Sunday, August 07, 2011

Anekdot tentang Penulis yang Sasterawan

Waktu itu kami di McD KL Sentral, menunggu waktu berbuka, dan saya tiba-tiba tergelak tak tertahan apabila mendengar cerita rakan saya yang mengisahkan pengalamannya pergi ke Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini. Mujur saja orang-orang di meja sebelah menyebelah tak perasan, kerana suasana yang memang sedia hingar, justeru ketawa saya pun tenggelam oleh suara-suara yang lain itu.

Rakan saya itu, menurut ceritanya, pergi ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menggunakan ruangan Sudut Penulis di Pusat Dokumentasi Melayu, setelah membaca artikel Nisah Haron yang mempromosikan ruangan tersebut dalam majalah Dewan Sastera terbitan bulan Jun 2011. Menurut artikel itu, Sudut Penulis adalah ruangan percuma yang disediakan untuk kegunaan para karyawan pelbagai lapisan.

Melihat kepada foto-foto yang mengiringi artikel tersebut, ia kelihatan amat – dengan izin – appealing kepada para penulis untuk paling kurang sekali merasa berkunjung ke sana dan menyelesaikan tugas-tugas kepengarangan. Entahlah, barangkali ada semacam suasana romantis kepujanggaan daripada gambar-gambar yang dipaparkan, eheh! – dengan ruangannya yang di pojok, sesuai untuk mereka yang ingin menyendiri hanya bertemankan buku, komputer riba, dan idea. Bahkan betapa kondusifnya tempat tersebut, sehinggakan turut disediakan kemudahan membancuh kopi atau teh, untuk dimanfaatkan para penulis seperti saya, yang memang tak boleh berenggang dengan kopi apabila mengarang (kecualilah kalau bulan puasa!)

“Kak, kami nak menulis di dalam,” begitu kata teman saya kepada kakak kaunter yang menjaga Pusat Dokumentasi Melayu, sebaik sampai di sana.

“Tak boleh,” jawab kakak itu, “ruangan ini cuma boleh digunakan oleh penulis yang sasterawan sahaja.”

“Penulis yang sasterawan sahaja?”

“Ya.”

"Tapi kami memang penulis, kak."

"Ya, tapi ini untuk penulis yang betul-betul sasterawan sahaja, dik."

Teman saya itu, yang datang bersama seorang temannya yang lain, saling bertukar-tukar berpandangan. Mungkin, fikir mereka, mereka bukanlah penulis yang sasterawan. Atau mungkin, fikir mereka lagi, perlu ada cap pada dahi masing-masing yang menerangkan “kami ini sasterawan” barulah boleh mereka dibenarkan masuk. Bahkan mungkin juga, fikir mereka lagi, ada semacam suatu sistem biometric yang digunapakai bagi mengesan seseorang itu penulis yang sasterawan atau tidak sasterawan, sebelum boleh dibenarkan melepasi ruangan sudut penulis itu.

Tetapi, kemudiannya timbul pula persoalan lain – apakah yang dimaksudkan dengan “penulis yang sasterawan?” Bagaimanakah pula baru boleh dikira seseorang itu benar-benar cukup sasterawan untuk menjadi “penulis yang sasterawan” dan dibenarkan masuk ke dalam Sudut Penulis? Kerana teman saya itu, sebetulnya, bukanlah calang-calang penulis. Esei kritikannya bahkan pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera ketika usianya baru 21 tahun; cerpen-cerpennya pula terbit di merata majalah terbitan DBP mahupun bukan DBP. Itu belum dikira lagi dengan kedudukannya yang sekarang ini memegang jawatan Ketua Pengarang sebuah penerbitan berkala yang bakal terbit tidak lama lagi.

Mujur saja kakak kaunter itu kemudiannya masuk ke dalam untuk menghadap orang atasannya, dan alhamdulillah, akhirnya membenarkan teman saya itu masuk menggunakan sudut itu walaupun belum ada cap sasterawan pada dahinya.


*Nota: Foto adalah lukisan oleh Olha Pryymak

5 comments:

Nadia said...

mungkin kakak tu tak thu apa yg dimaksudkan dgn sasterawan :P

Azree Ariffin said...

Aduhai saya nak tergelak pun ada dengar cerita ini... :)

Aidil Khalid said...

Nadia, erm, jadi apa ya yang sebenarnya dimaksudkan dengan 'sasterawan'? Hehe. =)

Azree, hehe, saya pun memang tergelak besar bila dengar cerita ini.

diskopi said...

Mohon diberikan ruang untuk menyampaikan berita baik ini!

Bersih 2.0: Merakam Semangat Zaman/Capturing The Spirit Of The Times – Pertandingan Menulis Esei dan Cereka di dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Lebih daripada RM6,000.00 untuk dimenangi + buku-buku + tshirt diskopi super kool edisi terhad + peluang untuk karya anda diterbitkan di dalam bentuk buku!

Kalau anda berminat untuk terlibat di dalam usaha bersama merakam semangat zaman dan memenangi hadiah-hadiah tersebut, check it out - butiran, syarat dan peraturan pertandingan ini kat:

http://diskopi.wordpress.com

Anda boleh juga download poster pertandingan menulis esei dan cereka ini dalam jpeg file dan meletakkannya kat blog, website atau facebook anda supaya kawan-kawan anda yang lain juga tahu tentang peluang baik ini.

Tolong war-warkan tentang pertandingan ini kepada jaringan dan kawan-kawan anda yang kat online mahu pun offline.

Terima kaseh.

naimisa said...

kalau begitu tak sampai sepuluh orang lah yang dapat guna ruang ekslusif ni.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP