Thursday, November 26, 2009

Kesusasteraan, Prof Dr Ungku Maimunah, dan Persuratan Baru.

Saya mesti menurunkan catatan tentang perkara ini walaupun sebenarnya sudah agak tertangguh lama. Bahawa saya sebenarnya telah terpesona dengan Prof Dr Ungku Maimunah (selepas ini Prof sahaja) dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu di UKM tempoh hari. Justeru saya mesti menurunkan sedikit catatan tentangnya.

Prof membuat pembentangan dengan sangat bersahaja – sambil duduk dan mengendalikan komputernya untuk siaran slide – tetapi kerana ia sarat isi dan adakalanya sedikit provokatif, makanya pembentangan yang bersahaja itu menjadi sungguh menarik. Beliau membicarakan betapa keadaan sastera Melayu kini sudah pada tingkatnya yang sangat kritikal, dan perlu diselamatkan supaya tidak terus terjerumus dalam lurah jahiliah. Soal bersetuju atau tidak dengan pandangannya, itu hal lain. Yang penting kita teliti dahulu apakah yang ingin digagaskan oleh beliau. Berikut ini adalah sedikit catatan yang sempat saya catitkan daripada pembentangan beliau yang sungguh memukau itu (tanpa memasukkan suara peribadi saya sama ada bersetuju atau tidak):

1. Ketika Abdullah Munsyi ditabalkan sebagai bapa kesusateraan Melayu moden – kerana karyanya dikatakan berpijak di bumi nyata serta memaparkan nilai realistik dan membuka lembaran baharu yang meninggalkan elemen-elemen mistis dan mitos dalam kesusasteraan tradisional seperti karya hikayat misalnya – maka telah terpahat kukuhlah dalam sastera Melayu akan gagasan realisme. Sesebuah karya akan dikatakan bermutu kalau ia memaparkan realiti masyarakat sedekat-dekatnya. Adalah penting, oleh itu, untuk kita meneliti apakah yang dikatakan sebagai realisme itu.

2. Adapun aliran realisme lahirnya di Perancis, iaitu pada kurun ke 19, pada ketika sedang zaman industri yang sungguh-sungguh menekankan aspek materialistik dan oleh itu mengabaikan aspek moral. Realisme sebagai idealisme intelektual adalah sebuah aliran yang menekankan realiti yang objektif – dengan memberi prioriti kepada panca indera yang lima. Dengan kata lain, sesuatu yang tidak boleh dibuktikan melalui penglihatan, sentuhan, bau, bunyi atau rasa akan ditolak. Dengan sendirinya, sesuatu yang bersifat kerohanian tidak akan diterima-pakai.

3. Manakala realisme sebagai ideologi estetika pula memberikan perhatian kepada lima perkara, iaitu keutamaan kepada kebobrokan, kepada pemeriannya, kepada perinciannya, sambil tidak memberi ruang kepada sebarang pantauan moral (contoh: pengarang tidak boleh campur tangan atau memasukkan suara peribadinya, biarkan cerita dan watak mengalir dengan sendirinya), serta menyanjung tinggi gaya yang bersifat eksperimental untuk menghasilkan teknik-teknik baharu – seperti asalnya perkataan novel itu sendiri bererti baharu (novelty). Maka daripada asas inilah lahirnya karya-karya sastera Melayu abad ke 20 seperti Salina (A. Samad Said), Tivi (Shahnon Ahmad), dan lain-lain, yang memaparkan nilai-nilai bobrok dan rosak dalam masyarakat.

4. Seorang kritikus dan sejarawan Perancis, Hippolyte Adolphe Taine, menekankan bahawa hanya tiga perkara sahaja yang menjadi penentu akan segala sesuatu, iaitu: (1) miliue yakni persekitaran, (2) race yakni negara bangsa, (3) moment yakni waktu atau masa atau tempoh. Dengan kata lain, memandangkan hanya tiga perkara ini sahaja yang dikatakan sebagai penentu segala dalam aliran realisme, makanya jelas sekali bahawa kehadiran ilahi adalah ditolak.

5. Lantas persoalannya timbul: apakah sastera Melayu mahu terus menganut aliran realisme ini sedangkan ia jelas bertentangan dengan akidah Islam?

6. Setelah aliran realisme, timbul pula satu lagi aliran dalam sastera kita yang agak leluasa juga pengaruhnya mutakhir ini, iaitu post modernisme. Menurut penilaian panel dalam pemilihan sasterawan negara kesepuluh, Anwar Ridhwan dikatakan mahir menggunakan teknik post modernisme. Apakah dia sebenarnya yang dikatakan sebagai post modernisme itu?

7. Salah satu ciri terpenting dalam aliran ini ialah sebuah konsep yang dinamakan sebagai ‘nyah pusat’. Seperti yang tercadang pada namanya, konsep ini tidak menerima sebarang kuasa yang mengawal segala ketentuan – ia menolak konsep ketuhanan sebagai pusat kehidupan.

8. Kendatipun apa sahaja aliran yang dipakai dalam kesusasteraan, elemen ilmu tetap akan menjadi sesuatu yang selalu ditekankan dan diperkatakan. Tetapi apakah dia definisi ilmu dalam kesusateraan itu? Keilmuan kalau mengikut teori kesusateraan ialah suatu pendedahan kehidupan. Ia mendedahkan kondisi kemanusiaan – kebejatan, kebobrokan, kejelekan, dan sebagainya. Lebih bejat, lebih bobrok, dan lebih jelek kondisi yang dipaparkan, maka lebih berilmulah karya itu – menurut penilaian keusasteraan – kerana ia dikatakan dapat mendewasakan khalayak akan sisi-sisi lain kehidupan. Selain itu, konsep ilmu dalam sastera juga dikaitkan dengan penyelesaian di akhir cerita, contohnya apabila wataknya insaf setelah menempuhi pelbagai kerosakan.

9. Prof telah menyanggah konsep ilmu dalam kesusasteraan ini. Sebagai ganti kepada kesusasteraan yang ternyata selalu memaparkan nilai-nilai negatif serta terlalu jelas bertentangan dengan konsep tauhid, makanya Prof mencadangkan suatu anjakan dibuat, yakni transformasi daripada gaya kesusasteraan kepada gagasan Persuratan Baru. Ditekankan di sini bahawa ‘konsep kesusasteraan’ dengan ‘konsep persuratan’ adalah berbeza. Persuratan baru mengguna pakai konsep persuratan, serta menolak konsep kesusasteraan yang ternyata dalam banyak perkara terlalu berkiblatkan barat.

10. Dalam gagasan Persuratan Baru, perbezaan yang nyata digariskan antara cerita dengan ilmu. Cerita bukan ilmu – tidak seperti dalam kesusasteraan -- kebobrokan, kebejatan, kerosakan, juga bukan ilmu. Oleh kerana dalam gagasan Persuratan Baru keilmuan itu dipentingkan, makanya cerita haruslah tunduk kepada ilmu, bukan sebaliknya. Dengan kata lain, kepentingan cerita jatuh nombor dua, dan cerita hanya menjadi kerangka untuk masuk lebih jauh lagi ke dalam perbincangan dan huraian wacana ilmiah.

11. Prof menegaskan bahawa bercerita itu adalah zon selesa bagi seseorang pengarang sastera Melayu – kerana ia tidak memerlukan taakulan atau pemikiran yang terlalu mendalam. Justeru pengarang digesa untuk keluar dari zon selesa ini dan berusaha menganjak daripada tingkat bercerita kepada tingkat berwacana.

12. Adapun gagasan Persuratan Baru bolehlah disimpulkan dalam satu konsep yang dinamakan sebagai Taklif.


Setelah selesai pembentangan, dan ketika tiba waktu makan tengah hari, saya segera mendapatkan Prof untuk menanyakan beberapa kemusykilan. Antaranya termasuk tentang sekiranya Persuratan Baru menitik beratkan penghujahan wacana dan menidakkan kepentingan cerita, adakah itu bermaksud sudah tidak harus lagi ada garis pemisah antara karya kreatif dengan non-kreatif. Saya juga menanyakan bagaimana pula dengan peranan sastera untuk memanusiakan kemanusiaan – yakni kalau karya ilmiah itu untuk memandaikan intelectual quotient (IQ) khalayak, makanya karya sastera pula untuk memandaikan emotional quotient (EQ), kerana itulah mainan emosi dan elemen bercerita penting. Untuk jawapan yang diberikan oleh Prof terhadap dua persoalan ini, mungkin harus saya tuliskan dalam satu entri yang lain pula nanti.

Prof sempat menghadiahkan kepada saya sebuah bukunya, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu. Saya belum sempat menelaahnya sampai habis, kerana saya sekarang sedang menelaah bukunya yang lain, iaitu Gagasan Persuratan Baru yang ditulis beliau secara bersama dengan Mohd Affandi Hassan (pengasas Persuaratan Baru) dan Dr Mohd Zariat Abdul Rani.


Apa-apa pun, terima kasih, Prof, atas perkongsian ilmu dan buku yang memberikan masukan baharu kepada saya.

4 comments:

S.K. CintaZeni said...

Salam,

Okeyyy, kita nantikan Aidil menulis jawapan Prof Ungku =D

Kak S.K bersetuju dengan kritikan-kritikan yang ditujukan kepada beberapa karya. Walaubagaimanapun, kak S.K sedikit terganggu dengan persoalan-:

1. Contoh-contoh karya yang diberikan hanyalah daripada tokoh-tokoh sasterawan negara Malaysia. Tapi, bila kak S.K bertanya tentang karya kak Nisah, misalnya, prof Ungku belum membaca... sudahkah beliau membaca karya-karya pengarang muda yang lebih kuat muatan ilmunya?

2. Penilaian hanya berdasarkan laporan panel terhadap sayembara/penilaian panel hadiah sastera dsbg. dan bukan realiti kepengarangan para penulis hari ini, yakni, pengolahan karya-karya terkini.

3. Sekiranya yang dipertikaikan adalah pemikiran (lebih-lebih lagi yang negatif), Persuratan Baru harus memfokuskan isu kepada pemikiran, yakni zat karya. Tidak perlu menyerang "bentuk" - novel, misalnya...

Kesimpulan, fokus Zat, bukan Bentuk.

Baru teringat, mengapa kak S.K katakan tidak perlu genre baru untuk PB. Kerana bentuk hanyalah wadah dan tidak perlu menjadi primer dalam perbincangan PB.

Wallahua'alam.

Wassalam.

Mohd. Fahmi said...

wow! begitu sekali pandangan dan gagasan beliau. saya pun kagum dengan pendapatnya serta kupasan aidil.

buat masa ini biarlah saya memahami apa yang telah aidil faham daripada Prof.

Aidil Khalid said...

Kak S.K, ya, memang betul, Prof tak ambil sebarang contoh dari karya-karya mutakhir. Malahan sebenarnya kalau kita lihat karya-karya yang lahir dari penulis-penulis muda mutakhir ini, kebanyakannya sudah pun menjurus kepada memartabatkan wacana keilmuan itu. Ambil HSKU sebagai misalan, masakan novel Tuhan Manusia boleh menang (ketika itu dengan tajuk Sebuah Rumah di Utara) sedangkan novel itu penuh wacana dan sangat sedikit cerita. Walaupun kita tahu kemudiannya kemenangan novel itu ditarik kembali atas sebab-sebab lain.

Kesimpulan saya: para pejuang gagasan Persuratan Baru sebenarnya, walaupun pada zahirnya kelihatan seperti tidak diterima oleh elitis sastera arus perdana, tetapi sebenarnya mereka sudah menang. Generasi pelapis dalam sastera semakin menyokong perjuangan mereka. Walaupun mungkin sokongan itu tidak ditunjukkan secara ekstrem sehingga menidakkan langsung kepentingan cerita, tetapi dengan berdikit-dikit nilai ilmu terus menerus dimartabatkan dalam karya.


Mohd Fahmi,

Ya, pandangan beliau memang mengagumkan. Tetapi sebagai pengarang kreatif, tidak semua pula pendapatnya itu yang saya setujui.

S.K. CintaZeni said...

Aidil... TEPAT SEKALI!!!!!!!

hahahaha... itu lah dia...
Jalan yang benar tetap ada walaupun tersembunyi... tersingkap di balik lalang bilamana penunjuk jalan itu ada... walau wujudnya bak halimunan dan dinafi tunjuk ajarnya :)

Prof Ungku yang mempesona... moga dapat menjadi ahli akademik berprinsip sebegitu hebatnya :)

I loved Tuhan Manusia... sayang 'tol, Perempuan di Wajah Langit Pagi dihentikan penerbitannya... sebab nak tau sangat cammane dr. Ali Taqi yang sedikit terganggu psikologinya itu (perlukisan watak Ali Taqi dalam TM sangat lemah sebenarnya) boleh jatuh cinta, hahaha...

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP