Friday, January 08, 2010

Gaya Bahasa Al-Quran

Mutakhir ini, semakin menjadi popular pula sebuah teori kesusasteraan yang cuba untuk mengikut teknik-teknik kesusasteraan daripada Al-Quran. Saya tergerak untuk menulis entri ini setelah memberikan komen di ruangan komentar blog rakan penulis, saudara Syafiq Zulakifli yang saya hormati tetapi saya berbeza pandangan dengannya.

Sebagai orang Islam, kita tentu sekali percaya dan beriman dengan sepenuh hati bahawa Al-Quran itu adalah kalam Tuhan yang diwahyukan kepada nabi Muhammad saw dan oleh itu sudah barang tentu bersifat sempurna dan bersih daripada sebarang cela mahupun cacat. Dan kesempurnaan ini mencakupi aspek kesusasteraan termasuk juga laras bahasanya.

Justeru, sebarang usaha untuk meniru teknik-teknik daripada Al Quran haruslah dipuji. Tapi sayang sekali, kadang-kala dalam keghairahan untuk mengikuti teknik-teknik yang dibawakan dalam Al-Quran itu, ada pula yang terlepas pandang untuk mengambil kira konteks zaman ketika kitab ini diturunkan. Akibatnya, timbullah teori-teori yang rigid dan sangat tidak praktikal di zaman ini.

Salah satunya adalah sebuah teori yang menekankan penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Menurut teori ini, dalam menulis karya sastera, seseorang pengarang itu hendaklah menggunakan laras bahasa baku yang sebaku-bakunya. Tidak boleh ada perkataan-perkataan singkatan sama-sekali. Contohnya, perkataan ‘tidak’ hendaklah ditulis penuh sebagai ‘tidak’ dan tidak boleh ditulis sebagai ‘tak’. Begitu juga perkataan ‘sahaja’ tidak boleh ditulis dengan ‘saja’ atau ‘je’. Perkataan ‘hendak’ tidak boleh ditulis ‘nak’. Dan banyak lagi yang tidak-tidak. Konsep singkop dalam kesusasteraan memang ditolak sama sekali.

Hujah yang diberikan oleh pendokong teori ini adalah bahawa dalam Al Quran, bahasa Arab Fushah (yakni bahasa Arab laras baku) digunakan, dan kitab ini tidak diturunkan dalam laras bahasa percakapan sehari-harian orang Arab Badwi pun. Justeru kalau kita hendak meniru teknik yang digunakan Al-Quran, maka kita pun haruslah menggunakan bahasa baku sepenuhnya. Begitu kata mereka.

Hasilnya, dialog-dialog yang ditulis menjadi tersangat artifisial seperti ini:

“Benarkah kamu tidak mahu pergi dengan mengenderai kereta sahaja?”

“Memang saya telah pun membuat keputusan ini sedari malam tadi lagi. Saya tidak boleh memandu kereta dalam keadaan sinar matahari mencacak tegak di atas langit. Saya mempunyai masalah silau penglihatan.”

Kalau dalam bahasa Inggeris, saya akan katakan: “Nothing can be further from the truth.” Kerana hakikatnya, para pendokong teori BMT ini, gagal mengambil kira konteks zaman dan masyarakat Arab ketika Al-Quran diturunkan itu. Sebenarnya, pada zaman itu memang masyarakat Arab bertutur dalam bahasa Arab fushah. Kerana bahasa ketika itu belum dicemari elemen 'Ammi (yakni bahasa Arab pasar) seperti yang berleluasa di negara-negara Arab hari ini. Malahan orang-orang Arab Badwi di gurun-gurun di zaman itu memiliki pengucapan bahasa yang indah dan puitis. Sehinggakan menjadi amalan orang-orang Arab di kota-kota, untuk mengirimkan anak-anak kecil untuk dipelihara oleh keluarga-keluarga angkat dari puak Badwi di gurun-gurun ini dengan harapan agar anak-anak mereka dapat menguasai kefasihan berbahasa daripada ibu dan ayah angkat mereka. Dan kerana itu jugalah, seperti yang kita tahu, ketika nabi saw dilahirkan, baginda diberikan kepada Halimatussa'diah untuk dipelihara dan disusukan.

Justeru apabila Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab Tinggi, ia sebenarnya adalah cerminan bahasa Arab yang digunakan sehari-harian ketika itu. Ia adalah refleksi bahasa pertuturan ketika itu – hanyasanya bersifat lebih puitis dan indah sehingga para penyair di zaman itu pun kagum dan terpesona dan tidak dapat menemui barang sedikit pun kecacatan pada setiap ayatnya.

Sebab itu, dalam konteks bahasa dalam penulisan sastera kita hari ini, apabila ada yang berkeras mahu menggunakan bahasa Melayu formal dengan menghujahkan Al-Quran menggunakan bahasa Arab baku, maka saya akan katakan, “nothing can be further from true.”

Sebaiknya langgam dan lenggok yang digunakan dalam sesuatu penulisan sastera haruslah mencerminkan bahasa yang digunakan dalam sesebuah masyarakat itu. Sekiranya kita terlalu berkeras menggunakan langgam bahasa Melayu Tinggi yang rigid kaku dan tidak mencerminkan sama sekali pertuturan sehari-harian, maka sastera akan terpisah dari masyarakat.

Tetapi harus juga ditegaskan, bahawa penggunaan langgam sehari-harian haruslah dalam keadaan yang terkawal. Terkawal di sini bermaksud, jangan pula sampai terjadi pencemaran. Kerana matlamat utamanya adalah untuk memperkayakan bahasa itu, dan bukan untuk merosakkannya. Justeru barangkali dengan menghadkan penggunaan langgam bahasa percakapan hanya kepada ayat-ayat dialog sahaja adalah satu alternatif yang baik.

Bahasa yang dirigidkan terlalu kaku dan baku ditakuti akan memberi kesan mematikan sesuatu bahasa itu. Bahasa akan menjadi statik dan tidak berkembang. Dan hasil kesusasteraan pula akan menjadi artifisial.

Allahua’lam.

12 comments:

Ustaz sastera said...

Sebagaimana firman Allah SWT :

قل لئن اجتعت الإنس والجن علي أن يأتوابمثل هذاالقران لايأتون بمثله ولو كان بعضهم لبعض ظهيرا

"Katakanlah ,sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat serupa Al-Qur`an ini,niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia,sekalipun sebagian mereka menjadi pembantu bagi sebagian yang lain".

-Ustaz Sastera

Aidil Khalid said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Aidil Khalid said...

Ya, benarlah seperti yang dikatakan itu. Al Quran adalah kalam Tuhan yang sempurna dan terhindar dari cacat cela dan tak akan ada yang dapat menirunya. Tetapi mengkaji teknik-teknik yang digunakan di dalam Al-Quran untuk diaplikasi ke dalam kesusasteraan Melayu lalu mencipta sebuah teori kesusasteraan berteraskan Al-Quran adalah sesuatu yang harus dipuji.

Sesungguhnya Al-Quran diturunkan untuk dijadikan panduan hidup. Justeru menjadikan keindahan kesusasteraan dan bahasa di dalam Al Quran sebagai panduan dalam menggagaskan sebuah teori sastera Islami adalah sesuatu yang mudah-mudahan akan mendapat redha Tuhan.

Mohd. Fahmi said...

penggunaan bahasa melayu tinggi (BMT) amat baik namun benar juga dengan tanggapan ia tidak mencerminkan masyarakat semasa. saya setuju kalau kita menggunakan bahasa semasa (bukan bahasa pasar) dalam dialog watak untuk mencerminkan bahasa sekarang kerana ia lebih sesuai dengan zaman. tak ada lagi orang menggunakan laras bahasa 'hikayat melayu' untuk bercakap pada hari ini.

S.K said...

Salam,

YUP. Kak S.K juga berfikir begitu!

"Justeru apabila Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab Tinggi, ia sebenarnya adalah cerminan bahasa Arab yang digunakan sehari-harian ketika itu. Ia adalah refleksi bahasa pertuturan ketika itu – hanyasanya bersifat lebih puitis dan indah sehingga para penyair di zaman itu pun kagum dan terpesona dan tidak dapat menemui barang sedikit pun kecacatan pada setiap ayatnya."

Tepat sekali.

Kalau isu memendekkan ejaan pula, memang, kak S.K tak boleh nak sokong langsung, haha... benci baca ejaan pendek di mana-mana jua... di FB peribadi, saudara mara tulis begitu, tak tahu bagaimana nak tegur dengan baik...

Isu mengenai isu "dialog", "percakapan", "perbualan" dalam karya... sebagai pembaca, kak S.K akan berasa bosan dan pembacaan terganggu apabila perbualan kaku... Jadi, sebagai penulis, harus belajar mempunyai "telinga" untuk perbualan semulajadi (ear for natural conversations), itu antara panduan yang kak S.K ikuti dari zaman remaja sehingga hari ini. Tetapi, kena imbangkan bagaimana nak mencapai "kesemulajadian" ini dengan bahasa yang baik. Banyak novel sasterawan yang boleh diikuti dalam hal ini. Jadikan saja contoh. Bahasa Melayu kaya istilah dan pengarang pasti mampu melakukannya.

Dalam sastera Inggeris, kita akan lihat, mereka lebih bebas dalam menentukan gaya percakapan dalam karya mengikut loghat yang bersesuaian dengan konteks keadaan zaman dan geografi sesuatu watak (loghat di utara tak sama loghat di selatan - Amerika baik, Eropah baik). Tetapi, tak semua yang kak S.K setujui juga.

Kalau kita terlalu keras dalam bahasa, makin lah orang tak nak (hendak?) baca novel yang kandungan baik dan berkualiti sebab bahasanya kaku dan membosankan...

Betul, tak?
ooopsss...
Betul ke tidak?
ooopppsss...
Betul atau tidak?

Wassalam.

Anonymous said...

Betul ataupun tidak
oppsss

Aidil Khalid said...

Mohd Fahmi, ya benar, laras bahasa dalam dialog penting dalam mencerminkan zaman. Selain itu, ia juga penting dalam menggambarkan perwatakan. Laras bahasa yang digunakan oleh watak pensyarah tentu sekali berbeza dari laras bahasa yang dituturkan oleh watak petani misalnya.

Kak S.K, nak imbangkan antara 'kesemulajadian' dialog dengan bahasa yang baik sebenarnya adalah suatu kesenian yang tidak mudah dipelajari melainkan dengan pengalaman dan latihan yang banyak. Kalau dalam novel Melayu, saya rasa novel Tunggu Teduh Dulu oleh FT adalah antara dialog yang paling indah bikinannya -- seimbang dari segi natural gaya dialog dengan keindahan bahasa dan sastera.

Anonymous, Ooops! =)

Zaid Akhtar said...

Saya bersetuju dengan Tuan Aidil.
:-)

dr.irwan said...

"Bahasa yang dirigidkan terlalu kaku dan baku ditakuti akan memberi kesan mematikan sesuatu bahasa itu. Bahasa akan menjadi statik dan tidak berkembang. Dan hasil kesusasteraan pula akan menjadi artifisial." Saya setuju. Contohnya, penggunaan "ia" untuk bukan manusia patut dibenarkan kerana kita memerlukan fasiliti ini demi keselesaan menulis. Dalam bidang sains, misalnya, penggunaan "ia" dengan cara yang sedemikian adalah dibenarkan. Kalau tidak, mari kita kembali kepada kata asalnya "inya", kata yang telah disalah transkripsikan daripada Jawi(alif-ya-nya) kepada "ianya",kemudianya diserang sebagai pemajmukan kata ganti nama yang tidak munasabah.

rayyanzilfi said...

Saya pun setuju seratus peratus

Anonymous said...

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada tuan pengarang, semoga kita sentiasa dirahmati Allah.

Saya sudah baca esei saudara ini lama dahulu, namun kali ini sekali lagi saya membacanya dan tergerak untuk berkongsi buah fikir.

Saya yakin saudara pengarang dan pengulas-pengulas di atas adalah antara mereka yang sudah arif dan alim dalam sastera.

Namun bagi saya, jika kita membuat telahan sebelum benar-benar maklum dan tahu apakah sebenarnya perkara yang kita ulas, itu mungkin membibitkan suatu pendapat yang tidak adil.

Saya kira, ulasan-ulasan di atas akan lebih berintergriti apabila kita sendiri maklum dan dengar apakah sebenarnya Teori Teknik Surah Yusuf dan Bahasa Melayu Tinggi itu.

Wa-Allahu a'alam.

Aidil Khalid said...

Sdr Anonymous,

Terima kasih atas ulasan.

Mengenai ulasan yang berintegriti, sila maklum bahawa saya pernah menghadiri kursus yang dinamakan Teknik Surah Yusuf itu, dan saya memang tahu teorinya.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP