Friday, November 05, 2010

Kata dan Makna

Bayangkan kalau sajak Malam Lebaran oleh Sitor Situmorang dibaca dan dipaksa-tafsir mengikut makna yang difikirkan oleh Sitor ketika beliau menulis sajak itu. Cuba bayangkan bagaimanakah kesan estetikanya nanti kepada pembaca?

Untuk yang tidak begitu terbiasa dengan sajak yang menurut sesetengah pendapat adalah paling pendek di dunia, tetapi begitu banyak diulas dan dibicarakan, biar saya perturunkan sepenuhnya sajak pendek ini:

MALAM LEBARAN
Bulan di atas kuburan.

-Sitor Situmorang-

Kalau tidak salah, sajak ini ditulis oleh Sitor pada malam lebaran. Ketika itu, dia berkayuh menunggangi basikal, untuk ke rumah rakannya. Apabila sampai di rumah temannya itu, ternyata tidak ada siapa-siapa yang menjawab. Dia mengetuk pintu berkali-kali, tapi memang tidak ada orang. Justeru dengan hampa, dia pun pulang semula – masih menunggangi basikal, dan dalam perjalanan itu, dia melalui sebuah kawasan perkuburan. Ketika itulah dia terlihat – entah memang benar-benar nampak atau sekadar bayangan – akan bulan yang bersinar di langit malam. Maka tertulislah sajak Malam Lebaran ini.

Sekiranya sajak ini dibaca dan difahamkan menurut apa yang difikirkan oleh Sitor ketika itu, tentulah akan hilang keindahan estetikanya di jiwa pembaca. Sebab pembaca terpaksa mentafsir hanya pada selapis makna – iaitu hanya pada lapisan lukisan latarnya sahaja: memandangkan ilham menulis terjelma ketika Sitor melihat (atau membayangkan) bulan di langit ketika melewati kawasan perkuburan pada malam lebaran, maka tafisrannya juga harus kekal dan tidak boleh menyimpang dari pelukisan latar itu semata-mata.

Alangkah ruginya kalau begitu. Sedangkan, sajak ini, boleh saja ditafsir lebih mendalam lagi daripada sekadar pelukisan latar. Bagi banyak pengkritik, mereka melihat sajak ini mengungkapkan perasaan yang mendalam kesepian. Objek-objek yang dipilih – kubur, lebaran, malam, dan bulan – benar-benar apabila digabungkan memberikan rasa kesepian yang menyusup. Dan sesetengah pengkritik pula melihat sajak ini mengungkapkan sesuatu yang begitu sekali ironis. Kerana pada malam lebaran, bulan sebetulnya sama-sekali tidak kelihatan. Tapi tentulah Sitor tidak memikirkan semua ini ketika menulisnya. Dia hanya menangkap ilham yang terjelma di hadapan matanya – atau imaginasinya – ketika sedang mengayuh basikal.

Justeru saya berpendapat bahawa sajak tidak boleh ditafsir mengikut makna yang mutlak. Tugas pembaca, apabila membaca sajak, sama sekali bukan untuk berusaha merungkaikan fikiran pensajak. Yang harus dibedah dan yang harus dirungkai, adalah teks, iaitu sajak itu sendiri, dan bukannya kepala otak pensajak. Dalam hal ini, saya kira Ayu Utami ada mengungkapkannya dengan sangat indah dalam novel fenomenalnya, Saman. Beliau mengatakan begini:

“Gambar dan sajak tak perlu definisi dan tak perlu diterangkan. Mereka cuma menyimpan perasaan. Barangkali juga keindahan.”

Tetapi saya tidaklah pula bersetuju dengan sesetengah sekolah pemikiran yang menyatakan bahawa kata tidak perlu dibebani makna. Tidak demikian. Itu satu sekolah pemikiran yang mengarut bagi saya, kerana kalaulah benar kata tidak dibebani makna, maka lebih eloklah dibakar sahaja kamus-kamus semua bahasa.

Kata harus dan wajib mengandung makna, cuma, makna itu perlu masuk lebih ke dalam dari sekadar selapisan yang diertikan dalam kamus-kamus sekalian bahasa itu. Dan memang itulah pun tugas sastera sebagai satu cabang kesenian – memaknakan kata dengan ghairah kehidupan (sama ada yang sekarang atau yang kemudian).

Allahua'lam.

8 comments:

pembaca buku said...

Salam.

Pada saya, ada empat tujuan asas ketika menulis sesebuah puisi: rakaman, ekspresi, hujahan dan saranan.

Apabila seseorang itu menulis sebuah puisi, yang paling penting perlu disedarinya ialah persepsinya tentang apa yang mahu ditulisnya. Jika dia tidak sedar, bermakna dia menulis tanpa tanggungjawab.

Sajak Sitor itu, seperti lukisan, boleh difafsir pelbagai. Semakin banyak tafsirannya, semakin ia menjadi misteri. Semakin ia menjadi misteri, semakin tinggi nilainya.

Tetapi ini tidak bermakna sajak itu sebuah sajak yang tidak difahami. Bukan sajak kabur yang tidak tentu hujung pangkalnya. Sesebuah sajak yang baik berpola sifatnya dan harus ada landas pasaknya, sebelum ditafsir sendiri oleh khalayak.

Kata memang mempunyai makna. Hanya apakah kata itu mempunyai makna harfiah, kias, ibarat atau makna kebalikan; itu yang wajar dicerna sendiri oleh yang membacanya.

Satu lagi, puisi yang baik tidak boleh ditulis tanpa rasa. Kerana khalayak yang benar-benar 'membaca' akan mengetahui apakah puisi itu ditulis dari hati, atau hanya untuk 'mengisi waktu lapang'.

Selamat berkarya.
Wassalam.

Wan Nor Azriq said...

Salam Saudara Pembaca Buku dan Aidil,

Senjata seorang penyair ialah bahasa.Dan bahasa puisi seorang penyair itu yang mencorak emosi dan persepsinya.

Maka tanggungjawab utama seorang penyair ialah kepada bahasa puisinya.Persepsi? Ya sudah tentu penting,seperti pentingnya emosi atau rasa atau pemikiran.Tapi tanpa penguasaan bahasa yang segar dan orginal,maka semua itu hanya ekspresi yang sia-sia.

Bagaimana dengan makna? Semua puisi ada makna kerana puisi ialah jambatan antara emosi dan pemikiran atau pandangan hidup seorang penyair.Cuma,ada penyair membuka jalan yang mudah dalam diri pembaca untuk sampai ke makna puisinya.Ada yang jalannya perlu dibina sendiri oleh pembaca kerana penyair yang jenis ini hanya memberi batu asas kepada pembacanya.Dua-dua jenis penyair perlu ada kerana dua-dua jenis pembaca wujud dalam sastera kita.

Di hujung hari,semuanya bergantung kepada apa yang pembaca dan penulis inginkan dari sebuah puisi.Ada yang nak makna yang jelas.Ada yang nak pengajaran moral.Ada yang nak kritikan sosial.Ada yang nak emosi atau rasa.Ada yang nak keindahan bahasa.

Semuanya betul.Tapi apapun,sebuah puisi mestilah dahulu dapat berdiri sebagai puisi.

Contoh,Latiff dan Suhaimi ialah dua orang penyair yang memang ada banyak lapisan makna dalam sajak mereka.Tapi Latiff ialah penyair yang lebih berjaya kerana bahasa puisinya.

S.K CintaZeni said...

Salam,

"Justeru saya berpendapat bahawa sajak tidak boleh ditafsir mengikut makna yang mutlak. Tugas pembaca, apabila membaca sajak, sama sekali bukan untuk berusaha merungkaikan fikiran pensajak. Yang harus dibedah dan yang harus dirungkai, adalah teks, iaitu sajak itu sendiri, dan bukannya kepala otak pensajak. "

Wahhh, now you are DICTATING what a reader should or should not do!!!
Who are you to dictate what a reader does, when they read? Just because you are a writer and you think you can dictate readers' interpretation of the work they read?

Well, if that's what you want to do as a writer...
That's up to you, Dictator Writer :)

But never will I, as a reader, make comments on your writings ever again.
As a reader, I do not like to be dictated on what I can or cannot do with a piece of work. Especially, in you case, you've just DICTATED to me the parameters within which I can interpret your work.

As an intelligent reader who reads materials at multidimensional levels, I hate being dictated by a writer's parameters of what I should do when I read.

I will leave this prolonged discussion with that :)

Wassalam.

S.K CintaZeni said...

Oh,

"Satu lagi, puisi yang baik tidak boleh ditulis tanpa rasa. Kerana khalayak yang benar-benar 'membaca' akan mengetahui apakah puisi itu ditulis dari hati, atau hanya untuk 'mengisi waktu lapang'."
- Pembaca Buku

"Bagaimana dengan makna? Semua puisi ada makna kerana puisi ialah jambatan antara emosi dan pemikiran atau pandangan hidup seorang penyair.Cuma,ada penyair membuka jalan yang mudah dalam diri pembaca untuk sampai ke makna puisinya.Ada yang jalannya perlu dibina sendiri oleh pembaca kerana penyair yang jenis ini hanya memberi batu asas kepada pembacanya.Dua-dua jenis penyair perlu ada kerana dua-dua jenis pembaca wujud dalam sastera kita."
- Azriq

dan ya, setuju sekali dengan Pembaca Buku dan Azriq, lebih-lebih kenyataan diatas itu.

@Pembaca Buku, tambahan pandangan: seperti yang dibincang-luaskan oleh sdr Azriq, puisi punya lebih peranan daripada empat tujuan asas yang sdr sebutkan itu. Ruanglingkup peranan puisi tidak sesempit itu.

Tidak juga sesempit perbincangan Aidil dalam entri ini. (sesekali keras. takkan tiap kali suka - bias namanya dan tak boleh nak dipercayai lagi penilaiannya sebab berat sebelah.)

Wassalam.

Aidil Khalid said...

Pembaca buku, Azriq, dan Kak SK,

Terima kasih atas pendapat dan pandangan. Bak kata Oscar Wilde, "The critic has to educate the public; the artist has to educate the critic."

Dictate? Hmmmh, menarik. =)

Wan Nor Azriq said...

Oscar Wilde:"All arts in the end are useless."

sekadar tamabahan :-)

pembaca buku said...

Sdr Aidil, bagaimana dengan kata-kata Oscar Wilde yang ini pula:

"Praise makes me humble, but when I am abused I know I have touched the stars."

Azriq, memang benar kekuatan bahasa memainkan peranan besar dalam puisi - diksi, ritma dsb. Terima kasih atas 'tambahan fakta' itu.

S.K., empat tujuan yang diberikan itu boleh dipanjanglebarkan sebenarnya, masih mengikut persepsi orang yang membacanya. Terpulang. Apapun, saya menghargai perhatian sdr itu.

Aidil Khalid said...

Azriq,

Hehe, setelah perbincangan tentang seni -- kegunaannya, tafsirannya, dan maknanya -- yang pajang lebar, petikkan yang awak pilih itu sangat antiklimaks kesannya. Huhu. =)


Pembaca Buku,

Saya suka petikan itu. "... but when I am abused I know I have touched the stars." =)

Dan sekadar tambahan, saya terjumpa dari status FB Nisah Haron: "Dont take critics too seriously. Don’t give them the importance they don’t have. They are trying to make a living, and that’s all." ~Paolo Coelho~

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP