Wednesday, November 18, 2009

Rapuan Hari-Hari Terakhir Sebagai Mahasiswa

Alhamdulillah, perbicaraan mock baru sahaja selesai semalam. Dan ini bererti keripuhan selama satu semester – overnight di ofis, bergaduh sesama firma atas perkara-perkara kecil, bersengkang mata menyiapkan fail, bertengkar sesama sendiri, menyumpah pensyarah tertentu (kadang-kadang sahaja) kerana tidak puas hati barangkali, dan entah apa-apa lagi – sudah pun tamat. Jadi sekarang bolehlah berkurung dan menulis dengan tenang menyiapkan apa-apa yang tertangguh banyak selama ini disebabkan tugasan-tugasan yang selalu mengekang perkembangan sastera saya.

Tamatnya semester ini bererti semester hadapan adalah semester terakhir sebelum menjengah ke alam kerja yang betul-betul kerja – sebab pengajian lanjutan LLB ini hanya dua semester sahaja. Masa berlalu dengan pantas, tapi saya masih lagi seperti ini, seperti dahulu, ketika mula-mula melangkah masuk ke pengajian pra ijazah, waktu masih muda belia berumur 20 tahun – kira-kira lima tahun dahulu. Ketika itu saya masih belum tahu benar, masih kabur-kabur, malah masih teraba-raba, apakah yang ingin saya jadi setelah tamat belajar nanti. Saya sangkakan setelah mengikuti pengajian semester demi semester, dan setelah menyambung ke peringkat ijazah dan kemudian ijazah profesional, saya akan dapat temui minat yang sesuai, tapi ternyata sampai ke hari ini, saya masih belum pasti.

Saya ingin menjadi peguamkah atau mahu menjadi majistret? Ataukah mahu masuk berkhidmat dengan pasukan pendakwaan? Entahlah. Tapi secara umum, memang itulah pilihan-pilihan kerjaya yang selalu dikaitkan dengan pengajian perundangan.

Saya tahu kerjaya dengan pasukan pendakwaan sangat menarik – berdasarkan pengalaman yang diceritakan oleh salah seorang pensyarah yang saya kagumi sendiri, yang merupakan bekas ketua Unit Pendakwaan Selangor, Dato’ Salehuddin Saidin – tetapi bebanan kerjanya tersangat menimbun, dan ini membuatkan saya selalu risau – kerana saya tidak mahu setelah keluar bekerja nanti tidak dapat menulis atas hambatan tugasan. Menjadi peguam juga menarik, tapi banyak isu berkaitan dengan etika dan prinsip, terutamanya kalau pilihannya adalah dalam cabang jenayah. Menjadi penolong pendaftar, atau majistret, dan kemudian kalau naik pangkat menjadi hakim, tugasannya memang tidak sesibuk menjadi peguam atau bekhidmat dengan pendakwaan, tapi ketika saya melakukan attachment beberapa bulan lepas, saya melihat sendiri betapakah – dengan izin – mundane-nya tugasan ini yang dari sehari ke sehari hanya menjalani rutin yang sama: pagi hari mendengar kes dalam kamar dan kemudian petang turun ke pejabat kerani menghadap fail yang bertimbun tinggi hampir ke siling untuk ditandatangani. Itu sahaja. Setiap hari perkara yang sama. Diulang-ulang seperti mesin seperti robot.

Entahlah.

Kebanyakan pensyarah saya berpendapat, sebaik-baiknyanya dalam usia muda begini, janganlah masuk bekerja dengan kerajaan dahulu. Masuklah ke syarikat-syarikat swasta, sertai pertubuhan-pertubuhan korporat, hadapi cabaran-cabaran sukar, bina nama dalam kerajaya, dan mungkin, setelah sedikit berusia nanti, apabila mahukan hidup yang lebih stabil, barulah masuk berkhidmat untuk kerajaan.

Entahlah.

Beberapa teman yang kurang mengerti akan dunia kesusasteraan mencadangkan agar saya tak perlu bekerja, sebaliknya setelah tamat belajar nanti jadilah sahaja pengarang sepenuh masa. Tapi mereka tidak tahu betapa kerjaya sebagai pengarang sangat-sangat sukar untuk dijadikan sumber cari makan, kerana pulangannya yang sangat sedikit dan tidak berbaloi – melainkanlah kalau karya anda menjadi besetseller (dan hal ini hanya berlaku kepada tiga empat kerat sahaja pengarang tersohor). Memetik tulisan S.N Muhammad Haji Salleh yang telah memetik kata-kata Jules Renard, bahawa “writing is the only profession where no one considers you ridiculous if you earn no money.”

Tapi kalaupun misalnya saya boleh mencari makan dengan hanya menjadi pengarang, tidak mungkin saya akan mahu menjadi pengarang sepenuh masa dalam usia semuda begini, sebab saya merasakan alangkah ruginya nanti. Waktu muda sepatutnya diisi dengan menggali sebanyak-banyak mungkin pengalaman hands-on, dikumpulkan untuk kemudiannya dicurahkan ke dalam karya supaya dapat menjadi lebih rencam dan rancu. Tetapi pengalaman hands-on tidak mungkin dapat dikutip kalau saya tidak keluar untuk mengalaminya sendiri dan sekadar duduk berkurung untuk mengarang. Justeru menjadi pengarang sepenuh masa dalam usia terlalu muda memang bukan pilihannya. Saya selalu percaya bahawa untuk menjadi pengarang yang baik, selain harus banyak membaca, harus juga menjalani hidup yang sepenuhnya – a fulfilled life. Kalau sekadar banyak membaca sahaja memang tidak akan memadai – sebab saya pernah mendengar sebuah ungkapan bahawa belajar melalui pembacaan adalah seperti belajar berenang di dalam kolam tenang – yang tak ada gelombang badai – sedangkan belajar melalui pengalaman hidup adalah umpama berenang di tengah-tengah lautan yang mampu menyediakan seseorang dalam menghadapi hempasan ombak yang bergulung-gulung. Begitulah perumpamaannya.

Tapi, entahlah, saya masih belum tahu.

Semalam ketika berbual-bual rinkas dengan Dato’ Salehuddin, beliau memang mengiayakan bahawa kalau saya memilih untuk menjadi peguam, besar kemungkinan saya tidak akan punya waktu untuk menulis. Malah beliau mengambil contoh dirinya sendiri – beberapa akhbar memintanya menulis artikel-artikel perundangan tapi terpaksa beliau tolak atas hambatan waktu. Dalam kelas, beliau pernah menceritakan ketika masih berkhidmat dengan pihak pendakwaan, beliau punch in -- tekan masuk -- pada pukul 9 pagi, dan tekan keluar pada pukul 12 tengah malam. Besoknya pukul sembilan sudah harus tercegat lagi di ofis.

Tapi, katanya, mungkin kalau saya menjadi akedamikus, waktu akan menyebelahi saya. Saya akan punya waktu untuk menulis, dan lebih utama lagi, akan punya banyak ruang untuk melakukan kajian dan pembacaan. Saya melihat mungkin ini adalah pilihan yang menarik. Malahan sebelum ini pun, saya memang sudah lama menjadikan Profesor Shad Saleem Faruqi – pensyarah yang selalu dijadikan autoriti dalam hal-hal berkaitan perundangan perlembagaan di Malaysia – sebagai ikon saya. Tapi untuk menjadi akedamikus, tidakkah itu bererti saya akan perlu menyambung pengajian lagi setelah tamat LLB nanti?

Entahlah.

6 comments:

hanis said...

SalaAm..

Sukarnya membuat pilihan. Lumrah hidup yang tak oleh dielakkan. Kadagkala pilihan tu dirasakan sesuai dengan kita, tapi jalannya terlalu sukar. Walau apa pun, tahiah kerana telah berjaya mengharung hidup dalam dunia pendidikan. Pintu ke dunia kerjaya sudah menanti. Saya ni lambat lagi..

Abdullah Ghani said...

masok gomen belom tentu happy...

Aidil Khalid said...

Hanis,

"Pintu ke dunia kerjaya sudah menanti." Ahaha, saya takut membaca ayat ini. Serasa macam sangat-sangat belum bersedia. =(


Abdullah Ghani,

Bila balik Shah Alam? Boleh borak-borak kedai kopi sambil cari-cari peluang buat bisnes.

sonditx said...

anda nampak macho di paper semalam. hohohohohl paper mane ntah, lupe!

Aidil Khalid said...

Nahar, adakah anda mahu mengatakan bahawa aku tidak semacho itu kalau di luar paper? Haha! =)

hanis said...

SalaAm..

Saudara Aidil,

Belum bersedia atau sudah, kita tak ada pilihan. Langkahan kaki tetap perlu diatur, bukan?

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP