Sunday, October 04, 2009

Nadzreen, Perempuan Cina, Pekan Mati

Keadaan pekan itu kalau diperhatikan dari jauh ternyata sekali persis sebuah pekan tinggal. Hanya terdapat dua deretan rumah kedai yang duduknya saling berhadapan dan dipisahkan pula oleh sebuah jalan berturap kecil. Bangunan-bangunan rumah kedai dua tingkat itu kelihatan tersergam membisu dalam gelap malam, dan dinding-dindingnya yang lusuh sekadar memercikkan samar-samar keperakan bulan di langit. Tak ada manusia. Tak ada cahaya terang. Tak ada apa-apa. Kecuali seekor kucing yang kelihatan menguis-nguis isi tong sampah yang tergolek di hujung kaki lima berdekatan longkang. Di situlah duduknya Nadzreen. Berseorangan. Dalam gelap. Dan oleh kerana itu, dia terlindung daripada pandangan perempuan itu.

Perempuan yang sedang tergesa-gesa melangkah daripada selekoh hujung jalan sana.

Nadzreen memerhatikan sahaja.

Perempuan itu seusia dengannya – begitu telahnya. Atau barangkali kalaupun lebih muda, hanya setahun dua sahaja. Kulitnya yang cerah kuning langsat memang kelihatan bagai memancar bercahaya di bawah sinar terang rembulan. Seperti bidadari yang turun dari kayangan dan terlindung oleh sekalung cahaya mengilau.

Tidak perlu memerhatikan dengan ketelitian betul atau memicingkan mata sebelum seseorang itu boleh perasan bahawa perempuan itu tidak ada iras Melayu sama sekali. Warna kulitnya sudah menunjukkan segala-galanya. Dan ini ditambah dengan bentuk wajahnya yang bujur sirih dilatari oleh sepasang mata yang sepet, hidung yang sedikit mancung, dan seulas bibir yang tipis. Bulu keningnya yang segarit tetapi pantis menjadi pusat keindahan segala-galanya – ia menambah seri kepada sepasang mata yang sudah semula jernih dan urna hitam pada latar kulit yang cerah membuatkan orang yang memandangnya tidak akan puas memandang sekadar sekali.

Dan memang itulah yang terjadi kepada Nadzreen malam itu.

Dia menganga terlopong barang beberapa jemang memerhatikan akan perempuan itu melangkah laju dari hujung jalan sana. Sungguhpun perempuan itu sedang mengayun langkah, tetapi bagi Nadzreen, segala-galanya seperti diam tetap. Waktu bagai berhenti berdetik, dan bumi bagai berhenti berputar. Untuk seketika itu hanya ada Nadzreen dan perempuan tersebut dengan ditemani oleh simbahan sinar bulan dengan keperakannya. Cengkerik berhenti bernyanyi. Angin berhenti berhembus. Embun berhenti membasah. Dan kucing yang menguis-nguis itu bagai lesap tiba-tiba.

Tetapi kemudian apabila dia tersedar dari keterpukauannya itu, waktu kembali berdetik. Tik tak, tik tak, tik tak. Serasa-rasa seperti lebih pantas dari biasa pula, sepertinya hendak menggantikan semula waktu yang telah terhenti barang beberapa saat yang lalu. Dan kucing yang tadinya lesap itu tiba-tiba mengiau kuat.

Perempuan itu menuju ke tengah-tengah deretan rumah kedai di seberang jalan lalu berhenti di hadapan salah satunya. Dia tidak perasan akan kehadiran Nadzreen yang duduk berjuntai kaki ke dalam longkang. Barangkali kerana tempat tersebut agak terlindung dari pantul bulan, atau barangkali kerana perempuan itu memang sedang tergesa-gesa sehingga tidak nampak akan Nadzreen.

Kucing mengiau lagi. Dan nadanya memanggil-manggil. Entahkan kucing betina memanggil kucing jantan atau sebaliknya, Nadzreen tidak tahu. Dia tidak ambil peduli.

Dia terus memerhatikan segala tingkah dan lakunya perempuan itu. Yang sebetulnya dia berasa sedikit curiga, kerana seorang wanita Cina datang seorang diri tengah-tengah malam buta begini ke tengah-tengah pekan. Ada apa yang dimahunya? Setahu Nadzreen, kaum keluarga Cina ramai yang telah lari menyelamatkan diri waktu mula-mula pihak Jepun masuk ke Johor Bahru lagi. Mereka tidak termakan oleh kempen ‘Asia untuk Asia’, kerana berita keganasan askar-askar Jepun terhadap orang-orang Cina bukan lagi suatu rahsia, malah sudah luas tersebar, dari mulut ke mulut, dan hal ini sungguh menggerunkan. Bagaimana mereka memperkosa isteri-isteri para tauke di hadapan suami sendiri. Bagaimana mereka memenggal leher para suami di hadapan anak dan bini. Uh, segala-galanya kerana dendam, kerana dendam atas penentangan sukar yang mereka terima nun jauh di tanah besar China sana, dan padahnya dirasai sampai oleh para pendatang di sini.

Nadzreen melihat perempuan itu menyeluk saku baju kurungnya sebelum mengeluarkan segugus kunci. Ya, perempuan Cina itu memakai baju kurung. Dan dengan menggunakan segugus kunci itu, perempuan itu berusaha untuk membuka masuk ke dalam. Ketika inilah Nadzreen bangun dari tempat dudukya, lalu berjalan menyeberang, ke arah perempuan itu.

Ini adalah petikan daripada bab kelima novel bersiri Dengan Tinta. Dapatkan akhbar Berita Minggu hari ini bagi membaca siri yang penuh. (Novel ini disirikan setiap hari Ahad di akhbar tersebut).

3 comments:

Ahmad Soffian said...
This comment has been removed by the author.
mohamadkholid said...

aku pun dah addict baca novel ni

Aidil Khalid said...

=)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP