Monday, October 19, 2009

Tawaran

Tadi pagi sebaik terjaga daripada tidur
seekor jin yang tadi malam baru sahaya selesai karang kisahnya
(dalam karangan itu ia dibebaskan daripada sumpahan sebuah balang),
tiba-tiba hadir benar-benar menjelma di hadapan mata
mengucap terima kasih kepada sahaya lalu menawarkan;
mahukah dihadiahkan bulan sabit, wahai tuan,
atau mahu bulan mengambang,
malah boleh juga roket terbang?
Sahaya tidak menjawab sebaliknya menanyakan
apa tiga itu cumakah pilihan?
Jin lalu menawarkan tambahan –
atau mahukah dacing perak buat menimbang emas permata, wahai tuan?
Menggeleng sahaya menggeleng.
Atau mahu keris pusaka warisan turunan bertatah berlian?
Cukuplah, jawab sahaya penuh penghormatan, sekadar dihadiahkan sebatang pena
agar dapat terus sahaya peliharan dan pulihara kemuliaan kemanusiaan.

Aidil Khalid
Shah Alam, Selangor.
*Terbit di Mingguan Malaysia; 18 Oktober 2009

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP