Monday, August 30, 2010

Merdeka, Malaysia-Indonesia, dan Patriotisme

(Nota Amaran: Sesetengah rakyat Indonesia yang barangkali ikut membaca tulisan ini mungkin akan berasa sedikit kurang senang – walaupun niat menulisnya sama sekali bukan untuk menyakiti – justeru dinasihatkan agar membaca atas risiko sendiri)

Saya tidak ingat secara pasti bilakah waktunya saya mulai tahu menyebut perkataan ‘patriotik’ – sama ada ketika sudah di sekolah menengah, ataukah ketika lebih muda lagi, yakni sedari sekolah rendah – kerana sewaktu kecil dahulu dan sehingga meningkat remaja saya bukanlah seorang yang mempunyai penguasaan kosa kata berbahasa Melayu yang fantastik. Tapi seperkara yang saya pasti ialah tentang waktunya saya mula-mula mengenal erti dan rasa patriotik, walaupun ketika itu saya sebetulnya belum lagi tahu menyebut perkataan tersebut. Saya cuma tahu merasai perasaannya, tetapi tidak tahu bagaimanakah mengungkapkan perasaan tersebut dalam satu patah perkataan.

Hal tersebut berlaku ketika saya di darjah lima, dan ayah ketika itu bertugas di Ujung Pandang – yang kini telah ditukar nama kepada Makassar – Indonesia. Mak, saya dan adik-beradik mengikut sama berpindah. Saya disekolahkan di salah sebuah sekolah swasta di sana, Sekolah Dasar Islam Athirah. Ketika mula-mula sampai, tahunnya ialah 1995, dan ketika itu di Malaysia, belum bermula lagi sebarang kempen mengibarkan Jalur Gemilang. Malah ketika itu bendera Malaysia pun belum diumumkan namanya sebagai Jalur Gemilang (pengumuman nama Jalur Gemilang hanya dibuat pada tahun 1997, lihat sini). Jadi kami merasa agak sedikit canggung ketika mula-mula melihat bagaimana meriahnya sambutan menjelang kemerdekaan Indonesia dari penjajahan Belanda pada tarikh 17 Agustus – setiap kereta yang memenuhi jalan raya akan mengibarkan bendera kecil bersamanya. Begitu juga dengan rumah-rumah di sana, menjadi sesuatu yang teramat janggal kalau ada sebuah rumah biar bagaimana daif sekalipun, kalau tidak punya tiang bendera – dan kalau tidak dikibarkan dengan Sang Merah Putih setiap kali tiba sambutan kemerdekaan mereka.

Saya pernah bertanyakan kepada mak, “Mengapa di Malaysia kita tidak mengibarkan bendera seperti di sini?” Saya tidak ingat apa jawapan mak saya, tetapi barangkali dia tidak menjawabnya atau sekadar mengangkat bahu dan kening.

Pernah pada waktu yang lain pula, saya ditanya oleh orang di sana, "Kalau bendera Indonesia sangat megah dipanggil Sang Merah Putih; bendera Malaysia pula apa namanya?" Saya terdiam kerana memang tidak tahu hendak menjawab apa.

Memandangkan di Ujung Pandang tidak ada wakil kedutaan Malaysia, ayah sebagai wakil Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines ketika itu merasa bertanggung-jawab untuk mempromosikan negara tercinta. Justeru apabila menjelang sahaja 31 Ogos, kami sekeluarga mulai terikut-ikutkan budaya mengibar bendera tersebut – hanyasanya yang kami kibarkan bukanlah Sang Merah Putih seperti lain-lain rakyat Indonesia, sebaliknya kami mengibarkan bendera Malaysia. Pada mobil Kijang kami, diselitkan bendera kecil, begitu juga di rumah kami di Panakkukang Mas, Ujung Pandang, yang memang sudah tersedia tiang bendera, kami naikkan bendera Malaysia dengan sangat megah.

Tapi sungguh tidak kami sangka-sangka ketika itu, apabila hanya satu malam setelah kami kibarkan bendera tersebut di tengah-tengah bumi Indonesia, suatu kegemparan mula berlaku: besok paginya, tali bendera kami putus dipotong entah siapa! Dan bendera yang dikibarkan sebelumnya hilang entah dicuri siapa!

Ayah segera mengadukan hal tersebut kepada pengawal keselamatan yang menjaga kawasan perumahan kami itu. Dan apa yang berlaku seterusnya amat-amat mencurigakan malah lebih-lebih lagi menjengkelkan. Nah, inilah yang berlaku: besoknya, pagi-pagi lagi, kami menemukan semula bendera yang hilang itu, berlipat kemas dan diletakkan di atas tanah bersebelahan tiang yang talinya telah putus itu. Dan apabila dibuka lipatannya, ditemukan sebuah nota bertulis tangan yang memberikan peringatan.

“Di sini,” begitu yang tertulis dengan terang dalam tinta merah, “hanya Sang Merah Putih yang boleh dikibarkan. Jangan kibarkan bendera Malaysia di sini! Hidup Indonesia Raya! Hidup Indonesia Raya!”

Begitulah fanatiknya sebahagian rakyat Indonesia akan negara mereka, dan betapa sesetengah besar mereka merasa begitu terancam dengan Malaysia yang sebetulnya serumpun dengan mereka. Kerana itulah apa yang berlaku di Indonesia baru-baru ini – peristiwa demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan melempar najis dan membakar Jalur Gemilang – bukanlah sesuatu yang janggal sebetulnya. Barangkali perasaan keterancaman ini telah lama berakar umbi sedari zaman konfrontasi ‘Ganyang Malaysia’ yang dikempenkan oleh Soekarno lagi kerana gagal dalam cita-citanya mendirikan Indonesia Raya. Atau mungkin juga, kerana perasaan hasad dan dengki akan kemakmuran Malaysia – terutama dari segi ekonominya – sedang negara mereka diancam masalah demi masalah dan terus-menerus miskin sehingga mendorong sebahagian besar orang-orang Indonesia bersikap tersangat protektif dan adakalanya provokatif terhadap isu perhubungan Malaysia-Indonesia.

Pernah pada ketika yang lain pula, saya bersama adik lelaki dan adik perempuan bermain-main sambil menunggang basikal di sekeliling kawasan perumahan. Memandangkan ketika itu musim merdeka masih belum tamat, maka kami turut menyelitkan bendera pada handle basikal yang kami tunggangi itu. Entah bagaimana, salah seorang anak jiran yang lebih dewasa daripada kami telah memberhentikan basikal adik perempuan saya, lalu merampas bendera Malaysianya, dikonyok-konyokkannya dan kemudian dilemparkan ke atas jalan turap. Adik perempuan saya yang pada ketika itu baru darjah satu sangat terkejut, tetapi tidak tahu hendak berbuat apa-apa.

Apabila peristiwa itu diceritakan kepada abang sulung saya yang ketika itu sudah agak dewasa (sudah sekolah menengah), dia memberikan komentarnya dengan tegas: “Kalau dalam peperangan,” kalau tak silap begitulah katanya, “merampas bendera bukanlah hal yang remeh. Ia berkaitan maruah! Kita sudah boleh dianggap kalah moral kalau bendera dirampas dan dikonyokkan begitu!”

Semenjak daripada peristiwa itu, saya, adik lelaki dan adik perempuan pernah membuat perancangan untuk ‘menyerang’ kembali jiran tersebut. Bermacam-macam cara yang kami bincangkan dengan penuh ghairah kanak-kanak, antaranya untuk melemparkan batu ke arah tingkap rumah jiran tersebut sampai pecah, menghalakan hos air dan menyimbah anak jiran tersebut sampai kuyup, dan banyak lagi yang tentu sekali saya sudah tidak dapat ingat detailnya. Tapi rasanya tidak satu pun daripada rancangan tersebut yang berjaya kami laksanakan. Mungkin kerana kami masih kecil dan takut, atau mungkin juga kerana kami masih mampu bersikap rasional dalam kekecilan usia kami.

Pun begitu, dari peristiwa itulah, seingat saya, saya mulai mengenal perasaan patriotik, walaupun ketika itu saya belum tahu lagi menyebut perkataan ‘patriotik’. Perasaan tersebut meresap menyerap jauh ke dalam jiwa melalui setiap aliran pembuluh darah dan bersatu berdegup di tengah-tengah jantung antara sela-sela denyut nadi yang berdetik.

12 comments:

Eja said...

Assalamualaikum Aidil,

Terkesan membaca pengalaman Aidil itu. Pada Eja, ya memang kelihatannya rakyat Indonesia sangat fanatik dengan negara dan bangsa mereka sendiri.Namun, pada Eja, mereka tidak harus berkelakuan begitu kerana ia kelihatan sudah mencemari hak asasi manusia. Jalur Gemilang adalah hak rakyat Malaysia, atau dalam kata lainnya hak manusia lain. Ya, memang manusia itu datangnya dari sudut dunia yang lain, namun haruslah sebagai manusia tahu untuk menghormati.Sebagai mana kita di Malaysia mengizinkan rakyat negara jiran berkunjung ke negara ini,dengan aluan yang senang (pada mereka yang datang secara sah pada mata undang-undang), begitu jugalah harapnya rakyat negara jiran tahu untuk menyenangi rakyat negara ini.
Hidup harus dengan akal dan jiwa. Bukan emosi.

Aidil Khalid said...

Eja,

Ya, benar sekali. Hidup kalau ikut emosi sahaja itu yang jadi fanatik tak bertempat.

eza2odette said...

hebat nya aidil ada pengalaman begini!

Aidil Khalid said...

eza2odette,

Setiap orang tentu sekali punya nostalgia zaman kanak-kanak yang tersendiri. =)

Anonymous said...

patriotisme adalah salah 1 senjata sulit penjajah yang berjaya ditanam dalam lubuk hati kaum muslim. sekarang.
lihat pada sejarah sebelum penjajahan orang kuffar di tanah yang dimanakan malaysia dan indonesia, ummat Islam itu sndiri bersatu di bawah naungan DAULAH KHILAFAH ISLAMIYAH.
tiada sempadan antara malaysia dan indonesia.

sempadan-sempadan ini dicipta melalui perjanjian Inggeris Belanda waktu penjajahan.

cuba kita bayangkan jika malaysia dan indonesia dulunya dijajah oleh penjajah yang sama (belanda).mesti malaysia dan indonesia merupakan 1 negara yang sama sekarang.

kesimpulannya kita sebagai ummat Islam masih belum merdeka dari pemikiran penjajah kuffar yang memecahkan UMMAT ISLAM KINI...

berjaya betul penjajah nie menjajah kita kan???

Anonymous said...

patriotisme adalah salah 1 senjata sulit penjajah yang berjaya ditanam dalam lubuk hati kaum muslim. sekarang.
lihat pada sejarah sebelum penjajahan orang kuffar di tanah yang dimanakan malaysia dan indonesia, ummat Islam itu sndiri bersatu di bawah naungan DAULAH KHILAFAH ISLAMIYAH.
tiada sempadan antara malaysia dan indonesia.

sempadan-sempadan ini dicipta melalui perjanjian Inggeris Belanda waktu penjajahan.

cuba kita bayangkan jika malaysia dan indonesia dulunya dijajah oleh penjajah yang sama (belanda).mesti malaysia dan indonesia merupakan 1 negara yang sama sekarang.

kesimpulannya kita sebagai ummat Islam masih belum merdeka dari pemikiran penjajah kuffar yang memecahkan UMMAT ISLAM KINI...

berjaya betul penjajah nie menjajah kita kan???

Aidil Khalid said...

Saudara Anonymous,

Benar, saya bersetuju bahawa patriotisme itu adalah senjata, tetapi apakah ia senjata penjajah dalam mengkucar-kacirkan kita ummat Islam atau tidak, itu tergantung kebijaksanaan sendiri dalam menanggapinya. Seperti, misalnya, pistol atau pisau, yang merupakan senjata -- di tangan penjahat tentulah ia menjadi berbahaya dan boleh membawa mudarat, tetapi di tangan seorang perwira, ia boleh digunakan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

Saya suka sekali dengan pendapat Imam Hassan al-Banna yang menghuraikan patriotisme sebagai rasa cinta dan sokongan terhadap tanah air, perjuangan membebaskan diri dari penjajahan, serta memperkukuh ikatan ukhuwwah. Tentulah tiada salah apa-apa untuk menjadi patriotik kalau dalam rangka huraian tersebut.

Saya juga suka untuk memetik sebuah hadis yang sebenarnya mauduk tetapi sering dipetik dalam membicarakan patriotisme: "Mencintai tanah air itu sebahagian dari iman." Sungguhpun hadis ini palsu, tetapi Imam al Sakhawi dalam mengulas kepalsuan hadis ini turut menambah dengan mengatakan bahawa dia bersetuju dengan isinya. Atau dengan kata lain, memandangkan hadis itu palsu, maka ia bukanlah hadis nabi, tetapi ia lebih berupa kata-kata hikmah yang dicipta entah siap, tetapi al-Sakhawi menyokong intipatinya -- yakni menggalakkan rasa cinta kepada tanah air.

Allahua'lam.

Anonymous said...

hubungan malaysia indonesia memang pelik...

susah nak dilafaz dengan kata2 dan penulisan..
gaduh2 juga,konfrontasi2 juga..tapi dalam tersirat, pertalian tetap ada...

pada tahun 1995, ayah saya pulang dari Indonesia pada masa itu dia berkhidmat dengan TLDM (PASKAL)dan dia ke Indonesia untuk berlatih bersama Gerup 4 KOPASSUS Indonesia...hubungan dengan rakan2 di kopassus masih lagi diteruskan sehingga dia bersara sekarang...
sehingga pada syawal yang lepas..rakan2 kopassus bersama keluarga mereka(yang sudah bersara seperti ayah saya)..datang melawat rumah kami di Muar...
ditanya mengenai hubungan malaysia dan indonesia yang agak tegang (kedutaan dibaling najis)ketika itu, mereka menjawab dengan bersahaja...
"Jangan dilayan orang tak waras,nanti kita pun jadi tidak waras,bahtera Nuh pun dulu dibaling najis"...

dan kata mereka lagi

"musuh yang ada di dalam rumah sudah nampak, tapi tangan pukul jiran sebelah"

saya tak berapa faham...tapi saya buat2 paham sahaja...

salam dari bekas waiter dekat2 ofis aidil....hehe

Cahaya Biru Indonesia said...

Apa yang anda harapkan dari Warga Negara Indonesia??

Apakah Warga Negara Malaysia begitu baguskah?

Saya hidup di Kota Kinabalu selama 2 tahun hingga masa ini. Apa yang saya nampak juga tidak kalah seperti apa yang anda ungkapkan.

Saya terkejut, karena saya sering melihat Pegawai-pegawai Jabatan sering layan orang dengan Rascist, seperti misalnya Imigresen dan JPN.
Slogan "Mesra, Ramah, dan Khidmat" hanyalah Slogan Utopia.
Karena hakekatnya, kehidupan masyarakat Malaysia banyak memuja RACE dan BANGSA.
Karena itulah, saya merasakan bahwa konsep 1 Malaysia hanyalah macam iklan-iklan pelancongan saja.

Anda mengatakan bahwa Malaysia sering menolong Indonesia, dengan maksud memberi kerja kepada pekerja Indonesia yang hanya berjumlah 0.7% dari total penduduk Indonesia yang hidup di Malaysia.

Saya anggap itu hanya memutar balikkan fakta saja.

KERAJAAN Malaysia justeru mendapatkan keuntungan besar daripada LEVY (cukai pekerja)karena menarik cukai yang sangat besar kepada pekerja Asing.
Dari jumlah 100% TKI, tidak lebih dari 1% menjadi orang kaya.
Sedangkan 99% sisanya masih tetap dalam kategori miskin.

Lebih daripada itu, Apakah Anda tak tahu,
Pada tahun 1970-80, UMNO pernah meminta dan mengemis kepada Presiden Soeharto agar membantu memenangkan PEMILU Malaysia karena politik UMNO kalah dengan CHINA dan INDIA.

Kemudian, setelah itu, Indonesia mengirim beratus-ratus ribu Warga Negara Indonesia agar supaya tukar Warga Negara jadi WN Malaysia melalui program IC Project, yang kemudian mereka mesti mengundi UMNO.

Belum lagi, Indonesia mengirim berpuluh ribu GURU-GURU SAINS dan AGAMA ke Malaysia dengan janji kehidupan yang bagus dan kaya.

Akan tetapi, apa nyata, setelah sampai di Malaysia, mereka harus bertani dan menjadi buruh.
Sebahagian, balik lagi ke Indonesia. Sebahagian tidak mau balik, karena merasa malu.

Kemudian, pada tahun 1980-90, Indonesia meminjamkan Prof. Soemitro Djojohadikusumo untuk merancang konsep Ekonomi Malaysia. Sekarang sistem ekonomi itu disebut NEP (New Economy Policy) yakni: memberi bahagian kepada Bumiputera 30%, dan seterusnya.

Ini sebahagian yang perlu anda tahu, awal mula Pekerja Indonesia datang ke Malaysia TIDAK karena EKONOMI, tapi karena POLITIK.

Banyak Warga Negara Malaysia tidak tahu sejarah-sejarah ini karena Media Elektronik seperti TV dan Radio daripada Malaysia sangat tertutup.
Media-media itu seringkali membuat berita yang buruk tentang Indonesia. Banyak sekali kesalah pahaman.
Ini membuat rakyat Malaysia seperti KATAK dalam TEMPURUNG. Seperti terkekang oleh KERAJAAN kalian sendiri.

Anda seharusnya mengucapkan Terima Kasih kepada Negara Indonesia karena mereka membantu Politik Malaysia.
Bukan malah mau memusing-musing dan memutar balikkan fakta sejarah.

Anonymous said...

Salah satu hal yang membuat saya bingung orang malaysia bilang bahwa orang indonesia iri dengan ekonomi malaysia kalau bukan klem sepihak malaysia tentang kebudayaan dan pulau indonesia malaysia itu hanya di kenal sebagai"malaysia" negara tetangga tidak lebih hanya itu saja apalagi iri jau api dari panggang

sibatunisan said...

Yth. Aidil,
1. Anda tahu apa makna bendera kebangsaan? Bendera Kebangsaan adalah simbol suatu negara bangsa. Artinya, hanya bendera kebangsaan ABCD yang berhak berkibar di seluruh wilayah ABCD dan bukan bendera milik negara-bangsa lain.

Apa yang telah Anda sekeluarga perbuat, bisa ditafsirkan sebagai upaya provokasi, ignoran, angkuh, menantang dan sejenisnya karena mengibarkan bendera kebangsaan XYZ di negara ABCD tanpa mengindahkan kesopanan yang berlaku umum. .

2. oleh karena itu wajar saja jika Bendera Malaysia diturunkan dari pekarangan rumah Anda di Makassar. Apalagi rumah itu bukan termasuk wilayah diplomatik. "Siapa lo? diplomat bukan, pejabat Negara bukan".

3. Jika Anda memiliki kesempatan lain, untuk mengibarkan bendera kebangsaan Anda di negara orang sementara tempat pengibaran tersebut bukan wilayah diplomatik, maka Anda harus mengibarkannya bersanding dengan bendera kebangsaan tuan rumah, kedua tiang bendera berdiri sama tegak dan benderanya sama besar. Artinya, Anda hanya menumpang mengibarkan bendera kebangsaan Anda di Negara orang.

4. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Sebelum menyalahkan orang lain sebaiknya bercermin diri dulu.

5. Semoga tulisan ini bisa menjadi pencerahan bagi Anda sekeluarga. Terima kasih.

Penghuni Lt.4 said...

Assalamualaikum,...

Pertama saya minta maaf atas pengalaman tak menyenangkan yang anda alami di Indonesia.
Tidak seharusnya anda mengalami hal-hal tersebut bahkan pada usia yang masih kanak kanak.

Memang ada sesetengah dari rakyat Indonesia yang rasa nasionalistiknya tidak pada tempatnya dan berlebihan. Lain kali jika ingin mengibarkan bendera Jalur Gemilang, kibarkan dengan bersanding dengan Sang Saka, pada tiang yang sama tinggi dan ukuran yang sama besar,....

Sekali lagi saya minta maaf sebagai rakyat Indonesia

Salam

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP