Pada Malam Dia Dimasyhurkan Menjadi Seniman
Dia meraikan di tepi pantai
megelilingi unggun.
Menghimpun kamus semua bahasa
kitab suci semua agama
hikayat lama semua bangsa
kemudian membakarnya.
Ketika api marak, dia mengisytiharkan

bahawa makna tak harus lagi mengikat kata
agama tak harus lagi memaksi seni
budaya tak harus lagi mengongkong imaginasi.
Rakan-rakannya bertepuk sorai
menyanyikan lagu seni untuk seni
diselang-seli meminum todi
kemudian berdikir nama Gautier
Baudelaire dan Wilde.
Dia mahu bebas
biar nafsu seninya terbang
mencari makna hidup lepas
(dan melupakan hidup yang kemudian).
Ombak mendesir.
Asyiknya semakin berahi
dan malam semakin hampir ke pagi.
Dia yang baru dilantik menjadi seniman
berjalan terhuyung ke arah unggun
membakar dirinya rentung
menyambut ghairah perasaan
yang gila kepayang.
Aidil Khalid
Shah Alam, Selangor
27-28 Oktober 2010
*Sajak terbit dalam Berita Minggu, 7 November 2010
*Foto adalah lukisan oleh Padamvir Singh

10 comments:
Aidil,
Antara semua sajak awak,ini yang saya paling suka :-)
Ini yang paling berseni bahasanya hehe
Azriq,
Terima kasih kerana menyukai sajak ini. Saya harap, selain bahasanya -- dan ini lebih utama bagi saya -- awak juga akan sama menyukai mesejnya. =)
Salam hormat.
Sdr. AK,
Wah, bagus sekali sajak anda! tajam sungguh sindirannya. Tepat kena batang hidung para sasterawan yang gila nama gila sanjungan gila anugerah ... gila apa2lah ...
saya tunggu yang lebih hebat daripada yang ini. Teruskan menulis sajak2 satira begini. Kita semua perlukan sajak2 begini ...
Aidil Khalid,
Saya suka sajak ini! Sangat suka!
Salam.
Benar kata Azriq, puisi ini benar-benar bagus, terbaik dalam 'kategori' sdr. Seharusnya dihantar ke Mingguan Malaysia supaya boleh beradu dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.
Tahniah.
Wassalam.
Dr Ariff,
Saya cuma tulis sajak kecil-kecilan sahaja. Tidak tahulah akan muncul atau tidak yang hebat-hebat seperti yang ditunggu itu. =)
Puan Sri Rahayu,
Terima kasih menyukai sajak yang tidak seberapanya ini.
Pembaca buku,
Haha, sajak ini tersangatlah bukan 'jenis', 'pilihan' apa lagi 'selera' para penilai HSKU. Bahasanya mudah dan langsung. Tidak berbunga-bunga apa lagi bombastik seperti yang selalu menang itu.
Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Nak tanya sikit.Nama Baudelaire dlm sajak ini merujuk kpd siapa? Bukan apa, nama tu sama dgn watak dlm cerita A Series of Unfortunate Events.
Sdr Hadi,
Saya rasa pensajak tak patut mentakrifkan sajaknya sendiri. Nanti makna sajak akan jadi mati. Tapi sekadar memberi klu, sajak ini saya tulis sebagai reaksi terhadap salah sebuah daripada sajak T. Alias Taib (saya peminat T. Alias Taib, tapi saya tak berapa setuju dengan gagasan seninya).
Salam Aidil,
Terima kasih kerana menjemput saya membuat 'cameo' dalam cerpen terbaru anda TAARUF.
Puan Sri Rahayu,
Ahaha, sama-sama. =)
Post a Comment