Wednesday, May 12, 2010

Perenggan Pertama

Saya percaya kegemaran bertandang ke kedai buku ketika waktu senggang adalah kegemaran biasa bagi kalangan pecinta sastera. Tapi barangkali ada sedikit berbeze untuk saya, kerana apabila ke sana, hasrat saya bukanlah sangat untuk memilih buku-buku yang hendak dibeli atau untuk melihat tajuk-tajuk buku keluaran baharu – kerana hal ini boleh dilakukan dari internet sahaja – tapi sebaliknya apa yang biasa saya lakukan adalah untuk menyelak buku demi buku, atau lebih tepat lagi, menyelak halaman pertamanya sahaja.

Saya suka melihat bagaimana kepelbagaian teknik perenggan pertama dalam buku-buku yang berlainan. Saya suka melihat bagaimana para pengarang berusaha memulakan sebuah buku yang tebal, yang beratus-ratus halaman, dari ayat pertama yang ringkas tapi mengesankan. Ia adalah sesuatu yang memerlukan tahap kesenian yang tinggi, saya kira.

Sebuah novel yang baik, biasanya, akan dimulai oleh perenggan pertama yang kuat menggugah. Perenggan pertama – yang pada biasa terdiri tidak lebih dari empat atau lima ayat sahaja itu – akan menentukan mood keseluruhan cerita. Ia juga akan menjadi penarik pertama kepada pembaca, sama ada mahu meneruskan pembacaan ataupun meletak ke tepi buku tersebut.

Sebagai misalan, saya suka sekali bagaimana pengarang Tash Aw memulakan novelnya:

“The Harmony Silk Factory is the name of the shophouse my father bought in 1942 as a front for his illegal businesses.”

Ayat yang terdiri hanya daripada 22 patah perkataan ini mempunyai kekuatan misteri yang mampu menjentik-jentik jiwa pembaca untuk meneruskan pembacaan seterusnya. Barangkali roh dalam ayat tersebut adalah pada ungkapan ‘as a front for his illegal businesses’. Ungkapan ini mengandung seribu makna, dan sebagai pembaca, tentu akan terlintas di fikiran, dan tertanya-tanya, bagaimanakah pengarang akan mengembangkan hal ini seterusnya. Perhatikan juga, gambaran-gambaran yang digunakan, seperti shophouse, serta tahun 1942. Pada pandangan saya, dua gambaran ini adalah simbol yang mengandung perasaan, selain memberikan latar masa dan tempat. Seperti yang telah saya nyatakan di atas, ia membantu menyediakan mood pembaca.

Lihat pula, sebagai contoh lain, bagaimana pengarang Carlos Ruiz Zafon memulakan perenggan pertama dalam novelnya, The Angel’s Game:

“A Writer never forgets the first time he accepted a few coins or words of praise in exchange for a story. He will never forget the sweet poison of vanity in his blood, and the belief that, if he succeeds in not letting anyone discover his lack of talent, the dream of literature will provide him with a roof over his head, a hot meal at the end of the day, and what he covets the most: his name printed on a miserable piece of paper that surely will outlive him.”

Barangkali saya merasakan perenggan di atas ini menarik kerana saya memang langsung dapat relate dengan kenyataannya. Ia adalah satu kenyataan yang jujur, yang bukan hanya para penulis sahaja boleh merasainya, tetapi mereka yang bukan penulis juga turut sama akan mengangguk mengatakan, ya, memang begitulah keinginan setiap orang. (Ketika membaca perenggan di atas waktu menyelak-nyelak buku-buku secara rawak di kedai buku MPH SACC Mall Shah Alam, saya langsung terkenang pengalaman pertama mendapati cerpen tersiar di majalah Dewan Agama dan Falsafah kira-kira empat tahun lalu – malam pukul 8 kalau tak salah, saya sedang dalam perjalanan untuk latihan silat berhenti sebentar di kedai buku, dan apabila mendapati cerpen sendiri yang tersiar, langsung merasa diri terangkat ke awang-awangan hatta ketika sampai habis latihan silat masih lagi dalam mood di awang-awangan itu).

Contoh lain, lihat pula kepintaran Olein Steinhauer merangka perenggan pertama novel The Tourist:

“Four hours after his failed suicide attempt, he descended toward Aerodrom Ljubljana. A tone sounded, and above his head the seat belt sign glowed. Beside him, a Swiss businesswoman buckled her belt and gazed out the window at the clear Slovenian sky – all it had taken was one initial rebuff to convince her that the twitching American she’d been seated next to had no interest in conversation.”

Saya kira perkara yang menggigit-gigit perasaan untuk meneruskan pembacaan dalam perenggan di atas adalah pada ungkapan ‘his failed suicide attempt’. Dan kemudian diikuti dengan gambaran dalam kapal terbang yang hendak mendarat serta sikapnya yang dingin terhadap penumpang sebelah – sekali lagi, menyediakan mood pembaca.

Maafkan saya kerana contoh-contoh yang saya ambil terdiri dari novel-novel berbahasa Inggeris. Saya sebenarnya memang apabila pergi ‘meronda-ronda perenggan pertama buku-buku’ akan hanya memilih secara rawak – dan kebetulan di kedai-kedai buku jumlah buku berbahasa Inggeris memangnya lebih banyak dari berbahasa Melayu (walaupun mutakhir ini nampak trend yang semakin memberangsangkan di mana buku-buku Melayu semakin bertambah). Pun saya juga sebetulnya perasan, bahawa kalau diselak novel-novel Melayu, jarang-jarang dapat ditemui pembukaan yang menggugah penuh berseni seperti contoh-contoh yang diberikan di atas. Kalau ada, yang teringat di fikiran saya saat ini – secara rawak – adalah novel Arena Wati, yang perenggan pertamanya menggambarkan suasana hujan dengan amat berkesan:

“Faks itu dia baca kembali! Hujan hujung minggu akhir Oktober, dibawa angin Barat Daya! Itu menyebabkan Jakarta Raya tiap hari hilang sinar matahari! Ketika dia tinggalkan rumahnya, di Jalan Melaka–Jakarta Utara, Wang Moy Yong sedari, banjir itu makin naik! … Tanah Rendah Jakarta Utara sedang digenangi air. Faks itu masih di tangannya, ketika lalu di Jalan Pintu Kecil drebar preibadinya menoleh ke belakang berkata sugul:”

Dan saya teringat, ketika berbengkel dengan Puan Zaharah Nawawi dahulu, dia ada mengatakan bahawa dua kesusahan utama dalam menghasilkan karya adalah: pertama, menentukan judul, dan kedua, menulis ayat pertama.

6 comments:

hanis aleeya said...

SalaAm..

Bukan setakat menulis ayat pertama bagi sebuah karya yang susah, tetapi menulis ayat pertama bagi setiap babak. Tidak tahu hendak bermula di mana.

Aidil Khalid said...

Hanis Aleeya,

Ya, saya setuju. Memang memulakan ayat pertama untuk setiap babah baharu selalu membuatkan saya kehilangan -- loss -- untuk bermula dari mana.

Aidil Khalid said...

* babak

Sarah said...

Salam...

Perenggan pertama Angel's Game itu paling saya suka. Novel Arenawati itu, Armageddon, kan? <^_^> Perenggan pertama Jukstaposisi novel Hizairi Othman juga menarik untuk dibaca.

Aidil Khalid said...

Sarah, saya paling suka perenggan Pertama Tash Aw. =)

Ya, memang novel Arenawati itu Armageddon. Bagaimana ya perenggan pertama Jukstaposisi? Saya belum baca novel itu.

Sarah said...

"Ketika kereta mula bergerak, sebelumnya tersengguk oleh tolakan gear pertama, gesture T-Rex yang sedang menghambat jip dengan stamina maksimum muncul di optik mata. Hanya bermula dengan setitik darah yang disedut lalat parasifik yang seni, disuburan DNAnya yang rosak dengan spesies reptilia terpilih, tetaskan dengan telur sintetik, dan produk akhir proses klonnya; raung ganas dalam bingit gelombang grafik digital - biakan salinan asal dinosaur asli.

Selamat datang ke Taman Jurasik."

Kebetulan novelnya di sisi saya ketika ini =)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP