Thursday, September 01, 2011

Peranan Pengarang Muda

Seujurus selepas negara kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (A.S.), diserang pada tanggal 11 September 2001, segala urusan yang sebelumnya penting mendadak menjadi tidak lagi penting jika dibandingkan dengan apa-apa yang melanda pada ketika itu. Serangan tersebut serasa bagai tamparan maha hebat buat sebuah negara yang begitu bermegah dengan teknologi persenjataan serta pertahanan yang serba canggih lagi sofistikated. Hakikat bahawa empat buah pesawat terbang berjaya membolosi tanpa sempat dikesan oleh pihak keselamatan pada tengah-tengah pagi yang terang, dan kemudian dua daripadanya merempuh World Trade Center di New York, sebuah menghentam Pentagon di Virginia, dan sebuah lagi menghempas Pennsylvania sudah cukup membuatkan rakyat A.S menjadi serba cemas tidak ketentuan. Lantas semangat patriotisme setiap seorang daripada mereka pun meluap-luap membahang merampang.

Pada waktu itu, Dan Brown, pengarang yang bakal menggemparkan dunia dengan karya terlarisnya sebetulnya sedang membuat kajian untuk novel yang akan melonjakkan namanya nanti, The Da Vinci Code. Tetapi serangan menggemparkan 11 September itu telah membuatkan Brown berhenti daripada meneruskan kajian. Berbulan-bulan beliau tidak dapat menggelumangi – apa lagi menukangi – karya besarnya, kerana sekiranya diteruskan juga, beliau merasakan seolah-oleh sedang ‘mengkhianati’ negara sendiri. Menurut katanya, “Menulis fiksyen terasa alangkah tidak bermakna lagi. Dengan segala macam permasalahan yang melanda, bagaimana mungkin seseorang itu membenarkan dirinya bersenang-lenang menggerakkan watak-watak cereka sesuka hati dalam dunia imaginasi yang serba tak wujud? Apakah sumbangan anda terhadap negara sekiranya anda berbuat demikian?” -i-

Mujur saja tempoh kebuntuan – atau kemurungan – itu tidak berlangsung lama, kerana beberapa bulan selepas itu beliau menyedari hakikat sebenar. Bahawa menulis novel, biarpun sekadar cereka, sumbangannya sebetulnya amat besar. Hal ini terutamanya dalam memberikan kenikmatan kepada masyarakat yang sedang dicengkam kecemasan dan diburu kegusaran.

“Dengan mengarang fiksyen,” begitu kira-kira kata Brown kemudiannya, “saya membebaskan manusia daripada kebobrokan realiti dan memberikan mereka sedikit hiburan untuk dinikmati.” -ii-

Memang begitulah pun peranan seni dalam erti kata yang luas. Dan sastera, sebagai salah satu dari cabang utama kesenian, perlu menekankan aspek ini – sama ada seseorang pengarang itu ingin menyuguhkan semangat cinta negara, atau mempamer falsafah setinggi menara, atau meneroka intelektualisme setiap mauduk bicara, atau apa-apa sahaja lagi niat-niat suci lainnya, peranan paling utamanya jangan sampai tenggelam – yakni memberikan kepuasan estetika atau keseronokan naluri kesenian kepada khalayak yang membacanya. Patah kata David Cecil, “Seni bukanlah seperti matematika atau falsafah. Ia bersifat subjektif, sensual, dan merupakan suatu aktiviti yang sangat peribadi di mana fakta dan idea menjadi hamba kepada imaginasi dan perasaan; tujuan utama seorang seniman bukanlah kebenaran, tetapi kenikmatan.” -iii-

Nah, kata kuncinya di sini adalah ‘kenikmatan’. Dan ‘kenikmatan’ inilah yang akan menyuburkan sesebuah karya seni – yang menjadikannya hidup, yang menjadikannya bernafas dan yang menjadikannya berdarah. Malah ‘kenikmatan’ itu sendiri pada hakikatnya andai terlorong pada tuju arah yang betul, akan dapat pula menyuburkan rasa cinta terhadap negara atau semangat patriotik menyala-nyala. Sebelum pergi lebih jauh lagi, barangkali ada baiknya untuk terlebih dahulu meneliti akan makna kata ‘patriotisme’ itu – dan dari situ barulah menghubungkan antara patriotisme dengan pengarang seni secara lebih akrab, agar kupasan ini nanti tidak kesasar tujuan.

Kalau menurut pengertian dari Hassan al-Banna, ‘patriotisme’ ialah tindakan “berjasa kepada tanah air, kerana ia adalah kewajipan yang ditetapkan oleh Tuhan sekalian Alam.” -iv- Patriotisme juga boleh difahami sebagai kewajipan “setiap manusia … bertindak demi kebaikan tanah airnya dan bersedia berkorban untuk tujuan itu.” -v-

Kata kunci dari definisi di atas kiranya adalah pada ungkapan “kewajipan” untuk “bertindak demi kebaikan tanah air”. Justeru kalau mengambil definisi ini, tindakan menghasilkan karya sastera hanya akan menjadi patriotik sekiranya karya tersebut adalah “demi kebaikan tanah air”. Maka sekarang timbullah pula persoalan: apakah yang dimaksudkan dengan karya yang memberi kebaikan demi tanah airnya? Ada dua cara menjawabnya – sama ada dengan memberikan jawapan yang luas terbuka atau yang sempit mengongkong.

Jawapan yang sempit, tentunya, hanya mengiktiraf sumbangan sesebuah karya sebagai “patriotik” sekiranya inti yang diangkat bersangkut hal-hal kenegaraan semata-mata – tentang gerakan melawan penjajah misalnya, atau perjuangan membasmi komunis contohnya, atau perhimpunan jalanan menentang Malayan Union umpamanya – tetapi tafsiran sempit sebegini hanya akan merugikan khazanah sastera tanah air. Justeru kerana itu sumbangan karya “demi kebaikan tanah air” perlu dinilai melalui kerangka pandang yang lebih luas. Bahawa setiap satu karya, sekiranya mempamerkan nilai seni dan budaya yang tinggi estetika, tanpa mengira apa pun inti yang diangkat atau apa pun tema yang dipamer, bolehlah dikatakan sebagai menyumbang “demi kebaikan tanah airnya”. Hal ini penting, kerana seperti makna ‘patriotisme’ yang dipetik dari Hassan Al-Banna tadi, ia adalah tindakan “demi kebaikan tanah air”.

Walhasil perlu ditekankan bahawa sesebuah negara tak mungkin dapat berbangga tanpa membina dan mendirikan peradaban dan tamadun yang utuh tersendiri. Peradaban dan tamadun yang utuh tersendiri pula tak mungkin ditegakkan tanpa hasil-hasil kesenian yang tinggi. Karya seni adalah roh terhadap sesebuah peradaban – tanpanya, sesuatu bangsa sebenarnya sudah tak lagi bernafas dalam erti kata telah mati sebagai sebuah peradaban.

Justeru sekarang timbul pula sebuah tanya: apakah yang dimaksudkan dengan karya yang tinggi nilai seninya?

Tentunya tidak akan ada jawapan yang tetap untuk soalan sebegini. Seni secara umum dan sastera secara khusus adalah subjektif. Oleh itu meletakkan satu ketetapan yang objektif terhadap sesuatu yang subjektif tentulah tidak masuk akal. Tetapi secara ringkasnya, sesebuah karya boleh dikatakan tinggi nilai seninya andai berjaya mengungkapkan sisi-sisi luar dan dalam kemanusiaan. Dan sisi luar dan dalam kemanusiaan ini pula diungkapkan dengan cara paling indah tentang segala apa yang dialami (yakni pengalaman jiwa). Seperti ulasan Profesor Dr Hamka ketika mentafsirkan empat ayat terakhir surah Para Penyair – Asy-Syu’ara’ – misalnya: “Falsafah Seni menurut ajaran Yunani dan Arab ialah kesanggupan manusia merasakan keindahan alam yang ada di kelilingnya lalu menyatakan perasaannya berupa seni ... Semua orang dapat merasakan keindahan itu, tetapi tidak semua orang dapat menyatakan kembali kesan yang lekat di jiwanya ... Yang sanggup menyatakannya kembali itulah yang dikatakan Seniman.” -vi-

Pengalaman setiap seniman tentulah berbeza-beza, justeru tema dan inti yang diungkapkan melalui karyanya juga akan ikut sama berbeza. Kebolehan seorang seniman mengungkapkan sesuatu tema dengan cara yang paling tersendiri akan menentukan kedudukannya sebagai seniman yang beridentiti, sekaligus menentukan tinggi-rendah sumbangannya kepada negaranya.

Sebagai misalan, kita melihat Sasterwan Negara A. Samad Said (seterusnya Pak Samad) yang menulis karya-karya berlatarkan zaman-zaman sebelum dan selepas perang sebagai indentitinya. Hal ini tentunya kerana pengalaman peribadinya yang pernah begitu berhampiran dengan letupan bom sehingga beliau jadi gagap dan gugup buat beberapa lama. Begitu juga sebagai contoh lain Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang cenderung menulis karya-karya bertemakan politik. Hal ini tentunya berkait dengan pengalaman peribadinya yang memangnya pernah menggelumangi arena politik kepartian tanah air secara langsung. Atau pengarang besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (seterusnya Pramoedya), satu-satunya sasterawan nusantara yang berkali-kali dicalonkan untuk anugerah Nobel kesusasteraan – beliau menulis karya-karya bertemakan perjuangan menentang kezaliman dan ketidakadilan kerana hidupnya sendiri tak asing dari menjadi mangsa rejim yang zalim.

Berkenaan dengan Pramoedya ini, barangkali ada keperluan menurunkan sedikit tentang pengalaman kreatifnya yang luar biasa, malah mendekati sebagai sebuah legenda, bagi memahami konsep menghasilkan karya “demi kebaikan tanah air”. Pada zaman pemerintahan Soeharto, Pramoedya yang sebelumnya dikata mendokong Presiden Soekarno telah dipenjarakan tanpa bicara serta karya-karyanya diharamkan. Beliau disumbat ke dalam tahanan di Pulau Buru bersama-sama temannya yang lain yang juga merupakan tahanan politik. Di sana beliau dilarang menulis – bahkan andai tertangkap dengan pen dan kertas, hukumannya begitu mengerikan, boleh dihukum mati. Tetapi kerana Pramoedya adalah seniman tulen, juga sasterawan teguh, ketidakadilan dan kongkongan luaran tidak sama sekali memberhentikan aliran seni dalam darahnya.

Maka tersebutlah kisah sebuah legenda yang begitu gah dan bermaruah. Ketika mana rakan-rakan setahanannya mengalami turunan moral dan semangat punah akibat dari keadaan yang begitu menekan dan menjera di dalam tahanan, Pramoedya bertindak sebagai penyelamat. Beliau mulai ‘mengarang’ karya agungnya, yakni kuartet Bumi Manusia, tetapi tidak dengan pen dan kertas, kerana hal itu jelas dilarang, sebaliknya ‘dikarang’ – atau lebih tepat diceriterakan secara lisan – kepada rakan-rakannya penaka seorang penglipur lara yang mahir dan fasih. Alangkah ajaib kerana seolah-olah setiap selok perkisahan, setiap jalinan tikaian dan setiap rantai kejadian di dalam novel yang hendak dikarangnya itu, dan yang kemudiannya dibabadkan secara lisan kepada rakan-rakannya itu, turun kepadanya bagai sebuah ilham dari langit niskala.

“Salah satu usaha saya,” begitu kata beliau, “adalah bercerita lisan pada mereka untuk membangkitkan kembali semangat.” -vii- Dan apa yang diceritakan pada malam hari oleh beliau akan dihafal oleh teman-temannya yang mendengar, lalu akan disebarkan pula bercerita oleh mereka kepada teman-teman yang lain, ketika mereka berkerja-paksa di dalam hutan pada siang harinya. Begitulah bagaimana kesan dan magisnya pengalaman yang diungkapkan secara indah penuh berseni, duhai, ia malah dapat memberikan harapan. Dan inilah yang dikatakan sebagai pengarang yang patriotik, yakni yang memberikan manfaat untuk tanah airnya; untuk orang-orang sekelilingnya.

Pun begitu harus ditekankan di sini bahawa Pramoedya menulis dengan tema-tema besar menentang kezaliman dan ketidakadilan, kerana beliau sendiri melalui pengalaman-pengalaman yang perit dan getir. Justeru pengalaman itu mengajarnya – bahkan memandunya – menuliskan kisah-kisahnya dengan penuh mengesankan. Bukanlah tema-tema besar itu yang menjadikan Pramoedya pengarang patriotik, sebaliknya ketinggian nilai seninya itu yang lebih patriotik dari satu apa pun yang lainnya. Tidak ada yang lebih patriotik untuk seorang karyawan daripada menyumbang terhadap korpus peradaban bangsanya dengan menghasilkan karya-karya tinggi estetika.

Dan karya-karya yang besar tak mungkin lahir kalau tidak dari pengalaman sendiri. “[P]engalaman tertentu memberikan akar kepada sesebuah karya sastera kita sendiri,” begitu menurut kata Pak Samad. “Mereka-rekanya saja tidak akan menghidupkan ... Ternyata pengalaman yang langsung berbeza kesannya kepada seeorang penulis daripada ‘pengalaman’ yang ‘dikaji’.” -viii-

Dalam hal ini, pengarang-pengarang muda pada masa kini tentu sekali amat kekurangan modal pengalaman berhubung hal-hal besar seperti yang dialami oleh para pengarang terdahulu. Keadaan semasa sudah serba senang dan mewah di tanah air – jelas tak ada lagi peperangan seperti ketika zaman Pak Samad; tak ada lagi penjajahan seperti di zaman Pak Sako, tak ada lagi kezaliman – sekurang-kurangnya tidak secara berleluasa – seperti ketika zaman Pramoedya. Tetapi itu tidak harus menjadi penghalang untuk pengarang muda menghasilkan karya-karya yang tinggi mutunya. Bahkan karyawan yang baik memanfaatkan segala apa yang ada di sekelilignya sebagai sumber ilham. Seperti sasterawan Azizi Haji Abdullah misalnya yang mengulas proses kreatifnya yang diistilahkannya sebagai pengalaman orang kecil: “Kerana saya ini orang kecil,” begitu katanya, “hidup dalam dunia yang kecil pula, dalam dunia yang tidak hebat pergolakannya, maka kerana itu saya tidak pernah dicetuskan satu idea besar bertaraf dunia ... Kalaulah saya berpeluang berada dalam masyarakat peperangan, perhambaan, penindasan, barangkali cetusan idea ini akan dianggap besar, seperti ... novel-novel revolusi Pramoedya....”. -ix-

Tetapi idea-idea kecilnya itu tak sedikit pun menjadikannya sebagai karyawan yang tidak patriotik. Kerana, seperti yang telah ditegaskan di awal-awal lagi, “setiap satu karya, sekiranya mempamerkan nilai seni dan budaya yang tinggi estetika, tanpa mengira apa pun inti yang diangkat atau apa pun tema yang dipamer, bolehlah dikatakan sebagai menyumbang demi kebaikan tanah airnya”. Hanya pengalaman yang diungkapkan secara jujur dan luhur, tanpa dicalit oleh suara-suara hipokrasi yang bersifat tempelan – sama ada cedokan dari buku teks atau propaganda yang mengada-ngada – barulah sebuah karya yang besar dapat bertumbuh. Karya besar tidak menjadi besar kerana tema yang bersifat tempelan, sebaliknya kerana nilai seni dan estetikanya yang tinggi. Makanya, dalam erti kata ini, jelaslah bahawa beliau telah menyumbangkan karya-karya bermutu tinggi untuk bangsa dan negaranya melalui penghasilan yang penuh berseni walaupun beliau memilih tema-tema kecil dalam dunia lingkungannya yang serba kecil juga.

Amat malang sekiranya ‘patirotisme’ dalam karya seni masih mahu ditakrifkan secara sempit mengongkong. Bayangkan andai Dan Brown terus menerus bermuram durja dan menghentikan projek penulisannya, semata-mata kerana menyangkakan menulis novel di waktu rusuh adalah tidak patriotik. Dunia akan kehilangan sebuah novel terlaris – yang kemudiannya malah dialih medium menjadi filem terlaris pula! Bayangkan pembongkaran-pembongkaran dalam novel The Da Vinci Code tidak akan pernah sampai kepada khalayak, lantas perbahasan tentang salasilah alternatif agama Kristian pun tak akan menjadi topik perbincangan umum. Bayangkan pula andai Pramoedya tidak ‘mengarang’ secara lisan ketika di dalam tahanan bagi menghiburkan rakan-rakan pendengarnya. Dunia akan kerugian empat buah magnum opus yang merakamkan kemanusiaan dengan sangat dekat, indah lagi puitis.

Justeru tugas para pengarang muda hari ini, jelas sekali, adalah untuk berlaku jujur, dan menulis berdasarkan pengalaman sekelilingnya tanpa perlu bersifat tempelan hanya kerana ingin mengangkat tema-tema besar. Kita membaca Pramoedya, tetapi Pramoedya kekal Pramoedya, pengarang tersendiri yang mempunyai pengalaman tersendirinya. Kita membaca Pak Samad, tetapi Pak Samad kekal Pak Samad, pengarang tersendiri yang mempunyai pengalaman tersendirinya. Para pengarang muda perlu memanfaatkan pengalaman sendirinya yang juga tersendiri, bukan terikut-ikutkan rentak pengarang lama. Karya-karya mereka perlu dibaca, tetapi pengarang muda mesti membina gaya dan cara tersendiri – sesuai dengan zaman kini – dan membebaskan diri dari pengaruh pengarang-pengarang lama.

Kalau di Jepun, mereka memiliki nama besar seperti Haruki Murakami yang berjaya membebaskan diri dari arus kepengarangan lama dan membawa gaya kepengarangan yang, sesetengah orang memanggilnya pasca moden serta diperencah pula oleh unsur-unsur realisme magis. Watak-watak dalam penceritaannya adalah individu-individu urban dalam lingkungannya yang serba metropolitan, tetapi dalam masa sama unsur kejepunan tetap ketara terutamanya melalui interaksi antara watak serta pandangan alam keseluruhan.

Di Malaysia, barangkali pengarang yang wajar dicontohi kerana memperkaya gaya pengucapan sastera – sekaligus termasuk dalam kategori patriotik seperti definisi luas yang telah dibincangkan di atas – adalah Irwan Abu Bakar, yang membawa gaya kepengarangan berbeza dan menyimpang dari arus lama. Novelnya Cinta Berbalas di Meja 17, walaupun tidak begitu dikenali kerana tidak diterbitkan oleh penerbit besar arus utama – sebenarnya telah memaparkan kisah-kisah sederhana tetapi begitu memukau menggunakan teknik penulisan yang rencam dan beragam sebagai manifestasi kemanusiaan yang ruwet sesuai dengan zaman kini. Ia adalah suatu pembebasan dari gaya kepengarangan lama yang sekaligus memperkaya korpus bangsanya.

Pengarang muda mesti mengungkapkan peribadi sendiri, merakamkan perasaannya luar dan dalam setelah meresapi lingkungannya secara mendalam. Hanya dengan cara itulah pengarang muda hari ini dapat menjadi seniman (dan patriot) tulen. “[S]esederhana-sederhana cerita yang ditulis,” begitu tulis Pramoedya, “dia mewakili pribadi individu atau malahan bisa juga bangsanya.” -x-

[* Foto adalah lukisan oleh Berthe Morisot
** Tulisan ini 'terbit' dalam majalah
Tunas Cipta bulan Ogos yang masih belum masuk di pasaran lagi walaupun bulan tersebut sudah tamat. Dalam majalah tersebut, tulisan ini bertajuk Makna Luas dari Patriotisme dalam Karya Seni. Justeru saya menerbitkannya semula dalam blog ini untuk manfaat bersama tanpa melanggar hak penerbitan majalah Tunas Cipta.]

* * * * *
Nota Kaki
-i- Lisa Rogak, Dan Brown: The Man Behind The Da Vinci Code, Robson Books, 2005, London, Hlm 84
-ii- Ibid
-iii- David Cecil, The Fine Art of Reading, Constable and Company Limited, 1957, London, Hlm 11.
-iv- Hassan Al-Banna. Himpunan Risalah Imam Hassan Al-Banna.
-v- Ibid
-vi- Prof. Dr. Hamka, Tafsir Al-Azhar (Jilid 6), Pustaka Panjimas, 1982, Jakarta, Hlm 168-169
-vii- Wawancara Arngrim Ytterhus dengan Pramoedya Ananta Toer (bahagian II), http://www.youtube.com/watch?v=vS3d0EdxVGk
-viii- A. Samad Said, Dari Salina ke Langit Petang, Wira Bukit, 2007, Damansara, Hlm 107
-ix- Azizi Haji Abdullah, Kuras-Kuras Kreatif, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, Kuala Lumpur, Hlm 26
-x- Pramoedya Ananta Toer, Jejak Langkah, Lantera Dipantara, 2007, Jakarta, Hlm 41

No comments:

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP