Tuesday, August 02, 2011

Sebelas Nota Pendek tentang Keterbukaan dan Mak Nyah

We, the members of the transgender community … strongly condemn the decision of the high court judge … in dismissing Aleesha Farhana Abdul Aziz’s application. The court should have allowed Aleesha to change her name and gender…. By denying her right, the court is purporting an environment of discrimination.…” –Nisha Ayub–

1. Saya baru saja pulang dari berkursus – agak intensif – di Port Dickson. Kursus tersebut dikelolakan oleh Badan Peguam Malaysia, dan rata-rata pesertanya terdiri sama ada dari kalangan para peguam muda, pelatih dalam kamar, atau aktivis yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Pusat Bantuan Guaman seluruh Malaysia.

2. Sejujurnya saya berasa amat terasing apabila berada di tengah-tengah para aktivis seperti ini.

3. Ada banyak perkara yang dikursuskan, termasuklah antaranya tentang sistem politik mutakhir di Malaysia, permasalahan dan aktivisme sosial, serta kemahiran interpersonal untuk menggerakkan perubahan. Pun begitu, saya hanya ingin membicarakan tentang satu perkara yang amat menonjol dalam kursus tersebut, iaitu tentang keterbukaan dalam memberikan pandangan.



4. Kerana setiap peserta terdiri dari mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan bidang guaman, makanya rata-rata mereka amat terbuka – dan kritikal – apabila memberikan pandangan terhadap setiap isu yang dibincangkan. Misalnya, salah satu isu yang timbul adalah mengenai hak golongan mak nyah di Malaysia. Rata-rata peserta merasakan hak dan kebebasan mak nyah adalah sesuatu yang perlu diperjuangkan dan dipertahankan (dan ini termasuklah juga hak untuk melakukan pembedahan transexual bagi menukar jantina sekiranya golongan ini memilih untuk berbuat demikian).

5. Antara kata-kata yang sering diulang ketika mendiskusikan perkara ini adalah bahawa “mak nyah juga manusia; justeru sebagai manusia, hak dan kebebasan mereka untuk membuat pilihan perlu dihormati.”

6. Saya bukanlah ingin menghujahkan pendirian sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan mereka tentang golongan mak nyah tersebut – kerana saya fikir setiap orang memang mempunyai hak untuk mempunyai pandangan. Sebaliknya saya sekadar ingin menyentuh tentang aspek etika atau adab dalam memberikan pandangan – iaitu bahawa walaupun setiap orang bebas memberikan apa sekalipun pendapat yang difikirkannya betul, tetapi pendapat tersebut hendaklah didasarkan kepada sesuatu yang jitu supaya ia tidak menjadi sekadar pandangan yang terapung di awang-awangan.

7. Apa yang dimaksudkan ialah bahawa tidak cukup sekadar memberikan pandangan seperti: “Saya rasa dia ada hak kerana dia juga manusia” – sebab nanti akan timbul banyak persoalan lain seperti: mengapa pula kalau dia manusia maka dia ada hak tersebut?; dari mana dia mendapat haknya?; siapakah yang memberikan hak itu kepada dia?; apakah ada termaktub di mana-mana tentang hak tersebut? – justeru, berdasarkan persoalan-persoalan yang timbul ini, jelas sekali pendapat seperti itu adalah pendapat yang tidak diasaskan kepada sesuatu yang jitu, dan kerana itu timbulnya banyak persoalan lanjut yang tidak berjawab melingkarinya.

8. Para peserta yang mempertahankan hak golongan mak nyah tersebut barangkali merasakan diri mereka adalah golongan bijak pandai yang mempunyai pandangan yang serba terbuka lagi liberal. Mereka merasakan merekalah manusia paling maju dalam dunia, kerana mampu memberikan pandangan yang kononnya serba terkedepan lagi sofistikated. Sesiapa yang menentang pandangan mereka pula akan dituduh sebagai golongan mundur yang serba tertutup atau katak atau di bawah tempurung.

8.1. Tetapi sayang sekali, mereka tidak sedar bahawa pandangan yang mereka anggap sebagai liberal dan terkedepan itu sebenarnya adalah pandangan yang sebenarnya tidak berasas kepada sebarang asal muasal.

9. Lihat sebagai misalan lain, pandangan yang diutarakan oleh Nisha Ayub, dalam satu perhimpunan Candlelight Vigil pada 30 Julai 2011 bagi memperingati arwah Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz yang meninggal dunia (dikatakan kerana tertekan apabila permohonannya untuk menukar nama dan jantina kepada Aleesha Farhana ditolak oleh mahkamah). Kata Nisha Ayub, “We, the members of the transgender community … strongly condemn the decision of the high court judge … in dismissing Aleesha Farhana Abdul Aziz’s application. The court should have allowed Aleesha to change her name and gender…. By denying her right, the court is purporting an environment of discrimination.…” (Klik sini untuk menonton videonya)

9.1. Saya membayangkan Nisha Ayub merasa megah dengan pandangannya yang dirasakannya amat liberal itu. Kalau tidak, masakan dia dengan begitu yakin boleh mengecam keputusan mahkamah dan kemudian dengan begitu yakin pula menuduh mahkamah mengamalkan diskriminasi.

9.2. Pun begitu, maaf cakap, Nisha Ayub sebenarnya tidak memahami isu utama. Pandangannya adalah pandangan tidak berakar, kerana dia barangkali tidak membaca pun alasan penghakiman yang arif hakim. Kalau dia membacanya, tentu dia akan faham bahawa keputusan untuk menolak permohonan pertukaran jantina oleh Mohd Ashraf bukanlah kerana faktor diskriminasi, sebaliknya kerana permohonan tersebut sangat lemah di sisi undang-undang. Hal ini kerana Mohd Ashraf sendiri gagal mengemukakan kepada mahkamah, keterangan daripada doktor yang melakukan pembedahan jantina ke atas dirinya. Apabila keterangan doktor tidak ada, maka mahkamah tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk membenarkan permohonan tersebut. Kalau ada yang mahu dipersalahkan atas penolakan permohonan itu, maka arwah Mohd Ashraf sendirilah yang sepatutnya dipersalahkan kerana tidak mengemukakan bukti yang cukup, dan bukannya mahkamah yang dituduh melakukan diskriminasi.

10. Adab dalam memberikan pandangan ialah pandangan itu mesti didasarkan kepada sesuatu yang utuh; bukannya sekadar melemparkan pendapat tanpa sebarang sandaran. Siapa-siapa saja boleh memberikan pandangan – bahkan budak seusia lima tahun pun kalau diminta boleh memberikan pandangan – tetapi apa yang menjadikan sesuatu pandangan itu bernilai atau tidak bernilai, bergantung kepada autoriti yang dijadikan sandaran dalam memberikan pandangan itu.

11. Apa pun, saya menulis entri ini bukanlah untuk menyatakan kesetujuan atau ketidaksetujuan terhadap transgenderisme atau isu-isu seputarnya – kerana isu ini saya percaya amat rumit dan memang ada hujah kuat dari kedua-dua belah pihak; bahkan sesetengah ulama ada yang berijtihad bahawa pembedahan transexual dibolehkan menurut Islam – sebaliknya saya sekadar ingin menekankan bahawa di pihak mana sekalipun kita memberikan pandangan, pandangan kita itu hendaklah diasaskan kepada suatu akar agar tidak menjadi pandangan awang-awangan yang tidak bernilai barang sesen pun. Dan yang lebih utama, supaya pandangan kita itu nanti tidak jatuh ke taraf fitnah yang buruk.

11.1. Pun, janganlah pula disalahertikan bahawa setiap pandangan oleh setiap orang itu mesti dihujahkan secara akademik -- tidak, bukan itu yang saya maksudkan -- kerana saya tidaklah mahu meletakkan syarat yang terlalu tinggi dan tak tercapai sehingga nanti hanya sekerat dua orang yang elit sahaja layak memberikan pandangan, sedangkan masyarakat teramai dinafikan hak itu. Saya tidak mahu menjadi seperti penyokong sebuah gagasan yang kononnya memperjuangkan konsep ilmu yang benar, tetapi pengasasnya sendiri menulis hanya berasaskan gosip-gosip picisan semata-mata. Cukuplah apa kiranya sekadar kita mengasaskan pandangan kepada sesuatu yang utuh, dan selalu bersederhana apa adanya.

7 comments:

Azree Ariffin said...

Inilah yang terjadi apabila semua orang mahu berikan pandangan.... tetapi tidak berdasarkan fakta yang betul...

Anonymous said...

Malangnya manusia terlalu mengejar dunia. Walhal akhirat yang kekal abadi.

Aidil Khalid said...

Sdr Azree & Sdr Anonymous,

"Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya Neraka Jahannam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik." (Al-Isra': 18-19)

Salam Ramadhan. =)

Anonymous said...

Awat la hang ni. Posa2 pun nak menyindiq orang. Sudah2 le tu. Tak usah nak berdendam.

Aidil Khalid said...

Sdr Anonymous,

Terima kasih atas peringatan. Salam Ramadhan dan moga-moga kita beroleh berkat dan keampunan di bulan yang mulia ini.

Anonymous said...

tukar jantina tetap salah. tak susah pun nk tentukan benda betul gn salah, cuma nafsu yg mengawal org tu. sepatutnya kawal lah nafsu. baca lah quran byk2, kasi bersih diri dalam dan luar.

Pak An yang kini duduk shah alam dulu setiawangsa said...

Pandangan saya tentang transeksual: Tidak pernah wujud pun "kebebasan memilih jantina". What Allah has given to you is the best that you can have. By trying to alter that course, is in my opinion an act of ungratefulness. I know they are human, and we should treat them as humans and everyone has the "choice". But, they can't be too naive to not foresee that there will always be some "unequal" treatment. Choosing such path must be supported by the acceptance of the consequences beforehand. Without that, it is simple and totally irresponsible.

Itulah pendapat saya :)

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP