Monday, December 21, 2009

Catatan Ringkas Seusai Perhimpunan Alumni MPR

Saya berharap tulisan ini tidak dianggap sebagai usaha mengkritik mana-mana pihak, sebaliknya nilailah ia sebagai sebuah luahan yang ikhlas.

Sebagai penulis kelahiran Dewan Bahasa dan Pustaka melalui program tersohornya, Minggu Penulis Remaja (MPR), yang bagi sesetengah orang -- meminjam ungkapan salah seorang ahli panel forum -- dianggap elit sastera (saya sebenarnya kurang bersetuju dengan label ini), saya tentulah merasa berbangga. Malah setiap kali mengirimkan karya ke mana-mana, di ruangan biodata, tentu saya tidak akan ketinggalan mentitipkan sebaris pendek yang menyatakan bahawa saya adalah mantan MPR tahun 2007. Begitu sekali saya berbangga.

Pun demikian, saya sebenarnya sedikit kurang selesa dengan sikap segolongan mantan – mohon maaf – yang terlalu memuja-muja menyanjung melangit mengangkat bakul akan kedewa-dewian MPR. Isunya sebelum ini sudah cukup panas, apabila dalam sebuah akhbar arus perdana, sebuah rencana bertajuk MPR Perasan Hebat disiarkan. Lantas apabila dalam sebuah program seperti perhimpunan baru-baru ini yang pesertanya bukan sahaja terdiri daripada mantan MPR, tetapi juga kalangan khalayak awam, tentu sekali sangat tidak molek apabila isu ini dipanas-panaskan lagi dengan mendabik dada melalui kenyataan-kenyataan seperti: “Kami bukan perasan bagus, sebaliknya kami memang betul-betul bagus pun!”

Sekali lagi dengan penuh rendah diri saya menekankan, saya tidak berhasrat melukai siapa-siapa apa lagi mengkritik mana-mana pihak. Siapalah saya – seorang pengarang kecil yang belum pun ada nama dan tak ketentuan lagi masa hadapan. Saya tegaskan bahawa saya berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga besar Minggu Penulis Remaja yang gah itu. Tetapi hakikatnya, kita tidak boleh terlalu merasa selesa dengan baris-baris nama besar seperti Nisah Haron, Ahmad Patria Abdullah, Salina Ibrahim, Rahimidin Zahari, Lily Haslina Nasir, Faisal Tehrani, Shamsuddiin Othman, Saharil Hasrin Sanin, Roslan Jomel, Uthaya Sankar, Raihani Mohd Saaid dan lain-lain. Mereka itu adalah pengarang-pengarang senior yang sudah sampai pada tahap dan status yang tersendiri yang tidak akan dipersoalkan lagi oleh siapa-siapa. Yang dipersoalkan oleh khalayak di luar sana bukanlah barisan nama-nama ini, sebaliknya barisan mantan generasi alaf baharu, yakni graduan pasca tahun 2000-nya.

Telitilah tulisan Ariff Mohamad sebagai misalan (klik sini) – walaupun saya tidak bersetuju cara tulisannya yang terlalu umum dan memang tidak benar sama-sekali kutipan faktanya – tetapi pokok pangkalnya adalah beliau tidak mempersoalkan pun generasi senior. Yang dipersoalkan adalah generasi penulis berumur di bawah 25 tahun yang didakwanya (baca: tuduhan tanpa asas)* hanya menulis di Tunas Cipta sahaja dan tidak menulis di media-media lain.

Sebagai penulis, tugas kita adalah menulis. Bukan berbicara tentang penulisan. Apa lagi mempersoal-soalkan tentang kelompok penulis itu-ini. Dunia penulisan kita ini kecil sahaja, tidak besar. Ke mana-mana acara sastera nanti kita bertemu muka lagi. Justeru kalau kita tidak bersetuju dengan tohmahan orang mengenai kita, cara terbaik bukanlah dengan membalas kembali mendabik dada, sebaliknya buktikanlah di pentas pengkaryaan. Biar kita jadi diam-diam ubi berisi. Biar juga kita jadi macam resmi padi, semakin berisi semakin merukuk.

Ayuhlah, saya mengajak dengan penuh rasa tidak layak, marilah kita sama-sama menulis, dan menulis pula dengan ikhlas dan rendah diri. InsyaAllah mudah-mudahan orang akan lebih menghormati dan menghargai dengan cara itu.

Oh, ya, sebagai penutup, saya suka sekali untuk memetik kata-kata daripada Zurinah Hassan dalam tulisannya yang disiarkan dalam Dewan Sastera bulan ini: "Dunia sastera juga tidak berbeza dari dunia yang lain, yang penuh simpang-siur, ada politik dan ada sepak terajangnya."

* * * * *

*Nota: Saya katakan ia tuduhan tanpa asas dan tidak benar kerana sebenarnya ramai sekali penulis-penulis mantan MPR berusia di bawah 25 tahun yang karyanya tersiar di pelbagai media lain. Kalau hendak diberikan contoh: Sayyidah Mu'izzah Kamarul Shukri, Zulfazlan Jumrah, Wan Nor Azriq, Safura Sabri, Nor Hidayah Ilias, Azree Ariffin, Jamilah Nordin, Ode, Nissa’ Yusuf, Anunl Muaiyyanah, Farahana Hussain, Muhammad Faisal, Lela Zehan (sekadar menyebut beberapa nama) – karya-karya mereka ini tidak hanya berlegar seputar Tunas Cipta tetapi sudah bersepah-sepah menghiasi Berita Harian, Dewan Kosmik, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Al Islam, Majalah I, Mingguan Malaysia, Nur, E@siswa, URTV, Remaja, dan lain-lain lagi (tak larat nak senaraikan semua media) dan ada juga yang sudah memiliki buku sendiri. Malah lebih membanggakan lagi apabila Zulfazlan Jumrah yang baru berusia 23 tahun itu karyanya terpilih untuk dikaji sebagai teks KOMSAS.

11 comments:

hani salwah yaakup said...

Sebenarnya saya pun kurang selesa dengan hal ini. Malah saya setuju dengan tulisan anda Aidil.

hani salwah yaakup said...
This comment has been removed by the author.
Aidil Khalid said...

Yuh, Kak Hani, mari sama-sama kita berkarya dengan merendah diri. Hehe.

lutfi said...

Salam Aidil.

Betul, tentang soal MPR ni, tak ke mana kalau kita berfikir dalam tempurung kelompok. Banyak cerita-cerita yang tak baik, mula diperkatakan di kedai kopi oleh orang-orang DBP yang sempat hadir sendiri, hasil pertemuan mantan MPR yang lalu. Lagipun, dalam dunia sastera, kalau betul mahu menjadi satu 'kumpulan' atau 'kelompok' yang dihormati - mereka seharusnya lebih dekat dengan masyarakat, berkorban untuk masyaraakt, mempunyai idealisme yang ditawarkan dalam dunia intelektual dan sastera. Pendeknya 'kumpulan' itu menjadi satu institusi sosial yang khas - semacam ASAS 50 dahulu.

Jadi, seharusnya kita berusaha ke arah itu. Tak perlu kita memuji diri sendiri. Nanti, kalau ada orang yang mengkritik kita, kita terima sahaja. Kalau ada orang memuji kita, alhamdulillah. Semuanya harus dijadikan cermin untuk mencermin diri kita.

Apapun, sebagai mantan, kita tentunya mendoakan yang baik-baik sahaja.

Aidil Khalid said...

Abang Lutfi,

Ya, betul tu, tak akan ke mana kalau sekadar berfikir dalam tempurung kelompok -- walaupun mengelompokkan diri itu adakalanya penting juga (untuk mendapat kekuatan menulis - memandangkan menulis itu kerjanya terlalu menyendiri). =)

Untuk MPR menjadi semacam ASAS 50 mungkin sedikit sukar, sebab peserta MPR datang dari pelbagai latar dan tidak diikat pula oleh satu-satu ideologi atau gagasan - tidak seperti ASAS 50 - sebaliknya hanya diikat oleh hakikat bahawa setiap mantannya pernah menghadiri kursus bengkel selama seminggu. Apabila tiada satu-satu gagasan yang menjadi anutan, tentu sukar untuk sesebuah kelompok itu membentuk menjadi angkatan yang bergerak sebagai institusi sosial dalam menawarkan idealisme kepada masyarakat.

wardah munirah said...

"Biar kita jadi diam-diam ubi berisi. Biar juga kita jadi macam resmi padi, semakin berisi semakin merukuk.

Ayuhlah, saya mengajak dengan penuh rasa tidak layak, marilah kita sama-sama menulis, dan menulis pula dengan ikhlas dan rendah diri. InsyaAllah mudah-mudahan orang akan lebih menghormati dan menghargai dengan cara itu."

-Tulisan saudara ini wajar diingati dan diterapkan sebagai satu konsep penulisan yang baik. Terima kasih-

Aidil Khalid said...

Wardah Munirah,

Bukan dalam penulisan sahaja, malah dalam semua aspek kehidupan pun alangkah baik kalau dapat melakukan dengan ikhlas dan merendah diri. =)

Abdullah Ghani said...

macam yang aku cakap laa,

cuti2 ni pegi kursus,bercampur dengan penulis2 yg season, then citer dlm blog ni.

Education for life,brader.

Kambing,kambing jugak... :p

Abdullah Ghani said...

macam yang aku cakap laa,

cuti2 ni pegi kursus,bercampur dengan penulis2 yg season, then citer dlm blog ni.

Education for life,brader.

Kambing,kambing jugak... :p

Aidil Khalid said...

Abdullah Ghani,

Kambing for life. Ahaha!

cik farahana said...

Sungai panjang banyak berjeram,
Sampan terhalang entah ke mana;
Keris pedang tiada tajam,
Tajam lagi si mata pena.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP