Monday, December 20, 2010

Borak Buku Dengan...

Selepas ber-DOM di Rumah PENA pada hari Sabtu tempoh hari, beberapa anak muda duduk berbincang dengan Saudara Lutfi Ishak tentang aktiviti lain yang boleh menyemarakkan kesusasteraan tanah air. Maka saudara Lutfi timbulkan tentang aktiviti reading-group. Akhirnya kata sepakat pun dicapai, bahawa Biro Penulis Muda PENA (dengan kerja sama Minggu Penulis Remaja) akan mengadakan siri Borak Buku Dengan … .

Istimewanya, siri borak buku ini akan dijalankan dengan gaya paling santai – tidak terlalu berat apa lagi terlalu intelek – supaya dapat dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan pembaca. Ia lebih berupa borak-borak di kedai kopi. Malahan tempat pertemuan pun akan diadakan di kedai-kedai kopi juga. Justeru dijemput semua lapisan masyarakat – dari seserius-serius pembaca yang membaca untuk kepintaran intelektualisme kepada sesantai-santai pembaca yang hanya membaca untuk mengisi waktu lapang seperti saya – marilah bersama-sama kita meramaikan aktiviti ini. Ia terbuka kepada semua, tanpa mengira usia, tanpa mengira pekerjaan, dan tanpa mengira sama ada anda penulis buku atau penikmat buku. Yang penting adalah kecintaan kita semua kepada buku. Tidak perlu mendaftar. Datang sahaja pada tarikh dan tempat yang ditetapkan, dan kita akan berkenal-kenalan di sana sebelum kemudiannya berborak-borak tentang buku.

Untuk siri Borak Buku Dengan… yang pertama ini, tarikhnya telah ditetapkan pada 16 Januari 2011 (Ahad), pukul 3.30 - 5.30 petang, bertempat di Starbucks KL Sentral. Pembicara jemputan adalah Saudara S.M. Zakir, yang baru sahaja beberapa bulan lalu memenangi anugerah penulis muda Mastera. Buku pilihan untuk diborakkan kali ini adalah Taras Bulba karya Nikolai Gogol.

Pun demikian, walaupun saudara S.M Zakir adalah pembicaranya, tetapi, seperti juga aktiviti-aktiviti anjuran Biro Penulis Muda PENA sebelum ini, siapa-siapa sahaja yang hadir akan turut diberi peluang seluas-luasnya, kalau mahu, untuk turut membicarakan buku yang diperkatakan. Justeru, para hadirin amat-amat digalakkan untuk membaca buku tersebut terlebih dahulu kalau belum membacanya; dan mengulang bacanya kembali kalau sudah pernah membacanya, supaya aktiviti borak buku dapat berjalan secara dua hala pada tarikh yang ditetapkan itu nanti. Taras Bulba boleh didapatkan di kedai buku Kinokuniya pada harga RM93.34, atau bagi yang kurang berkemampuan, boleh saja memuat-turun versi PDF dengan meng-klik di sini. (Oh, tak perlu risau tentang hak-cipta, kerana hak cipta hanya wujud sampai selepas 50 tahun seseorang pengarang meninggal dunia. Setelah itu ia menjadi milik masyarakat secara bersama dan anda berhak sepenuhnya untuk memuat-turun).

Maklumat lanjut tentang program Borak Buku Dengan... ini boleh dicapai di sini dan di sini.


*Foto di atas dicuplik dari www.milanlibrary.org

5 comments:

Hafizul Osman said...

Salam...
Guna buku bahasa Melayu lah aidil... penat pula aku nak membaca buku bahasa Inggeris.. hahaahha...

Aidil Khalid said...

Hafizul,

Buku itu bukan dipilih oleh penganjur, tapi dipilih oleh pembicara jemputan sendiri. Memang tujuan utamanya ialah supaya pembicara berkongsi apresiasi terhadap buku yang memberikan kesan kepadanya. Jadi buku itu tak boleh dipilih oleh penganjur.

Tapi itu lah ruginya kita sebagai bangsa yang tidak membudayakan aktiviti terjemahan, kan. Kalau di Indonesia, tentu buku itu sudah ada terbitan berbahasa Indonesia, dan mudah dibaca oleh masyarakat tempatan. =(

Hafizul Osman said...

Tidak salah kalau hendak menterjemahkan sesuatu karya antarabangsa ke bahasa tempatan sebab banyak agensi kerajaan dan syarikat penerbitan swasta yang bergiat cemerlang dalam menghasilkan perterjemahan karya antarabangsa. Memandangkan itu adalah buku yang dipilih oleh pembicara jemputan jadi apa henda dikata. Tetapi, sedikit merencatkan sedikit mood sesetengah pihak yang dalam proses pembentukan semula pemikiran sasteranya setelah terpaksa bergelumang dalam bidang yang sedikit berbeza daripada falsafah sastera.

Jadi, seperti yang dikatakan oleh Puan Ainon, sastera perlu dikomersialkan pada peringkat awal sebelum kita perlahan-lahan mengajar pembaca untuk mengenal karya sastera sebenar.

Insya Allah, kalau ada ada masa aku berkunjung ke sana...

najibah said...

Salam Sdr. Aidil,

Molek juga kalau bicara itu dirakamkan, dan dimuat naik kemudian ke blog MPR misalnya. Mungkin dapat meluaskan khalayak yang tidak dapat turut serta secara langsung.

Atau inti-inti diskusi disusun secara serius, mana tahu sesuai terbit pula sebagai buku.

Aidil Khalid said...

Sdri Najibah, ya cadangan yang baik. =)

Tapi mungkin tak boleh nak rakam keseluruhan, sebab diskusinya dua jam, kalau nak dimuat-naik nanti jenuh juga panjang-panjang begitu. Mungkin boleh rakam bahagian-bahagian terpilih.

Apa-apa pun, jemputlah datang ya pada 16 Januari nanti.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP