Sunday, January 09, 2011

Cerpen, Prejudis, dan Interlok

Lupakan sebentar gejolak sastera kita yang dibakar api rasisme oleh pihak-pihak tidak bertanggung-jawab (yang barangkali hanya memikirkan kepentingan politik mereka semata-mata) -- lantas membawa kepada demonstrasi pembakaran novel Interlok dan gambar pengarangnya, Sasterawan Negara Abdullah Hussain, di Klang -- lupakan sebentar, kerana saya ingin menjemput para pengunjung blog ini menjamah cerpen seadanya Audi Alteram Partem yang terbit di akhbar Berita Minggu, 9 Januari 2010 (klik sini untuk baca).

Isu dalam cerpen ini bukanlah tentang pembakaran atau pengharaman buku sastera. Tetapi, cerpen ini saya tulis setelah membaca sebuah novel yang saya kira amat-amat mengesankan jiwa saya, iaitu To Kill a Mockingbird. Khabarnya novel tulisan Harper Lee itu juga pernah mengalami nasib yang sama dengan Interlok apabila diharamkan di sekolah-sekolah dan perpustakaan di Amerika Syarikat kerana kononnya menggambarkan kaum kulit hitam dengan cara yang menghina (baca: kononnya).

* * * * *

Bagi saya secara peribadi -- dan saya tidak dapat menilainya dengan adil di peringkat ini (memandangkan saya sendiri belum membaca Interlok, dan masih mencari novel tersebut untuk dibaca) -- ialah kerana masyarakat kita ternyata terdidik untuk menikmati karya sastera dengan cara yang salah.

Buku sastera -- atau fiksyen -- tidak boleh dibaca seperti kita membaca buku teks atau ensiklopedia. Intipati buku sastera, dan oleh itu inilah yang perlu diberi perhatian serius ketika membacanya, bukanlah ketepatan fakta, sebaliknya kemanusiaan di dalamnya. Kalaupun benar Sasterawan Negara Abdullah Hussain tersalah kerana menggunakan frasa 'kasta paria', yang mana sebenarnya paria tidak termasuk dalam sistem kasta sama sekali (dalam sistem kasta hanya ada empat tingkat, iaitu Brahmin, Ksatria, Vaishya, dan Sudra (boleh rujuk sini) -- itu tidak menjadikan Interlok sebuah novel yang wajar dibakar atau diharamkan. Itu juga tidak menjadikan Interlok sebuah novel yang tidak berkualiti. Novel adalah fiksyen dan oleh itu yang dicari di dalamnya adalah kekayaan kemanusiaan; bukannya ketepatan fakta yang selalu membosankan.

Hakikatnya pengarang adalah manusia yang penuh dengan ketidak-sempurnaan, justeru memang tak akan lepas daripada kesilapan. Kalau kita mencari kesempurnaan fakta dalam karya sastera, maka percayalah, tidak akan wujud sebuah pun karya yang layak untuk diangkat sebagai teks wajib di sekolah-sekolah.

Apa pun, saya ingin sekali melihat reaksi oleh parti-parti politik -- pembangkang terutamanya daripada PKR dan PAS -- apakah mereka akan bersikap rasional dalam hal ini atau cuma bertindak untuk kepentingan survival politik mereka yang kononnya rentas perkauman. Hal ini saya kira akan menjadi penentu utama bagi membolehkan saya membuat keputusan untuk memangkah siapa pada pilihan raya ke 13 nanti.

2 comments:

Mawar said...

Sdr Aidil
TAHNIAH, saya senang membaca cerpen sdr ini! saya suka watak si kecil Soleman :-)

Aidil Khalid said...

Dr Mawar,

Terima kasih. =)
Watak si kecil Soleman itu juga terinspirasi dari watak adik-beradi dalam To Kill a Mockingbird.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP