Sunday, September 11, 2011

Suara Orang Seni

1. Setelah beberapa lama diusahakan, alhamdulillah, akhirnya sebuah majalah baharu bakal diterbitkan. Majalah ini, yang diberi nama S.O.S sebagai singkatan daripada suara orang seni, diharapkan dapat memberikan nafas segar dalam kesusateraan dan kesenian kita. InsyaAllah edisi pertamanya bakal terbit dan mula dipasarkan bermula bulan Oktober 2011 ini.

2. Diperlukan sedikit penjelasan mengenai majalah ini, agar khalayak dapat memahami kedudukan/konsep S.O.S yang sebenarnya.

3. Majalah ini adalah sebuah majalah yang diusahakan secara indipenden oleh sekumpulan anak muda dibawah seliaan beberapa individu mapan – serta diterbitkan di bawah nama pertubuhan PENA dan juga Sol-Jah (kedua-dua logo ini akan terpapar pada kulit majalah. Kulit yang anda lihat di sebelah ini adalah yang masih belum di-finalised lagi. Fokus untuk keluaran edisi pertama adalah mengenai isu suara baru sastera -- seperti yang terpapar pada tag di bawah kulit di sebelah ini. Di bahagian atas insyaAllah akan diletakkan nama dan logo majalah -- S.O.S.)

4. Sebagai penerbitan bebas, kami terikat dengan bajet yang agak ketat. Oleh hal demikian, di peringkat awal ini, penerbitan ini akan diterbitkan sebagai “zine” bulanan dan diedar/dijual secara terus dalam event-event sastera dan kesenian sahaja, atau melalui belian online di internet. Ia tidak diedarkan secara meluas di kedai-kedai buku.

5. Ya, saya tahu ramai yang mungkin sudah mulai mengerut dahi – kerana barangkali anda mengharapkan sebuah majalah yang lebih arus perdana dan yang dipasarkan secara lebih meluas ke seluruh tanah air.

6. Janganlah khuatir, kerana memang itulah pun matlamat S.O.S yang sebenarnya. Hanyasanya, di peringkat awal ini, S.O.S terpaksa tunduk kepada kedudukan bajet dan kemampuan tenaga kerja yang terbatas. Tetapi menurut perkiraan dan perancangan – tertakluk kepada sambutan dan sokongan dari khalayak sekalian – zine ini insyaAllah akan dinaiktaraf menjadi “majalah” penuh, siap dengan ISBN serta dipasarkan ke seluruh kedai-kedai buku, setelah keluaran kelimanya nanti, yakni pada tahun hadapan. Ketika itu sebuah syarikat penerbitan di bawah nama S.O.S. juga insyaAllah akan turut sama ditubuhkan.

7. Justeru sekiranya anda benar-benar mahu melihat pembaharuan dalam sastera kita, maka tunjukkanlah sokongan terhadap usaha kecil S.O.S ini dengan membeli majalah ini apabila ia terbit nanti serta menguar-uarkannya kepada rakan-rakan yang lain agar S.O.S dapat membina fondasi kewangan dan pengalaman yang lebih kukuh sebelum menerbitkannya sebagai sebuah majalah penuh pada tahun hadapan.

8. Matlamat majalah ini ada banyak, tetapi secara singkatnya, berikut adalah antara pembaharuan yang ingin dibawa dan ditawarkan:

(i) untuk melihat pembaharuan dalam kesusasteraan arus perdana, dengan mengetengahkan suara-suara terpinggir yakni aliran/gerakan kesusasteraan yang diistilahkan sebagai underground atau independen yang selama ini jarang-jarang mendapat tempat dalam media arus perdana;

(ii) dalam mencapai matlamat (i) di atas, tidaklah bermaksud S.O.S akan meminggirkan apa-apa yang telah diterima sebagai establishment, yakni kesusasteraan arus perdana itu sendiri -- sebaliknya S.O.S akan tetap mengangkat karya-karya dari aliran arus perdana;

(iii) justeru gabungan dari (i) dan (ii) di atas, maka bolehlah dikatakan bahawa S.O.S berusaha untuk mengimbangi pelbagai aliran yang berbeza dalam kesusasteraan kita;

(iv) ingin menyorot kesusasteraan dunia, agar para pengarang tidak lagi terkepompong sekadar dalam dunia kecil sastera tempatan. Dan untuk ini, insyaAllah dalam beberapa keluaran berikutnya, dan sebagai langkah mula, karya para pengarang Indonesia akan turut termuat dalam majalah ini;

(v) selain itu, majalah ini tidak dimaksudkan untuk menjadi sebuah majalah yang seratus peratus sastera. Sebaliknya, genre-genre lain kesenian akan turut sama diangkat, seperti filem, muzik, teater, catan, dan lain-lain. Secara longgar, sasarannya adalah 60% kesusasteraan dan 40% bakinya genre kesenian dan kebudayaan lainnya.

(vi) terakhir, tetapi ini adalah antara yang terpenting, S.O.S mahu menghormati hak penulis. Selama ini, jika diperhatikan, jarang-jarang sekali para pengarang di Malaysia dimaklumkan tentang status karya yang dihantar oleh mereka kepada penerbitan berkala. Pada kebiasaannya setelah mengirimkan karya ke majalah atau akhbar, mereka perlu ambil inisiatif sendiri untuk menyemak sama ada karya mereka itu diterbitkan atau tidak dalam bulan berikutnya dan berikutnya lagi dan berikutnya lagi. Bagi kami, ini adalah pelanggaran hak penulis oleh editorial. Setiap penulis berhak untuk mengetahui sama ada karya mereka itu diterima atau tidak untuk diterbitkan – dan sekiranya diterima, maka maklumkanlah segera; atau sekiranya tidak diterima, maklumkan juga segera berserta dengan sebab penolakan (dalam nada lembut tentunya), agar penulis itu jelas akan kedudukan karyanya sendiri dan oleh itu dapat pula mengirimkannya kepada penerbitan lain.

Akhir kata, nantikanlah penerbitannya!


* * * * *


Nota: jawatan saya dalam sidang editorial majalah ini hanyalah sebagai salah seorang kolumnis. Justeru sebarang maklumat lanjut boleh tujukan kepada Ketua Pengarang, Wan Nor Azriq; atau editor, Ainunl Muaiyanah.

5 comments:

Putra Rman said...

Syok! teruja nak memilikinya nanti, syabas buat kalian ;)

Bie'z said...

Tak sabar untuk memilikinya.Boleh agaknya untuk menghantar sebarang bentuk karya ke majalah ini?

Norziati Mohd Rosman said...

Tahniah atas usaha kalian. Sebelum ini saya selalu berangan akan terbitnya majalah sebegini. Semoga kan ada ruang yang luas untuk semua pihak berkarya

Nadia said...

bestnya!!!

Aidil Khalid said...

Putra Rman, Norziati, dan Nadia, terima kasih atas sokongan kalian! =)

Bie'z, ya, boleh dikirimkan sebarang bentuk karya ke majalah ini -- tidak ada jumlah halaman maksimum dan tidak ada juga jumlah halaman minimum. Berkreatiflah apa adanya dengan sepenuhnya. Karya boleh dikirim ke suaraorangseni@gmail.com.

  © Blogger template 'Morning Drink' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP