Friday, September 24, 2010

Kita adalah Manusia-Manusia Buta

Di halaman facebook, salah seorang rakan kroni MPR – yang sudah lama tidak ikut sebarang acara bual bicara sastera – tetapi baru-baru ini menghadiri Dialog Orang Muda di Rumah Pena, telah mengeluh mengatakan bahawa perbincangan itu terlalu berat. Beliau meluahkan ketidak-senangan hatinya bahawa “sastera sampai jadi kelihatan berat dan ekslusif,” lantas mempersoalkan pula, “apa sebenarnya definisi sastera?”

Soalannya kedengaran mudah, malah kita semua selalu menyebut perkataan ‘sastera’ sehari-hari. Kita ada majalah Dewan Sastera, kita ada ruangan Sastera di halaman akhbar arus perdana, kita ada Hadiah Sastera Perdana, kita ada Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan di DBP, kita ada para Sasterawan Negara, kita ada bermacam-macam lagi yang turut melekatkan perkataan ‘sastera’ bersamanya. Tapi apabila disoal, apakah definisi sastera, dapatkah kita menjawabnya?

Kalau ditanya kepada sesetengah pengarang pongah dari aliran arus perdana, tentulah mereka akan dengan penuh bangga mendabik dada mengisytiharkan, bahawa sastera itu adalah karya-karya yang penuh dan tepu ilmu tetapi nihil emosi di dalamnya, kerana mereka ingin menegaskan peranan besar mereka sebagai sasterawan dalam menyampaikan gagasan dan pemikiran kepada masyarakat awam, serta mengabaikan sahaja hal-hal remeh-temeh yang tetek-bengek. Tapi kemudian kalau ditanya pula kepada sesetengah pengarang picisan dari aliran bawah tanah, barangkali akan disanggahnya pula dengan mempersoalkan, di mana ilmunya karya-karya Anton Chekhov, katakan cerpen terbaiknya, The Lady with the Dog, misalnya; atau di mana ilmunya novel Jane Austen, Pride and Prejudice umpamanya; atau di mana ilmunya novel Ernest Hemingway, The Old Man and the Sea, contohnya; atau untuk karya tempatan, di mana ilmunya novel Pak Samad Said, Salina, amsalnya – kesemua novel-novel yang telah diiktiraf sebagai sastera klasik moden itu tidak ada ilmu, dan hanya ada cerita! Atau yang terbaharu, Naratif Ogonshoto yang dikatakan karya paling monumental Sasterawan Negara kita yang ke sepuluh, di manakah ilmunya? Bahawa sastera bukan tentang ilmu, tapi tentang kemanusiaan! – begitu laung mereka, kerana mereka ingin menegaskan bahawa kononnya hanya merekalah satu-satunya manusia paling jujur yang pernah wujud di muka bumi ini. Tapi kalau ditanya pula kepada segolongan pengarang yang mengarang buku-buku yang biasanya laku keras seperti kek pisang panas, malah kadang-kadang sampai terjual ratusan ribu naskhah untuk satu-satu judul, barangkali akan dijawabnya pula bahawa dalam sastera itu tidak boleh ada cintan-cintun asyik-masyuk yang mendayu-dayu membelai-belai seperti di dalam novel-novel yang mereka tulis, sebab kalau ada unsur-unsur seperti itu, nanti dituduh pop pula seperti novel-novel mereka. Dan kalau ditanya kepada para penerbit buku, barangkali akan dijawablah bahawa definisi sastera itu hanya ada satu, yakni tidak lain dan tidak bukan, adalah sastera itu merupakan tulisan-tulisan yang apabila diterbitkan memang tidak akan pernah laku terjual – justeru lebih baiklah tidak usah diterbitkan langsung.

Hakikatnya kita masing-masing memiliki definisi sastera yang tersendiri. Tidak ada definisi yang satu-satunya betul, dan tidak ada juga definisi yang salah. Sastera bukan akidah, yang hanya ada satu yang betul dan tidak boleh ada pluralisme di dalamnya.

Kalau hendak diberikan tamsilan, sastera itu adalah seperti seekor gajah. Perumpamaan ini barangkali kedengaran janggal bagi khalayak penutur bahasa Melayu, tapi sebenarnya dalam perumpamaan Inggeris, ia selalu dipakai. “It is like an elephant,” begitu kata orang apabila mengungkapkan sesuatu yang sukar diberi definisi, “it is easier to be recognized than to be defined.”

Penyair Amerika kurun ke 19, John Godfrey Saxe, malah pernah mengangkat perumpamaan gajah ini dalam sebuah sajaknya yang terkenal, Blindmen and the Elephant.

Seperti orang-orang yang buta matanya, apabila berada dekat dengan seekor gajah, masing-masing akan memberikan definisi yang berbeza-beza tentang rupa bentuknya gajah itu. Orang buta yang berada di belalainya, setelah mengusap-usap dan meraba-raba, akan mengatakan bahawa gajah itu seperti hos getah air; orang buta yang berada di perutnya pula, setelah mengusap-usap meraba-raba akan mengatakan bahawa gajah itu seperti dinding yang besar tetapi tidak rata; orang buta yang berada di dekat gadingnya pula, setelah mengusap-usap meraba-raba akan mengatakan bahawa gajah itu adalah tajam seperti tombak; orang buta yang berada di dekat ekornya pula, setelah mengusap-usap meraba-raba akan mengatakan bahawa gajah itu seperti tali. Masing-masing memberikan jawapan yang berlainan – tetapi semuanya betul berdasarkan perspektif masing-masing dari sudut tempat di mana mereka berada.

Pandangan mereka itu tidak ada yang salah. Semuanya betul. Tetapi pandangan mereka itu juga adalah sangat terhad dan tidak holistik sifatnya. Begitulah pandangan kita semua terhadap sastera.

Bahawa sastera itu, seperti seekor gajah – ia lebih mudah dikenal, atau dirasa, ketimbang diberi takrif, oleh para buta mata. Bahawa kita semua, termasuk saya juga, adalah manusia-manusia yang buta.

7 comments:

Lya said...

Sastera itu aneh kalau kita mengatakan ia aneh.

Pada orang yang tidak kenal sastera tak akan dapat merasakan nikmatnya seperti manusia yang tidak mengenal cinta.

Sastera itu hidup dalam minda dan hati. Hanya yang mencari letak hidupnya sastera dalam dirinya saja yang akan dapat mengerti kias hidupnya sastera itu.

p/s: merehatkan diri seketika daripada sastera membuatkan hati menjadi berat untuk bersastera kembali. Masih mencari letak sastera dalam diri.

Aidil Khalid said...

Sdri Lya,

"Sastera itu aneh kalau kita mengatakan ia aneh."

Saya setuju dengan kenyataan di atas -- tapi bukan kerana saya menyokong untuk melihat sastera dari perspektif keanehannya, sebaliknya kerana sastera itu adalah seperti tanah liat, dan kitalah yang membentuknya supaya menjadi apa-apa pun. =)

Wan Nor Azriq said...

Ada seorang penulis itu suka tunggang gajah seorang diri.Lebih baik lari sebelum kena pijak :)

Kita kan buta.Dia seorang sahaja yang celik.

p/s:suka gajah dalam mimpi

Aidil Khalid said...

Azriq,

Tunggang gajah seorang diri pun bagus juga. =)

Tapi saya lebih suka naik helikopter, sekarang ini kan sudah bukan lagi zaman bergajah-gajah bagai. Orang sudah tahu melihat gajah dari atas helikopter, dan dapat melihat bentuknya secara keseluruhan. Hehe.

S.K said...

Aidil, cuma seperkara...

kalu naik helikopter nampak apa?
bintik-bintik hitamkelabu? huhuhu...
Kena guna teropong lah pulak!

Zahiruddin Zabidi said...

Tuan,

Kita orang muda mesti punya definisi sastera tersendiri. Bebas daripada doktrin sastera barat dan 'orang lama' di Tanah Air sendiri.

Ini zaman kita, perlu ada sumber monumentalnya yang tersendiri. Dan tajdid diperlukan dalam sastera, tajdid yang membawa laras dan dasar sastera kepada al-Quran dan sunnah.

Apa pandangan tuan?

Aidil Khalid said...

Kak S.K,

Haha, kena suruh pilot helikopter terbang rendah. Bolehlah nampak. =)

Tuan Zahiruddin,

Setiap perkara, bukan hanya dalam sastera tetapi sebenarnya dalam setiap aspek kehidupan, kita memang sentiasa harus berpandukan al-quran dan sunnah.

Cuma persoalannya ialah pendekatannya. Adakah kita mahu memilih pendekatan yang mengongkong dan tersangat bersifat eksklusif seperti Gagasan Persuratan Baru misalnya, ataukah kita mahu bersifat lebih inklusif dengan meraikan kepelbagaian dan keperbezaan pendapat. Itulah saya kira persoalan utamanya.

Satu contoh, bila kita baca sebuah karya di mana watak jahatnya dimenangkan di akhir cerita -- bagaimanakah sikap kita terhadap karya itu? Adakah kita hendak melabelkan karya itu tidak berteraskan al quran dan sunnah kerana memenangkan kebatilan; ataukah kita mahu berpendirian bahawa karya yang memenangkan kebatilan sebenarnya mengingatkan pembaca bahawa kebenaran boleh jadi ditangguhkan kemenangannya untuk diberi ganjaran di akhirat kelak, justeru karya sedemikian tidaklah bertentangan dengan al-quran dan sunnah sebenarnya (saya pernah menulis satu entri panjang tentang kebatilan yang dimenangkan di akhir cerita di sini: http://aidilkhalid.blogspot.com/2008/10/pengakhiran-sebuah-ceritera.html

Inilah maksud saya bahawa sastera itu seperti seekor gajah, kita hanya boleh menilainya mengikut persepektif dari mana kita memilih untuk melihatnya.

Pendirian saya, secara peribadi, kerana sastera bukan akidah yang tidak boleh ada pluralisme di dalamnya, makanya lebih eloklah jika kita meraikan setiap aliran. Begitulah kira-kira pandangan saya.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP