang bermakna untuk sebuah keluarga yang sibuk. di meja makanlah kita sempat bertukar cerita/ilmu. di sisi lain, tidak lagi sempat mengusik, "jangan bercakap semasa makan"...kerna hanya di ruang ini kita dapat duduk bersama.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP