Wednesday, November 04, 2009

Kenapa Saya (Hampir) Menolak Feminisme (Dan Barangkali Akan Terus Sahaja Menolaknya)

Di Malaysia, rasa saya sukar dinafikan bahawa kebanyakan pengarang wanitanya senang memilih untuk berada dalam jalur feminis – sama ada secara sedar ataupun tidak. Saya tidak bercadang untuk menulis secara panjang lebar tentang feminisme kerana saya sendiri masih mencari, dan kalau hendak dihuraikan secara rinci, tentulah tulisan ini nanti akan menjadi terlalu panjang dan membosankan. Justeru saya hanya akan memetik beberapa bahagian sahaja daripada perjuangan feminisme itu (setakat sedikit yang telah saya temui) dalam kerangka umum dan bukan feminisme dalam kerangka kritikan kesusasteraan.

Faham feminisme, barangkali kedengaran murni niatnya, kalau sekadar hendak memperjuangkan dan mempertahankan hak kewanitaan. Malah ketika Islam mula-mula datang ke tanah Arab dahulu pun, datangnya adalah dengan membawa kebebasan untuk kaum hawa. Anak-anak perempuan yang dalam tradisinya dibunuh, mulai terbela dengan datangnya Islam. Kaum perempuan yang pada asalnya sewenang-wenangnya dipoligamikan dalam jumlah yang ramai – malah yang berpuluh-puluh isteri pun ada – telah dilimitkan jumlahnya hanya kepada empat orang sahaja untuk setiap seorang suami. Wanita diberi hak memiliki harta. Wanita juga diberi hak bersuara. Wanita diberi hak penuh sebagai seorang manusia. Begitulah ketika Islam mula-mula datang.

Sedang di belahan lain dunia, di barat khususnya, ketika itu masih lagi diselubungi zaman gelap penuh kebodohan. Pengaruh dari tadisi kuno Rom dan Yunani menyebabkan wanita dilihat bertaraf separa manusia – tidak punyai hak untuk memiliki harta, tidak punyai hak politik, dan tidak punyai hak untuk serba-serbi. Hal ini berterusan sampailah selepas Revolusi Perancis yang akhirnya menimbulkan kesedaran dan minat terhadap apa yang hari ini dinamakan sebagai hak asasi kemanusiaan, tempiasnya pula menimbulkan kesedaran bahawa wanita juga harus dilayan sama-rata. (Lihat bagaimana lambatnya barat memiliki kesedaran tentang hak kewanitaan – dan hari ini kita terhegeh-hegeh hendak mengikut mereka dalam mengecam apa yang kononnya dikatakan penindasan kaum wanita oleh Islam).

Golongan feminis ini melihat bahawa dunia selama ini telah diatur sedemikian rupa untuk memenuhi kerangka kehendak lelaki – segala-galanya bertumpu kepada lelaki – sehingga menafikan bahawa wanita punyai kerangka pandangan yang tersendiri dan berbeza. Contoh yang pernah diberikan oleh Profesor Shad Saleem Faruqi ialah berkenaan sistem perundangan itu sendiri bersifat cauvinis lelaki. Dalam Kanun Keseksaan di Malaysia misalnya (yang pengaruhnya adalah daripada sistem perundangan British dan India), seseorang yang dituduh membunuh boleh terlepas andai dia berjaya membuktikan bahawa tindakannya itu dilakukan ketika sedang di bawah pengaruh perasaan bangkitan-marah sehingga hilang kawalan diri, tetapi dengan syarat ia hendaklah terjadi secara spontan sehingga tidak sempat untuk memikirkan apa-apa, barulah hal ini boleh dijadikan alasan untuk tidak disabitkan. Tetapi golongan feminis berhujah bahawa peruntukan undang-undang seperti ini adalah sangat tidak adil kepada wanita – malah melebihkan lelaki – kerana wanita secara biologinya tidak bertindak-balas sedemikian (yang apabila marah akan kehilangan kawalan), sebaliknya mereka akan lebih selalu memendam, dan setelah segalanya memuncak, barulah bertindak. Justeru kalau mereka membunuh suami kerana mengalami tekanan jiwa setelah didera dan ditindas sekian lama, mereka tidak dapat membela diri dengan alasan bangkitan-marah tersebut, sedangkan kalau mereka lelaki yang bertindak secara spontan, mereka sudah boleh terlepas.

Perjuangan feminis terdapat banyak fasanya, malah terpecah kepada beberapa jenis ideologi dan sekolah pemikiran – tetapi antara yang utamanya termasuklah feminis liberal dan feminis radikal. Walaupun kedua-duanya memperjuangkan hak emansipasi kewanitaan, tetapi kedua-duanya adalah saling bercanggahan dari segi pendekatan. Feminis liberal misalnya memperjuangkan kesamarataan total, seperti yang dilaungkan oleh Wendy Williams misalnya. Maksudnya di sini segala-galanya harus sama-rata, dan perbezaan biologi antara wanita dan lelaki harus diketepikan. Kalau boleh diberikan contoh, dalam sukan Olimpik misalnya, tak harus lagi dibeza-bezakan antara kategori lelaki dan wanita – kenapa harus wanita dimasukkan di kategori lain sedangkan wanita tidak lemah – begitu kira-kira hujah golongan ini. Sedangkan feminis radikal pula menekankan bahawa kesamarataan haruslah berteraskan kepada perbezaan sifat lelaki dan wanita itu. Maksudnya sama rata dalam berbeza. Contohnya kembali lagi kepada sukan Olimpik tadi, bahawa memandangkan secara biologinya wanita tidak sama dengan lelaki, justeru kategori yang dipertandingkan haruslah diasingkan. Untuk mempertandingkan antara lelaki dan wanita dalam satu perlawanan atas nama kesamarataan akan hanya menyebabkan ketidak-adilan terhadap wanita (yang bersifat lemah (kah)?).

Sebenarnya percanggahan pendekatan antara feminis liberal dengan radikal ini mahupun antara sekolah-sekolah pemikiran yang lain sudah lama diselesaikan oleh Islam – yang meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan bukan pada kesama-rataan dan keadilan kerangka barat. Sekali lagi merujuk kepada Profesor Shad Saleem Faruqi, beliau mengatakan, “Equality (in Islam) was contextual. In some circumstances women had lesser entitlements; in others they had preferential rights. For example women had preferential rights of custody over children.... Women could retain their maiden names after marriage. They could trade on their own accounts, independent of their husbands....

Islam itu syumul, Islam itu sempurna, tak perlu lagi dimasukkan idealisme-idealisme buatan manusia yang pada akhirnya hanya akan menampakkan kedangkalan dan ketidaksempurnaan kemanusiaan – seperti percanggahan fundamental antara masing-masing sekolah pemikiran dalam feminisme itu sendiri (sedangkan tujuan mereka sama). Lama sebelum terma ‘feminisme’ dicetuskan oleh Dumas dalam L’Homme-Femme-nya, Islam sudah memperkatakan tentang hak-hak wanita. Sepatutnya kita berbangga dengan terma ‘Islam’, tanpa perlu terikut-ikutkan gerakan feminisme.

Saya tidak ada masalah dengan pandangan feminisme dalam kesusasteraan yang menekankan citra kewanitaan dalam karya. Tetapi saya mungkin akan bermasalah dengan bagaimana citra wanita itu digambarkan – atau diperjuangkan. Misalnya saya mengenal seorang pengarang wanita yang mempersoalkan, antara lain, pandangan serong masyarakat terhadap wanita perokok. Katanya ini tidak adil, mengapa lelaki boleh, tetapi wanita tidak boleh? Pandangan terhadap wanita tidak harus ditentukan oleh lelaki. Dengan kata lain, pengarang wanita ini mahukan kesamarataan dalam tanggapan umum terhadap seseorang yang merokok – kalau lelaki boleh merokok tanpa dipandang serong, makanya wanita juga harus diberikan hak sedemikian.

Tetapi saya kemudiannya berhujah kembali, bahawa kenapa pula keadilan dan kesamarataan harus dilihat dari perspektif yang negatif sedemikian – yang menggalakkan orang merokok? Sudah cukup buruk – dan menyedihkan – apabila masyarakat boleh menerima dengan berlapang dada tanpa rasa prejudis terhadap lelaki perokok (yang mana aktiviti ini sebenarnya telah pun difatwakan haram oleh majlis-majlis tertentu) dan sekarang kita harus memburukkan lagi keadaan dengan membenarkan wanita pula merokok tanpa melemparkan pandangan negatif? Tentu sekali ia tidak akan menyelesaikan apa-apa. Sepatutnya kalau mahukan kesamarataan, pendekatannya adalah dengan meningkatkan prejudis terhadap mana-mana perempuan yang merokok, dan dalam masa yang sama pula, mulailah bibitkan rasa serong terhadap perokok lelaki. Dengan cara ini barulah keadilan yang sejagat diperoleh – di mana kesamarataan antara lelaki dan wanita diimbangkan dan sekaligus hak orang ramai yang tidak merokok untuk tidak menjadi perokok sekunder dipelihara.

Golongan feminis selalu mengatakan bahawa perspektif dan pandangan masyarakat hari ini adalah cauvinistik lelaki. Justeru mereka mengibarkan panji-panji feminisme dan melaungkan perspektif dalam kerangka kewanitaan. Persoalannya, kalau mereka mengkritik pandangan cauvinistik lelaki sebagai tidak adil, adakah dengan memperkenalkan pandangan yang bersifat cauvinistik wanita, maka ia akan menjadi adil?

Saya bukanlah seorang cauvinis lelaki, sebaliknya hanya mahu agar kita tidak terlalu ghairah dengan fahaman-fahaman dan isme-isme dari barat. Kita harus kembali kepada Islam – kesamarataan dan keadilan dalam konteks Islam. Dan sekali lagi juga saya tekankan dengan penuh rendah diri, seperti yang telah saya nyatakan di perenggan pertama tulisan ini, bahawa saya masih mencari, dan bersedia sahaja untuk mengubah pandangan ini setelah membuat lebih penemuan lagi. Silakan menegur kalau ada silap dan salah.

15 comments:

S.K. CintaZeni said...

Salam,

Aidil, tersinggung kah, kak S.K gunakan perkataan, "cauvinistik lelaki"???
hahaha...
I struck a nerve, kah? ;D

Tapi, baguslah sehingga terilham nak tulis ni, ek...

Sebenarnya, selama ini, kak S.K gunakan frasa "partriarki" tapi entah nape, masa nak hujah hari tu, yang keluar "cauvinistik lelaki" =D
I've never used those words in its Malay equivalent in my entire writing life!!! haha...

Anyways. Interesting entry and an extension of the SIS discussions, so, I'll jump in...

Yup. I'm not into feminisme either :)

Just coz I agree with some of the things that they are saying, does not mean I'm into feminism... I'm very much aware of my "ism"s :)

For one, I never believed in equality for the different genders coz then, Allah would have created us as one equal gender and He didn't! =D
(among other reasons, of course :D )

Jadi, walaupun, kak S.K mengatakan bahawa masyarakat cauvinistik lelaki, kak S.K tidak akan menawarkan jawapan dari kerangka cauvinistik wanita (itu kan dua kali lima saja nanti, dong!).

Malah, sememangnya, kak S.K setujuuu sekali:
"Kita harus kembali kepada Islam – kesamarataan dan keadilan dalam konteks Islam."

Slogan yang menjadi tunjang sebarang perbincangan mengenai feminisme!

Kerangka Islami yang sebenar tidak pernah cauvinistik :) Yang menjadi masalahnya implementasi di tangan orang lelaki yang cauvinistik :)
Dan implementasi cauvinistik inilah yang terzahir, yang mempunyai manifestasi konkrit, yang boleh dinilai dengan nyata. Ini yang terlihat oleh mereka yang tidak memahami kerangka Islami yang sebenar, maka, mereka akan menyalahkan kerangka Islami itu sendiri! Bukan ejen implementasi!

Itu satu.

Kedua, kerana tidak memahami kerangka Islami sebenar inilah, mereka menawarkan kerangka cauvinistik wanita. Apa kerangka lagi yang mereka ada?

Ketiga, ketiadaan kerangka Islami ini menyebabkan mereka berbicara tentang partikulariti, bukan universaliti, seperti contoh Aidil, mengenai rokok itu...

Justeru? Tugas mereka seperti Aidil (dan Kak S.K?) untuk menerangkan kerangka Islami yang sebenar - falsafah, ideologi, aliran/jalur pemikiran, dan sebagainya...

Wallahua'alam...

Wassalam.

S.K. CintaZeni said...

*frasa, "sistem partriarki"
(blog pun tak bleh edit =D dua kali lima leceh ngan FB, huhuhu... multiply jugak best... tapi sayang, rakan-rakan pengarang Malaysia tak minat multiply lah pulak...)

Aidil Khalid said...

Kak S.K,

Hehe, be assured, tulisan ini bukanlah sebab tersinggung dengan ungkapan 'cauvinis' itu. In fact, kan saya yang dulu gunakan ungkapan cauvinis dalam bab kesembilan Dengan Tinta yang menjadi pencetus kepada perbincangan tentang isu SIS ini.

Sebenarnya saya memang dah beberapa ketika memikirkan nak tulis sesuatu tentang feminisme, cumanya asyik malas dan rasa macam tak cukup bahan, tapi bila dah mula berdiskusi dengan Kak S.K makanya semangat nak menulis datang menyergah pulak. So at least this blog is updated now (at last, setelah sekian lama!). =)

Saya setuju dengan Kak S.K tentang masalah implimentasi yang bersifat cauvinistik lelaki itu (dan interpretasi jugak sebenarnya). Misalnya sesebuah nas itu boleh sahaja ditafsir secara cauvinistik - lelaki atau wanita.

Ya, memang tugas kita - pengarang seperti saya dan Kak S.K dan mana-mana pengarang sekalipun - untuk menerangkan kepada masyarakat tentang penyelesaian yang ditawarkan Islam. Tapi secara peribadi saya merasakan saya tidak ada kelengkapan (ilmu) untuk melaksanakan tanggung jawab tersebut sebab bukan bidang pengkhususan saya. Mungkin tanggung-jawab ini lebih terbeban kepada pengarang yang memang bidang pengkhususannya adalah dalam aliran agama. Tapi itu tidaklah pula bermaksud pengarang bukan aliran agama boleh lepas tangan, sebab mereka juga ada tanggung-jawab untuk menggempur sekularisme dari apa-apa sahaja 'angle' bidang kepakaran mereka. Cumanya mereka yang dari bidang agama itu harus lebih fokus kepada isu utamanya. Contohnya slogan "kita harus kembali kepada islam -- kesemarataan dan keadilan dalam konteks islam," ini hanya teori yang tidak akan ada nilainya kalau tidak ada tokoh berkepakaran agama yang dapat menunjukkan bagaimana untuk mempraktikkannya.

BTW, lepas baca balik entri ini, saya rasa macam terlalu ekstrem pulak bunyinya saya menolak feminisme. Ahaha! Jadi rasanya kena tambah sikit supaya tidak kedengaran seperti menolak emansipasi wanita:

"Feminism highlights the patriarchal aspects of the law. It opens our eyes to the many injuries women suffer which go unrecognised or unremedied." ~Prof Shad Saleem Faruqi~

Jadi itu adalah sumbangan feminism yang tak boleh dinafikan. =)

hanis said...

SalaAm..

Benar, Islam itu syumul. Tidak ada penafian tentang itu. Feminisme pula adalah idealisme yang lahir dari akal manusia yang terbatas. Sudah pastilah lemah dan semudahnya disangkal dengan berpandukan wahyu. Malangnya ramai orang yang tidak mahu menerima penerangan berdalilkan wahyu, termasuk sesetengah golongan yang mengaku berkelulusan agama.

Sudahnya masyarakat jadi keliru, yang mana satu harus diikut.

Feminisme pastinya tidak salah dan tak mungkin terpesong kalau disandarkan kembali kepada syariat. Bukankah ALLAH telah menetapkan segala-galanya untuk dijadikan panduan manusia di dalam al-Qur'an? Apa yang dilarang dan diperintahkan kepada lelaki dan wanita bersesuaian dengan fitrah masing-masing.

Masalah dunia Muslim hari ini adalah kerana umat Islam sendiri pun tidak mahu mendalami agamanya. Apalah sudahnya hidup ini kalau orientalis saja yang sibuk mengkaji al-Qur'an dan hadis (dengan tujuan menjatuhkan umat Islam)?

Saudara, pernah baca trilogi [Princess, Daughters of Arabia dan The Desert Royals]? Di dalamnya ada isu feminisme yang kritikal. Tapi isu-isu itu tidak dapat saya bantah gerakan feminisme yang cuba dibawa oleh penulisnya. Kalau belum, saya cadangkan saudara membacanya. Kisahnya menarik, dan benar.

Maaflah, saya sebagai penulis amatur berani-berani menconteng di blog saudara.

Selamat menduduki imtihan. Kita sehaluan.. Sebagai pelajar..

Kisah Nysrah belum habis saya baca, tapi isunya menarik. Mungkin bila mendaftar semula semester depan saya cuba pinjam novel itu dari pustaka. Sekarang cuma boleh curi-curi pandang saja. Tahniah atas penghasilan itu..

armouris said...

info tentang wanita merokok kat sini -
Kenapa Wanita Tidak Sepatutnya Merokok

Zulfazlan Jumrah said...

salam...sekadar cadangan, untuk mengetahui lebih banyak tentang asas terciptanya fahaman feminis Barat, boleh baca esei-esei yang dihasilkan oleh Showalter, Julia Kristeva, Irigaray, Helena Cixious, Batler, Fuss, Kahane, Castle, Warner dan Lydon. Mereka pencetus fahaman ini yang kemudiannya diaplikasikan di dalam bidang kesusasteraan.

Aidil Khalid said...

Hanis, silakan saja mencoret sebarang pandangan di sini. Memang itulah niatnya ruangan komen ini dibuka. =)

Oh, saya belum membaca lagi trilogi yang saudari sebutkan itu. InsyaAllah nanti saya akan cuba mencarinya. Kalau tak berkesempatan untuk membaca ketiga-tiganya, mungkin saya akan baca satu sahaja untuk mendapatkan gambarannya.

Apa-apa pun, mengenai feminisme ini, saya suka sekali mengetengahkan cerpen 'Apakah yang Kaucari, Muslimah' karya Siti Hajar Mohd Zaki yang disiarkan dalam Dewan Sastera 2008. Bagi saya cerpen itu adalah contoh sebuah karya anti-feminisme barat, dan dihujahkan pula dengan sangat berseni -- tidak berkhutbah, sebaliknya bercerita dengan lembut.


Zulfazlan,

Terima kasih atas saranan itu. Mereka itu memang antara pencetus fahaman feminisme, tapi bukan pencetus awal kan. Mereka cuma mengaplikasikan feminisme itu ke dalam kesusasteraan, sedangkan gerakan feminisme sudah dimulakan lebih awal lagi. Kau pergi tak Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu nanti?

Aidil Khalid said...

Tuan Armouris,

Merokok bukan sahaja tidak patut untuk wanita, tetapi juga untuk lelaki. Malah yang lebih utama sekali, orang yang merokok telah menafikan hak orang-orang yang tidak merokok untuk tidak menjadi perokok sekunder. Kalau orang yang merokok memang merasakan nyawanya tidak berharga lantas hendak membunuh diri sendiri dengan merosakkan paru-parunya, maka janganlah pula melibatkan orang-orang lain di sekeliling yang menghargai kesihatan dan nyawanya.

Healmie a.k.a BuRN said...

Salam,
saya kagum dengan daya kreativiti penulis blog ni, Aidil.

Anda kini guru saya kerana saya telah menimba satu ilmu; belajar melalui pembacaan adalah seperti belajar berenang di dalam kolam tenang – yang tak ada gelombang badai – sedangkan belajar melalui pengalaman hidup adalah umpama berenang di tengah-tengah lautan yang mampu menyediakan seseorang dalam menghadapi hempasan ombak yang bergulung-gulung.

Teguran saya: gambar2 yang memaparkan keaiban seseorang elok jika dapat dipalangkan @ dikaburkan wajahnya kerana bimbang mengaibkan individu berkenaan. Mungkin dia sudah bertaubat. Sama2 kita doakan diri kita dan mereka juga, insyaAllah.

Bersyukur terjumpa blog ni, terima kasih, wassalam.

http://pandaisimpan.blogspot.com

Anonymous said...

banyak terlihat feminisme dalam karya2 a.samad said...

Abdullah Ghani said...

minah tu terang2 hisap rokok,
bagi censored laaa mata dia.

adoii...etika zero laa!

Aidil Khalid said...

Kita kaburkan mata cuma untuk perkara-perkara yang mengaibkan sahaja. Bagi sesetengah orang, perempuan menghisap rokok bukanlah sesuatu yang mengaibkan, sebaliknya adalah sesuatu yang harus dibanggakan -- lambang kesamarataan yang didamba-dambakan oleh mereka. Kalau dah bangga kenapa mesti kaburkan mata?

aqilah mukminah said...

assalamualaikum...

saya juga tertarik untuk memperkatakan isu gambar tersebut pada mula-mula saya membaca artikel yang sangat bermanfaat ini. Namun niat tersebut telah terlebih dahulu dinyatakan oleh saudara healmie di atas.
Saya juga sependapat dengan beliau untuk tidak mendedahkan sesuatu yang menjadi keaiban. Sesuatu yang kadangkala menjadi keaiban sesetengah pihak kadangkala tidak begitu kepada sesetengah yang lain.
Kemungkinan juga saudari yang di dalam potret tersebut sudah mahu kembali kepada sifat yang seharusnya bagi seorang muslimah. Namun kemungkinan menjadi penghalang kepadanya jika difikirkan semuanya sudah terlambat kerana ramai yang telah menyaksikan dirinya dalam keadaan yang tidak hak.
Bukankah Rasul kita sudah berpesan: 'sesiapa yang menutup aib saidaranya akan ditutupkan aibnya di akhirat kelak'?.
Saudari tersebut sudah tentu mempunyai keluarganya sendiri yang tidak ingin wajah anggota keluarganya dipaparkan dalam keadaan begitu.
Juga perwatakan wanita itu bertudung dan membawa imej seorang muslimah. Sudah tentu dengan penyebaran ini sedikit sebanyak dapat membawa kepada penyerongan pandangan kepada agama kita.
Saya secara peribadi berkecil hati melihat gambar tersebut kerana saya wanita bertudung.
Izinkan saya juga untuk berbicara mengenai penayangan gambar yang mendedahkan aurat saudara di dalam gambar yang pertama. Mungkin kepada sesetengah golongan perkara itu tidak menjadi masalah tetapi kepada sesetengah yang lain menjadi masalah yang besar.
Memang tidak dinafikan terlalu banyak pendedahan aurat yang berlaku di zaman ini. Tetapi tidakkah kita mahu jauh daripada gejala yang tidak bermoral ini? Saya sebagai saudara seIslam tidak mahu muslimin (secara umumnya) berkongsi saham dosa di dalam perkara yang kelihatan remeh tetapi sebenarnya penting. Amat penting.
Saya menyeru kepada diri saya dan semua untuk menjaga perkara-perkara yang kelihatan remeh ini kerana Islam itu sendiri menyentuh perkara sekecil zarah. Mengapa tidak kita?
Maafkan saya atas komen yang menyerupai satu artikel. Mungkin untuk kebaikan semua. Mungkin. Kerana yang baik itu hanya Allah. Saya insan yang lemah. Saya juga perlukan teguran sekiranya saya tersalah.
Salam ukhuwwah dari saudara seimanmu in sha Allah..:)

fzal said...

aku suka artikel kau aidil. tak berani nak komen. tapi apa yang aku belajar islamic law di UK sana tu mmg telah membuktikan bahawa islam itu satu cara hidup yang teratur dan sistematik. contohnya kalau tak silap aku, dalam kes pembahagian harta. jangan nampak wanita dapat sikit je. fikirlah bila laki dapat harta yang lebih tu, dia kena kongsi dengan bininya. apa yang wanita tu dapat dia dapat joli sorang2. kaum laki takde hak nak usik. rasanya macam tulah kan.. hehe.. aku pun dah lama tinggal benda tu. correct me if i am wrong. btw, apsal tak dapat call ko ha??

fzal said...

mana ko dapat gambar2 tu? aku rasa ok je kalau nak letak nak cantikkan lagi artikel ni. gambar 1 tu takde la nampak sgt orgnya, therefore should be okay. takde aib2 pun. yang gambar 2 tu pulak, gaya dia macam tak rasa aib pun masa hisap tu... "cool" semacam je. muka bangga lagi.. hehe.. belakon agaknya niii... conclusion: aku rasa dua2 gambar takde masalah...

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP