Wednesday, September 08, 2010

Menggugurkan Tajuk dan Hak Eksklusif Menerbitkan

Dua buah karya saya terbit dalam dua buah majalah untuk bulan September ini. Yang satu, sebuah cerpen bertajuk Antiplot II: Angin Paradoks yang Bertiup dalam Jiwa (pun begitu, dalam versi yang terbit, perkataan ‘Antiplot II’ telah digugurkan oleh editor meninggalkan tajuknya menjadi Angin Paradoks yang Bertiup dalam Jiwa sahaja) disiarkan dalam majalah Tunas Cipta; dan yang lagi satu, sebuah rencana santai bertajuk Baca Lambat Atau Cepat? disiarkan dalam majalah Mutiara Minda terbitan MPH. Kedua-duanya sebenarnya adalah tulisan saya yang sudah agak lama, malah pernah diterbitkan dalam blog ini sebelum ini dalam dua entri berlainan.

Cerpen Antiplot II itu asalnya adalah daripada entri yang bertajuk Kenapa Saya (Hampir) Menolak Feminisme (dan Barangkali Akan Terus Sahaja Menolaknya). Entri itu saya tulis setelah beberapa ketika berbincang dan berbahas dalam laman facebook dengan Kak S.K mengenai kepongahan Sisters in Islam dan sebahagian pejuang feminis yang menggelarkan diri mereka (kononnya) feminis Islam. Daripada entri yang berbentuk artikel itu, saya cuma membalutkannya dengan sedikit cerita, untuk mewajarkannya dinamakan cerpen dan kemudian dikirimkan ke majalah. Kerana itu, pada tajuknya, terang-terangan saya letakkan perkataan 'Antiplot II', bagi menekankan bahawa ini bukanlah sebuah cerpen yang mendasarkan cerita sebaliknya sebuah cerpen yang mendasarkan didaktik – yang mana pengarangnya, iaitu saya sendiri, memang dengan penuh keegoan mahukan kebebasan berhujah, berhujah, dan berhujah apa-apa sahaja yang difikirkan perlu, tanpa perlu rasa ‘berdosa’ kerana mengabaikan plot dan barangkali membuat pembaca bosan atau marah atau tidak bersetuju. Jadi saya agak terkilan apabila editor membuang perkataan ‘Antiplot II’ itu daripada tajuknya. Pun begitu, saya tetap berterima kasih kepada pihak editorial yang sudi menerbitkan cerpen saya yang tidak seberapanya itu. Saya juga harus memuji langkah pihak editorial yang, dua bulan sebelum tarikh penerbitan cerpen tersebut, telah bersusah payah menelefon saya bagi mendapatkan kepastian tentang beberapa aspek dan mentashihkan fakta di dalam cerpen tersebut.

Untuk rencana Baca Lambat atau Baca Cepat? pula, ia memang saya kirimkan bulat-bulat dari entri yang bertajuk A Very-Very Slow Reader tanpa sebarang penukaran, kecuali hanya sedikit, bagi menyesuaikan dengan stail terbitan bercetak. Secara umumnya, mengirimkan karya yang sudah lebih awal terbit di blog sebenarnya adalah suatu kesalahan etika, kerana apabila seseorang pengarang mengirimkan karya kepada penerbitan berkala, dia sebenarnya secara tak langsung memberikan hak eksklusif menerbitkan buat pertama kali kepada penerbitan tersebut. Justeru kalau ia sudah terlebih dahulu terbit di laman atas talian, itu bererti pengarang telah menafikan hak eksklusif penerbitan tersebut. Pun begitu, untuk rencana Baca Lambat atau Baca Cepat? ini, ketika mengirimkannya kepada editor, saya telah secara berterus-terang menyatakan bahawa ia sudah pernah saya terbitkan di laman blog, dan saya menyerahkan budi bicara sepenuhnya kepadanya sama ada untuk menerbitkan semula atau tidak. Justeru secara langsung, ia tidaklah lagi menjadi kesalahan etika.

Saya kira ini suatu cara yang boleh diguna-pakai oleh penulis-penulis lain juga. Ada banyak sebenarnya entri-entri di blog atau di laman facebook yang sangat sesuai untuk terbitan bercetak, tetapi sayang sekali, kerana sudah diterbitkan di ruang maya, maka tidak boleh lagi dikirim ke media bercetak berkala. Ini tentulah suatu kerugian – kerugian kepada penulis itu sendiri dan kerugian kepada penerbitan itu juga kerana tidak dapat artikel yang sesuai itu. Justeru jalan penyelesaiannya adalah dengan memasukkan satu klausa dalam surat iringan ketika mengirimkan karya, yang menyebutkan bahawa karya itu sudah pernah terbit dalam versi online sebelum ini dan menyerahkan budi bicara pihak editor sama ada ingin menerbitkannya kembali atau tidak. Selain ke Mutiara Minda, saya juga pernah menggunakan cara yang sama ketika mengirimkan sajak ke akhbar Berita Harian dan Mingguan Malaysia dengan menyatakan bahawa sajak yang dikirimkan itu sebelumnya pernah terbit dalam laman sesawang esastera.com.

7 comments:

S.K said...

Salam,

tak jumpa plak pautan ni kat FB untuk dikomen di sana...

Tahniah, karya tersiar, Aidil :)))

Bagi kak S.K, kekadang, penukaran tak sesuai dan tak ada seninya. Contohnya, "Sayap-Sayap Cendekia" ditukar kepada Tawarikh Cinta. Tajuk asal pun boleh diperbaiki kerana tak menggambarkan ceritanya yang best banget!!! Lupa nak bagitau Kak Nisah untuk cadang tulis sekuel Tawarikh Cinta (prekuel pun bleh, premisnya besssst sekali).
Atau, "Sebuah Rumah di Utara" ditukar menjadi....

"Tuhan Manusia".

Tak ada seni langsung. "SRDU" lebih punya nostalgia, lebih menggamit imaginasi... Tak moh terbit dengan penerbit tuh!

Terima kasih banyak-banyak kerana berkongsi pendapat tentang media atas-talian yang dihantar ke media cetak.

"tetapi sayang sekali, kerana sudah diterbitkan di ruang maya, maka tidak boleh lagi dikirim ke media bercetak berkala."

Sampai sekarang, kak S.K tak pasti MENGAPA tak boleh kerana laman maya tidak berbayar dan mempunyai pembaca yang terhad berbanding dengan media cetak. Kita belum berada dalam zaman digital sepenuhnya untuk mengehadkan hakcipta penerbitan sebegitu rupa. Bukan hanya ia kerugian tetapi ketidakadilan kepada penulis serius.

Berbanding dengan pandangan penulis serius yang lain, buat kak S.K, bukan SEMUA penulis blog adalah PENULIS. NOPE. Sorry.
Ada sesetengah novelis muda yang karyanya dibaca baru-baru ini melalui media cetak masih BELUM boleh digelar penulis.

Cap jempol untuk idea kompromi Aidil itu! Jazaakumullah Khair dan 'Eid Mubarak! :)))

Wassalam.

Aidil Khalid said...

Kak S.K,

Tentang mengirimkan karya yang sudah terbit di internet ke media bercetak, sebenarnya bukan tidak boleh, tetapi cuma menyalahi etika. Daripada apa yang saya faham, situasinya begini: harus dibezakan antara hak cipta dengan hak menyiarkan.

Hak cipta adalah milik pengarang sampai mati -- bahkan selepas matinya pun akan masih tetap menjadi milik estet pengarang. Hak cipta tidak akan berpindah kepada penerbit. Hak cipta masih milik pengarang walaupun setelah karya itu dikirimkan kepada penerbit untuk diterbitkan. (Melainkan dengan beberapa kekecualian yang saya rasa tak perlu dibincangkan).

Bila pengarang kirimkan karya kepada penerbit, yang diberikan hanyalah hak menyiarkan, sedangkan hak cipta masih tetap milik pengarang. Justeru dari sudut undang-undang, pengarang memang berhak sepenuhnya untuk memberikan hak menyiarkan kepada sesiapa pun, walaupun karya itu sudah terlebih dahulu terbit dalam bentuk maya. Tapi tentulah tidak beretika, kerana biasanya penerbit akan menganggap bahawa karya yang diterimanya itu adalah karya yang fresh, maksudnya belum pernah terbit di mana-mana lagi. Justeru secara tak langsung wujud perjanjian tak terucap di situ -- implied agreement -- bahawa pengarang memberikan hak eksklusif menerbitkan pertama kali. Tentulah tidak akan menjadi eksklusif lagi bila karya itu sudah pernah terbit sebelumnya dalam bentuk maya.

Tentang blog yang mempunyai pembaca yang terhad pula, sebenarnya ini tidak akan mengubah implikasi perundangan bahawa menerbitkan karya dalam apa pun bentuk, akan tetap dikira menerbitkan juga. Tamsilannya sama juga dengan seorang pengarang yang menerbitkan bukunya sendiri dan menjualnya sendiri -- lantas cetakkannya sangat sedikit dan terhad, cuma 300 cetakkan misalnya -- tetapi ia tetap dikira telah terbit. Terbit hanya 300 cetakkan atau terbit sebanyak 100o00 cetakkan, akan tetap dikira sama, dua-duanya telah terbit.

Itu sekadar kefahaman sayalah. Apa-apa pun, hal ini memang sangat-sangat boleh diperdebatkan. Kerana masih belum ada kes dibawa ke mahkamah, makanya agak sukar untuk menentukan dan terbuka kepada interpretasi berbeza-beza. Bila sudah ada keputusan mahkamah nanti, baru kita ada precedent untuk diikut secara jelas.

Aidil Khalid said...

Oh, dan tentang menukar tajuk itu pula, saya rasa perlu ada kompromi antara pengarang dengan penerbit. Saya cenderung menyokong bahawa penerbit mempunyai lebih hak dalam pemilihan tajuk -- sebab tajuk ini adalah persoalan komersil, jadi penerbit yang melaburkan wang dan mengambil risiko tentulah perlu diberikan hak dalam hal ini. Tapi apa-apa pun, kerana tajuk biasanya tak boleh dipisahkan daripada teks, malah dalam banyak hal dalam tajuk itu sendiri terkandung makna yang besar terhadap keseluruhan karya (contohnya sajak Malam Lebaran -- bayangkan kalau tajuknya ditukar!), makanya penerbit mestilah berbincang dahulu dengan penulis sebelum menggunakan kuasa vetonya.

Btw, Roslan Jomel ada menulis tentang isu ini dalam blognya: http://roslanjomel.blogspot.com/2010/08/tajuk-bukan-lebihan-kain.html

S.K said...

-Dan Komen, Pabila ia Berlarutan-

1. Isu hakcipta

Mengapakah penerbitan di laman maya tetap dikira "penerbitan"? Kerana ada klik "terbit"kan/"Publish"?
Kenapa pulak kalau taip kat kertas biasa kawan-kawan dan bagi kawan-kawan baca, tak dikira "terbit" pulak, ek?
Pun dah tak "fresh" ape? =D
Bukan ke laman maya dikira "kertas biasa" zaman digital?

2. Blog Roslan Jomel

Hehe, comeyyy... btolbtolbtol...
Lima jempol untuk Roslan Jomel!

Masalahnya, kekadang, tajuk yang ditukar tu tak komersial pun...

"Tawarikh Cinta" macam buku agama mengenai sejarah cinta menurut perspektif Islam.

"Tuhan Manusia" macam tajuk bab dalam ensiklopedia mengenai sejarah ketuhanan. Pakkal tu novel yang kontroversial, nak jolok sarang tebuan. Kalu tidak, tak ada orang nak amek baca...

Novel pertama Aidil yang panjang tajuknya tu: "Bila Nysrah Kata Tak Mahu", pasti ditukar kepada "Erti Kasihnya" atau "Kasih Nysrah" atau "Nysrah" sahaja, oleh sesetengah penerbit yang mahu tajuk pendek...
Alhamdulillah, penerbit tidak memendekkan tajuknya kerana antara sebab kak S.K membacanya (selain daripada telah mengikuti blog Aidil) adalah kerana rasa ingintahu (curious) di dua peringkat:
1. apa yang Nysrah tak mahu tu... dan, 2. apa jadi pulak, bila dia kata tak mahu apa yang dia tak mahu tu... huhu... Tajuk best...

Antara tajuk yang kak S.K minat:
Justeru Impian di Jaring
Salju Sakinah (gembira, tiada gadis nama Sakinah dalam novel tu)
Hujan Pagi
Daerah Zeni (tentu saja!)
Cinta Fansuri
Ketupat Cinta (walaupun sampai sekarang tak jumpa ketupat dalam novel musim pertama, musim kedua, tak taulah... masih mencari seorang penulis yang sudi tuliskan "Lemang Kasih" yang ditujukan KHAS buat Kak S.K yang gemar lemang, walaupun tak dapat rasa sikit pun pada Raya tahun ni... )
Dan yang paling suka sampai bila-bila: Cinta Dalam Jambangan Ilalang
(I wish it was ME who thought it up and wrote the story, hahaha... it would have been a novel about lovegrasses that stick on white socks of lovers, haha...)...

Kak S.K juga suka tajuk yang pendek-pendek sebenarnya, tapi, entah mengapa, akhir-akhir ini, terfikir tajuk yang panjang-panjang, yang ada ":" lagi.
Contohnya - Sepi TerIndah: Biarkanlah Bulan Tak Berbintang

Contoh sahajalah, hehe...

-Bila Komen Kata Tak Mahu-

Aidil Khalid said...

Kak S.K,

1. Isu Hak Cipta

Hehe, penerbitan di laman maya bukanlah dianggap telah terbit sebab ada klik butang 'terbit/publish' itu, tapi sebab sudah sampai kepada khalayak umum -- tanpa mengira sama ada ramai atau tidak.

Berne Convention, yang merupakan payung kepada konsep perundangan hak cipta global, ada mendefinisikan perkataan 'publish' dalam Perkara 3(3):

'The expression "published works" means works published with the consent of their authors, whatever may be the means of manufacture of the copies, provided that the availability of such copies has been such as to satisfy the reasonable requirements of the public, having regard to the nature of the work. '

Dua ungkapan penting dalam peruntukan di atas, yang perlu diteliti: pertama, "whatever may be the means of manufacture of the copies'; dan kedua, "as to satisfy the reasonable requirements of the public".

Seperti yang saya katakan, ia terbuka kepada interpretasi berbeza-beza selagi tidak ada kes mahkamah yang menetapkan secara pasti. Tapi saya membacanya begini: Untuk yang pertama, menerbitkan di laman maya sudah memenuhi syarat 'whatever may be the means of the manufacture of the copies'. Untuk yang kedua pula, kerana ia diterbitkan di laman maya terbuka -- as against publishing it in a website where only invited readers can have access to it -- maka ia bolehlah dikatakan telah memenuhi peruntukan 'satisfy the the reasonable requirements of the public'. Sebab khalayak boleh memilih pada bila-bila masa untuk membacanya. Berbeza dengan tamsilan penulis yang print di kertas dan edarkan pada kawan-kawannya sahaja -- dalam senario itu cuma khalayak terpilih sahaja yang boleh ada akses, sedangkan khalayak awam tidak ada akses sama sekali.


2. Tentang Menukar Tajuk

Erk, tapi saya suka tajuk Tuhan Manusia. Hehe. Ada aura karya besar pada bunyinya itu. Macam Bumi Manusia. =)

Tentang Bila Nysrah Kata Tak Mahu tu, teringat pula waktu saya berbincang-bincang dengan mak saya tentang tajuk apa nak dipilih. Waktu tu manuskrip dah siap, tapi tajuknya belum ada. Bila saya sebut tajuk Bila Nysrah Kata Tak Mahu, mak saya kata: panjang sangat! Hehe.


P/s: Nantilah cari-cari idea tulis cerpen tajuk Lemang Nan Sekasih (macam tajuk cerpen Kak Nisah Lemang Nan Sebatang) untuk raya tahun depan. Hehe.

S.K said...

Kalau kawan-kawan fotostat kertas tu pastu bagi kat kawan-kawan lain, ahli keluarga dan sebagainya, cammane? Satisfy public accessibility requirement, tak? hahaha...

Saja aje =D

I still don't agree that publishing on the web equates publishing for print unless it satisfies the following cost-benefit requirement:
1. It's money-making for the website provider (for print, it'd be the Publishing House)
2. It's generating profit for the author (Royalties)
3. It's generating readership (Readers)

In other words, when it equates the benefits of publishing it on print.
Otherwise, it's not publishing. It's just sharing our writings ;D
We write on our blogs to share but we get more readership (and money) when we send for print and even then, IF we get printed.

Terima kasih kerana sudi nak tulis "Lemang nan Sekasih" tu... Buat masa ni, tengah fikir cammane nak dapatkan lemang tahun ni... Raya pertama tahun ni, tak selera nak makan...
And I did love Ketupat Cinta Musim Pertama... Was first non-writer reader (first was writer Pak Samad) who got it fresh out of the warehouse! Yup, first copy was MINE! Woohoo! Tapi, tak ingat, dah berotograf ke belum...

Wassalam.

Anonymous said...

Terima kasih untuk hal-hal yang baik.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP