Tuesday, December 29, 2009

Dedikasi: Pengalaman Bertalaqqi dengan Syeikh Buta

Nota: Saya sebenarnya pernah poskan tulisan ini tiga tahun dahulu. Tapi pagi ini apabila melayari carian google dan menemui sebuah blog yang mengambil ‘copy & paste’ tulisan ini, baru saya teringat bahawa saya tidak pernah membuat sebarang dedikasi kepada Syeikh Redha ketika hari meninggal dunianya pada Julai tahun ini. Justeru saya mengeposkan semula – dengan sedikit pindaan gaya bahasa – sebagai dedikasi yang terlambat. =)
* * * * *

Sewaktu ayah saya bekerja di Mesir dahulu (1997 – 2003), saya sempat juga merasai pengalaman bertalaqqi dengan seorang syeikh di sana. Syeikh ini mengajar di Ma'ahad Qiraat Al-Azhar Shoubra. Yang istimewanya, syeikh ini buta orangnya. Matanya kabur habis, sehinggakan kalau nak berjalan pun, perlu dipapah perlahan-lahan sambil dia memegang tongkat.

Tetapi di sebalik kecacatannya itu, Tuhan memberikan anugerah lain, yang jarang-jarang dimiliki orang. Yakni dia hafaz seluruh Al Quran, 30 juzuk di hujung kepalanya sahaja. Jadi, kalau saya bertalaqqi dengannya, saya akan duduk di sebelahnya, di atas sofa buruk di ruang tamu rumahnya yang daif itu, dan dia akan mendengar. Setiap patah-patahnya, panjang pendek, dengung serta makhrajnya, dia hafaz habis. Sekecil mana pun kesalahan yang saya buat pasti dia perasan, dan akan ditegurnya.

Yang lebih hebat lagi, syeikh yang bernama Syeikh Redha Salim ini, tidak perlu menumpukan sepenuh perhatiannya waktu mendengar. Kadang-kadang, waktu saya sedang bertalaqqi, dia berbual-bual dalam telefon, kadang-kadang pula dia makan dan minum. Masa baru-baru dahulu, saya sangkakan dia tak endahkan bacaan saya. Tapi ternyata saya silap, sebab apabila tersalah sahaja baca, dia akan langsung menegur. Kalau dia sedang berbual dalam telefon misalnya, dia akan berhenti bualnya sebentar, dan langsung menegur kesalahan dalam bacaan saya itu. Selepas itu dia akan sambung kembali bualannya dalam telefon.

Memang menakjubkan, tapi itulah kuasa Tuhan. Ditariknya nikmat mata (yang selalu terdedah pada dosa), lalu diberikannya nikmat lain yang lebih bermanfaat. Nikmat minda dan hati yang hafaz dengan begitu hebat setiap patah Al Quran dan telinga yang mendengar dengan begitu ajaib.

Satu kenangan lucu yang saya ingat, Syeikh Redha ini pantang berjumpa dengan kamera. Kalau sahaja tahu dia sedang diambil gambar, pasti dia akan berposing habis. Pernah satu kali, saya duduk di atas sofa sedang Syeikh Redha pula berbaring mengiring, menghadap saya di sofa yang bertentangan, sambil mendengar bacaan saya. Adik saya mengeluarkan kamera, dan mula menangkap gambar. Sungguhpun Syeikh Redha tak nampak, tapi klik kamera yang menghasilkan bunyi ‘kesyek’ dapat didengarnya. Dia lalu bertanya, bunyi apa itu. Apabila diberitahu bahawa adik saya mengambil gambar, dia langsung bangun dari baringnya lalu marah-marah. “Kenapa ambil gambar masa keadaan saya macam itu tadi?” Kemudian dia datang dan duduk di sebelah saya, berposing, dan berkata, "Okey, sekarang ambillah gambar lagi.”

Mengaji dengan orang Arab, lain dari mengaji dengan orang Melayu kita. Orang Arab sangat menitik-beratkan aspek makhraj. Kalau orang Melayu, panjang pendek dan dengungnya saja yang dititik beratkan, makhrajnya tunggang-langgang sebab lidahnya masih sebutan Melayu. Sebab itu, jangan terkejut kadang-kadang ustaz-ustaz yang mengajar quran di Malaysia pun, kalau pergi bertalaqqi ke Mesir, bacaannya akan jadi tersangkak-sangkak di hadapan syeikh, sebab banyak sangat ditegur.

Alhamdulillah, saya sempat bertalaqqi sehingga khatam dengan Syeikh Redha. Majlis khatam quran diadakan di rumah ayah saya di pulau Zamalek, Kaherah. Waktu itu bulan Ramadan. Dan selesai majlis khatam, kami berbuka dengan hidangan istimewa, pizza, yang menjadi kegemaran Syeikh Redha. Memang sengaja emak saya sediakan hidangan tersebut untuk majlis ini, sebab semua pun maklum, Syeikh Redha pantang berjumpa dengan pizza, pasti dia akan makan dengan penuh selera.

Habis majlis, saya dianugerahkannya sijil sanad dengan riwayat Hafs daripada Asim. Tapi sayang sekali, sanad itu sudah entah ke mana perginya sekarang. Yang tinggal hanyalah pengesahan terjemahan sijil daripada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Alfatihah buat Almarhum Syeikh Redha Salim yang menemui penciptanya pada hari Sabtu 25 Rejab 1430 bersamaan 18 Julai 2009.

3 comments:

sonditx said...

gambar yg sungguh klasik. tapi sayang, hitam dan putih sahaja.

Aidil Khalid said...

Sebab nak bagi efek klasik itulah makanya sengaja dihitam-putihkan gambar tu. Hehe.

Fatimah said...

Subhanallah

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP