Tuesday, January 18, 2011

A Judgmental Book Snob?

Saya dimaklumkan oleh seorang rakan penulis, bahawa rupa-rupanya cerpen Taaruf, yang terbit dalam akhbar Mingguan Malaysia 19 Disember 2010 tempoh hari, ‘dilapah’ habis-habisan dalam rangkaian sosial pencinta buku, www.goodreads.com. Wah, panas juga ya rupa-rupanya cerpen ini. =)

(Klik sini untuk baca lapahan dalam halaman tersebut)

Antara yang menarik diperkatakan:

Bahawa berdasarkan cerpen tersebut, ada yang merumuskan bahawa saya adalah ‘book snob’ (yakni pembaca buku yang pongah dan memandang rendah kepada pilihan bacaan orang lain) kerana dalam cerpen itu, saya gambarkan watak utama perempuannya menilai bakal suami berdasarkan kepada bahan-bahan bacaannya. User dengan nama encik_kerani mengatakan: “Aidil Khalid IS a book snob. Period.” Kemudian Bunnybaby pula menulis: “A judgmental book snob, that he is.”

Keh keh keh, selepas membaca komen-komen itu, saya bangun dan berjalan ke rak-rak buku dalam bilik. Sekadar memandang kepada susunan buku-buku di situ, dan melihat senarainya. Ada novel Imam, karya S.N Abdullah Hussain. Ada tetralogi Pulau Buru, tulisan Pramoedya Ananta Toer. Kemudian terselit juga novel Ahadiat Akashah, Katrina tajuknya. (Berniat selepas ini nak cari dan baca Lagenda Budak Setan pula). Ada juga sebuah buku Hlovate, pengarang yang digila-gilai pembaca muda remaja perempuan hari ini. Oh, buku-buku Faisal Tehrani jangan sebutlah, memang berderet. Buku John Grisham pun ada. Deretan buku-buku non-fiksyen pula banyak yang bergenre biografi atau autobiografi dan juga memoir – ada tentang Hamka, Chin Peng, Shakespeare, Shamsiah Fakeh, Shahnon, Picasso, J.K Rowling, Ahmad Boestamam, Dan Brown, Ataturk, Warren Buffet, Konfusius, Einstein dan lagi dan lagi (saya memang peminat biografi). Kalau non-fiksyen selain biografi, ada Bill Bryson, ada Syed Naquib Al-Attas, terselit juga Steven D. Levitt dan Stephen J. Dubner, ada juga Syed Qutb, John Burrow, Za’ba, oh tak lupa juga Taha Jabir. Saya bukan peminat buku-buku motivasi/self improvement, tapi tetap ada dua buah buku Napolean Hill, sebuah Kiyosaki, sebuah John Carey. Ada juga siri-siri sejarah Islam oleh Abdul Latip Talib. Buku-buku politik, memang saya tak baca. Yang setakat sekilas pandang ini, ternampak satu-satunya yang ada, buku Nik Nazmi Nik Ahmad, sebab memang saya pengkagum dia, jadi walaupun saya tak suka politik, bukunya tetap saya baca -- lagi pula bukunya tidaklah terlalu politikal sangat. Ada juga buku-buku Ayu Utami (yang sesetengah pengarang Islami di Malaysia merasa jijik bahkan untuk menyentuhnya dengan hujung-hujung jari). Ada juga buku Lolita yang dipinjam dari Azriq. Buku klasik, tak banyak, tapi ada juga: Tolstoy, Dickens, Woolf.

Saya kembali duduk semula, dan menghadap komputer, lalu bertanya kepada diri sendiri: Hmmh, judgmental book snob kah saya?

Mujur saja Bunny Baby kemudiannya melakukan sedikit pencarian dan menemui biodata -- bahawa saya juga turut meraikan buku yang sesetengah orang istilahkan sebagai pop, iaitu novel-novel John Grisham. (Saya memang menentang sebarang pengkastaan dalam sastera, yakni membeza-bezakan yang ini sastera dan yang itu pop. Boleh baca artikel lama saya berhubung isu ini di sini). Setelah itu beliau mulai menilai cerpen tersebut bukan sebagai alat propaganda pengarangnya (yakni saya), sebaliknya kepada interaksi antara watak-wataknya (perwatakan) dalam cerpen itu sendiri. Beliau menulis: Mengkaji semula kepada cerpen Taaruf yang ditulis oleh Aidil, saya faham kenapa si gadis sampai meluahkan kesimpulannya begitu … Bukankah si pemuda ada menyindirnya dengan mengatakan si gadis boleh menikmati bilik tidurnya 'sepuas-puasnya' setelah berkahwin nanti. Malah semasa menunjukkan koleksi bukunya, si pemuda ada rasa bangga pula. Maka tak hairanlah si gadis menempelaknya balik dengan kata-kata yang lebih tajam.” (Klik sini untuk baca)

Apa pun, seronok juga melihat karya sendiri dilapah-lapah dari sudut pro dan kontranya sebegini. =)


Foto dicuplik dari http://thegreatreturntosi.blogspot.com.

8 comments:

hanaahmad said...

salam aidil,
saya baru nak berjinak-jinak mengumpul segala buku karya sasterawan negara. boleh bagitau x dekat mana nak dapatkan segala karya depa? sbb mcm susah je nak cari dekat kedai buku ni. dan suggestkan buku mana yang besh utk dibaca?

* kadangkala saya juga memandang seseorang lelaki itu melalui bahan bacaan dia. bg saya, dia apa yg dia baca. hehe.

Siti Salha Rosman said...

Salam,

Saya selalu follow Goodreads tapi jarang join discussion tu. Tahniah kerana cerpen anda menjadi topik hangat perbualan mereka. Cerpen Taaruf juga secara tidak langsung menjadi famous!

Bagi saya, 'anda tak sepertinya yang anda baca'.

Aidil Khalid said...

hanaahmad,

Kalau cadangan buku Sasterawan Negara, mungkin boleh cuba novel Salina (A. Samad Said). Itu pada saya adalah novel Melayu yang paling mengesankan (secara peribadi, tentunya). Bukan tidak ada novel-novel Melayu lain yang mengesankan, tapi saya tak jumpa lagi yang benar-benar menggugahkan, seperti Salina.

Cuma masalahnya, saya tak pasti mana nak dapatkan buku ini. Sebab buku-buku Sasterawan Negara memang selalunya susah nak cari. =(


Siti Salha Rosman,

Saya pun kena join jugak Goodreads selepas ini sebab nampak macam selalu ada diskusi sihat di sana. =)

Nik Nazmi said...

Terima kasih membaca buku saya :)

Hafizul Osman said...

Hanaahmad,

Sedikit tambahan daripada komen saudara Aidil, awak boleh dapatkan buku-buku karya Sasterawan Negara di Kedai Buku DBP. Masih ada lagi beberapa buku Sasterawan Negara yang dijual di situ walaupun tidak semua. Jika tidak, awak boleh pinjam di Pusat Dokumentasi Melayu di DBP. Sekadar ingin berkongsi.

Aidil Khalid said...

Y.B Nik,

Sama-sama, dan, wah terharu Y.B pun masuk ke sini. =)


Hafizul,

Masalahnya buku Salina memang aku tak pernah nampak lagi dekat koperasi DBP yang bertimbun dengan buku-buku tak laku (sebab tak diedarkan ke rangkaian kedai-kedai utama).

Hafizul Osman said...

Hahaha...Memang dah tak ada...Jadi, disarankan untuk meminjam di Pusat Dokumentasi Melayu DBP...Itu sahaja penyelesaian yang dapat dilihat..

hadi_8149 said...

Tidak tahu sama ada saudara Aidil tahu atau tidak tetapi Chesterton yg saudara mention dlm cerpen sebenarnya menyokong pembentukan negara haram Yahudi.

Apapun, cerpen yg hebat, sama macam cerpen-cerpen saudara Aidil yg lain!

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP