Wednesday, June 30, 2010

Sedikit Bebelan Tentang Seniman dan Propagandis

Rasa saya seseorang pengarang sebenarnya boleh jadi seorang seniman, boleh juga jadi seorang propagandis.

Menurut Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, seniman adalah cermin kepada masyarakat. Kalau masyarakat bobrok, maka karya seni juga harus turut sama memaparkan yang bobrok-bobrok itu. Tetapi ada pula pendapat yang mengatakan seniman tidak boleh memaparkan yang jelek-jelek – kerana ditakuti akan memberi kesan negatif terhadap masyarakat – sebaliknya harus hanya memaparkan yang muluk-muluk. Kalau hal ini dituruti, saya kira mungkin karyawan akan hilang peranannya sebagai seniman, sebaliknya bertukarlah ia menjadi seorang propagandis. Tidak ada salahnya, memang, kerana dua-duanya pun ada sumbangan kepada masyarakat – sama ada seniman mahupun propagandis. Justeru marilah kita meraikan kepelbagaian aliran yang berbeza-beza ini, kerana masing-masing ada peranan yang tersendiri.

Barangkali perbezaannya akan lebih jelas kalau dibandingkan antara novel Salina dengan novel Tuhan Manusia.

Novel Salina karya Sasterawan Negara Pak Samad Said itu adalah sebuah novel yang dihasilkan oleh seorang pengarang seniman – hal ini kerana sebagai sebuah novel yang ditulis dengan aliran realisme, ia telah berjaya memaparkan watak-watak manusia dengan segala warna dan warninya dengan sangat jujur dan tulus tanpa sembunyi-sembunyi dan pengarang tidak sama-sekali bersifat hipokrit hanya untuk menonjolkan yang muluk-muluk. Watak-watak dalam novel itu terasa amat dekat dengan diri pembaca, walaupun pembaca seperti saya barangkali belum lahir ketika zaman tersebut. Tetapi kerana yang dipaparkan adalah sifat kemanusiaan dengan segala reaksinya berdepan pelbagai keadaan dan situasi, maka ia sebenarnya ada dalam diri setiap manusia tanpa mengira bangsa; tanpa mengira umur; tanpa mengira zaman bahkan. Setelah menutup ke halaman terakhir, para pembaca akan berasa puas kerana naluri kemanusiaannya telah disentuh, diusap-usap, diramas-ramas, malah sesekali disepak terajang oleh pengarang sebelum akhirnya dibiarkan lepas bebas kepada pembaca untuk kembali menenangkan nalurinya sendiri.

Novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani pula, pada pendapat saya, adalah sebuah novel yang dihasilkan oleh seorang pengarang propagandis – hal ini kerana sebagai sebuah novel yang ditulis dengan aliran dan gagasan persuratan baru, ia telah berjaya memaparkan watak-watak intelek yang berhujah dengan sifat penuh keilmuan bagi menyampaikan propaganda Islamnya dalam usaha menghentam aliran liberal yang menyimpang dari ajaran tradisional Islam. Ketika menulisnya, pengarang dengan penuh sedar ingin berdidaktik. Justeru peranan pengarang bukanlah lagi sebagai seorang seniman, sebaliknya telah berubah menjadi seorang intelek – seperti seorang pensyarah yang mensyarahkan ilmu kepada anak didiknya – begitulah pengarang menkhutbahkan pelajaran kepada para pembaca. Para pembaca yang dahagakan ilmu akan berasa puas membaca novel ini, dan setelah menutup ke halaman terakhir – sama ada bersetuju atau tidak dengan apa-apa yang dipropagandakan oleh pengarang itu – pembaca tetap akan menjadi lebih pandai daripada sebelumya.

Saya sama sekali tidak bermaksud ingin melabelkan Faisal Tehrani pengarang propagandis – tidak sama sekali. Beliau ialah penerima anugerah seni negara, pengarang mapan tersohor yang menjadi penanda aras mana-mana penulis muda hari ini dan saya mengaguminya sepenuh hati. Dan saya juga tidak memaksudkan ungkapan propagandis dalam konotasi negatif – tidak sama sekali. Yang saya maksudkan ialah ketika menulis Tuhan Manusia, pengarangnya telah memilih untuk mengambil sikap, telah berkeputusan untuk menyatakan pendirian, maka berperananlah dia sebagai seorang propagandis. Tetapi ketika menulis novel Perempuan Politikus Melayu pula, misalnya, Faisal Tehrani telah bertindak sebagai seorang seniman, bukan propagandis, kerana novel itu memaparkan dengan sepenuh realiti akan dunia haiwan-haiwan politik.

Dua-dua jenis kepengarangan – sama ada kesenimanan atau kepropagandisan – masing-masing menyumbangkan sesuatu terhadap manusia dan kemanusiaan, ilmu dan keilmuan, juga budaya dan kebudayaan. Dan apabila dicantum dan dirangkumkan kesemuanya, di situlah ketamadunan dibina.

6 comments:

Rahimidin Z said...

Salam Aidil,
saya suka dengan tulisan sdr. yang bersih dan jernih.

Aidil Khalid said...

Tuan Rahimidin, terima kasih sudi berkunjung ke sini. =)

Anonymous said...

Saya kira anda berbakat dalam kritikan sastera, dan apa yang menarik, Faisal Tehrani juga memberikan perhatian terhadapa penulisan anda.Saya bersetuju dengan apa yang anda tuliskan, sememangnya kepengarangan seniman dan propaganda terangkum dalam dua sudut pandang berbeza, tapi saya yakin tujuannya adalah sama, iaitu menawarkan sesuatu kepada masayarakat. Pendapat saya ialah, semua hasil karya sastera merupakan gabungan antara unsur propaganda dan wacana seniman. Seniman sebagai asas dan propaganda merupakan bentuk yang mengambil tempatnya. Cuma peratusan antara keduanya, mana yang lebih menguasai yang barangkali akan menentukan penilaian dan citra rasa para khalayak, dan pada akhirnya khalayak pelbagai lapisan juga yang akan menilai sendiri mengikut acuan sosial dan selera mereka. Namun jika diperhatikan, Faisal Tehrani sebenarnya menawarkan sesuatu yang baru, kerana apa yang istimewa, dia juga menawarkan unsur kepengarangan seniman lewat karyanya,walaupun terlihat dia lebih menekankan unsur propaganda, tetapi saya kira itu adalah kerana Faisal merupakan pujangga yang bukan hanya sekadar berpujangga, malah turut menganjurkan wacana tarbiyah, melalui taujih dan mulahazah dalam karyanya, bukan hanya sekdara Tuhan Manusia sahaja, bahkan hampir kebanyakan karyanya. Suntikan ilmu yang berat dan penuh dengan fakta yang digali secara mendalam dan tidak rapuh terasa santai dan mendamaikan bila ia dimasukkan dalam unsur kepengarangan seniman. Barangkali ia boleh dianalogi sebagai bercerita, dan bersyarah pada masa yang sama, tetapi suasana yang mendasari adalah sangat selesa dan tidak memberatkan. Pada saya ini merupakan sesuatu yang sangat positif untuk dinilai, kerana bukan mudah untuk mempraktikkan kepengarangan seniman, tetap pada masaya yang sama turut menyelit propaganda yang didasari oleh niat tarbiyah dan dakwah. Saya kira Faisal adalah satu0satunya pengrang muda yang mampu berbuat demikian.

putrifarish87 said...

kritikn yang telus. saya kira mata sy agak ceria membaca kritikn seperti ini. saya juga mengagumi F.T dalam kebanyakan karya beliau. Apa lagi karya Bahlut agak dekat dengan diri saya. Tuhan Manusia memberi pgajaran dan 'pgalaman' pada saya. W/bagaimanapun., saya meminati tulisan anda

JHaZKiTaRo said...

good one... :) salam.. blog hopping.. kalau mau baca ttg Malta & other countries, jemput lompat ke blog hamba.. :)

Anonymous said...

Всем привет!

Недавно перед мной встала задача, куда деть накопишиеся [b]европоддоны[/b], или еще их называют [b]Паллеты[/b],
[b]Поддоны[/b], [b]Европаллет[/b]ы Размеры 800*1200, 1000*1200- Это [u]Тара Пром назначения[/u].
Немного предистории.
Сам я работаю кладовщиком на складе. Нам приходит много продукции на [b]Европоддонах[/b],
товар продаем а поддоны остаются, у нас возник вопрос куда их девать.
Раньше мы их сжигали.
Потом я узнал, что за поддоны можно получить деньги.
Начал звонить по фирмам везде были цены дешевые,
потом приятели мне подсказали, что в Челябинске есть такая Компания "[b]Уралсклад[/b]",
около 10 лет на Рынке Промышленной Тары с прекрасной репутацией.
Я нашел их сайт в интернет - [url=http://www.uralsklad.ru]www.uralsklad.ru[/url] и позвонил по тел. +7(351) 233-07-14.
Буквально через час подъехал их представитель, Авто с Логотипом "[url=http://www.uralsklad.ru]Поддоны Челябинск[/url]".
Цены закупочные оказались самые высокие в г. Челябинске.
Все цивилизовано грузчики загрузили [b]Паллеты[/b] ешё и лом поддонов купили, расчитались на месте наличными.
Про другие фирмы я узнавал либо Цены низкие, либо Бракуют много, да и денег от них не дождешься.

Так что если у вас завалялись [b]европоддоны[/b], не торопитесь их выбрасывать, лучше обменяйте их на деньги.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP