Sunday, March 20, 2011

Dialog Orang Muda: Bahasa Melayu oh Bahasa Melayu!

1. Persoalan tentang memartabatkan bahawa Melayu sebagai bahasa ilmu sebenarnya jauh lebih rumit daripada sekadar memberikan contoh-contoh negara maju yang menggunakan bahasa ibunda; persoalan ini jauh lebih ruwet daripada sekadar memberikan tamsilan bahawa negara India yang menggunakan bahasa penjajah tidak berjaya mencipta apa-apa produk yang signifikan, sedangkan Jepun yang menggunakan bahasa ibundanya dalam semua hal begitu produktif menghasilkan dan menerokai teknologi-teknologi baharu.

2. Dalam kesedaran inilah saya melangkah keluar rumah pagi tadi, menuju ke Rumah Pena bagi menghadiri Dialog Orang Muda bulan Mac. Perbincangannya kali ini adalah tentang Bahasa Melayu di IPT: Melukut di Tepi Gantang?



3. Saya sampai agak sedikit lewat. Ketika itu ahli panel, saudara Tarmizi, sedang berbicara tentang isis dan bagaimana pihak pentadbir universiti membunuh potensi bahasa Melayu dengan hanya mengambil kira jurnal-jurnal yang ditulis dalam bahasa Inggeris untuk penilaian kenaikan pangkat para akademikus, sedangkan jurnal yang ditulis dalam bahasa Melayu dianak-tirikan. Setelah itu, ahli panel saudara Syukri pula membicarakan tentang betapa yang utama adalah isi – atau substance – sesuatu bidang keilmuan berbanding sekadar kebolehan berbahasa. Beliau memberikan contoh rakannya, seorang geologis, yang belajar dalam bahasa Melayu dan sungguh yakin bahawa bidang tersebut mempunyai potensi yang tinggi biarpun ia dipelajari dalam bahasa Melayu dan bukan bahasa Inggeris. Hal ini adalah kerana apa yang penting adalah pemahaman konsep-konsep dalam bidang geologi dan bukannya dalam bahasa apa ia dipelajari.

4. Ketika moderator, Saudara Lutfi Ishak, membuka ruang untuk hadirin memberikan pendapat, saya bangun dan cuba melontarkan sedikit pandangan. Semenjak saya tamat belajar secara formal di universiti dan melangkah ke bidang guaman, begitulah saya memulakan, saya menemui banyak konflik – antara idealisme di satu belahan, dengan realiti di satu belahan yang lain. Kepentingan memahami konsep-konsep asas keilmuan melalui bahasa ibunda, itu adalah satu hal yang memang tidak dinafikan; kepentingan untuk terus-menerus memperkayakan bahasa sendiri dengan kecanggihan ilmu-ilmu baharu juga adalah suatu hal yang tidak pernah dinafikan sesiapa; tetapi persoalan keboleh-jualan – atau kebolehpasaran – apa-apa yang kita miliki dan fahami kepada industri di luar sana, yang ternyata lebih mengutamakan kebolehan berbahasa Inggeris dengan fasih, adalah suatu hal yang lain lagi. Barangkali atas pertimbangan inilah, ada sesetengah universiti di Malaysia dengan begitu tidak bermaruah sekali telah meminggirkan bahasa Melayu daripada dijadikan bahasa pengantar.

5. Di firma guaman tempat saya bertugas, misalnya, terdapat dua graduan lulusan Pengajian Melayu berkerja, bukan sebagai pegawai, tetapi sebagai kerani. Saya menganggap ini suatu kerugian, kerana sebagai graduan yang memiliki ijazah sarjana muda, ilmu-ilmu yang dipelajari sepanjang berada di menara gading tentu sekali boleh dimanfaatkan lebih daripada sekadar menjadi kerani. Alangkah ruginya kalau sudah dilengkapi dengan pelbagai cabang ilmu tentang khazanah budaya bangsa Melayu yang begitu kaya dan indah, tetapi kemudiannya tidak mempunyai peluang untuk mempraktikkan apa-apa yang dipelajari itu, dan hanya berkerja menerima arahan daripada bos (yang belum tentu pun bijak sangat, tetapi menjadi bos kerana lebih fasih berbahasa Inggeris!). Salah seorang kerani tersebut kemudiannya berhenti, kerana ingin mencuba nasib di tempat lain, kalau-kalau ada peluang yang lebih cerah. Tetapi, sayang sekali, sehingga ke hari ini masih menganggur.

6. Hakikatnya kedudukan bahasa Inggeris sudah terlalu kukuh dan teramat teguh di bidang swasta. Hakikat ini perlu kita sedar, dan tidak boleh dianggap remeh oleh para pejuang bahasa. Dan hakikat inilah yang perlu diselesaikan, sekiraya para pejuang bahasa sekalian ingin melihat bahasa Melayu dimartabatkan dalam erti kata sebenar, dan bukan dimartabatkan sekadar di tepi bibir melalui slogan-slogan indah tetapi belum tentu mempunyai makna seperti “Martabatkan Bahasa Kebangsaan” atau “Bahasa Jiwa Bangsa” dan yang sewaktu dengannya.

7. Keteguhan bahasa Inggeris di sektor swasta adalah seumpama tembok besar yang begitu angkuh dan begitu sukar sekali untuk dirobohkan. Kerana saya dalam bidang perundangan, makanya saya memberikan contoh dalam bidang perundangan juga, di mana telah termaktub dengan jelas bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di mahkamah, dari serendah-rendah mahkamah sehinggalah ke setinggi-tinggi mahkamah. Hal ini malahan telah disahkan dalam kes Anwar Ibrahim, di mana notis rayuan yang ditulis dalam bahasa Inggeris telah ditolak oleh hakim, atas alasan ia mesti dikemukakan dalam bahasa Melayu. Pun begitu, hakikatnya, tidak seindah itu.

8. Hakikat yang sebenarnya adalah bahasa Melayu hanyalah dilihat sebagai formaliti semata-mata. Pengalaman saya sendiri, walaupun memang dokumen-dokumen perlu disediakan dalam bahasa Melayu bagi memenuhi peruntukkan perundangan, tetapi pihak mahkamah biasanya akan meminta terjemahan dalam bahasa Inggeris disediakan di belakangnya. Hal ini kerana kebanyakkan hakim-hakim kita memang berlatar-belakangkan pendidikan berbahasa Inggeris, malah ada antara mereka yang tidak fasih berbahasa Melayu. Justeru, ketika perbicaraan dijalankan nanti, dokumen yang telah diterjemah ke dalam bahasa Inggeris itulah yang akan digunakan, sedangkan dokumen asal berbahasa Melayu akan diketepikan. Sekali lagi, ia hanya untuk formaliti. Perbicaraan juga akan dijalankan dalam bahasa Inggeris. Begitulah realitinya.

9. Dalam hal surat-menyurat juga begitu. Hanya surat yang dialamatkan ke jabatan-jabatan kerajaan sahaja akan disediakan dalam bahasa Melayu, sedangkan yang dialamatkan ke agensi-agensi swasta, semuanya ditulis dalam bahasa Inggeris. Hal ini semacam sudah menjadi amalan yang difahami – dan diterima pakai tanpa banyak soal – oleh semua pihak.

10. Justeru, kenapa agaknya pejuang bahasa begitu menitik beratkan aspek bahasa ini? Saya amat bersetuju dengan kata-kata ahli panel, saudara Faisal, yang menyatakan bahawa dalam bahasa terkandung budaya. Pengucapan bahasa juga akan mencorakkan cara berfikir penuturnya. Saudara Faisal misalnya memberikan contoh perkataan ‘sex’ dalam bahasa Inggeris yang tidak memiliki sebarang konotasi positif atau negatif, berbanding perkataan ‘zina’ dalam bahasa Melayu yang jelas konotasinya negatif dan mengingatkan penuturnya tentang dosa. Beliau juga memberikan contoh perkataan ‘responsibility’ dalam bahasa Inggeris yang bersifat neutral, dibandingkan dengan perkataan ‘tanggung-jawab’ dalam bahasa Melayu yang jelas menunjukkan amanat berat yang tergalas di pundak. Begitulah bagaimana bahasa mencorak pemikiran dan tindakkan.

11. Atas sebab inilah, kita sangat-sangat perlu memartabatkan bahasa Melayu dalam semua bidang. Tetapi persoalan utamanya, saya kira, masih tidak berjawab, dan saya sendiri memang tidak memiliki jawapannya: bagaimana meruntuhkan tembok keangkuhan bahasa Inggeris di bidang swasta?

12. Profesor Abdullah Hassan, yang turut hadir ada memberikan pandangannya. Menurutnya, masalah ini timbul kerana masyarakat Melayu secara umumnya tidak memiliki minda perniagaan. Justeru peluang-peluang pekerjaan di bidang swasta kebanyakkannya datang dari syarikat-syarikat yang dimiliki oleh kaum-kaum bukan Melayu yang majoritinya memang tidak memiliki kesedaran – apa lagi semangat – berbahasa kebangsaan. Justeru, penyelesaiannya menurut Profesor Abdullah Hassan adalah untuk orang Melayu mencipta peluang pekerjaan sendiri dengan menerokai bidang perniagaan yang dijalankan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara.

13. Apa-apa pun, sebagai penutup, barangkali perlu ditegaskan bahawa pejuang bahasa tidak menolak kepentingan bahasa-bahasa lain. Pelajarilah bahasa Arab, pelajarilah bahasa Parsi, pelajarilah bahasa Jepun, Pelajarilah bahasa Mandarin, pelajarilah bahasa Korea, pelajarilah bahasa Urdu dan pelajarilah juga, kalau mahu, bahasa Inggeris. Lebih banyak bahasa yang dikuasai, maka lebih baik. Tetapi, menguasai bahasa lain tidak harus dijadikan lesen untuk menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa basahan sehari-hari (kecualilah bahasa Arab bagi yang memang pandai berbahasa Arab, kerana itu memang sudah bahasa syurga, maka memang digalakkan). Seperti yang telah diperikan dalam perenggan 10 di atas, dalam bahasa terkandung budaya, dan dalam bahasa juga terkandung pemikiran bangsa. Sekiranya kita lebih selesa berbahasa lain berbanding bahasa sendiri, maka memang sahlah minda kita sudah terjajah, dan kita tak layak untuk mengatakan “Saya pun Melayu juga!”



*Foto dikreditkan kepada Nazmi Yaakub

6 comments:

Dr. Irwan said...

Tk atas laporan rinci ini. Dapatlah kami yang tidak hadir tumpang mengikuti serba sedikit lontaran idea di majlis itu.

Aidil Khalid said...

Dr Irwan, sebenarnya masih banyak input-input yang tidak saya masukkan dalam entri ini. Profesor Abdullah Hassan misalnya menyentuh banyak perkara lain, kerana isu bahasa memang begitu, mahu tidak mahu, kena dikaitkan dengan aspek-aspek lain juga. Begitu juga dengan hadirin, termasuk mahasiswa UM, yang turut memberi pandangan. =)

Rumah Cerekawala said...

Sayang sekali tidak dapat hadir pada hari itu untuk mendengar pendapat para ahli panel.

Aidil Khalid said...

Rumah Cerekawala,

Tidak mengapa, kerana DOM adalah sebuah program berkala, yang dianjurkan setiap bulan, hari Ahad minggu ketiga. Jadi jemput datang pada DOM yang berikutnya (bulan April). Kali ini tajuknya tentang Sastera di sekolah-sekolah.

*~MOHAMMAD HAFIZ~* said...

Assalamualaikum...

Saya sangat tertarik dengan pandangan Profesor Abdullah Hassan. Baru-baru ini saya mendaftarkan syarikat saya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Semasa saya berada di dalam pejabat SSM, alangkah terkejutnya kerana terlalu ramai bangsa lain yang sedang menunggu giliran untuk mendaftar perniagaan, mahupun menghidupkan semula lesen perniagaan mereka.

Jika tidak salah saya, hanya ada 4 orang termasuk saya yang berbangsa Melayu yang sedang menunggu giliran ketika itu. Sedih melihat kebanyakannya lebih suka berada dalam zon selesa, berbanding memilih jalan sukar untuk mengecap jaya. Apapun, saya ambil ini sebagai iktibar dan entri Aidil sebagai pembakar semangat untuk saya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam syarikat saya. InsyaAllah... =)

rahim said...

Aidil dlm gambar tu aku cm nampak budiman. die ke ?

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP