Sunday, October 17, 2010

Fahaman Ainonisme

Semalam sekali lagi saya menghadiri Dialog Orang Muda di rumah Pena. Kali ini jumlah kehadirannya amat memberangsangkan, cuma sayang sekali, saya hanya sempat menghadiri pusingan pertama sahaja diskusi, kerana pada jam 11 pagi saya sudah terpaksa pergi atas urusan kerja. Entah memang kerana topiknya yang menarik untuk didiskusikan, atau entah promosi yang dilakukan oleh Nazmi Yaakub memang amat berkesan – tapi antara yang turut sama hadir termasuklah Ainon Mohd.

Ainon Mohd bukanlah nama asing dalam arena kesusasteraan tanah air. Beliau yang merupakan pengerusi PTS – antara penerbit terbesar menerbitkan bahan-bahan bacaan berbahasa Melayu – adalah sosok yang lantang memperjuangkan soal-soal budaya terutamanya letak duduk bahasa Melayu. Malahan, beliau antara yang berada di baris hadapan pada tarikh 7 Mac 2009, ketika mana 100,000 rakyat berhimpun menentang PPSMI. Beliau dengan beraninya menggagahi serangan-serangan gas pemedih mata dan tembakan pancuran air kimia, sedangkan sesetengah pengarang arus perdana yang kononnya (dengan penuh tidak jujur) dalam karya-karayanya amat cinta dan kasihkan budayanya, hanya tahu duduk bersilang kaki dan memerhati dari balik tembok rumah yang selesa dan selamat dengan penuh bacul. Atas sebab ini, saya amat-amat menghormati dan mengagumi Ainon Mohd, walaupun dalam banyak hal, terutamanya dalam hal teori-teori sasteranya, saya amat-amat tidak bersetuju dengannya.

Dalam dialog semalam, Ainon Mohd telah diminta oleh moderator untuk memberikan sedikit pandangannya. Waktu itu saya sudah pun beredar untuk ke pejabat, jadi saya hanya mendengar dari cerita dan laporan rakan-rakan sahaja. Kata mereka, Ainon Mohd bercerita mengenai wang. Segala-galanya tentang wang, begitulah kira-kira pandangan Ainon Mohd. Dia melihat dirinya sebagai pengusaha, dan pengarang sebagai kontraktor. Dia menempah jenis-jenis buku yang diingininya, dan pengarang tulis buku mengikut apa yang telah ditempah oleh bos besar mereka. Dengan cara itu, buku-buku yang diterbitkan sudah tentu akan laku, kerana Ainon sebagai bos besar sudah terlebih dahulu membuat kajian pasaran tentang buku jenis apakah yang diingini oleh khalayak pembaca.

Ketika rakan-rakan saya bercerita tentang hal tersebut kepada saya, mereka menggambarkannya dengan cemikkan di muka – bahawa mereka tidak rela sastera diperlakukan sedemikian atas tuntutan komersil. Malah salah seorang turut berkata, bahawa sastera itu adalah seni, dan sifatnya seni itu memang tidak untuk dinikmati oleh siapa-siapa sahaja, melainkan oleh khalayak yang faham seni sahaja.

Secara peribadi, saya melihat pandangan yang dilontarkan oleh Ainon Mohd itu lebih sebagai suatu pernyataan protes. Ainon Mohd bukanlah tokoh sebarangan. Beliau berpuluh tahun terlibat dalam arena kesusasteraan dan sudah tahu benar setiap selok dan beloknya. Beliau bukan tak arif tentang teori-teori kesusasteraan. Malahan beliau telah pun membangunkan teori kesusasteraannya sendiri yang mempunyai ramai pengikut terutamanya dari kalangan penulis generasi baharu. Beliau bukan tidak faham tentang perkaitan antara seni dan sastera. Bacaannya amat meluas bahkan. Justeru analoginya tentang pengarang dan penerbit yang disifatkannya seperti kontraktor itu – walaupun merupakan suatu kenyataan yang amat dungu – bukanlah kerana beliau tidak mengerti tentang aspek estetika, sebaliknya sebagai menempelak segolongan (atau sebahagian besar) sasterawan yang boleh digolongkan sebagai sasterawan totok. Seperti dalam karya-karya sastera adakalanya pengarang membesar-besarkan sesuatu perkara -- hiperbola -- bagi menekankan sesuatu penegasan, begitulah Ainon Mohd memperbesar-besarkan aspek komersilisme bagi menegaskan protesnya terhadap sasterawan totok.

Sasterawan totok adalah golongan sasterawan yang menulis, dan syok sendiri dengan nilai estetikanya (atau pemikirannya). Sasterawan totok adalah golongan sasterawan yang tak memikirkan aspek komersil dan hanya memikirkan keegoan nafsu seninya semata-mata. Sasterawan totok adalah golongan sasterawan yang tak pernah mahu berkompromi dengan keinginan dan kehendak pembaca dan pasaran.

Justeru pernyataan protes Ainon Mohd itu, walaupun pada bentuknya saya tolak, tetapi secara dasarnya perlu diberi perhatian serius oleh para penggiat sastera seluruhnya daripada sekecil-kecil penulis, ke sebesar-besar penerbit. Kita tak mahu lagi pengarang menulis karya-karya yang (kononnya) amat tinggi nilai pemikirannya, tetapi apabila terbit, hanya menjadi timbunan batu bata di koperasi DBP dan tidak masuk pun ke rangkaian kedai-kedai buku utama.

Nota: Saya menulis entri ini berdasarkan sumber dengar-cakap (hearsay), kerana seperti yang telah saya nyatakan, saya beredar awal dari majlis, justeru kalau ada salah petik, mohon dibetulkan.

3 comments:

Wan Nor Azriq said...

Ada karya yang mudah.Ada karya yang sukar.

Yang mudah itu ada yang bagus dan mudah digarap oleh semua pembaca umum.Tapi tak semua yang mudah itu bagus walaupun ia disukai oleh masyarakat.

Yang sukar itu ada yang tak bagus dan pada sama susah ditelan oleh pembaca.Tapi tak semua yang sukar itu tak bagus walaupun masyrakat tidak sukanya.

Dalam sejarah sastera memang ada ramai penulis besar yang berjaya secara komersil dan sampai sekarang masih dibaca.Pada sama ada juga ramai yang tidak berjaya malah terpaksa mati dahulu sebelum nama mereka diangkat.

Nak berjaya secara komersil atau terus melayan nafsu seni? Saya rasa ini semua bergantung kepada diri setiap penulis.Kedua-dua ini hanya jalan berbeza,tapi pada matlamat masih sama iaitu sastera.

MKriza said...

Seni untuk seni atau seni bersifat 'pengusaha dan kontraktor" tak salah. Pilihan masing-masing. Hidup perlukan duit. Seni juga perlukan duit. Kita manusia berhak memilih. Tapi jangan mengandaikan orang seni tak perlukan duit dan pantas menindas mereka.

Aidil Khalid said...

Saya nak memetik sebuah sajak yang saya kira amat jujur:

dua orang pengkritik
terjebak dalam perangkap polemik
yang seorang berhujah dari dasar diri
seorang lagi menyanggah dari luar diri

dua buah tanggapan
terperangkap dalam jebak ideologi
di bawah awan keliru
di tengah kabut kelabu

jebak itu dibentuk daripada
jaring-jaring permasalahan yang rumit
di dalamnya tergolek sepotong hati
yang baik indah dan benar

dua orang pengarang
terkurung dalam dua konsep
yang seorang berbicara dengan Allah
seorang lagi berbicara dengan manusia

-T. Alias Taib-

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP