Monday, June 21, 2010

Perca-Perca Pengalaman Berurusan dengan Editor

Pengalaman peribadi saya berhubungan dengan pihak penerbitan kebanyakkannya selalu baik-baik belaka. Sebagai penulis kecil yang masih muda dan masih mencari-cari tapak kukuh -- malah mencari-cari tuju arah -- saya selalu melihat pihak penerbitan, terutama editornya, sebagai guru tak langsung, atau sekurang-kurangnya mentor kepada diri. Golongan editor ini pada kebiasaan tentu sekali lebih berpengalaman dari kebanyakan penulis, kerana mereka berurusan dengan beratus-ratus manuskrip sehari-hari.

Saya ingat pengalaman pertama mengirimkan cerpen ke majalah Dewan Agama & Falsafah. Ketika itu belum pernah ada karya saya yang tersiar lagi. Jadi tulisan saya itu pun bersifat tersangat mentah, dan lebih-lebih lagi, terlalu panjang untuk disiarkan di majalah. Editornya, Tuan Ahmad Baie Jaafar, telah dengan begitu berbaik hati mengirimkan emel balas menasihatkan supaya saya memendekkan cerpen tersebut dan kirimkan semula kepadanya. Karya itu akhirnya disiarkan setelah saya mencantas seperti yang dipinta. Sampai ke hari ini – dan kalau Tuhan izinkan insyaAllah sampai ke akhir hayat – akan saya ingat-ingat jasa Tuan Ahmad Baie Jaafar itu, kerana telah bertindak memberi peluang kedua dengan mengirimkan emel nasihat tersebut, walhal sebagai editor dia punya kuasa penuh, kalau mahu senang, untuk membakul sampahkan sahaja manuskrip asal yang tidak terurus dan tidak memenuhi ciri-ciri manuskrip yang dikehendaki itu. Begitulah sejarah cerpen pertama saya yang tersiar. Cerpen yang penuh dengan ketidak-sempurnaan itu, dan yang kalau dibaca kembali hari ini wajah saya barangkali akan merona merah kerana tak tertahan malu.

Saya juga tak mungkin lupa pengalaman berhubungan dengan penerbit novel sulung saya, Jemari Seni Publishing. Dalam menulis novel yang panjang, yang beratus-ratus halaman, tidak dapat tidak, tentu sekali penulis yang juga merupakan seorang individu, tak akan dapat lepas daripada terlangkau pandang akan hal-hal remeh-temeh yang barangkali kecil tetapi memberikan erti besar kepada karya secara keseluruhan. Justeru di situlah perlunya editor sebagai mata kedua bagi memperkemas dan memperindahkan karya tersebut. Saya masih ingat, ketika dalam proses editing novel tersebut, saya selalu berhubungan dengan editor melalui Yahoo Messenger. Editor memberitahu perkara-perkara yang saya tersilap letak atau fakta-fakta yang pesong dalam karya tersebut (percayalah, memang sungguh banyak fakta pesong dalam manuskrip asal saya itu), dan kemudian mencadangkan perubahan-perubahannya.

Tahun 2009 pula memberikan saya pengalaman baharu, apabila Tuhan mengurniakan rezeki melalui ruang novel bersiri di akhbar. Secara keseluruhan, proses kreatif menulis novel bersiri memang pengalaman yang sukar dilupakan – terutamanya saya menulis novel tersebut ketika sedang melanjutkan pelajaran selama setahun ke ijazah professional di UiTM yang begitu meripuhkan. Pembahagian masa menjadi genting, kerana di sela-sela kesibukan itu, saya mesti – dan tidak boleh tidak – mengirimkan sekurang-kurangnya satu bab satu minggu. Saya masih ingat, Puan Salbiah Ani, editor ruangan sastera akhbar Berita Minggu ‘memarahi’ saya menerusi kiriman sms apabila bab yang saya kirimkan terlalu panjang sehingga halaman yang dicetak menjadi terlalu tepu teks (halaman di ruangan akhbar memerlukan keseimbangan antara teks dan gambar). Semenjak sms itu saya akan pastikan bab yang dikirimkan benar-benar tidak melebihi jumlah panjang yang ditetapkan.

Selain itu, saya juga belajar untuk menerima, bahawa apabila mengirimkan karya ke penerbitan, terutamanya sajak, seringkali ada diksi-diksi yang diubah bagi memenuhi tuntutan tatabahasa yang betul, begitu juga kadang-kadang stanzanya lari – dan hal ini saya fahami kerana memang itu tanggung-jawab editor, yakni menjaga laras bahasa sesebuah penulisan itu selain menyusun ruang supaya muat. Walaupun kadang-kadang saya tidak bersetuju juga, kerana saya berpegang kepada prinsip asas sastera – yakni lesen puitika (poetic license) – bahawa dalam menulis karya sastera, bukan tatabahasa yang harus dipakai, sebaliknya tatasastera. Tetapi saya faham bahawa prinsip ini tidaklah boleh terlalu digunakan secara sesuka hati, justeru editor berhak menukar mana-mana yang dirasakannya keterlaluan melanggar hukum tatabahasa.

Suatu lagi hal, ialah apabila menulis karya undang-undang, adakalanya editor tersilap membetulkan (atau menyalahkan) sesuatu yang sebenarnya sudah betul, kerana editor itu barangkali tidak memahami sesuatu jargon perundangan. Misalnya dalam sebuah karya terbaharu saya yang disiarkan dalam sebuah akhbar arus perdana baru-baru ini, perkataan ‘statut’ yang saya gunakan dua kali, telah dibetulkan oleh editor menjadi ‘status’ dan ‘satu’. (Lantas 'peruntukan statut' menjadi 'peruntukan satu'). Barangkali editornya tidak tahu bahawa perkataan 'statut' ada dalam bahasa Melayu dan terkandung dalam Kamus Dewan edisi keempat – dan hal ini saya anggap sebagai kesilapan yang ikhlas, justeru saya berlapang dada, walapun secara peribadi saya fikir editor yang baik seharusnya menjadikan kamus edisi terkini sebagai ulam sehari-hari.

Secara keseluruhan, memang pengalaman-pengalaman berurusan dengan pihak editor ini saya anggap sebagai satu proses belajar yang panjang. Saya sebagai pelajarnya dan editor sebagai gurunya. Akar utamanya adalah pada prinsip saling menghormati – penulis mesti hormat editor sebagai orang yang lebih berpengalaman dan wakil syarikat penerbitan; editor pula hormat penulis sebagai pengkarya yang memiliki stail dan suara tersendiri yang tidak wajar diganggu-gugat.

Tetapi, apabila prinsip saling menghormati ini tidak dipatuhi – tidak kiralah daripada mana-mana pihak mulanya – maka keharmonian itu akan terjejas. Akan ada pihak yang makan hati. Dan hal ini akan lebih-lebih dirasa, sekiranya yang memakan hati itu adalah pihak pengarang, kerana sebagai pengarang, dia tentu sekali punya perasaan keterikatan khusus – attached – terhadap karya yang dikarangnya sendiri. Sedangkan bagi pihak editor pula, dia hanya menjalankan tugasnya secara professional – tidak ada keterikatan peribadi di situ.

Kerana itulah, baru-baru ini saya merasa sungguh sakit. Tersangat sakit, sebetulnya. Kerana mendapati tulisan saya, sebuah rencana pendek, disiarkan dalam sebuah majalah terbitan baharu, tetapi telah ditukar, dirombak, ditunggang terbalik sampai hasil yang terbit jadi berbeza langsung daripada tulisan asalnya. Sungguh, ketika membacanya, saya tak sanggup menghabiskan sampai ke titik terakhir. Langsung hilang keterujaan mendapati karya terbit. Kerana ketika membacanya saya tahu nadanya bukan nada saya. Kerana ketika membacanya juga, saya tahu yang terbit itu bukan suara saya. Walaupun tertera nama saya di bawah tajuknya sebagai pengarang.

Saya tahu, ramai orang yang akan menasihati, “Sebagai penulis janganlah bising-bising sangat, sudah diberi peluang karya terbit itu pun sudah kira bagus.”

Tapi sebagai graduan jurusan undang-undang – lebih-lebih lagi saya memang secara khusus mengambil subjek harta intelek sebagai kertas pilihan – tidak dapat tidak saya terpaksa cakna akan hal ini. Apabila pengarang mengirimkan karya kepada penerbit, memanglah terdapat perjanjian tak terucap – secara tak langsung – bahawa karya tersebut boleh diedit dan diperindah dan diperbetulkan oleh editor. Tetapi kuasa ini perlu dilakukan dalam skop yang betul. Kuasa ini tidak seharusnya dipergunakan untuk merombak hasil tulisan itu sehingga langsung tidak menjadi seperti tulisan asalnya. Editor tidak seharusnya menjadi ‘penulis kedua’. Harus ada rasa hormat terhadap stail dan gaya pengarang asalnya. Stail dan gaya seseorang pengarang adalah trademark-nya – tanda niaga seorang pengarang! Kalau editor mengganggu sampai mengobrak-abrikkan tanda niaga ini, maka editor telah melanggar suatu prinsip asas hak kepengarangan.

Sebagai misalan, bolehkah anda bayangkan tulisan sasterawan Azizi Hj Abdullah tanpa gaya bahasa utara; atau bolehkah anda bayangkan tulisan S.N Pak Samad Said tanpa larik-larik ayat membuai; atau bolehkah pula anda membayangkan tulisan Andrea Hirata tanpa perumpamaan-perumpamaan dan metarfora-metafora yang sangat visual? Tentu sekali tidak! – kerana setiap gaya dan cara itu adalah trademark setiap penulis tersebut. Sekiranya ada seorang editor yang cuba mencantas tulisan-tulisan tersebut lalu dibakukan dan dibuangkan loghat-loghat utaranya, atau diformalkan supaya tidak lagi membuai, atau ditolak ketepi metafora-metafora visual bagi memendekkannya, maka editor itu telah melanggar skop kuasanya.

Hakikatnya, penulis memerlukan editor – hanya penulis yang bodoh menganggap editor sebagai musuhnya. Begitu juga editor memerlukan penulis, kerana itulah sumber cari makannya – tanpa penulis, tiadalah karya untuk diedit maka tiadalah pula pekerjaan untuk tuan editor. Justeru hubungan tersebut haruslah dijalinkan secara profesional dan saling menghormati.

Saya berharap, moga tulisan ini tidak menyakiti mana-mana pihak, sebaliknya sekadar untuk memberi kesedaran tentang hak dan bidang kuasa masing-masing agar peranan penulis dan editor dapat dijalankan dengan penuh rasa tanggung-jawab dan harmonis. Sebelum mengakhiri tulisan ini, saya suka sekali memetik pandangan daripada penyair Rahimidin Zahari di dalam blognya tentang isu yang sama:

“Saya bila menulis dan memilih perkataan," katanya, "saya tahu tentang apa yang saya tulis dan saya pilih. Tidak dinafikan seorang penulis memerlukan editor. Dan editor yang baik akan menjadikan tulisan penulisnya akan menjadi bertambah lebih baik. Tetapi apabila editor yang tidak baik mengedit tulisan dengan sudut yang buruk, eloklah tulisan itu tidak disiarkan. Lebih baik tulisan itu disimpan di dalam tong sampah.” Keras memang keras. Tetapi kata-kata itu datangnya dari seorang penyair yang disebut-sebut namanya untuk anugerah SEA Write Award dan yang sajaknya dibaca oleh para pelajar seluruh Malaysia dalam mata pelajaran Komponen Sastera.

3 comments:

A. Muziru Idham said...

Tersangatlah setuju dengan entri ini!^_^

ainunl.muaiyanah said...

Suara daripada editor :

Seperti yang kita bincangkan, adakalanya editor terikat dengan rumah penerbitan. Harus begitu dan begitu. Tidak boleh begitu dan begini.

Namun editor yang baik ialah memahami teks. Kalau ada kekeliruan , bertanya pada penulis atau membuat research. Begitulah. Tapi kalau boleh , sebagai editor saya tidak mahu langsung mengedit manuskrip yang menyebabkan saya menjadi second writer.

Wah, boleh buat entri blas ni :)
P/s dah update entri? (sambil angkat kening) :)

Aidil Khalid said...

Muziru, apa-apa pun, sebagai penulis, kita cuma dapat melihat dunia editor dari luar dan tidak dapat benar-benar memahami seperti mereka yang bekerja dari dalam dan betul-betul bertugas sebagai editor.

Yana, haha, silalah buat entri balas. Kita 'compare and contrast' selepas itu.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP