Wednesday, April 28, 2010

Tash Aw

Saya teringat, pertengahan tahun lalu, saya ada menghadiri majlis bicara bersama pengarang Tash Aw di Kolej Universiti Sunway, tetapi tidak pernah menurunkan sebarang catatan mengenainya di blog ini. Hari ini ketika menyelak-nyelak fail-fail peribadi, saya temui kembali nota yang yang dicatit hasil daripada majlis tersebut. Banyak yang menarik sebetulnya, antaranya mengenai kesan pembacaan ke atas seseorang penulis, serta pandangan Tash Aw mengenai kuasa mutlak bagi seseorang penulis untuk 'merosakkan' bahasanya.

Tash Aw bukanlah nama asing bagi kalangan peminat sastera Malaysia berbahasa Inggeris. Beliau berkelulusan perundangan dari Universiti Cambridge dan Warwick di United Kingdom, tetapi kemudiannya meninggalkan dunia guaman – setelah hanya kira-kira empat tahun beramal – untuk menyelesaikan novel pertamanya, The Harmony Silk Factory. Novel itu, yang mengambil latar menjelang perang dunia kedua di Lembah Kinta, Perak, ternyata, sebaik terbit, telah mendapat sambutan luar-biasa malahan memenangi Whitbread First Novel Book Award 2005.

Saya yang mengetahui latar guaman Aw, jadi teruja untuk menghadiri dan mendengar syarahannya, kerana barangkali akan ada pengalaman yang dapat saya kutip untuk dijadikan iktibar dan panduan.

Seperti yang terpapar daripada tajuk syarahannya – How Reading and Writing Shaped My Life – majlis syarahan ini menekankan aspek kehidupan Aw sebagai penulis – bagaimana pembacaan awalnya telah membentuk keperibadiannya; bagaimana beliau memulakan karier penulisan; apakah yang diperlukan oleh seseorang calon penulis yang ingin bergiat serius dalam bidang ini – tanpa, tentunya, mengabaikan proses kreatif yang dilalui, terutamanya dalam penghasilan novel pertama.

Di awal syarahan, Aw menekankan tentang pentingnya pembacaan kepada seseorang penulis. Beliau menyebut bahawa “good writing comes from good reading” – penulisan yang baik datang daripada pembacaan yang baik – dan kenyataan ini diulang-ulang beberapa kali dari awal hinggalah ke akhir syarahan yang berjalan selama kurang lebih 45 minit itu.

Dua buah novel disebut Aw sebagai memberikan kesan luar biasa kuat kepadanya shingga ke hari ini, iaitu The Old Man and the Sea karya Earnest Hemingway dan Moby Dick karya Herman Melville. Kedua-dua novel tersebut, menurutnya, mempunyai persamaan kerana menjadikan lautan sebagai elemen penting dalam karya, malah ada ketikanya sehingga lautan dilihat menjadi watak yang dominan dan bukan lagi semata-mata sebagai latar. Beliau turut menekankan bahawa kekuatan dua novel itu adalah pada perlambangan dan metaforanya sehingga mempunyai makna tidak hanya selapis, selain penggunaan bahasa yang berstail.

Apabila menyentuh soal penggunaan bahasa dalam berkarya, Aw menekankan bahawa “simplicity is often the cornerstone of good writing” – gaya yang mudah selalunya adalah kekuatan dalam sesebuah penulisan yang baik. Dan gaya yang mudah itu, tambahnya lagi, merangkumi cara dan stail penyampaian pemikiran serta penggunaan bahasa ke laras paling minimum (the use of language to the minimum). Aw menekankan bahawa seseorang itu tidak perlu memiliki kekayaan pembendeharaan kata yang banyak sebelum boleh menjadi penulis, kerana beliau berpendapat, penulisan yang baik bukanlah mengenai penggunaan kata yang langka atau bombastik. Apa yang penting adalah cara penyampaian yang terang, jelas, dan tepat, katanya.

Selain itu, Aw turut memberikan contoh bagaimana sesuatu hal seharian yang biasa-biasa, andai ditulis dengan suara yang tulus jujur akan mampu untuk tidak sahaja menjadi menarik, malahan boleh pula menggugah perasaan.

Dalam hal penggunaan bahasa juga, Aw turut menekankan kebebasan tanpa batasan dan sekatan. Katanya, apabila seseorang menggunakan sesuatu bahasa – bahasa Inggeris misalnya – tidak semestinya Queens English (bahasa Inggeris laras tinggi) harus diguna-pakai, sebaliknya, seseorang itu bebas mengubah dan mengeksploitasi bahasa tersebut sepenuhnya dengan memasukkan unsur-unsur slanga dan sebagainya. “Seseorang harus bebas mengekspresikan dirinya dengan apa cara sekalipun yang dirasakan selesa,” katanya sebelum menambah lagi: “Saya lebih tertarik dengan bagaimana saya boleh menggunakan sesebuah bahasa, dan kemudian mengubahnya.” Hal inilah, menurutnya lagi, yang akan memperkayakan bahasa tersebut.

Novel Lolita oleh Vladimir Nabokov diambil sebagai contoh. Beliau menyukai novel tersebut antara lain kerana langgam bahasanya. Hal ini kerana novel tersebut ditulis oleh seorang Rusia yang menulis dalam bahasa Inggeris. Apabila seseorang bukan Inggeris menulis dalam bahasa Inggeris, tidak dapat tidak, ia akan memberi warna tambahan kepada bahasa yang digunakan itu – warna budaya. Kemudian Aw memberi contoh novelnya sendiri. Apabila beliau meneliti kembali novelnya, lalu membandingkan dengan karya rakan-rakan penulisnya yang berbahasa Inggeris sebagai bahasa pertama, beliau menemui perbezaan ketara pada langgam dan lenggoknya.

“Tetapi untuk boleh melanggar sesuatu peraturan, seseorang itu harus terlebih dahulu tahu dan menguasai peraturan itu,” tekannya kemudiannya.

Justeru, seseorang itu, sebelum boleh memasukkan unsur-unsur slanga, haruslah terlebih dahulu menguasai bahasa Inggeris rasmi terlebih dahulu.

Dalam hal bereksperimen dengan teknik pula, perkara yang sama turut ditekankan. Sebelum boleh bereksperimen dengan gaya yang rencam lagi canggih, seseorang itu haruslah terlebih dahulu menguasai gaya penulisan konvensional, ujarnya.

Beliau yang mengakui bahawa kebanyakan contoh karya yang diberikannya adalah daripada penulis-penulis berbangsa Mat Saleh, turut berseleroh dengan mengatakan bahawa kebanyakan karya yang dikaguminya juga datang daripada penulis yang telah mati. Malahan, pada awal syarahan, Aw turut bernostalgia dengan mengingat bagaimana di waktu sebelum menjadi penulis, beliau tidak punya siapa-siapa yang dapat dijadikan rol model memandangkan semua “pengarang” telah pun meninggal dunia. Dalam bual bicaranya dengan Loise Tucker (yang dilampirkan bersama di halaman belakang novel The Harmony Silk Factory terbitan Harper Perennial) apabila ditanya apakah yang menginspirasikannya menulis novel pertamanya, beliau menjawab: hakikat bahawa tidak banyak karya menarik dan mencabar yang ditulis berlatarkan Malaysia dan Asia Tenggara kecuali hanya sedikit, seperti karya-karya Burgess dan Conrad (kedua-duanya telah meninggal dunia).


*Foto diambil dari http://www.smh.com.au.

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP