Tuesday, September 22, 2009

Membaca Sejarah

Semenjak novel Dengan Tinta disirikan dalam Berita Minggu setiap hari Ahad, alhamdulillah, beberapa teman lama ramai yang menghubungi – ada yang mengucap tahniah, ada yang menyata keterujaan, dan tak kurang yang terkejut terperangah tidak menyangka rupa-rupanya saya menulis. Salah seorangnya adalah Nor Hazreen, rakan sekelas ketika saya dalam tingkat menengah rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau dahulu (saya bersekolah di sekolah ini dari tahun 1998-1999).

Hazreen menghubungi melalui laman facebook. Dia nyatakan dua perkara:

Pertama sekali, terkejut tidak menyangka saya minat menulis – kerana katanya ketika zaman sekolah dahulu dia tak pernah nampak saya cenderung ke arah ini. Dan kedua, dia lebih-lebih lagi terperangah kerana yang saya tulis itu malahan adalah novel berunsur sejarah! Semua orang masih ingat tentang peristiwa antara saya dengan guru sejarah dahulu, begitu katanya mengingatkan.

Ahaha, waktu itu zaman muda-mudi nakal-nakal berjiwa berontak – justeru tak perlulah saya ceritakan di sini apakah yang terjadi ketika itu. Tetapi, ya, harus saya akui bahawa walaupun dalam PMR dan SPM saya mendapat A1 untuk mata pelajaran sejarah, hakikatnya subjek ini sebenarnya sungguh menguji tahap kesabaran saya di waktu itu.

Saya mengingat subjek sejarah di peringkat sekolah sebagai subjek yang kontang dan kering. Sejarah, seingat saya, hanyalah nama-nama tokoh dan nama-nama peristiwa. Misalnya di menengah rendah saya wajib ingat nama Dato’ Onn dan mengaitkan ingatan tersebut dengan nama satu peristiwa yang dipanggil Malayan Union. Itu sahaja – dan kalau saya berani-berani mengaitkan dengan perkara lain makanya saya tidak akan mendapat markah. Di peringkat sekolah menengah pula, soalannya sudah tidak lagi berbentuk pilihan objektif seperti di peringkat sebelumnya, sebaliknya berbentuk esei. Tetapi itu pun, pelajar masih tak dituntut berkreatif menjana idea, sebaliknya hanya perlu memasukkan kata-kata kunci sahaja. Misalnya kalau soalannya ditanya: apakah kesan daripada penjajahan Jepun ke Tanah Melayu, makanya pelajar wajib memasukkan kata-kata kunci yang telah ditentukan seperti berikut: (1) ia memberi kesedaran bahawa bukan hanya orang putih sahaja yang mampu memerintah, dan (2) ia membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu. Kalau dua kata kunci ini tidak dimasukkan, maka tidak ada markah untuk pelajar, biar bagaimana berjela sekalipun dijawab dengan penuh kritis dan kreatif. Dan kata-kata kunci ini wajib dihafal, tak perlu difaham.

Hanya hafal, kata guru, kalau hendak mendapat markah tinggi, hafallah dengan setepatnya. Dan saya pun hafal, hafal, dan hafal, dan kemudian dalam periksa memuntahkan semuanya.

Semalam ketika dalam perjalanan yang macet untuk pulang ke kampung di Rembau, adik lelaki saya memandu van sedang saya yang memang tak suka memandu pula duduk di kerusi belakang menyelak-nyelak halaman buku Mein Kampf Adolf Hitler. Tak dinafikan Hitler memang seorang pemimpin autokratik berfaham fasisme, tetapi saya sungguh cemburu apabila membaca pengalamannya mempelajari sejarah daripada seorang profesor. Begini tulisnya:

Probably my whole future life was determined by the fact that I had a professor of history who understood, as few other understand how to make this viewpoint prevail in teaching and in examining. This teacher was Dr. Leopold Poetsch, of the Realschule at Linz. He was the ideal personification of the qualities necessary to a teacher of history…. he was a very attractive speaker and was able to inspire us with his own enthusiasm. Even today I cannot recall without emotion the venerable personality whose enthusiastic exposition of history so often made us entirely forget the present and allow ourselves to be trasported as if by magic into the past. He penetrated through the dim mist of thousands of years and trasformed the historical memory of the dead past into a living reality. When we listened to him we became afire with enthusiasm and we were sometimes moved even to tears.”

Tulis Hitler lagi, Dr. Leopold bukan sahaja dapat memberikan contoh semasa untuk dikaitkan dengan peristiwa masa lalu, tetapi juga dapat membentangkan sebab dan akibat – pengajaran dan pembelajaran – yang boleh diambil daripadanya dengan cara yang penuh menguja malah memukau juga. Dia, menurut Hitler lagi, memahami sungguh-sungguh persoalan dan permasalahan masa kini yang ketika itu mengepung minda setiap penduduk Jerman.

To study history means to search for and discover the forces that are the causes of those results which appear before our eyes as historical events. The art of reading and studying consists in remembering the essentials and forgetting what is not essential,” tambah Hitler lagi.

Sekali lagi ditekankan, tak dinafikan Hitler memang seorang pemimpin autokratik berfaham fasisme dan tak wajar dijadikan ikutan, tetapi saya sungguh cemburu apabila membaca pengalamannya mempelajari sejarah daripada gurunya.

6 comments:

Mohd. Fahmi said...

Salam singgah. Kebetulan pula saya sedang berminat dengan sejarah Sarawak.

Tentang konsep pendidikan dan pengajaran matapelajaran Sejarah yang memaksa menghafal ketika itu mungkin menyebabkan tak ramai pelajar kita berminat dengan sejarah. Saya sendiri hanya tertarik baru-baru ini apabila terjumpa naskah tentang sejarah Sarawak di Pustaka Negeri.

Sarah said...

Salam bertamu,
Alangkah seronoknya kalau guru sejarah saya itu Albert Knox dalam Sophie's World :)

Juga tahniah dengan novel bersiri itu ya :)

Aidil Khalid said...

Mohd Fahmi dan Sarah,

Sejarah tentunya akan lebih menarik setelah ditiupkan dengan roh fiksyen kedalam fakta-faktanya yang mentah. Akan lebih hidup nantinya. Dan akan lebih real tentunya. =)

MiMiLiaNi said...

salam,saudara aidil....saya mula berminat mengikuti perkembangan saudara setelah mengikuti novel DENGAN TINTA yg bg pandangan saya amat menarik kerana dimulakan kisah ttg watak utama yg meminati Min dalam diam,perkembangan plot yg menarik..Tetapi,saya juga telah ketinggalan bbrp chapter krn mslh teknikal..semoga terus sukses dlm lapangan sastera & bidang guaman!

MiMiLiaNi said...

dan,saya bukanlah seorang pencinta subjek sejarah sewaktu di sekolah dahulu..mungkin kerana saya x pandai mengolah fakta2 yg perlu dihafal ke dalam bentuk cerita..bila dikenang kembali barulah saya sedar betapa lemahnya saya sbg rakyat Malaysia!

MiMiLiaNi said...
This comment has been removed by the author.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP