Saturday, January 01, 2011

Bagaimana Seseorang Pengarang Melihat Dirinya

Apabila tiba sahaja penghujung tahun, dan masuk ke tahun baharu, maka ramai yang akan memulakan membuat azam. Bagi kalangan karyawan – penulis khususnya – mereka biasanya akan melakukan penilaian kembali (bermuhasabah) akan karya-karya yang telah dihasilkan dan diterbitkan sepanjang satu tahun. Maka di status-status Facebook pun akan berkumandanglah ayat-ayat yang antara lain menyatakan kekecewaan kerana tidak begitu prolifik sepanjang setahun dan berazam untuk menjadi lebih rajin berkarya pada tahun yang akan datang supaya lebih banyak lagi karya yang terbit di media-media pelbagai keluaran.

Bagi saya, secara peribadi, saya tidak ada masalah dengan jumlah karya, baik jika jumlahnya banyak, baik juga jika jumlahnya sedikit. Tahun ini, jumlah yang terbit, masih seperti tahun yang sudah-sudah. Tidak ada peningkatan, tidak ada juga pengurangan. Memang semenjak 2008 lagi (yakni tahun sesudah menyertai Minggu Penulis Remaja), karya saya yang muncul di media adalah seputar 10 ke 20 sahaja (tidak pernah mencecah 20). Bagi saya jumlah bukanlah kerisauan, dan kualiti pula adalah sesuatu yang subjektif. Saya tahu jumlah karya saya yang terbit memang tidak banyak -- khabarnya ada kalangan rakan-rakan penulis yang sampai mencecah antara empat puluh ke lima puluh karya setahun sehingga membolehkan mereka menikmati hidup sepenuh masa sebagai penulis bebas eceran tanpa perlu tunduk kepada gaya penulisan kuih tempah sesetengah penerbit duitan. Saya kagum dengan pangarang-pengarang sebegini. Tetapi saya tahu, saya tak akan pernah dapat mengikut, apa lagi mengejar, jejak langkah mereka. Sebab saya sedar upaya diri sendiri yang terbatas; bahawa saya adalah pengarang yang lambat, dan lebih-lebih lagi pembaca yang lembab. Saya tidak mungkin jadi seprolifik rakan-rakan penulis dari beberapa penerbitan misalnya yang setahun sampai dua-tiga buah buku diterbitkan.

Jumlah bukanlah kerisauan buat saya. Kalau saja tahun baharu ini karya yang terbit berkurangan, katakanlah kurang daripada sepuluh, pun masih tidak menjadi kerisauan. Sebaliknya yang menjadi kerisauan buat saya ialah genre. Ya, genre adalah kerisauan saya saat ini. Di bawah ini adalah senarai karya pelbagai genre yang terbit sepanjang tahun 2010:

1. Sajak Bisik Pulau Mamutik
(Berita Minggu, 10 Januari 2010)

2. Sajak Lawan
(Tunas Cipta, Februari 2010)

3. Sajak Santai Pagi Minggu
(Mingguan Malaysia, 21 Mac 2010)

4. Sajak Seperti Seekor Gajah
(Berita Minggu, 25 April 2010)

5. Artikel Universiti di Meja Makan
(Mutiar Minda, Mei-Julai 2010)

6. Sajak Bicara Bulan Bicara Matahari
(Tunas Cipta, Jun 2010)

7. Cerpen Res Judicata
(Mingguan Malaysia, 6 Jun 2010)

8. Sajak Ingin Bermigrasi ke Negeri Atas Angin
(Mingguan Malaysia, 11 Julai 2010)

9. Sajak Ingin Jadi Seperti Mereka
(Berita Minggu, 25 Julai 2010)

10. Resensi Hostel: Memento Cinta
(Sastera.Net, Julai-Disember 2010)

11. Artikel Baca Lambat atau Cepat?
(Mutiara Minda, Ogos-Oktober 2010)

12. Cerpen Risalah
(Berita Minggu, 8 Ogos 2010)

13. Cerpen Antiplot II: Angin Paradoks yang Bertiup dalam Jiwa
(Tunas Cipta, September 2010)

14. Drama Radio Dua Juta Ringgit
(Klasik Nasional F.M., 26 September 2010)

15. Sajak Kepada Mahasiswa-Mahasiswi Fakulti Perundangan
(Harakah, 27 September 2010)

16. Sajak Pada Malam Dia Dimasyhurkan Menjadi Seniman
(Berita Minggu, 7 November 2010)

17. Cerpen Taaruf
(Mingguan Malaysia, 19 Disember 2010)

Apa yang menjadi kerisauan ialah kerana saya ternyata lebih banyak menulis sajak berbanding cerpen atau novel. Saya secara peribadi tak pernah melihat diri sebagai seorang pensajak (apa lagi penyair). Saya memang tidak pandai menulis sajak. Justeru sebagai pengarang, kalaupun saya boleh digelar pengarang, saya tidak mahu menganggap diri penulis sajak, oh tidak mahu, walaupun saya memang terlibat secara langsung dengan genre ini. Saya lebih selesa menjadi cerpenis, atau mungkin juga, kalau boleh, novelis.

Bukanlah saya memandang rendah kepada para pensajak, tidak, malah saya memandang tinggi kepada mereka sebenarnya. Tahap mereka, pada hemat saya, adalah terlalu tinggi untuk saya capai, justeru biarlah saya berada di tahap yang sekadarnya sahaja, yakni cukuplah menjadi cerpenis atau novelis sahaja. Kerana penulis sajak sebenarnya berada pada makam tertinggi di kalangan para karyawan pelbagai genre, seperti yang pernah dirakamkan J.B. Priestly: “The crown of literature is poetry. It is its end and aim. It is the sublimest activity of the human mind. It is the achievement of beauty and delicacy. The writer of prose can only step aside when the poet passes.”

Ramai yang memberi komentar, bahawa apabila mereka membaca sajak-sajak saya (kalaupun apa yang saya tulis itu boleh digelar sajak!), mereka merasakan seperti sedang membaca cerpen-cerpen saya. Mungkin kerana saya memang berjiwa cerpen makanya dalam menulis sajak pun, saya masih tetap bercerita. Saya tidak pandai (dan tidak suka) menulis (dan membaca) sajak-sajak tanpa cerita, apa lagi sekiranya sajak itu sekadar berpusing-pusing dengan bahasa romantis tetapi sebenarnya pada hakikatnya hanya mengungkapkan luahan semata-mata secara langsung. Ungkapan sesuatu secara langsung bukanlah minat saya untuk ditelaah atau ditulis, biar bagaimana berbunga sekalipun bahasanya.

Justeru kalau ditanya apakah azam saya untuk tahun 2011 ini, maka hanya dua sahaja. Pertama: saya mahu kembali menjadi cerpenis dan/atau novelis. Kedua: saya mahu selesaikan penyusunan kembali, yang mana sudah berkali-kali tertangguh, novel bersiri Dengan Tinta untuk diterbitkan dalam bentuk buku.

Bagaimanakah untuk saya capai azam tersebut? Well, ini yang sedikit sukar. Saya perlukan waktu. Semenjak bekerja di bidang guaman (yang sungguh tidak saya sukai ini!), saya merasakan jiwa sastera saya direntap; waktu saya dirompak; imaginasi saya direnggut. Duhai! Saya pernah membaca sebuah artikel di internet, saya tidak ingat di mana, tentang kenapa di Singapura misalnya, mereka lebih banyak memiliki pensajak berbanding penulis prosa (cerpen atau novel) – yakni kerana di sana, di sebuah negara maju yang semuanya bergerak serba pantas, kebanyakan pengarang tak miliki waktu untuk menulis prosa panjang-panjang. Justeru lahirlah lebih ramai pensajak ketimbang prosais.

Apa pun, itu semua tergantung diri sendiri untuk diatasi. Menulis alasan berjela-jela seperti yang sedang saya lakukan ini tidak akan membantu mengatasi apa-apa. Mungkin langkah pertama yang perlu saya lakukan ialah dengan mengurangkan aktiviti luar, sama ada ia aktiviti sastera atau sekadar berfoya-foya. Tugas utama penulis adalah berkurung dan menulis – bukannya menjadi aktivis, kerana aktivisme hanyalah tugas sampingan – sebaliknya lebih perlu menyendiri dengan imaginasi, bersahabatkan hanya diri sendiri, buku, dan kompter. Justeru itulah yang perlu saya lakukan kalau mahu mencapai azam ini. Seperti kata Sasterawan Negara Shahnon Ahmad suatu ketika dahulu, pengarang tak boleh miliki ramai kawan.

Oh, sudah saya katakan, saya seorang introvert! Eheh! =)

5 comments:

lutfi said...

Salam Aidil.

Ada sesuatu yang pelik tentang penulisan. Kita boleh menetapkan diri untuk menjadi apa, namun, sampai masanya, kita akhirnya akur dengan apa yang perlu kita akan jadi.

Apapun, tahniah. Karya kreatif abg lutfi yg tersiar tahun lepas pun, hanyalah tiga. Satu cerpen dan satu sajak.

Hafizul Osman said...

Ooo..melarikan diri dengan memancing ya...Hahaha...Selamat tahun baru 2011 dan semoga sukses di tahun baru dalam dunia sastera..

Aidil Khalid said...

Abg Lutfi,

Walaupun hanya tiga, tapi abg Lutfi terbitkan sebuah buku kumpulan sajak. =)

Tentang yang pelik dalam penulisan itu, ya, saya setuju. Malah Azriq pernah berpesan kepada saya dengan memetik kata-kata Mario Vargas Llosa bahawa bukan penulis yang memilih tema, tetapi tema yang memilih penulis. Begitu jugalah, saya kira, dengan genre. Kadang-kadang genre yang memilih penulis dan bukan penulis yang memilih genre.


Hafizul,

Haha, mana ada lari lah. Aku cuma bersetuju untuk tidak bersetuju. =)

kakak munsyi said...

"Justeru kalau ditanya apakah azam saya untuk tahun 2011 ini, maka hanya dua sahaja. Pertama: saya mahu kembali menjadi cerpenis dan/atau novelis. Kedua: saya mahu selesaikan penyusunan kembali, yang mana sudah berkali-kali tertangguh, novel bersiri Dengan Tinta untuk diterbitkan dalam bentuk buku."

Kaksu sangat setuju :)

Juga frasa ini, "Seperti kata Sasterawan Negara Shahnon Ahmad suatu ketika dahulu, pengarang tak boleh miliki ramai kawan."

... cuma dengan tambahan, milikilah 'sahabat'. Sahabat akan banyak membantu proses pengkaryaan seseorang. Tidak ramai rakan yang boleh menjadi 'sahabat'.

Aidil Khalid said...

Alamak, Kaksu pun dah mula komen, ni yang malu ni. Hehe.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP