Friday, May 14, 2010

Belajar dari Asaari Muhammad

Asaari Muhammad sudah meninggal dunia, sekaligus menafikan dakwaan isterinya dalam buku Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya (yang mendakwa Asaari adalah pemuda bani Tamim, utusan Tuhan yang dimaksudkan dalam hadis* yang akan menyediakan tapak pemerintahan daulah islamiah serta akan menyerahkannya kepada Imam Mahdi setibanya nanti).

Saya pernah menulis dan pernah pula merakamkan dalam sebuah cerpen, betapa saya pernah mengagumi pengasas Al-Arqam ini (dan kemudian Rufaqa seterusnya Global Ikhwan), tetapi kemudian hilang percaya kepada ketokohannya berikutan dakwaan-dakwaan melampaunya, seperti boleh tawar-menawar dalam soal ajal-maut dengan malaikat, akan berada di sebelah jasad para pengikutnya ketika ditanya oleh malaikat kubur, memiliki power untuk menyembuhkan, juga beberapa dakwaan biadab orang-orang kanannya (yang hari ini masih lagi hidup), antaranya yang mengatakan bahawa mindanya – segala pemikiran dan kata-kata dan arahan yang keluar daripada mulut Asaari – adalah wahyu Tuhan. (Video sebahagian dakwaan tersebut boleh tonton di sini).

Asaari Muhammad sudah meninggal dunia, sekaligus menafikan dakwaan isterinya dalam buku Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya. Tapi sebenarnya, banyak sekali yang boleh kita pelajari daripada manusia ini. Bagaimana Asaari, bersama-sama para pengikutnya, menyebarkan Islam sebagai cara hidup – bukan sekadar retorik kata-kata (Islam Hadhari atau Masyarakat Madani atau Membangun Bersama Islam) semata-mata, tetapi benar-benar mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Mereka memiliki perkampungan sendiri, mereka menjalankan perniagaan sendiri yang mengeluarkan produk-produk halal, mereka menyediakan alternatif hiburan islami sendiri, mereka juga menyediakan sekolah-sekolah sebagai alternatif kepada sistem pendidikan sekular, mereka punyai hospital dan klinik sendiri, dan banyak lagi. Bacalah, sebagai misalan, buku Zabidi Mohamed, Al-Arqam Tersungkur di Pintu Syurga, dan anda akan kagum bagaimana gahnya jemaah mereka suatu ketika dahulu sebelum diharamkan. Atau baca juga buku Ann Wan Seng, Rahsia Al Arqam serta Al Arqam di Sebalik Tabir dan anda akan mengetap bibir merasai nikmatnya sebuah jemaah yang benar-benar menghidupkan sunnah. Jemaah ini perniagaannya bukan sekadar menjual ubat-ubatan dalam botol, sebaliknya mereka memiliki aset yang bernilai jutaan ringgit -- memiliki berbiji-biji bas dua tingkat, memiliki syarikat-syarikat tour travel dan banyak lagi. Mereka benar-benar memahami konsep ekonomi Islam.

Saya kira inilah bezanya beliau – yang membuatkannya menyinar melebihi tokoh-tokoh agamawan lain di mata saya – kerana beliau mengangkat Islam secara praktikal, serta menunjukkannya dari tindak-tanduknya. Beliau menghidupkan sebuah jemaah, dan hal ini dilihat benar kesannya, terutama dalam hal kebangkitan Islam di Malaysia pada tahun-tahun 70-an dan 80-an dahulu, yakni pada waktu di mana hendak melihat perempuan yang menutup aurat adalah dianggap suatu kejanggalan lagikan pula yang berpakaian berserban berjubah dan berpurdah berlitup.

Saya sendiri, punya sejarah nostalgia yang panjang dengan jemaah ini. Saya tidak pernah menjadi pengikutnya, oh tidak, tidak pernah, tapi saya adalah salah seorang simpatinya, salah seorang penyokongnya dari dulu (sehingga tiba dakwaan-dakwaan mengarutnya). Sehingga pada satu tahap saya pernah menghadiri upacara pengijazahan tariqat Aurad Muhammadiah, walaupun sampai ke sudah saya tidak membayar maharnya. Malah beberapa ahli keluarga yang dekat adalah pengikut setia jemaah Rufaqa yang menggantikan Al-Arqam setelah diharamkan.

Ketika di sekolah rendah, walaupun sekolah yang saya hadiri itu dikendalikan oleh pihak JAIS, tetapi para guru-gurunya yang mengajar di situ kebanyakannya adalah ahli-ahli jemaah. Dari situ saya mengenali jemaah ini, dan kemudian, dididik untuk mencintai – malah mengagung-agungkan – Asaari. Kami diberi memakai lencana-lencana berwajah Asaari untuk disematkan di dada, kami diajarkan melilitkan serban dengan gaya Asaari, kami diajarkan untuk mengikut segala tindak dan tanduknya Asaari.

Sesungguhnya, walaupun begitu besar penyelewengan yang dibawakan oleh Asaari, tetapi hakikatnya kita harus bertanya, kenapa Tuhan membenarkan manusia seperti ini dan membenarkan jemaahnya membesar sedemikan rupa. Jelas sekali, pasti ada pengajaran yang perlu kita ambil daripadanya. Tuhan tidak membenarkan berlakunya sesuatu tanpa sebarang sebab tentunya.

Hari ini, dalam keadaan politik negara yang tunggan-langgang – dan Islam menjadi terumbang-ambing dipermain-mainkan sewenang-wenangnya oleh UMNO, PAS, dan PKR atas kepentingan peribadi – kita benar-benar memerlukan sebuah jemaah yang seperti Al-Arqam, yakni yang tidak terlibat dengan politik kepartian, sebaliknya menghidupkan Islam dalam erti kata mengamalkannya dalam kehidupan dan benar-benar menunjukkan keindahan Islam dari amalannya itu. Yang menghidupkan Islam secara berjemaah, dan bukan untuk mengamalkannya seorang-seorang. Kita memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai ‘aura’ seperti Asaari, yang mempunyai visi seperti Asaari, yang mempunyai praktikaliti seperti Asaari, yang mampu menyatukan ummat Islam bukan atas nama kepartian sebaliknya atas rasa mahabbah menghidupkan al-quran dan as-sunnah.

Di waktu kita tak lagi dapat mengharap kepada para politikus biar dari parti mana sekalipun dia datang, eloklah kita mengkaji rahsia kehebatan kebangkitan Islam cara Al-Arqam. Sebuah jemaah yang berdiri dan membangun tanpa mengharapkan peruntukan kerajaan, dan yang berkembang atas rasa kecintaan semata-mata. Kita ambil mana-mana yang jernih darinya, dan buangkan mana-mana yang keruh.

Al-Fatihah buat Asaari Muhammad, seorang manusia biasa yang telah mencipta gelombang luar-biasa (jasanya pada tahun-tahun 70-an dan 80-an rasa saya memang tak akan dinafikan oleh siap-siapa). Moga segala dosa-dosanya diampunkan Tuhan, dan moga kita manusia-manusia yang masih hidup mengambil pengajaran daripadanya.

Daripada Allah kita datang kepada Allah kita kembali.


*Akan keluar dari sulbi ini seorang pemuda yang akan memenuhi bumi dengan keadilan. Maka apabila kamu ingin melihat demikian itu hendaklah kamu bersama-sama Pemuda Bani Tamim. Sesungguhnya dia datang dari sebelah timur dan dialah pemegang panji-panji Al-Mahdi [Hadis Riwayat Thabrani, Lihat Mu’jam Al-Kabir li At-Thabrani, no: 502]

5 comments:

MADiSYAK said...

Anda memberi pandangan yang sungguh munasabah. Kita tidak jadi pengikutnya tetapi mengambil contoh usahanya menyatukan manusia di bawah satu cara hidup muslim.

Aidil Khalid said...

Tuan Madisyak,

Islam agama pemersatu, tapi sayang sekali sekarang makin berpecah belah.

Dan lebih sayang lagi apabila mendengar berita golongan fanatik yang mengada-adakan cerita konon Asaari tidak mati, sebaliknya hanya ghaib dan akan kembali. Begitulah apabila taksub mengatasi akal waras.

lieawulf said...

salam aidil, years ago i really thought that you were one of Ashaari's followers. And today I am glad that I read this piece of write up. being in JAIS school last time, I had also been exposed to some Al-Arqam activities, i've never participated in any, and alhamdulillah for that.

tapi apa yang aidil katakan mengenai ketokohan Ashaari dalam membina ekonomi Al-Arqam memang benar. saya ingat lagi pernah membeli komik2, album nasyid terbitan Al-Arqam sendiri. dan saya pernah diberitahu oleh salah seorang pengikut Al-Arqam bahawa 30% gajinya disalur kepada tabung pembangunan Al-Arqam. kalau difikir dalam2, barangkali inilah yang tiada pada kita..keinginan untuk menyumbang ke arah pembangunan agama Islam dan anak bangsa kita sendiri.

terima kasih kerana mengingatkan saya bahawa setiap yang negatif tetap ada positifnya jika dilihat dari sudut yang betul..

muhammad fakhruddin said...

Assalamualaikum,
disebabkan pemergian Allahyarham Asaari Muhammad jua,saya mencari 2 buku yang saudara sebutkan dalam post ini.

Benar,Al-Arqam sekurang-kurangnya berjaya membumikan Islam Syumul, khususnya dalam bidang ekonomi. Kejayaan yang tiada dalam kebanyakan gerakan Islam yang lain.

Anonymous said...

Assalamu alaikum wbt,

Pada pendapat saya, kita tidak boleh hanya kagum pada apa yang kit alihat pada luaran, sebab akidah itu adalah tunjung utama agama Islam itu.


Sekian.

Hamdani

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP