Tuesday, December 01, 2009

Memasuki Puisi

Puisi adalah cabang kesusasteraan yang paling sukar untuk dimasuki – sekurang-kurangnya untuk saya secara peribadi – dan oleh itu saya menanggapinya sebagai tingkat tertinggi kesusasteraan. Hal ini tentu sekali boleh diperdebatkan, tetapi sekurang-kurangnya inilah perspektif peribadi saya daripada pengalaman yang baru tiga tahun jagung menulis.

Dalam puisi, tidak seperti novel atau cerpen atau drama, kerana setiap patah katanya haruslah membawa peranan, tidak boleh lewah bahkan untuk satu titik sekalipun. Setiap komanya, setiap titik dua bertindihnya, setiap sengkangnya, malahan setiap hurufnya – sama ada memilih huruf besar atau huruf kecil – dan setiap barisnya – sama ada memilih baris baharu atau menyambung dalam satu baris sahaja – harus ada peranan yang membawa kepada maksud atau kesan keseluruhan puisi. Justeru kalau ada orang yang boleh menulis puisi dengan sekali duduk tanpa perlu berfikir panjang, merenung dan bertaakul, maka orang itu mungkin bukan lagi manusia. Mungkin – saya katakan – sebab dia sudah mencapai tahap kesempurnaan yang tak mungkin dapat dicapai oleh manusia biasa. (Atau barangkali juga dia menerima ‘wahyu’ entah dari mana).

Ramai orang, terutamanya mereka yang baru-baru hendak berjinak dengan sastera, memulakan langkahnya dengan menulis puisi. Mungkin kerana sifatnya puisi itu lebih pendek berbanding cerpen atau novel, maka ia seolah-olah kelihatan seperti mudah untuk dihasilkan. Saya sendiri pun begitu juga dahulu. Setelah siap satu dua rangkap yang ditulis dengan sangat tergesa-gesa langsung mengisytiharkan bahawa sebuah puisi telah berjaya dihasilkan. Mungkin pada bentuknya, ya, ia sebuah puisi, tapi pada maknanya atau pada kesannya, saya harus menepuk dahi terlebih dahulu berkali-kali dan berkali-kali, atau hentakkannya sahaja ke dinding keras. Sebab apa yang kononnya dikatakan puisi itu ternyata lebih berupa luahan hati atau lambakkan kata-kata tanpa erti.

Seperti yang saya katakan, saya merasakan puisi adalah cabang kesusasteraan yang paling sukar untuk dimasuki. Sehingga sekarang saya masih lagi merasa kurang mesra dengan genre ini. Beberapa puisi yang telah diiktiraf sebagai karya penting daripada penyair-penyair besar gagal saya hadami dengan baik. Saya baca, tapi saya tak faham. Saya garu kepala, tapi masih juga tak mengerti; saya kerut dahi, dan masih juga begitu. Saya buat-buat macam faham, tapi tetap kosong juga dalam jiwa. Kalau ada siapa-siapa yang boleh bantu saya bagaimana untuk belajar menghayati puisi dengan baik, sudi-sudikanlah berikan tunjuk ajar.

Saya bukanlah tak ada selera sendiri dalam puisi. Kalau hendak diberikan contoh, saya suka sekali puisi-puisi (atau sajak-sajak) underground karya Abdullah Jones sebagai misalan. Saya baca sajak-sajaknya, dan saya faham semuanya, dan saya cemburu bagaimana segarnya idea-ideanya dipersembahkan dalam bentuk naratif sedemikian indah menurut penilaian peribadi saya (walaupun sajak-sajak mutakhirnya kelihatannya seperti sudah hilang sengatnya). Dan saya juga suka sekali puisi-puisi (atau sajak-sajak) underground karya penyair-penyair perempuan yang sangat tulus dan jujur bahkan kadang-kadang sangat liberal dalam membicarakan perkara-perkara tertentu yang boleh dikatakan sebagai tabu bagi sesetengah orang.

Pun, saya berasa seolah-olah tidak lengkap, selagi gagal menghayati karya-karya arus perdana, terutama sekurang-kurangnya karya yang dianugerahkan hadiah, seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, umpamanya. (Bukan bermaksud saya merendahkan karya-karya underground atau yang tidak dikirimkan ke sebarang sayembara – seperti yang telah saya nyatakan, saya suka sekali karya-karya tersebut kerana kesegerannya dan kelainannya bahkan ketulusannya yang dapat dirasakan bening jernih berbanding sesetengah karya arus perdana yang adakalanya lebih bersifat retorik dan propaganda).

Ketika menghadiri perkhemahan penulisan anjuran PENA tahun lepas di Semenyih, saya sempat mengambil peluang bertanya kepada salah seorang penyair muda yang prolifik, yang kebetulan duduk sebilik dengan saya ketika itu, saudara Zulfazlan Jumrah. Antara lain, saya tanyakan tentang kemusykilan mengenai bentuk puisi itu sendiri: bilakah waktunya hendak memakai baris baharu, dan bilakah hendak memakai ‘tab’ dalam baris baharu? Beliau memberikan jawapan bahawa hal itu terserah kepada penyair sendiri, tidak boleh diajar, kerana begitu sifatnya seni – seniman harus tahu sendiri mengikut naluri keseniannya. Saya tidak salahkan Zulfazlan, kerana saya tahu dia tidak memberi jawapan bukanlah kerana kedekut ilmu, sebaliknya kerana memangnya tak mungkin ada jawapan yang muktamad untuk persoalan saya itu.

Baru-baru ini penyair muda yang sudah mencipta nama besar dan berkali-kali menang anugerah peringkat nasional, Fahd Razy, ada menulis panduan menulis puisi. Panduan itu sedikit sebanyak membantu juga saya dalam memesrai genre ini. Antara lain yang ditekankan dalam tulisannya itu adalah penggunaan titik, koma, titik dua bertindih, dan sebagainya dalam penghasilan puisi yang baik – bilakah waktu yang tepat untuk meggunakannya. Tapi panduan itu lebih menjurus kepada bagaimana menghasilkan puisi, dan bukan bagaimana membaca dan menghayati puisi.

Ditekankan di sini, menghasilkan puisi sendiri dengan menikmati puisi orang lain, adalah dua perkara berbeza.

Sehingga tiba waktunya nanti, mungkin saya akan terus sahaja meraba-raba dan tercari-cari akan caranya menikmati sepotong dua puisi agar dapat mengunyahnya dengan penuh penghayatan – supaya dapat merasai kenikmatan dan kelazatannya yang hakiki. Tapi buat waktu ini, mungkin saya harus berpegang sahaja kepada kata-kata yang saya temui daripada pengarang Ayu Utami, yang, sungguhpun pada saya kedengaran sedikit kabur dan keliru, tetapi sekurang-kurangnya adalah yang paling mudah untuk saya cernakan: “Gambar dan sajak tak perlu definisi dan tak perlu diterangkan. Mereka cuma menyimpan perasaan. Barangkali juga keindahan.” (Saman)

Malah Profesor Rahman Shaari juga ada menulis bahawa: “Sajak boleh juga dinikmati biarpun tanpa difahami ... Kita baca sajak itu, kita memperoleh keseniannya, dan kesenian itu ialah matlamat kita ... dalam kalangan orang sastera, memang ada saranan agar kata tidak dibebani makna.” (Dewan Sastera, Februari 2009)

8 comments:

S.K. CintaZeni said...

Salam,

Aidil, dah sampai Sabah lah ni...?

Masalah kak S.K mengenai puisi, sejak kembali ke dalam dunia penulisan,
what do I want to say in my poems? Apakah pengisian sajak kak S.K?

Genre lain kak S.K sudah jelas dengan persuratan tauhidi yang akan dibawakan... tetapi sajak...

Untuk penerbitan, kak S.K tidak mahu yang selapis, tidak mahu sekadar bermain metafora (seperti yang tersiar tu, tu main-main punye, tapi, entah kenapa, hati terasa nak kongsi sajak tu kerana mengandungi metafora suatu aspek kehidupan, jadi, tetap bersyukur diterbitkan...), tidak mahu bermain kata-kata indah, tidak mahu sekadar menulis monolog kepada Tuhan dengan kata-kata indah, tidak mahu mengungkit perjalanan dalaman sebagai penyair, tidak mahu sekadar memuji/mengeji sesuatu, tidak mahu itu, tidak mahu ini...

kak S.K sudah tiba di suatu peringkat di mana sajak bukan hanya permainan kata-kata indah, mengungkap yang muluk-muluk... atau mengungkap kebobrokan realiti tanpa solusi... ia perlu sesuatu yang lebih tinggi lagi... tapi...

As you can see, I know what I don't want. But I don't know what I want. Yet.

Memasuki puisi, kak S.K mencari diri...

Dengan keadaan sebegitu, kak S.K tak seharusnya menghantar karya untuk diterbitkan tapi, ada karya yang kak S.K rasa teruja nak kongsi, samada bagus atau tidak... dan ini perlu dilakukan supaya diri tercabar melakukan yang lebih baik lagi... terus mencari dan memperbaiki...

Mengenai bentuk puisi itu, misalnya, nak "tab" ke tak nak "tab", ini fikiran kak S.K secara ringkas...

Kata-kata dalam puisi punya rima, ritma dan nada tertentu... Penyair yang meluah kata, jadi, dialah yang mendengarnya... sebab itu Zulfazlan kata begitu: hanya penyairnya yang tahu... (walaubagaimanapun, pembaca juga boleh mendengarnya...)

Membaca balik yang diterbitkan baru-baru ni, kak S.K sudah nampak "sumbangnya" ritma yang perlu diperbaiki lagi - bak kata Prof Haji Muhammad Salleh sewaktu PPN=3, penyair harus sentiasa menghaluskini dan jangan cepat puas hati...

Aidil sudah punya naluri ritma dan rima itu...

Akhir sekali, menghayati puisi... hmmm... ini yang paling menarik dan yang paling kak S.K cintai mengenai puisi... penghayatannya sangat subjektif =D Ada karya orang kata bagus, kak S.K kata tidak, hatta karya penting mana pun lah, puisi menang HSKU ke, puisi SN ke... subjektif... ada tafsiran A, ada tafsiran B, ada tafsiran C, D, E, F...
kecuali pengarang sudah menetapkan satu tafsiran sahaja...

Pembaca mentafsir dengan keluasan/kesempitan mindanya sendiri, dengan keunikan pengalaman hidupnya sendiri, dengan kematangan kefahamannya, dengan keranuman pengisian jiwanya - setiap pembaca berbeza! Cara menggaru kepala dan mengerut dahi berbeza!

Jadi, ini pandangan ringkas kak S.K buat masa ini yang boleh diperpanjangkan nanti-nanti:

Untuk menikmati puisi, Aidil haruslah menghayatinya...

sebagai "Aidil"!

Wallahua'alam...

Wassalam.

S.K. CintaZeni said...

Bangun pagi ni terfikir pula...

Sebab kita menulis dalam beberapa genre, jadi, memang lebih berat untuk memperbaiki pertukangan berbanding mereka yang, misalnya, menumpukan perhatian dalam satu saja genre... lebih-lebih lagi mereka yang menumpukan perhatian dalam genre puisi... yang memasuki puisi sepenuhnya...

Aidil punya potensi untuk menjadi seorang pengarang yang lebih syumul ilmi dan qalbi, lebih seimbang fikir dan rasa, berbanding dengan seorang pengarang yang kak S.K ikuti lama tapi terlambat berinteraksi jadi, terlambat pesan dia mencari keseimbangan itu sehingga puisi-puisinya kini juga sudah menjadi "teknikal", banyak fikir, tidak punya rasa, berbanding di zaman awal penulisannya, kerana puisinya kini mengikut bentuk novel wacananya bukan zatnya...
sejauh ini, Aidil boleh... harapnya Aidil dapat mengekalkannya :)
(my favourite sajak from Aidil so far: sajak mimpi jin tu! woohoo!)

Mohd. Fahmi said...

Secara peribadi, saya sering mengatakan hasil karya saya sebagai Sajak, bukan Puisi. Alasan: sama seperti sdr Aidil iaitu puisi ialah tingkat tertinggi sastera. Berbanding sajak, kata-kata (sajak - sahaja).

Selain itu, saya juga suka berkongsi bahawa menghasilkan puisi tidak sama dengan mencipta puisi (Jaafar Hj Hamdan). Kita boleh mengajar teknik menghasilkan puisi tetapi tidak menciptanya.

Aidil Khalid said...

Kak S.K,

Terima kasih atas pandangan dan saranan bagaimana untuk menghayati puisi itu. Daripada komen Kak S.K yang panjang itu, ada beberapa perkara yang ingin saya ulas sedikit, rasanya tak mengapa kan. ;-)

1. Puisi Kak S.K yang tersiar itu, saya rasakan sangat kuat kesan imejannya. Ketika membacanya, saya rasakan habis teruk ribut petir yang berlaku. Dan langsung terfikir: benarkah begitu sekali hujan di Singapura, ataukah sekadar penyairnya yang membesar-besarkan keadaan? Hehe.

2. Dalam puisi juga, rasa saya boleh menggunakan gagasan persuratan Tauhidi. Cuma nanti puisi itu akan berbentuk didaktik, seperti puisi-puisi yang banyak lainnya -- dan menjadikan ia tidak ada kelainan dengan puisi-puisi lain itu. Tapi bak kata FT, apa salahnya klise, kan.

3. Memparkan permasalahan tanpa solusi -- hal ini selalu diberikan konotasi negatif. Tapi saya mohon untuk berbeza pendapat. Adapun pengarang itu ada bermacam-macam, dan setiap jenisnya ada peranan yang berbeza-beza. Salah satunya adalah pengarang jenis memaparkan permasalahan/ kebobrokan, tanpa perlu memberikan solusi, kerana terserah kepada pembacalah untuk memikirkannya. Dengan cara ini, tugas pengarang bukan lagi menjadi pemikir untuk menyelesaikan, sebaliknya adalah sebagai pemerhati yang mengungkapkan. Tanpa menafikan kemurnian dan kemuliaan tugas mencari penyelesaian -- hakikatnya penyelesaian tak mungkin dapat dicari atau difikirkan kalau sekiranya pertama-tama sekali permasalahan dan kebobrokan itu tidak ditemui atau disedari kewujudannya. Ataupun kalau disedari sengaja dibuat-buat tak nampak. Atau oleh pemerintah dan segolongan yang berkepentingan, sengaja ditutup-tutup ditimbus-timbus kebobrokan itu dari pengetahuan umum untuk menjaga kepentingan mereka sendiri. Justeru tugas pengarang untuk memaparkan kebobrokan itu agar mendapat perhatian masyarakat dan pemerintah adalah tugas yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Inilah pada saya peranan yang dipilih oleh S.N Shahnon Ahmad ketika menulis Tivi, misalnya.

4. Saya lebih suka meraikan kepelbagaian gagasan dan gaya kepengarangan -- hatta sekalipun kalau antara dua gagasan yang saling bercanggahan dan bertentangan sama-sekali -- kerana gagasan dalam sastera bukanlah seperti akidah yang hanya ada satu kebenarannya. Boleh sahaja jadi semuanya benar. Malah boleh jadi juga semuanya salah. Hehe. Tapi saya lebih suka percaya bahawa dalam sastera tidak ada yang salah, semuanya benar, selagi mana ada justifikasi yang boleh diberikan.

5. Saya pun seperti Kak S.K juga, masih tercari-cari apa yang saya mahu hantarkan dalam hasil-hasil peulisan saya. Malah saya lebih lagi, kerana bukan sahaja dalam puisi, tetapi juga dalam cereka, masih belum pasti benar hala dan tuju. Memanglah sudah saya tahu apa yang ingin saya tentang dan apa yang ingin saya pesan -- yang ingin ditentang itu sekulasrisme dan liberalisme ala barat, sedang yang ingin dipesan itu tentunya yang baik-baik sahaja -- tetapi bagaimana cara penghantarannya (bentuk penyampaiannya) masih lagi kabur. Marilah sama-sama kita terus bereksperimen dan terus mencari. Hehe.

Aidil Khalid said...

Mohd Fahmi,

Wah, menarik perkongsian tentang hal mencipta puisi dengan menghasilkan puisi itu. Benarlah, untuk mencipta puisi, harus datang dari naluri kesenian penyair sendiri, sedang untuk menghasilkan puisi, teknik-tekniknya boleh dipelajari secara teknikal.

Dalam gagasan persuratan baru pula, Mohd Affandi Hassan menggariskan perbezaan antara istilah sajak dengan sanjak. Sajak adalah himpunan kata-kata semata-mata, sedangkan sanjak adalah karya yang tinggi nilai seninya dari perspektif keilmuan.

S.K CintaZeni said...

salam,

haha, Aidil tiada, tiada siapa yang rajin berbalas pemikiran seperti ini dengan kak S.K!
Panjang ni, dua minggu punya diam terluah! hehe...

1. Ribut petir: dahsyat?
Tiga malam berturut-turut tu, memang bunyinya berdentam dentum di seluruh Singapura, TAM! TUM! BOOM! TAM! TUM!... setiap tiga malam itu, dalam jam tiga, empat pagi, bunyinya betul berdentam berdentum, seperti ada jin yang ingin mengintai rahsia langit dan malaikat sedang memanah mereka, NYAH! NYAH! BERANI KAU! TAM! TUM! BOOM! TAM! TUM!... bilik gelap jadi terang, sesiapa yang tidur mati macammana pun, pasti terbangun... kak S.K tak berani nak jengok keluar tingkap pun, manalah tau terkena panah petir! Naya! huhu... di minda masa tu terfikir, bunyinya macam BOM. Macam Singapura sedang dibom dari langit... ini kemudiannya diikuti dengan hujan... rakan-rakan penulis ada membuat rantaian sajak setelah salah satu pagi sebab pagi selepas itu, sangat menghairankan, langit kelabu dan suasana tenannnngggg:

http://www.facebook.com/notes/sk-cintazeni/utus-dentam-tiga-malam/166679467992

Keadaan ini pernah berlaku juga pada malam 1 Ramadan tahun 2005...
Kalau mengikut sainsnya, atmosfera Singapura sedang panas dan bila angin sejuk menjengah dari utara, menghasilkan sesuatu pertunjukkan langit yang hebat...
Oh dan Singapura memang mempunyai "one of the highest incidence of lightning strikes in the world". Bagaimana nak terjemah ni... Insiden petir paling tinggi di dunia...?

2. Tulah yang tak mahu! Tidak mahu menulis puisi yang didaktik! :p
hehe... (see, I know what I don't want, hehe...)
Kak S.K sedang bereksperimentasi dengan perlambangan dalam persuratan tauhidi... tetapi ironisnya, sekiranya mahu membangun ummah, menggerak ketauhidan, ia harus mudah dimengerti... dilema, dilema, dilema...
Akan membaca Hamzah Fansuri dan Raja Ali Haji sampai sebati...

3. Kak S.K mengerti bahawa setiap pengarang mempunyai pandangan berbeza termasuk mengenai pemaparan kebobrokan tanpa solusi. Kak S.K cuma mengatakan pendirian terkini. Bagi diri Kak S.K, kak S.K sudah tiba di peringkat tidak boleh menerima penulis tanpa pemikiran. Malahan, semakin tegasnya diri mengenai pendirian ini sehingga kak S.K sudah tidak boleh menerima sebahagian hujjah dalam karya feberet, Tuhan Manusia, kerana memberikan fakta tanpa menerangkan pendirian pengarang yang boleh dijadikan rujukan oleh pembaca - contohnya: hukum murtad. Selepas membaca, pertanyaan yang boleh ditanya, "So? So what? Jadi apa?" Fakta-fakta hanya satu maklumat. Bagaimana menilai/menyumbang kepada pemahaman pembaca sedangkan pembaca tidak punya latarbelakang yang cukup untuk membuat penilaian/ atau kerangka untuk memahami?

Buat masa ini, kak S.K berfikir begini: Sesiapa sahaja boleh menggambarkan mengenai kebobrokan. Sesiapa sahaja. Tidak perlu sasterawan. Tidak perlu seniman. Jadi saja wartawan kebobrokan. Sudah mencukupi. Namun begitu, seorang penulis pemikir, termasuk wartawan kebobrokan akan menggali sehingga ke akar-akar kebobrokan dan mencari jalan untuk memberikan idea bagaimana mencabutnya terus dari masyarakat. Itu yang akan mengangkat karyanya lebih daripada karya yang memaparkan kebobrokan.
Memang kak S.K tidak berminat dengan sebahagian karya-karya SN termasuk Salina dan Tivi. Tidak semua karya mereka boleh dijadikan contoh kesusasteraan, kak S.K sangat bersetuju dengan Prof Ungku mengenai ini - walaupun kak S.K menggemari penulisan mereka dan mengkagumi personaliti mereka sebagai pengarang, secara peribadi. Kak S.K cuma berfikir harus adil kepada dunia sastera Melayu-Islam, dengan menggunakan kerangka Islam itu sendiri pada karya para pengarangnya.

(mmm... sejak bila blogger ada had perkataan lah pulak...)

S.K CintaZeni said...

4. Dengan ini, poin Aidil mengenai meraikan gagasan berbeza...? Kak S.K membuktikan bahawa Kak S.K juga mera'ikan kebebasan bergagasan dengan memilih untuk...
menggunakan gagasan sendiri :) Ini kelebihan berkarya sekian lama... gagasan persuratan yang sedia ada sekadar menguatkan pendirian diri atau ditolak bulat-bulat oleh kerangka prinsip sendiri ;)

5. Bentuk...? Itu yang best tu... tu yang buat kepengarangan pertukangan yang seronok...
Eksperimentasi dengan bentuk, irama, nada, jiwa, rasa, fikir...

Terima kasih menjawab ;D Suka nak balas... =D

Wassalam.

Anonymous said...

setuju...puisi memang sukar.

-saat

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP